Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Kg Baru: Khalid Rangka Plan baru

KAMPUNG BARU, KUALA LUMPUR, 19 JAN: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan melakukan penyusunan semula Jawatankuasa Lembaga Pengarah Malay Agricultural Settlement (MAS) supaya ianya dapat bergerak dengan lebih tersusun dan lancar demi memastikan hak dan kedudukan penduduk Kampung Baru dapat dipertahankan.

Katanya, masalah Kampung Baru ini perlu diselesaikan dengan cara rundingan bersama supaya kuasa dan undang-undang dapat dimantapkan tanpa membelakangkan penduduk.

Malay Agricultural Settlement (MAS) telah ditubuhkan sejak sekian lama, sebelum kemerdekaan supaya dapat menjaga kepentingan tanah-tanah.

Selain Menteri Besar, MAS dianggotai 11 anggota, termasuk tujuh ketua-ketua kampung di kawasan itu dan empat anggota dilantik.

Jelas Abdul Khalid, beliau telah menyiapkan pelan pembangunan Kampung Baru sejak 20 tahun lalu. Oleh kerana tidak ada ketetapan dari segi undang-undang dan penyatuan pendapat daripada penduduk setempat maka perkara ini berlarutan sehingga sekarang.

“Saya telah diminta oleh beberapa ahli untuk campurtangan dan saya akan selidik kalau betul, kita akan campurtangan supaya diadakan perhimpunan Jawatankuasa Akta MAS. Saya akan buat mengikut lunas undang-undang bukan untuk merugikan tetapi untuk memberi kuasa kepada semua pimilik dan pewaris.

“Kita juga ada peguam termasuk peguam negeri untuk menerangkan mengapa kita mesti ada kuasa tersebut,” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan pengalaman daripada kes projek terbengkalai yang lalu akan dipraktikkan supaya dapat membantu masyarakat di Kampung Baru selain menyediakan khidmat nasihat guaman secara percuma supaya pemilik dapat maklumat yang betul.

“Negeri Selangor akan membantu penduduk Kampung Baru kerana negeri Selangor yang membuat undang-undang MAS dan ianya berkuat kuasa. Tapi bila tanah Kuala Lumpur diserahkan kepada kerajaan persekutuan, maknanya tanah itu dibawah kuasa mereka, tapi idea MAS itu masih lagi dibawah jagaan negeri Selangor. Sebab itu kita bertanggungjawab untuk membantu,” katanya di Majlis Jamuan bersama Pemilik/ pewaris tanah Kampong Bharu, Kuala Lumpur malam tadi

Sementara itu, Pengurus Pembangunan perniagaannya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Fathul Rahman Abu memberi jaminan pelan pembangunan baru dalam tempoh dua minggu daripada sekarang.

Beliau yakin satu-satunya kampung Melayu di Kuala Lumpur itu akan dibangunkan tanpa mengetepikan kepentingan penduduk.

Categories
SELANGOR

Garis Panduan Untuk Yuran Penyelenggaraan

SHAH ALAM, 11 JAN : Kerajaan Selangor akan menyiarkan satu garis panduan berhubung yuran penyelenggaraan yang sepatutnya dikenakan pemaju ke atas setiap penghuni pangsapuri di negeri ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, ini kerana kerajaan negeri banyak menerima aduan daripada penduduk tentang yuran kos penyelenggaraan yang dikenakan terlalu tinggi oleh pemaju dan pihak pengurusan.

Katanya, kadar bayaran atau caj yang sesuai untuk dikenakan kepada penghuni-penghuni pangsapuri berkenaan akan dikaji semula, namun ia tertakluk kepada beberapa syarat atau faktor yang ditetapkan.

“Antara faktor-faktornya adalah seperti kemudahan yang ada atau jumlah unit rumah yang ada di kawasan tersebut. Sekiranya, unit rumah di kawasan itu adalah sedikit, maka caj penyelenggaraan yang dikenakan mungkin lebih tinggi berbanding unit rumah yang lebih banyak,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyarankan penduduk yang tidak berpuas hati tentang yuran penyelenggaraan untuk segera berjumpa dengan pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Menurutnya, ia adalah pendekatan terbaik yang boleh digunakan untuk membolehkan kerajaan negeri mengira semula jumlah atau kos yang sepatutnya perlu dibayar oleh penghuni pangsapuri tersebut.

“Saya berharap dengan usaha yang dijalankan kerajaan negeri ini, kita akan dapat mengurangkan kes-kes di mana mereka yang duduk di rumah pangsa merasa tertipu mahupun terdapat juga pemaju yang tidak tahu nilai sebenar yang perlu dikenakan kepada penduduk,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam Diteruskan

SHAH ALAM, 6 JAN : Kebajikan rumah ibadat bukan Islam di Selangor terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan menyalurkan bantuan kewangan kepada institusi itu.

Terbaharu, kerajaan negeri menyerahkan cek sejumlah RM252,500 kepada 28 rumah ibadat Cina, Hindu dan gereja bagi melaksanakan proses naik taraf dan kebajikan persatuan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan hadir bagi menyerahkan cek berkenaan.

Menurut Ronnie, setakat ini kerajaan negeri memperuntukkan dana kepada 200 buah rumah ibadat selain Islam dengan peruntukan sejumlah RM6 juta menerusi Belanjawan Negeri Selangor yang diumumkan Menteri Besar.

“Banyak rumah ibadat yang memerlukan dana kerana kebanyakan tokong, kuil dan gereja sudah uzur. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengiktiraf rumah-rumah ibadat yan terletak di kawasan rumah teres kerana ia mengganggu jiran tetangga.

“Tetapi kerajaan negeri faham tentang situasi ini kerana semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulu, pertubuhan rumah-rumah ibadat sukar untuk mendapat tanah daripada kerajaan.

“Oleh itu, mereka terpaksa menggunakan rumah teres sebagai tempat ibadat. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menggalakkannya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran,” jelas Ronnie kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek-cek Rumah Ibadat Selain Islam di SUK hari ini.

Hadir sama Adun Kajang, Lee Kim Sin.

Tambah Ronnie, kerajaan Selangor sentiasa memberi ruang dan peluang kepada persatuan rumah ibadat selain Islam ini untuk memohon geran tanah bagi membolehkan mereka beroperasi dengan lebih teratur dan tidak mengganggu kawasan perumahan.

Jelasnya lagi, rumah ibadat yang dibina sebelum Mac 2008 tidak diganggu atau dirobohkan, sebaliknya kerajaan negeri akan memberi masa kepada mereka untuk berpindah ke suatu kawasan yang lebih selesa.

“Mana-mana rumah ibadat yang ingin mendapatkan dana daripada kerajaan negeri perlulah berdaftar di bawah agensi yang sah, mempunyai lesen serta memiliki persatuan yang teratur dengan bilangan ahli yang mencukupi. Rumah ibadat yang tidak berdaftar dan bergerak sebagai individu tidak layak menerima bantuan,” jelasnya.

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pucuk pimpinan di Selangor pada Mac 2008, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memperuntukkan dana kepada setiap rumah ibadat termasuk rumah ibadat bukan Islam dalam Belanjawan Negeri Selangor.

Ia adalah sebahagian daripada pembaharuan yang dibawa kerajaan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan nasib rakyat yang tidak pernah dilaksanakan kerajaan Umno-BN sebelum ini.

Categories
SELANGOR

Ketua Masyarakat Digesa Pantau Projek Kerajaan

 

SHAH ALAM, 5 JAN : Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menyeru ketua-ketua masyarakat agar bersama-sama memikul amanah dengan telus dan ikhlas bagi menjayakan program Selangorku.

Amanat itu disampaikan dalam satu Majlis Taklimat Selangorku kepada Ketua kampung Tradisi, Ketua Komuniti Kaum India dan Pengerusi JKKK, Kampung Baru/Bagan/Tersusun negeri ini.

“Saya ingin menarik perhatian ketua-ketua kampung termasuk ketua komuniti supaya memantau agar wang yang diperuntukkan untuk rakyat digunakan dengan amanah menerusi program-program yang dianjurkan,” ujar Khalid.

Khalid turut berkongsi rahsia kejayaan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat adalah dasar keterbukaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri di samping barisan kepimpinan kerajaan yang telus dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab menjaga harta rakyat.

“Dengan adanya ketulusan, gejala rasuah dan salah guna kuasa pastinya dapat dikurangkan,” tambah Khalid.

Perlaksanaan dasar kerajaan negeri sama sekali berbeza dengan kerajaan pusat yang baru-baru ini menyampaikan elaun kepada rakyat di kala negara menghadapi hutang yang tinggi.

“Belanjawan yang kita bentangkan adalah belanjawan berimbang di mana hasil yang diperolehi dibelanjakan kembali. Ini bermakna rakyat tidak berhutang kerana kita menggunakan pendapatan yang ada,” ulas Khalid.

Program Selangorku memperuntukkan bajet sebanyak RM300 juta untuk diberi kepada rakyat. Wang yang diperuntukkan merupakan hasil daripada hutang-hutang terdahulu yang dikutip oleh kerajaan sekarang.

“Maka, daripada hasil itu kita adakan Geran Selangorku yang merupakan hasil dari pentadbiran yang bebas rasuah. Rakyat mendapat dividen tanpa rasuah sebanyak RM300 juta,” jelas Khalid lagi.

Majlis taklimat itu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Salahuddin Sultan Abdul Aziz Shah petang tadi turut di hadiri oleh EXCO Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.