Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL jalin kerjasama dengan delegasi pendidikan Sulawesi

Unisel-GrafikBESTARI JAYA 7 NOV : Universiti Selangor (UNISEL) mengadakan seminar Pemerkasaan Wanita dengan kerjasama deligasi pendidikan dari Sulawesi, Indonesia yang berlangsung di Dewan Senat Canselori, di sini, hari ini.

Seminar itu bertujuan menyambut kedatangan 20 deligasi Kopertis Wilayah IX yang datang membuat lawatan kerja sebagai kunjungan balas kepada Unisel yang melawat Sulawesi, pada Mei lalu.

Kopertis Wilayah IX adalah gabungan 320 institusi pendidikan swasta yang terdapat di Sulawesi dan hasil kerjasama itu memberikan manfaat besar kepada UNISEL dalam usaha meningkatkan jumlah pelajar terutama daripada luar negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Dan Sains Sosial Unisel, Datin Dr Asmah Ahmad, berkata keakraban hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia dilihat mampu mengembangkan sektor pendidikan negara dalam meningkatkan program bercorak ilmiah, sekali gus dapat bertukar pandangan antara wakil dua negara.

“Hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia khasnya UNISEL berjaya menambah bilangan pelajar PhD di universiti ini. Kita juga akan menggalakkan pelajar ke negara terbabit untuk membuat latihan industri.

“Kalau ada peluang kita akan menghantar pelajar menjalani latihan industri di sana kerana kehidupan yang mencabar. Kita sudah pergi dan melihat jika di sana kalau yang kaya, sangat kaya, tetapi golongan bertaraf rendah, sungguh menyedihkan,” katanya.

Katanya, usaha yang dilakukan Pengarah Institut Kajian Malaysia-Indonesia, Prof Dr Zaidi Hajazi yang menjadi penghubung antara universiti itu dengan pusat pendidikan Sulawesi adalah langkah proaktif dalam mencapai persefahaman dalam mempelajari sosiobudaya dan latar belakang dua negara berbeza.

Pengarah Yayasan Pendidikan Ujung Pandang Makassar, Dr Roslina Alam, berkata pemilihan UNISEL sebagai rakan jalinan kerjasama pendidikan itu dilihat mampu mengetengahkan wanita ke tahap yang lebih baik sebagai antara watak penting dalam sektor industri.

Beliau yang membuat pembentangan berkenaan peranan wanita dalam urus tadbir yang baik melihat pembabitan golongan terbabit mampu dikembangkan menerusi latihan dan menyediakan lebih banyak peluang buat mereka.

Rektor Universiti Veteran Republik Indonesia, Dr Andi Niniek Fariaty pula berkata, beberapa wanita di Sulawesi sudah menjadi pemimpin di peringkat masyarakat dan segala pandangan yang diketengahkan melalui seminar itu diharap dapat diadaptasi untuk memantapkan lagi wanita di Sulawesi.

-NFN-