Categories
NASIONAL

KL Sudah Dibanjiri Aktivis Bersih 3.0 dan Anti-Lynas

Laporan Khas oleh Mat Zahari Ali, Naeem Raffi, Nazli Ibrahim, Afix Redzuan, Lizawati Madfa dan Siraj Mohd Zaini

KUALA LUMPUR 28 APR : Orang ramai sudah mula membanjiri beberapa lokasi sekitar Dataran Merdeka se-awal 3 pagi hari ini sebagai persiapan untuk berhimpun di tapak bersejarah itu sebagai menyokong kempen BERSIH 3.0 bagi menuntut pilihanraya yang telus dan adil.

Polis Diraja Malaysia juga sudah mula mengarahkan pasukan-pasukan ke lokasi-lokasi tersebut seperti Central Market, Jalan Petaling dan Masjid Jamek.

Tinjauan TVSelangor juga mendapati Jalan Persekutuan ke arah Kuala Lumpur dari Petaling Jaya, depan pusat beli belah Midvalley sudah ditutup.

Di Taman Suria KLCC, pula dianggarkan seramai 350 peserta himpunan membantah loji nadir bumi Lynas telah berkumpul sebagai persiapan untuk berarak ke Dataran Merdeka pada tengah hari nanti.

Turut kelihatan di KLCC bagi menyokong kempen Anti-Lynas itu adalah wakil dari MCA, parti daripada gagasan Umno-BN.

Pemimpin itu yang mendakwa dirinya dari bahagian Indera Mahkota di Pahang berkata beliau turun menyokongtuntutan kempen tersebut kerana khuatir pembinaan loji itu akan membahayakan kesihatan penduduk di sekitar Gebeng dan Kuantan.

Peserta berbaju hijau Anti-Lynas itu akan bercantum dengan peserta berbaju kuning Bersih 3.0 pada sekitar pukul 2 petang bagi mengadakan satu himpunan gergasi.

Persekitaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikawal rapi oleh penguatkuasa agensi tersebut setelah tapak itu ditutup dengan pagar besi dan kawat duri.

TVSelangor akan menyiarkan siaran langsung dari Kuala Lumpur bermula tengah hari nanti.

ends

Categories
NASIONAL

DAP Kesal Polis Gagal Bertindak Ketika Siswa Diserang

SHAH ALAM,20 APRIL : DAP mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap peserta yang berkhemah di Dataran Merdeka kerana ia bukan sahaja satu serangan ke atas prinsip-prinsip hak asasi manusia  tetapi ia penghinaan secara terang-terangan kepada budaya dan nilai-nilai Malaysia.

Setiausaha Agung DAP,Lim Guan Eng berkata kegagalan pihak polis bertindak dan keengganan menteri UMNO untuk mengutuk serangan ini adalah amat memalukan.

“Keengganan pihak polis yang dilihat di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur dengan “melengah-lengahkan kaki” mereka sekali lagi dan tidak mengambil langkah-langkah proaktif hanya dapat digambarkan sebagai satu jenayah kebencian yang bermotifkan politik.

Lebih teruk lagi, tiada Menteri UMNO memberi respon untuk mengutuk insiden kejam ini. Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein memandang ringan kejadian ini dan malah mendakwa bahawa ia adalah satu cubaan sengaja untuk membangkitkan emosi,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kegagalan polis bertindak adalah sama dengan insiden di Speaker Corner, Esplanade Pulau Pinang pada 26 Februari lalu apabila ahli-ahli UMNO dan PERKASA berkelakuan seperti samseng, menyerang secara ganas dan mencederakan dua orang wartawan semasa perhimpunan anti-Lynas.

“Lebih buruk lagi adalah respon yang angkuh dan tidak boleh dimaafkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin yang mana sebagai menteri bertanggungjawab untuk universiti dan pelajar universiti untuk melindungi mereka dan bukannya menyerang secara kejam.

“Khaleed dalam twitter, “No one asked them to camp out at Dataran Merdeka.  When something happens, don’t go asking for sympathy.”  (Tiada siapa yang meminta mereka berkhemah di Dataran Merdeka.  Bila sesuatu terjadi, tidak perlu meminta simpati,” jelas Guan Eng.

Sekumpulan aktivis pelajar ini telah berkhemah secara aman di Dataran Merdeka sejak 6 hari lalu, dalam cubaan untuk menuntut hak-hak demokratik mereka untuk memprotes terhadap apa yang mereka dakwa kadar faedah dan caj pentadbiran yang tinggi telah dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Keganasan biadap yang digunakan terhadap pelajar yang berkumpul secara aman ini telah menarik kutukan segera daripada semua pihak, termasuk kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan rakyat keseluruhannya.

“Sejak bila keganasan dan gangsterime menjadi sebahagian daripada budaya kita? Ia sangat menyedihkan apabila anak-anak kita yang hanya cuba untuk menyatakan hak demokratik mereka menjadi mangsa dalam apa-apa cara yang buruk dan ganas,” kata Guan Eng.

Categories
NASIONAL SELANGOR

DBKL Benarkan Tiga Khemah Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR 19 APR : Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya memberi kebenaran kepada kumpulan mahasiswa untuk mendirikan tiga buah khemah di Dataran Merdeka.

Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini berkata, kumpulan mahasiswa menyambut baik respon daripada pihak DBKL demi menghormati Konsert Diraja pada malam esok.

“Walaupun sekadar lisan, namun respon DBKL itu kami hormati dan akan kami patuhi juga sebagai tanda menghormati Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung.

“Tiga khemah yang dibenarkan ini juga sekadar berisi barang keperluan dan sumbangan daripada orang ramai sejak seminggu lalu,” jelas Syahid sambil menambah tiada tambahan khemah yang akan didirikan sehingga malam esok.

Mengulas lanjut respon pihak Kerajaan Pusat mengenai desakan mereka menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Syahid berkata setakat ini mereka tidak menerima maklum balas.

“Walaupun tiada respon, kita akan tetap dengan pendirian dan hasrat kita untuk mendapatkan pendidikan percuma kerana itu memang hak rakyat.

“Bagaimanapun kami menghargai MP pembangkang yang membawa isu pendidikan percuma ini ke sidang dewan parlimen untuk perhatian semua,” ujarnya.

Kumpulan mahasiswa mula berkampung secara aman dengan memasang khemah di Dataran Merdeka sejak seminggu namun dicemari insiden diserang samseng tidak dikenali awal pagi semalam.

Hari ini merupakan hari ke tujuh perkhemahan mahasiswa bertapak di Dataran Merdeka.

Categories
NASIONAL

Mahasiswa Terus Berkampung Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Protes mahasiswa mansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diteruskan pada hari kelima hari ini.

Bagaimanapun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya membenarkan dua buah khemah didirikan di kawasan perkampungan mahasiswa di samping meminta mereka menjaga kebersihan kawasan sekitar.

Persetujuan ini dicapai kedua-dua pihak selepas perbincangan dibuat dan mahasiswa sendiri mengambil keputusan untuk menurunkan sendiri khemah tanpa sebarang kekasaran daripada pihak berkuasa.

Pada jam 8.30  pagi,  Pegawai Bertugas DBKL, Tuan Zawaye,  hadir meminta mahasiswa mengosongkan tempat perkhemahan kerana melanggar peraturan Undang-undang kecil Dataran Merdeka dan meminta mereka berbuat demikian dalam tempoh lima minit.

Dalam pada itu, Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini berkata, hingga kini mereka tidak menghadapi sebarang masalah ekoran sokongan pelbagai pihak yang turut hadir membantu.

“Kami akan kekal berkhemah di sini. Buat sementara waktu bilangan khemah akan dikurangkan sebagai menghormati mereka di atas pertimbangan toleransi. Untuk sebelah petang dan malam, kami akan dirikan khemah semula untuk sesi kuliah,” katanya.

Beliau menambah,  hari ini mereka akan membuat kelas Bahasa Mandrin dan Bahasa Arab bagi meneruskan sesi pengajian di Universiti Dataran Merdeka.

Semalam, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said hadir memberikan kelas puisi dan sastera kepada mahasiswa bagi membangkitkan semangat mereka untuk terus kekal berkampung di sini.

Setakat ini enam buah khemah dirampas oleh DBKL sejak Ahad lalu.

Dataran Merdeka berjaya ‘ditakluki’ kumpulan mahasiswa pada 14 April lalu selepas berakhirnya Himpunan Mansuh PTPTN yang berjaya menarik hampir 500  orang penyokong.

Mahasiswa akan terus berada di Dataran Merdeka sehingga 28 April menunggu kehadiran penyokong untuk Himpunan Bersih 3.0 Duduk Bantah bagi menuntut sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

Categories
NASIONAL

Dataran Masih Renggang, Demo Anti-PTPTN Mula Selepas Solat Zohor

Liputan Khas oleh Afix Redzuan, Lizawati Madfa dan Nazli Ibrahim.

KUALA LUMPUR 14 APR : Sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi dan peserta dilihat berkumpul di perkarangan Masjid Jamek di Kuala Lumpur bagi bersiap sedia untuk himpunan anti-Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Difahamkan mereka berkumpul di kawasan itu dan akan bergerak ke Dataran Merdeka selepas solat Zohor.

Himpunan yang akan bermula pada sekitar pukul 2 petang di Dataran Merdeka dijangka menarik seramai 5,000 peserta yang turun untuk mendesak kerajaan pusat memansuhkan pinjaman tersebut.

Demonstrasi yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia itu, bakal dihadiri peserta dari Kelantan, Terengganu dan Johor, selain dari institusi di Lembah Klang.

Anggota dan pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga dijangka akan menyertai himpunan tersebut.

Sebelum ini, Pengerusi SMM Safwan Anang berkata kumpulan mahasiswa pro-Umno juga bakal hadir di dalam himpunan tersebut.

Tinjauan krew TVSelangor di sekitar Dataran mendapati keadaan masih lengang dengan beberapa pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam, Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan RELA meronda kawasan sekitar Dataran Merdeka.

TVSelangor akan memulakan liputan terus dari Dataran Merdeka mulai 2 petang.

Berita lanjut menyusul.