Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan perancah besi jatuh diperoleh dalam dua minggu

SHAH ALAM, 21 JUN: Laporan siasatan berhubung insiden runtuhan perancah besi di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) diperoleh dalam tempoh dua minggu, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta pihak konsultan sedang menentukan sama ada terdapat unsur jenayah atau kelalaian berhubung insiden itu.

“Kita perlu menunggu laporan sebelum menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil selain kebenaran untuk meneruskan semula pembinaan lebuh raya.

“Buat masa ini, maklumat awal diterima tiada yang luar biasa dan pemaju mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan selain perancah besi itu turut digunakan dalam pembinaan sebelum ini,” katanya ditemui pemberita selepas meninjau lokasi insiden hari ini.

Beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) diarahkan mengambil langkah tambahan untuk memastikan tapak pembinaan tidak membahayakan keselamatan pekerja dan orang awam.

Kejadian pada kelmarin menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Sungai Buloh manakala seorang lagi cedera.

Categories
AGENDA NASIONAL

LLM diarah sedia laporan insiden perancah besi jatuh dalam seminggu

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan jurutera perunding iaitu Zaidun Leeng Sdn Bhd (ZLSB) diarah menyediakan laporan lengkap dalam tempoh seminggu berhubung insiden perancah besi jatuh di kawasan pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), semalam.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, laporan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden yang berlaku di persimpangan bertingkat Kota Damansara, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 7.15 malam itu juga akan diteliti sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurut kementerian itu, kejadian tersebut berlaku di lokasi kelima daripada keseluruhan 14 lokasi di kawasan itu yang sedang menjalankan kerja-kerja dengan mengguna pakai kaedah kejuruteraan yang sama dengan empat daripadanya dilaporkan telah siap.

“Untuk makluman, semasa kerja-kerja menuang konkrit dijalankan, kawasan pembinaan adalah ditutup sepenuhnya kepada pengguna sepertimana prosedur yang telah ditetapkan.

“Semakan awal LLM menunjukkan reka bentuk perancah adalah teratur dan disahkan jurutera perunding. Baki kerja melibatkan 10 lokasi hanya boleh diteruskan setelah laporan audit oleh pihak Jurutera Perunding Bebas (ICE) dikeluarkan,” maklum kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

KKR yang kesal dengan kejadian itu juga telah mengarahkan pihak konsesi iaitu Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn. Bhd. (PLDSASB) menghentikan serta-merta kerja yang melibatkan struktur sementara.

Selain itu, syarikat berkenaan juga diminta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada dua pekerjanya yang cedera dalam kejadian itu.

Sebagai langkah keselamatan, lorong kanan kedua-dua hala di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di kawasan berkenaan juga ditutup sepenuhnya.

Dalam kejadian pada 7.15 malam semalam, dua pekerja warga Bangladesh berusia 20-an dan 40-an cedera selepas perancah besi runtuh di tapak pembinaan DASH.

Sementara itu, PLDSASB yang merupakan pemaju bagi projek pembinaan DASH dalam kenyataan berasingan memaklumkan operasi pembersihan perancah besi berkenaan yang masih berjalan akan bersambung esok apabila terpaksa dihentikan pada 3 petang tadi kerana hujan lebat.

PLDSASB juga menasihati pengguna lebuh raya berkenaan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terlibat yang lorong kanan dari kedua-dua arah Lebuhraya NKVE ditutup dan laluan kontra telah diaktifkan untuk melancarkan trafik, selain pengguna dinasihatkan mematuhi arahan pengawal trafik serta papan tanda penunjuk arah yang disediakan di lokasi.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) Datuk Mohammad Azlan Abdullah menjelaskan Prolintas selaku pemaju DASH secara konsisten mengingatkan kontraktor terlibat supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta mengambil langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan pembinaan lebuh raya.

“Hasrat dan objektif kami sangat jelas untuk memastikan projek ini dibina dengan cara yang paling selamat, siap pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi.

“Bagaimanapun, insiden yang berlaku pada petang semalam amat mendukacitakan dan kami bersama kontraktor terlibat iaitu MRCB Builders Sdn Bhd akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, serta akan terus menambah baik proses dan pelaksanaan projek yang sedia ada,” katanya.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan untuk rekod, pembinaan DASH melibatkan lapan kontraktor utama di samping penglibatan secara menyeluruh oleh jurutera perunding bebas dalam reka bentuk, pengawasan dan penyeliaan daripada pelbagai aspek.

Untuk sebarang maklum balas atau pertanyaan, orang ramai boleh hubungi mana-mana saluran komunikasi Prolintas menerusi hotline -1 300 88 5522 dan e-mel ke [email protected].

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lebuhraya SUKE dan DASH – Siap 30 peratus, jangka siap menjelang 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kumpulan Syarikat Prolintas (PROLINTAS) memaklumkan projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) kini sudah siap 30 peratus pembinaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata, kesemua kerja-kerja dijalankan mengikut jadual sekaligus membolehkan lebuhraya itu siap sepenuhnya menjelang 2020.

“Untuk makluman, sehingga hari ini PROLINTAS tidak menghadapi sebarang masalah atau sebarang halangan, cuma harapan kami supaya ia dapat mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada media selepas Acara GCE Duathlon 2018, di Plaza Tol Bukit Jelutong, pagi tadi.

Lebuhraya SUKE dan DASH bermula pada 2008 dengan kajian konsep, manakala pembinaannya pula telah dijalankan 2016.

Apa yang menarik, kedua-dua lebuhraya ini akan menggunakan konsep elevated highway di mana 90 peratus laluan tidak berada di atas permukaan tanah, sebaliknya ia dibina diatas laluan-laluan jalan sedia ada dengan tiga lorong setiap arah.

Bagi projek SUKE, ia melibatkan kos pembinaan RM4.63 bilion, dan ia akan bermula dari Sri Petaling (tempat berakhirnya lebuhraya KESAS).

Setelah ia siap kelak, lebuh raya ini dijangka bakal menyuraikan trafik sekitarnya dengan mengurangkan kesesakan 44,000 buah kenderaan setiap hari.

Manakala untuk lebuhraya DASH pula, ia melibatkan kos pembinaan RM4.18 bilion dengan pembinaan jarak sejauh 20.1 km.

Lebuhraya DASH dijangka bakal menyuraikan trafik jalan sekitarnya dan mengurangkan kesesakan sebanyak 39 peratus di Persiaran Mohkhtar Dahari, 33 peratus di Jalan Sungai Buloh dan 43 peratus di Persiaran Surian.

 

Categories
SELANGOR

DASH patuh prosedur, utama keselamatan penduduk

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 MEI : Syarikat Pemaju, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) memberi jaminan pembinaan jajaran Lebuhraya Damansara – Shah Alam (DASH) mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan Kerajaan Negeri.

Pengurus Besarnya, Latib Rasol berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja pemantauan di tapak lokasi secara konsisten bagi memastikan aspek keselamatan penduduk terjamin.

“Apabila cadangan untuk membina jajaran lebuh raya ini dibentangkan, kita telah menyediakan pelan perancangan persekitaran kepada Jabatan Alam Sekitar dan agensi kerajaan terlibat.

“Isu keselamatan tentulah menjadi keutamaan kami disamping faktor kualiti udara, gegaran dan sebarang kesan jangka panjang pembangunan lebuh raya ini.

“Walaupun projek ini belum dijalankan secara menyeluruh, namun untuk tempoh ini kami kerap melakukan pemantauan dengan menyediakan laporan penuh kepada Jabatan Alam Sekitar setiap tiga bulan sekali,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil pandangan serius aduan penduduk setempat bagi kelancaran pembangunan projek di bawah kelulusan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

DASH“Kita tidak mahu berlakunya sebarang masalah kerana keutamaan projek lebuh raya ini adalah untuk memudahkan penduduk terutamanya bagi laluan ke Kuala Lumpur dan penghubung laluan jajaran Utara dan Selatan,” katanya.

Beliau bercakap pada sesi taklimat bersama penduduk Villa Suria di Cahaya SPK Clubhouse yang turut dihadiri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

DASH merupakan lebuh raya bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.

Pembinaan menelan belanja RM4.17 bilion itu dibangunkan di sepanjang laluan jajaran 21 KM menghubungkan Puncak Perdana dan Penchala.

Ia dijangka siap sepenuhnya dan akan mula dibuka kepada pengguna Ogos 2020 depan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM4.1 bilion, pembangunan Lebuhraya DASH

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 MEI : Perbelanjaan RM4.1 bilion bagi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) disifatkan terlalu besar bagi jajaran sepanjang 21 Kilometer, dakwa Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Berpandukan hasil pengiraannya, beliau menjangkakan RM190 juta dibelanjakan bagi setiap kilometer laluan yang menghubungkan jajaran Puncak Perdana dan Penchala itu.

“Pembinaan lebuh raya ini memberikan kesan yang sangat baik seperti yang telah diperjelaskan kepada umum sebelum ini.

“Cuma belanja kos itu agak tinggi. Dalam kiraan saya sendiri dengan jumlah RM4 bilion untuk jarak 21 KM, ia menjadikan hampir RM190 juta setiap kilometer.

“Mungkin kos itu ada penjelasan yang kita sendiri tidak tahu,” katanya kepada pemberita pada pertemuan sesi taklimat bersama penduduk Villa Suria dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di Cahaya SPK Clubhouse, malam tadi.

DASH merupakan lebuhraya bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.

DASHPembinaannya dilaksanakan sebagai laluan alternatif kepada pengguna mengelakkan kesesakan selain menjadi penghubung utama memasuki laluan ke utara dan selatan tanah air.

Ia dijangka siap sepenuhnya dan akan mula dibuka kepada pengguna Ogos 2020 depan.

Bagaimanapun wujud kebimbangan penduduk sekitar Shah Alam, Damansara dan Petaling Jaya sekiranya projek berkenaan bakal memberikan kesan jangka panjang kepada mereka.

Namun, Kerajaan Negeri sebelum ini memberi jaminan pandangan penduduk diambil kira termasuk mengubah reka bentuk jajaran demi kesejahteraan penduduk.

=EZY=

Categories
SELANGOR

DASH, alternatif selesai kesesakan aliran trafik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 MEI: Pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) mampu menyelesaikan masalah lalu lintas di Persiaran Mokhtar Dahari dan Kota Damansara terutamanya pada waktu puncak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad optimis pembinaannya membolehkan penduduk menikmati akses lebih mudah untuk laluan ke Kuala Lumpur dan jajaran laluan menghala ke Utara dan Selatan tanah air.

“Ia menjadi semakin mudah kepada pengguna untuk memasuki jalan ke Kuala Lumpur atau pengguna yang ingin ke Utara dan Selatan selepas ini.

“Selain jarak yang lebih dekat, ia juga memudahkan pengguna tanpa melalui tersekat dalam kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada pertemuan sesi taklimat bersama penduduk Villa Suria dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di Cahaya SPK Clubhouse, malam tadi.

DASH merupakan lebuh raya bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.

Pembinaannya dilaksanakan sebagai laluan alternatif kepada pengguna mengelakkan kesesakan selain menjadi penghubung utama memasuki laluan ke Utara dan Selatan tanah air.

Ia dijangka siap sepenuhnya dan akan mula dibuka kepada pengguna Ogos 2020 depan.

Terdahulu, pembinaan DASH menjadi kontroversi susulan bantahan keras penduduk setempat yang mendakwa prosedur pembinaan lebuh raya itu lebih menyukarkan penduduk.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sebelum ini memberi jaminan projek berkenaan tidak akan diteruskan sekiranya wujud pelanggaran pematuhan dasar di bawah undang-undang sedia ada.

Malah, Kerajaan Negeri juga sebelum ini mengambil pendirian tegas mencari solusi terbaik dengan mengambil kira pandangan untuk mengubah reka bentuk jajaran demi kesejahteraan penduduk.

Terdahulu, (Prolintas) menandatangani perjanjian konsesi bersama Kementerian Kerja Raya pada September 2013 sekali gus membolehkan syarikat itu memungut kutipan tol bagi tempoh 68 tahun.

=EZY=

Categories
SELANGOR

DASH dibina September ini, selesai isu kesesakan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 26 JULAI: Pembinaan Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) yang akan memberi manfaat kepada lebih 500,000 penduduk sekitar Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam dan Kota Damansara bakal dibina September ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari, berkata lebuh raya itu dapat menyelesaikan kesesakan lalu lintas teruk terutama waktu puncak (pagi dan petang) di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Batu 3 ke Sungai Buloh dan Persiaran Surian, Kota Damansara.

YAAKOB“Kerajaan Negeri sudah menyelesaikan isu jalan sesak di kawasan itu dengan pembinaan DASH membabitkan kos RM100 juta.

“Kita menjangkakan ia akan dibina September ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Yaakob berkata, isu lain membabitkan DUN Kota Anggerik seperti jalan berlubang, banjir dan kutipan sampah berjaya diselesaikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kawasan Kota Anggerik tidak banyak isu tertangguh dan MBSA memberi respon dan kerjasama sangat baik.

“Manakala masalah kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan menghala TTDI Jaya, saya harap Kerajaan Persekutuan dapat membantu Kerajaan Negeri menyelesaikannya dengan membina lebuh raya bertingkat,” katanya.

-AA-

DASH: Lebih ramai setuju dari tidak setuju

Namun begitu Kerajaan Negeri tetap peduli dan meminta pemaju menemui penduduk membincangkan alternatif.

Categories
SELANGOR

MB: Pemaju & penduduk perlu bincang Lebuhraya DASH

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 OKT: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali meminta semua pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia dan pemaju supaya mengadakan perbincangan dengan penduduk dalam perlaksanaan projek Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).

Beliau berkata perbincangan itu perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Pihak kita sudah bertemu dengan wakil penduduk, Ahli Parlimen, Adun dan beberapa pertubuhan. Sebahagiannya, ia dipersetujui kerana pada prinsipnya semua perlukan lebuhraya.

MB Azmin“Namun, terdapat jajaran dibantah penduduk kerana ia melalui kawasan perumahan. Jadi semua pihak perlu mengadakan perbincangan bersama penduduk dan berbincang sekiranya ada langkah alternatif diambil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kreatif Digital Selangor (SDCC), di I-City, di sini.

Mohamed Azmin sebelum ini, berkata dasar pentadbiran baharu ialah mesti mendengar suara rakyat dan keperluan rakyat, tambah lagi jajaran itu hanya di hujung yang perlu dipinda.

DASH merupakan lebuh raya bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.

DASHBaru-baru ini, Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran mendakwa projek DASH dikeluarkan daripada Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) bagi membolehkan kajian lanjut dilakukan susulan bantahan awam terhadap projek itu.

Beliau berkata, keputusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukan untuk membatalkan, sebaliknya untuk memberi ruang dan peluang kepada semua pihak membuat keputusan jajaran.

EZY

Categories
SELANGOR

Lebuhraya DASH: Keputusan selepas RTPJ2 muktamad

SHAH ALAM, 29 SEP: Projek Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) hanya bakal diketahui apabila Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) dimuktamadkan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata keputusan Kerajaan Selangor bergantung kepada rancangan itu.

DASHKatanya bantahan penduduk terhadap pelarasan akhir lebuh raya itu juga sudah diambil maklum Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“Kami telah maklumkan kepada Menteri Besar bahawa jajaran itu akan berakhir di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE).

“Beliau akan membuat keputusan selepas RTPJ2 dimuktamadkan,” lapor The Malaysian Insider.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata projek DASH hanya akan diluluskan sekiranya mendapat persetujuan semua penduduk di kawasan itu.

Katanya beliau tidak berhak memberi persetujuan kepada projek lebuh raya itu sekiranya penduduk terus membantah.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Lebuhraya DASH lulus jika penduduk setuju

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 MAC: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan membentangkan jajaran baru pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) dalam masa terdekat kepada penduduk di sekitar Petaling Jaya-Damansara Perdana yang mendapat bantahan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata sekiranya penjajaran semula yang diubahsuai LLM itu mendapat persetujuan daripada penduduk setempat, maka Kerajaan Negeri akan meluluskan pembinaan lebuh raya berkenaan.

DASH“Jika penduduk setuju baru Kerajaan Negeri akan sokong pelarasan terakhir, tetapi kalau LLM tidak mahu mendengar (bantahan) rakyat, kita tiada pilihan selain batalkan projek itu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Rumah Selangorku di Bandar Rimbayu, dekat sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata penduduk membantah bahagian terakhir pelarasan jajaran lebuh raya itu ekoran ia didakwa terlalu dekat dengan kawasan penduduk yang padat serta mengancam nyawa dan rumah berdekatan.

Katanya LLM digesa untuk kembali kepada masyarakat bagi menerangkan segala aspek berkaitan jajaran baru itu sebelum dibentangkan kepada Kerajaan Negeri.

“LLM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu kembali kepada Kerajaan Negeri untuk serahkan proposal dan lakaran baru lebuh raya itu.

“Menurut LLM mereka akan tengok perkara ini dan sudah hampir siap dengan lakaran akhir,” katanya lagi.

Terdahulu, penduduk di sekitar Petaling Jaya-Damansara Perdana menuntut Mohamed Azmin membuat pendirian tegas terhadap projek Lebuh Raya Dash selepas Kerajaan Negeri memutuskan untuk membatalkan projek lebuh raya bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex).

Ia berikutan syarikat pemaju Dash iaitu Prolintas sehingga kini masih tidak memenuhi syarat ditetapkan Kerajaan Negeri, termasuk mengadakan rundingan dengan penduduk walaupun projek itu diluluskan Putrajaya pada 25 Januari lalu.

Gambar: The Malaysian Insider

EZY

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Undi Pakatan Hapus Tol Lebuhraya, Undi Umno-BN Dapat Dua Lagi Lebuhraya Tol

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01

KUALA LUMPUR, 11 APR : PAS mendakwa Umno-BN telah memetrai beberapa perjanjian projek pembinaan lebuh raya baru yang disembunyikan bagi meredakan sentimen pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan, kerajaan Umno-BN hampir memuktamadkan dua perjanjian untuk lebuhraya bertol walaupun projek tersebut belum diumumkan.

Dua lebuhraya tersebut adalah Damansara-Shah Alam (DASH) dan Ulu Kelang Selatan. Kedua-duanya dimiliki syarikat Prolitas yang seratus peratus milikan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Antara projek lain adalah Lebuhraya Kinrara-Damansara dan pemanjangan Lebuhraya Duta-Ulu Klang.

Maklum Dr Dzulkefly lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya mengulangi pengumuman tidak menaikkan tol sehingga 2016.

Namun beliau gagal untuk menciplak tawaran Pakatan Rakyat (PR) menangani lebuhraya bertol memandangkan mereka sudah sebati dengan sistem ‘patronage’ dan ‘monopoli’ yang memperkayakan kroni berkepentingan, kata Dr Dzulkefly.

“Kenapa selepas 2016 kadar tol akan terus meningkat pada kadar lima peratus setiap tiga tahun sehingga tahun 2037? Nyata Najib tidak punya kommitmen menurunkan kos saraan hidup rakyat.

“Lebih malang lagi kerajaan Najib bercita-cita untuk meneruskan agenda penswastaan lebuhraya sebagai kaedah pembinaan lebuhraya dan merangsang sektor pembinaan,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS.

Jelasnya lagi, BN dengan bangga meletakkan Lebuhraya Pantai Barat (West Coast Expressway) dalam manifesto mereka yang akan mengenakan tol.

Walaupun faedah subsidi empat peratus telah dihapuskan setelah dilalui rundingan baru, projek ini tidak berdaya saing dan kini terpaksa diberikan suntikan RM 2.2 bilion pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus, ujar Dzulkefly lagi.

Sejajar dengan prinsip Manifesto Rakyat, Pakatan Rakyat kekal dengan pendirian menghapuskan tol secara berperingkat bermula dengan lebuh raya yang sudah mendapat pulangan modal.