Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Deposit pembangunan tanah turun 50 peratus, galak syarikat melabur

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerajaan Negeri menurunkan deposit tanah sebanyak 50 peratus kepada syarikat yang ingin melabur pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil selepas kadar deposit 150 peratus yang ditetapkan sebelum ini membebankan pelabur.

“Dasar yang dikemukan sebelum ini membebankan pelabur antaranya adalah bayaran deposit, deposit mereka (pelabur) perlu dibayar 150 peratus berbanding kadar yang ditetapkan dalam kaedah tanah-tanah Selangor.

“Kali ini untuk 2022, kita letakkan deposit 100 peratus sahaja maknannya pada paras kadar penilaian yang diberikan JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta) dan juga kaedah tanah Selangor supaya bebanan mereka dikurangkan dan segera melabur,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin mengenai Dasar Kelulusan 100 hari sama ada Kerajaan Negeri mempertimbang syarat yang lebih fleksibel pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada 3 Disember tahun lalu, Amirudin berkata dasar Kelulusan 100 Hari yang dilaksanakan sejak Januari berjaya menarik nilai pembangunan RM216 juta.

Beliau memaklumkan dasar berkaitan proses kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah yang dikurangkan kepada 100 hari berbanding 270 hari dilihat lebih mesra pelabur.

Dasar tersebut akan diteruskan serta ditambah baik untuk merancakkan pembangunan serta pemulihan sektor ekonomi pasca Covid-19.

Bermula Januari 2020, Kerajaan Negeri menguat kuasa serta merta Dasar Kelulusan 100 hari bagi proses pembangunan tanah membabitkan kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan infrastruktur.

Pengurangan tempoh tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor mengikut Mekanisme Pembayaran Deposit Premium ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dasar lulus 100 hari mesra pelabur, raih nilai pembangunan RM216 juta

SHAH ALAM, 3 DIS: Dasar Kelulusan 100 Hari dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak Januari lalu berjaya menarik nilai pembangunan RM216 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata dasar berkaitan proses kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah yang dikurangkan kepada 100 hari berbanding 270 hari itu dilihat lebih mesra pelabur.

“Sebelum itu, tempoh diguna pakai menyebabkan pelabur terpaksa menunggu selama enam hingga sembilan bulan untuk mendapatkan kelulusan.

“Namun sejak dasar ini diperkenalkan, permohonan projek telah diluluskan dengan nilai pembangunan mencecah RM216 juta. Hal ini merupakan satu perkembangan dan petanda sangat baik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata dasar tersebut akan diteruskan serta ditambah baik untuk merancakkan pembangunan serta pemulihan sektor ekonomi sepanjang pasca Covid-19.

“Kita yakin pelabur gemar dengan dasar mesra pelabur diamalkan Kerajaan Negeri dan pada masa sama memberi kesan pembangunan sosioekonomi positif kepada rakyat,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Kerajaan Negeri menguat kuasa serta merta Dasar Kelulusan 100 hari bagi proses pembangunan tanah membabitkan kebenaran merancang (KM), pelan bangunan (PB) dan pelan infrastruktur (PI).

Pengurangan tempoh tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor mengikut Mekanisme Pembayaran Deposit Premium ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar Kelulusan 100 hari bantu Selangor tarik pelabur pasca Covid-19

SEPANG, 24 OGOS: Pelaksanaan Dasar Kelulusan 100 Hari pada Januari mampu menarik pelabur ke Selangor sekali gus meningkatkan semula perolehan pendapatan negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata dasar itu terbukti berkesan apabila hasil kutipan pelaburan mencecah 50 peratus selepas tiga bulan dilancarkan.

“(Selepas penularan Covid-19) Kita dah lakukan langkah awal untuk tarik pelabur dan ia mendapat sambutan serta reaksi positif pelabur.

“Cuma disebabkan Covid-19 pencapaian terganggu dua tiga bulan. Kita akan rancakkan semula pembangunan dengan langkah sedia ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas melawat kilang sarung tangan getah, Hartalega NGC Sdn Bhd hari ini.

Melalui dasar itu, beliau berkata pelabur akan mendapat kebenaran merancang antara tiga ke enam bulan berbanding sebelum ini yang terpaksa menunggu sehingga setahun bagi membina kilang.

“Ini mengurangkan tempoh menunggu antara 150 ke 200 hari,” katanya.

Dasar Kelulusan 100 Hari dilaksanakan mengikuti Mekanisme Pembayaran Deposit Premium yang digariskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor membabitkan kebenaran merancang, pelan pembangunan dan pelan insfrastruktur.

Categories
EXCO SELANGOR

Dasar Kelulusan 100 Hari beri manfaat kepada belia

SHAH ALAM, 26 JAN: Dasar Kelulusan 100 Hari akan membuka banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada belia di Selangor, kata EXCO pembangunan generasi muda sukan dan pembangunan modal insan.

Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan golongan berkaitan sebaliknya sentiasa memastikan setiap dasar dilaksanakan akan memberi manfaat kepada mereka.

“Dasar Kelulusan 100 Hari lebih kepada usaha untuk menarik pelabur dari dalam dan luar negara. Dasar ini akan mempercepatkan proses pembangunan di Selangor.

“Jadi ini kita harapkan ada pelabur atau pemaju yang membantu Kerajaan Negeri, terutamanya dalam aspek pembangunan kemudahan sukan dan peluang pekerjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Dasar Kelulusan 100 Hari bagi proses pembangunan tanah berkuat kuasa serta-merta dan ia bertujuan mempercepatkan kelulusan berbanding sekitar sembilan bulan sebelum ini.