Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kos pengurusan air, banjir Selangor libat dana RM7 bilion

SABAK BERNAM, 28 FEB: Kos pengurusan air dan banjir di Selangor melibatkan peruntukan RM7 bilion, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kos itu dibentangkan ketika program pemukiman EXCO di Langkawi, Kedah pada 23 Februari lalu.

“Dari segi dasarnya mesyuarat bersetuju, cuma proses untuk melaksanakan (secara) berperingkat dengan dana sebahagiannya melibatkan kerajaan pusat. Kita akan guna dana negeri dan anak syarikat untuk menyelesaikannya.

“Penyelesaian banjir melibatkan seluruh sistem, semua kolam takungan, parit, longkang, sungai, terowong dan pintu air, semuanya terlibat. Saya akan perincikan dan perkemaskannya serta diumumkan dalam sidang media,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini Ahad lalu.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Selain menyebabkan kerosakan harta benda, seramai 13 individu turut terkorban.

Susulan itu Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi menjayakan program Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Categories
AGENDA NASIONAL

Potong dana Jabatan Audit Negara, kerajaan tidak serius bendung ketirisan

SHAH ALAM, 11 NOV: Ahli Parlimen Pandan mempersoal pemotongan dana berjumlah RM4 juta kepada Jabatan Audit Negara yang dibimbangi akan menjejaskan pemantauan perbelanjaan kerajaan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tindakan itu memberi mesej salah sama ada kerajaan serius mengatasi isu ketirisan yang baru-baru ini dilaporkan membabitkan kehilangan peruntukan RM620 juta.

Jelasnya dana sebesar itu mampu menampung pelbagai perbelanjaan seperti projek tebatan banjir yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sepatutnya kita perlu perkasakan pemantauan oleh Jabatan Audit Negara untuk menyemak perbelanjaan di setiap kementerian tetapi kenapa tahun ini peruntukan dipotong RM4 juta.

“Sekarang ini bukan sahaja pendapatan negara menguncup tetapi hutang pun dijangka mencecah RM1 trilion, jadi kita perlu pastikan setiap wang kita ada tidak diseleweng,” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mempersoalkan mengapa peruntukan lebih besar dicadang kepada Kementerian Pertahanan berbanding Kementerian Kesihatan (KKM) yang lebih memerlukan ketika berdepan penularan Covid-19.

“Apakah kita hendak beli kereta kebal untuk lawan Covid-19? Saya minta menteri kewangan untuk semak semula dan beri fokus kepada KKM.

“Masa kita sakit baru kita tahu, ketika sihat kita bersyukur…janganlah potong peruntukan kepada KKM,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS: Dana RM1.5 juta bantu 700 peniaga kembali bangkit

SHAH ALAM, 16 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan dana RM1.5 juta bagi membantu peniaga terjejas pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata bantuan itu termasuk dalam 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli dan menyasarkan membantu 700 usahawan yang terkesan.

Menurutnya, kumpulan terbabit telah dikenal pasti, terdiri usahawan asnaf fakir dan miskin serta bekas asnaf yang terjejas pendapatan berikutan Covid-19.

“Kita salurkan bantuan dalam bentuk suntikan modal untuk membolehkan mereka bangun semula, setiap peniaga sama ada asnaf fakir dan miskin atau bekas usahawan asnaf terbabit menerima bantuan maksimum RM2,000.

“Kita faham masalah mereka yang mungkin tiada modal untuk meneruskan semula perniagaan,” katanya di sini.

2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan zakat RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli bagi membantu golongan terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0.

Inisiatif dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember ini dijangka memanfaatkan 59,322 penerima dan 431 institusi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelaburan KWSP masih mampu bertahan depani cabaran

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terbukti masih terus bertahan sejauh ini walaupun terdapat cabaran unik yang dihadapi pasaran dalam keadaan kelembapan ekonomi ketika ini.

KWSP berkata, ini berpandukan kepada alokasi aset strategiknya dan pihaknya akan terus mempelbagaikan pelaburan dalam pasaran domestik dan global dengan mempertimbangkan keperluan aliran tunai yang mencukupi setiap waktu, termasuk waktu-waktu melampau dan tidak diduga seperti wabak.

“Pada asasnya, KWSP adalah pelabur jangka panjang dan setiap keputusan pelaburan yang dibuat akan terus mempertimbangkan tanggungjawabnya untuk mengekalkan dana anggota walaupun dalam situasi yang belum pernah terjadi sebelumnya seperti wabak ini.

“Pada masa ini, dan berpandukan struktur i-Sinar sedia ada, semua tindakan KWSP akan memastikan tiada impak kepada pasaran domestik,” katanya dalam maklum balas kepada media yang dikeluarkan semalam.

KWSP juga berkata, pihaknya memahami keperluan ahli untuk mengeluarkan simpanan mereka untuk bertahan dalam waktu sukar ini, namun berharap pihak pencarum dapat membuat perancangan mengenai jumlah yang mereka perlukan.

“Ini adalah untuk memenuhi keperluan hari ini sambil meminimumkan kesan persaraan mereka di masa hadapan.

“KWSP mengalu-alukan ahli untuk berjumpa pegawai khidmat nasihat persaraan untuk mendapatkan sebarang nasihat kewangan,” katanya.

Mengenai kaedah pengisian semula KWSP selepas pengeluaran i-Sinar dilakukan, dana pencen itu berkata, semua caruman pada masa hadapan akan disalurkan ke Akaun 1 sehingga jumlah yang dikeluarkan diisi semula.

“Setelah jumlah yang dikeluarkan diisi semula, caruman akan kembali ke asal iaitu 70:30 di Akaun 1 dan Akaun 2,” katanya.

KWSP juga akan memastikan tindakan diambil terhadap majikan yang tidak bekerjasama memastikan kelancaran permohonan i-Sinar ahli.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa sedia dana munasabah atasi gejala kesihatan mental

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan perlu memperuntuk dana munasabah bagi membendung gejala kesihatan mental, terutama dalam situasi ekonomi yang meruncing akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana mencukupi boleh mendukung kumpulan yang terkesan dengan masalah tersebut meliputi petugas barisan hadapan.

“Jangan kita pinggirkan mereka yang terdedah pada gejala ini dan stigma mesti ditangani sebaiknya. Mereka tidak harus berasa sunyi.

“Malah kita mesti tingkatkan semangat kebersamaan dalam mendukung antara satu dengan yang lain dalam suasana krisis hari ini,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat menjelaskan sebanyak 44 peratus rakyat Malaysia terkesan dengan masalah kesihatan mental sejak Covid-19 melanda negara.

Menurut Anwar, keadaan lebih membimbangkan apabila segelintir pihak berhadapan gejala penderaan di rumah dan tekanan akibat terkurung, selain kehilangan kerja serta sumber pendapatan harian.

“Kanak-kanak juga terdedah dengan gangguan mental sebagai akibat penutupan sekolah yang mengakibatkan aktiviti kokurikulum terhad serta kekangan masa bersama rakan-rakan.

“Apa yang kita hadapi hari ini ternyata suatu yang tidak pernah kita alami sebelumnya dan dampaknya sangat besar tatkala ia meningkatkan kegelisahan, tekanan dan kesunyian dalam kalangan warga yang terpaksa melalui fasa pengurungan dan sebagainya,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Pelaburan Waaqaf RM50 juta atasi kemiskinan, kos sara hidup

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pelaburan Waaqaf dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Perbadanan Wakaf Selangor akan dilaksanakan dengan dana permulaan RM50 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu mampu mengatasi kemiskinan bandar, selain mengurangkan beban kos sara hidup atau menghapuskan hutang isi rumah.

“Dana ini akan dilaburkan menerusi mekanisme pelaburan yang patuh syariah, pelbagaian pilihan pelaburan dan pengurusan risiko yang cekap menerusi jaminan pengekalan modal aset wakaf merupakan antara faktor yang penting bagi memaksimumkan pulangan pelaburan wakaf.

“Hasil pulangan ini akan diagihkan oleh Perbadanan Wakaf Selangor kepada golongan sasaran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pelan pemulihan itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Categories
NASIONAL Ringgit

Dana Tabung Harapan lunas hutang 1MDB – Guan Eng

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) sebanyak RM203,292,117.41 akan digunakan untuk melunaskan sebahagian hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2019 berjumlah RM1,704.78 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM pada 24 April lalu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM Bil.1/2019 pada 24 April 2019 telah bersetuju memutuskan bahawa kesemua dana dalam THM ini akan digunakan bagi melunaskan sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah RM1,704.78 juta bagi tahun ini.

“Meskipun dana THM ini tidak mungkin boleh melangsaikan semua hutang 1MDB sebanyak RM51 Bilion, Tabung Harapan akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara.

“Kerajaan dengan ini ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan ke dalam THM ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, baki akhir THM sehingga 14 Januari lalu iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan adalah sebanyak RM202,716,775.10.

Menerusi pelaburan simpanan tetap yang ditadbir Jabatan Akauntan Negara telah dilaksanakan dan faedah pelaburan yang diterima sehingga 31 Mac tahun ini adalah sebanyak RM575,342.31, menjadikan jumlah terkini akaun amanah THM adalah berjumlah RM203,292,117.41.

 

Categories
GLOBAL

UNRWA: Tak wajar potong dana bantuan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

NEW YORK, 10 FEB: Keputusan Amerika Syarikat (AS) memotong dana bantuan agensi bantuan dan pekerjaan pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menyebabkan ia berdepan krisis kewangan.

Jurucakap UNRWA, Peter Mulrean berkata, Kuwait satu-satunya negara yang menyumbang kepada UNRWA sebanyak AS$900,000 (RM3.5 juta) manakala 15 negara penderma lagi termasuk Sweden dan Jepun memutuskan akan mempercepatkan bantuan bagi melancarkan operasi UNRWA.

“Keadaan ini berlaku apabila Presiden AS, Donald Trump, bertindak AS$60 juta (RM237 juta) saja bantuan diberikan setahun berbanding AS$350 juta (RM1.39 bilion) sebelumnya.

“AS masih belum menjelaskan kewajaran di sebalik dana AS$60 juta (RM237 juta) dan Washington tidak menampakkan kepentingan untuk melakukan perubahan,” katanya dipetik Berita Harian.

Sebelum ini, AS adalah penderma tunggal terbesar kepada UNRWA yang menyediakan sekolah dan klinik kesihatan kepada 5.3 juta pelarian di wilayah Palestin, Jordan, Lubnan juga Syria.

Pengarah UNRWA Tebing Barat, Scott Anderson berkata, semua perkhidmatan agensi masih berjalan seperti biasa ketika ini tetapi keputusan AS membuatkan ramai rakyat Palestin bimbang.

“Mereka bimbang dan risau terhadap keluarga dan masa depan mereka,” katanya.

Selain itu, UNRWA juga menyangkal keras apabila agensi itu berkali dituduh menyebarkan sentimen anti Israel, di sekolah.

Pada masa sama, Duta AS, Nikki Haley menegaskan, AS tidak akan menghulurkan dana kepada rakyat Palestin sehingga negara itu bersetuju kembali ke meja rundingan dan berdamai dengan Israel.

 

Categories
NASIONAL

BERSIH jadi jutawan, berjaya kumpul dana RM1.2 juta

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 OGOS: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berjaya mengumpul dana lebih RM1.2 juta setakat ini hasil derma dan jualan bagi tujuan perhimpunan Bersih 4.0, pada 29 dan 30 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam status facebook rasmi gabungan itu.

“Jumlah terkini derma dan penjualan baju yang kami terima adalah RM1,221,419.02. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang menderma.

“Kepada yang belum, teruskan menderma,” lapor status itu.

BERSIH 4Perhimpunan BERSIH 4 diadakan bagi menuntut penjelasan keterlibatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membiayai kempen pilihan raya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).

Berdasarkan pendedahan Wall Street Journal (WSJ), 1MDB dilaporkan membiayai kempen Najib secara tidak langsung melalui pembelian aset penjana tenaga Kumpulan Genting dengan harga lima kali nilainya, pada tahun 2012.

WSJ turut mendakwa Genting menderma sebahagian pendapatan hasil penjualan itu kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia yang dikuasai Najib.

Laporan itu menjelaskan yayasan berkenaan kemudiannya mengumumkan beberapa projek kebajikan yang Najib gunakan ketika kempen PRU-13.

Perhimpunan Bersih 4.0 dijadual diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

-NFN-

Categories
NASIONAL

Azmin: Dedah sumber dana, Pakatan kekal prinsip ketelusan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 OGOS: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengulangi komitmen Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk mendedahkan sumber dana.

Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, ia dalah sebahagian daripada prinsip ketelusan yang diamalkan di kebanyakan negara maju.

IMG_2279Katanya, peruntukan dan akta jelas berhubung perkara itu perlu dibincang dan diputuskan di Dewan Rakyat.

“Kerajaan Jerman misalnya bertanggungjawab mengagihkan dana bagi setiap parti politik.

“Sebahagian dana juga digunakan untuk menubuhkan institusi politik bagi membolehkan rakyat memahami bagaimana proses demokrasi dijalankan.

“Tetapi di sini tidak, satu bilion dollar Amerika masuk akaun seseorang,” katanya selepas mennyempurnakan majlis sambutan rumah terbuka Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Darul Ehsan Investment Group (DEIG), di sini, semalam.

IMG_2123Mengulas perkembangan perjanjian air, Mohamed Azmin, berkata proses berkenaan berjalan lancar dan diyakini mampu diselesaikan mengikut terma.

“Seperti kenyataan menteri, kita juga yakin perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh 60 hari sebelum mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Puncak Niaga,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rafizi: Cuma 20 R&D sahaja, Ke mana Dana Mosti RM1.1 bilion dibelanja?

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA 15 APRIL: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa berlakunya penyalahgunaan dana geran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Hal ini kerana, sebanyak RM1.152 bilion geran yang dikeluarkan Kerajaan Pusat dalam tempoh lima tahun namun hanya 20 hasil R&D yang dikomersilkan setiap tahun.

rafizi-TI-01“Ini adalah satu jumlah pengkomersilan yang rendah jika dibandingkan dengan jumlah dana awam yang dibelanjakan kerajaan.

“Ini menimbulkan persoalan ke manakah sebenarnya dana ini digunakan? Benarkah ia digunakan sepenuhnya bagi tujuan pengkomersilan R&D atau ia digunakan bagi tujuan lain?,” katanya dalam satu sidang media.

Menteri Mosti, Datuk Dr Ewon Ebin semasa meluncurkan Mosti Commercialisation Year 2014 mengakui hanya 20 hasil kajian R&D yang dikomersilkan setiap tahun.

Beliau juga mengakui kadar itu rendah dan mensasarkan supaya ia ditingkatkan tiga kali ganda iaitu 60 hasil kajian yang dikomersilkan setiap tahun.

Jelas Rafizi, jumlah dana geran ini lebih tinggi daripada dana Fidlot Kebangsaan (NFC) yang berjumlah RM250 juta.

Sehubungan itu katanya, beliau akan mendedahkan beberapa penyalahgunaan dana R&D dan Mosti untuk tujuan lain Jumaat ini.

Katanya, ini termasuk salah satu keputusan pemberian geran Mosti pada jumlah dana yang besar dan menimbulkan tanda tanya melibatkan cmpurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini menunjukkan bagaimana kaedah geran (memberi wang tanpa perlu dibayar balik) digunakan untuk membantu individu tertentu sedangkan rakyat biasa berdepan kesukaran untuk medapatkan pinjaman apatah lagi geran,” kata beliau lagi.

EZY