Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan jangan rahsia data Covid-19, kongsi bersama ahli Parlimen – Azalina

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerajaan digesa supaya lebih telus dalam berkongsi data Covid-19 bersama ahli Parlimen supaya usaha pemulihan dan menangani wabak dapat dijayakan bersama.

Ali Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan data terbabit tidak boleh dirahsiakan berikutan maklumat itu dapat membantu kerajaan dan setiap ahli Parlimen mengetahui hala tuju serta merangka strategi lebih tepat.

“Saya ingin tegur kerajaan tentang isu data Covid-19, saya melihat bahawa setiap ahli Parlimen dalam berhadapan dengan isu Covid dan vaksin pada mulanya, kita tidak mempunyai data mencukupi.

“Saya ingin cadangkan kepada kerajaan, dalam usaha untuk merealisasikan segala strategi pemulihan, perlu diberikan data yang mencukupi kepada setiap ahli Parlimen,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau setiap ahli Parlimen daripada mana-mana parti politik berhadapan dengan cabaran besar Covid-19, terutamanya masalah bekalan vaksin.

“Kerajaan boleh kata hari ini berjaya tangani Covid-19, namun peranan banyak dimainkan petugas hadapan dan sukarelawan yang dibantu ahli politik.

“Walaupun kerajaan kata imuniti kelompok tidak diperlukan lagi, tapi kita tahu dengan varian baharu, kita berdepan dengan cabaran yang kita tidak tahu apa akan berlaku pada esok hari, bulan depan atau tahun depan.

“Itu sebabnya saya cadangkan pada kerajaan bahawa majlis tindakan daerah di setiap negeri membawa peranan yang dimainkan setiap ahli Parlimen supaya selari dengan kerajaan dalam pelan pemulihan Covid-19,” katanya.