Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis peruntuk lebih RM100,000 bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk RM107,500 bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri ini.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata bantuan itu antaranya makanan asas, kain batik, kain pelikat, telekung, tuala wanita, lampin bayi dan susu.

“Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa dalam meneruskan kehidupan selepas diuji sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Lombong di sini hari ini.

Program dengan kerjasama Team Selangor serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Shah Alam itu bagi membersihkan rumah dan kawasan persekitaran kediaman di kampung terbabit.

Menurut Masdiana, program julung kali itu sekali gus menunjukkan rakyat Selangor prihatin dan cakna dengan nasib sesama mereka.

“Alhamdulillah saya tidak jangka ramai juga turun padang dan saling membantu bersihkan kediaman mangsa banjir. Kita akan teruskan lagi inisiatif ini di beberapa kawasan terjejas selepas ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Program bedah buku ketengah karya tempatan dikenali ramai

SHAH ALAM, 7 DIS: Program bedah buku di Pesta Buku Selangor 2021 diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini memberi peluang kepada karya tempatan supaya dikenali ramai.

Isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program itu juga dapat mengetengahkan individu yang bertanggungjawab dalam menghasilkan sesebuah buku.

“Biasanya beli buku berdasarkan sinopsis, jadi program ini bila orang dengar menarik mereka akan berminat untuk membaca lebih lanjut.

“Ia secara tidak langsung dapat perkenalkan penulis, penerbit dan karya tempatan ini dapat pergi jauh lagi cuma tiada ruang untuk dedahkan apa isi kandungannya,” katanya selepas sesi membedah buku Qalbun Salim: Syarah Penawar Bagi Hati.

Masdiana dalam pada itu mengajak orang ramai untuk sama-sama turut serta dan membeli buku yang dijual di Pesta Buku Selangor 2021.

Beliau bagaimanapun mengingatkan mereka yang benar-benar sihat dan tidak bergejala sahaja untuk hadir bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Pesta berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta buku itu menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis anjur program bersih pantai, pupuk kesedaran jaga alam sekitar

TANJUNG SEPAT, 31 OKT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berharap orang ramai sentiasa menjaga kebersihan kawasan pantai supaya keindahan alam sekitar terpelihara.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata pihaknya mengadakan Program Batik Plogging (pembersihan pantai) di Pantai Batu Laut di sini hari ini bagi memupuk kesedaran itu.

Menurut isteri Dato’ Menteri Besar itu, apabila memasuki fasa keempat, masyarakat mula berkunjung ke pantai dan mengakibatkan kawasan itu dipenuhi sampah.

“Oleh yang demikian Pekawanis mengambil usaha ini di samping beriadah kita dapat mengadakan aktiviti kutip sampah sekali gus mencantikkan pantai.

“Selain itu dapat mengetengahkan elemen pakaian tradisional batik kepada golongan muda kerana program ini berkonsepkan batik,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Ketibaan Masdiana pada jam 8 pagi itu disambut Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Selain pembersihan pantai, program merupakan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Tanjung Sepat, Team Selangor, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat Zon 23 Rahiman Harun itu turut menganjurkan acara zumba, pertandingan pakaian terbaik dan konvoi motosikal besar.

Menerusi program ini, kumpulan orang kenamaan (VIP) yang diketuai Masdiana dinobat sebagai juara apabila berjaya mengutip sampah seberat 88.3 kilogram (kg), sementara kumpulan oren di tempat kedua iaitu 80kg manakala ketiga kumpulan kuning dengan kutipan 75.8kg.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis jaya Tadarus al-Quran dalam talian sepanjang Ramadan

KLANG, 21 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) akan menganjurkan Tadarus al-Quran secara maya sepanjang Ramadan ini.

Yang dipertuanya berkata ia adalah satu daripada empat program dijalankan selain Hari Ibu, agihan bubur lambuk dan sumbangan Aidilfitri kepada golongan memerlukan.

“Tadarus al-Quran satu juzuk setiap hari bermula 1 Ramadan dari jam 12 tengah hari hingga masuk waktu solat fardu zuhur akan dikendali guru berpengalaman dengan sasaran peserta dari seluruh Selangor,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis minum petang anjuran Wonderful of Women (WOW) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Kelab Eksekutif Klang di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyediakan peruntukan kepada setiap ahli Pekawanis untuk menjalankan sambutan Hari Ibu mengikut kreativiti seperti majlis anugerah Ibu Mithali, ziarah dari rumah ke rumah menyampaikan penghargaan atau berbuka puasa.

“Bagi program agihan bubur lambuk, ahli dicadang mengadakan gotong-royong bersama ahli masjid atau pihak berkaitan sebelum diagih ke bazar Ramadan dan pendudu kampung kerana kita mahu mereka turun ke bawah bersama masyarakat sepanjang bulan puasa,” katanya lagi.

Menurutnya, sumbangan Aidilfitri yang menjadi acara tahunan diteruskan bagi membantu keluarga kurang berkemampuan dengan menyasarkan 30 penerima tahun ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

NGO wanita digalak jadi sukarelawan bantu cegah Covid-19

KLANG, 20 MAC: Persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri disaran berganding bahu dalam mengekang penularan Covid-19 tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor berkata kumpulan itu boleh menjadi sukarelawan untuk mengingatkan masyarakat supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Berdasarkan situasi semasa Covid-19, NGO tidak semestinya terhad pada aktiviti persatuan sebaliknya boleh membantu (menangani pandemik) kerana kita kekurangan sukarelawan.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan panduan, malah mereka ini boleh beri peringatan kepada orang awam jika tiada penguat kuasa di satu-satu tempat,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad.

Beliau ditemui pada majlis minum petang anjuran Wonderful of Women (WOW) Dewan Undangan Negeri Sentosa sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Kelab Eksekutif Klang di sini.

Masdiana berharap WOW yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu mampu mengumpulkan sukarelawan untuk membantu Kerajaan Negeri menangani pandemik seperti dilakukan negara jiran.

“Di Thailand, terdapat kira-kira sejuta sukarelawan bersepakat dengan kerajaan untuk menentang wabak dan buktinya kes Covid-19 di negara itu lebih rendah berbanding Malaysia.

“Justeru, saya percaya sokongan dan penglibatan sukarelawan WOW akan memberi dampak positif terhadap kes dalam negara terutama di Selangor,” katanya lagi.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis agih bantuan sekolah kepada 2,000 keluarga susah

HULU SELANGOR, 11 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) membelanjakan RM170,000 melalui program Kembali ke Sekolah tahun ini.

Yang dipertuanya berkata agihan kepada 2,000 peserta kurang berkemampuan dari 34 Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan pemberian wang tunai dan bayaran yuran.

“Mengikut perancangan kita mahu membiayai yuran persekolahan namun terganggu susulan Perintah Kawalan Pergerakan, justeru sekarang kita beri pilihan mengikut keperluan,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad di sini semalam.

Beliau yang ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada penghuni Rumah Sinar Kasih (Pengasih Selangor) menambah bantuan sempena Tahun Baharu Cina berjumlah RM140,000 juga selesai diagihkan.

Pekawanis giat menganjurkan pelbagai program antaranya penyerahan alatan pembelajaran kepada taska anak petugas hadapan Selangor sekitar November tahun lalu dan tadabbur al-Quran.

Pertubuhan itu turut menambah baik organisasi dengan mewujudkan lima biro bagi menggalakkan penglibatan ahli membabitkan perayaan dan kebudayaan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar, pendidikan dan kerohanian, sukan dan rekreasi serta media.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis cakna kebajikan anak petugas hadapan

SHAH ALAM, 28 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bersedia membantu berhubung kebajikan dan penjagaan anak petugas barisan hadapan.

Yang dipertuanya berkata Inisiatif Cakna Anak Petugas Barisan Hadapan diwujudkan menerusi Pakej Kita Selangor adalah langkah tepat ketika golongan tersebut bertarung nyawa memerangi pandemik Covid-19.

“Justeru dalam kesibukan di Pekawanis, kita akan sentiasa menyokong dan sedia membantu dalam hal berkaitan kebajikan anak-anak mereka,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada SelangorKini.

Menurutnya pertubuhan itu juga bersedia berkongsi ilmu dan kemahiran yang ada untuk bersama membantu menjayakan program berkenaan.

Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif itu secara percuma untuk tempoh dua bulan bermula 25 Januari.

Ia melibatkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan di hospital awam juga premis sementara yang bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga petugas hadapan seluruh Selangor.

Categories
SELANGOR

Pekawanis hulur sumbangan buat mangsa banjir Temerloh

SHAH ALAM, 14 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mengagihkan 300 tuala untuk mangsa banjir di Temerloh, Pahang.

Yang dipertuanya berkata sumbangan lain ialah telekung, sejadah, kain pelikat dan barangan dapur.

“Buat masa ini kita serahkan keperluan asas terutamanya melibatkan alatan kebersihan dan kemudahan untuk mereka menunaikan solat.

“Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban dan mengurangkan kerisauan mereka,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada SelangorKini.

Beliau berkata Pekawanis akan menyerahkan kesemua bantuan itu menerusi Misi Bantuan Banjir bermula esok sehingga 18 Januari depan.

Menurutnya, turut sama dalam misi itu ialah sukarelawan dari NGO Persaudaraan dan Kasih Sayang, Sukarelawan Shah Alam, Anak Muda Kota Raja dan Sukarelawan Kapar.

“Fokus utama kami ke sana adalah untuk memberi sumbangan dan membersihkan rumah mangsa banjir,” katanya lagi.

Temerloh antara daerah yang terjejas teruk akibat banjir yang bermula 3 Januari lalu. Daerah lain di Pahang yang turut dilanda bencana itu ialah Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut dan Lanchang.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis hulur sumbangan, ringan beban pesakit kronik

SHAH ALAM, 18 DIS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntukkan RM150,500 bagi membantu beberapa pesakit di 43 Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Masdiana Muhammad berkata setiap pesakit diberi bantuan wang tunai RM250 dan RM100 serta beberapa barangan keperluan harian melalui program Ziarah Medik Pekawanis.

“Program ini dilaksanakan untuk menyantuni dan meringankan beban golongan wanita atau kanak-kanak yang mengalami penyakit kronik.

“Kriteria penerima dipilih berdasarkan maklumat daripada ketua kampung dan ahli majlis,” katanya ketika dihubungi.

Program Ziarah Medik Pekawanis telah menjelajah ke 43 DUN antaranya Sungai Tua, Taman Templer, Bukit Melawati, Seri Setia, Hulu Klang, Permatang, Kota Damansara dan Kuala Kubu Bharu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis sumbang alatan pembelajaran kepada anak petugas hadapan

SHAH ALAM, 17 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyerahkan barangan pembelajaran kepada dua taska tambahan diwujudkan Kerajaan Negeri.

Yang dipertuanya berkata sumbangan peralatan iaitu kertas lukisan membolehkan anak petugas barisan hadapan ditempatkan di situ mengisi masa dengan aktiviti berfaedah.

“Barangan lain diberikan adalah pelitup muka.

“Melalui lawatan hari ini, Pekawanis turut melihat barangan lain diperlukan memandangkan taska ini didirikan dalam masa singkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan. Tujuh lagi taska akan dilawat dalam masa terdekat,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada pemberita.

Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) memakaikan pelitup muka kepada anak-anak petugas barisan hadapan ketika melawat Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Frontliners, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Wisma Sunway, Shah Alam pada 17 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, isteri Dato’ Menteri Besar itu melakukan lawatan ke taska tambahan di Hospital Shah Alam serta di bangunan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Oktober lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pengaktifan semula sembilan taska tambahan sebagai tempat penjagaan anak petugas barisan hadapan sepanjang PKPB.

Lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Fruit Valley destinasi riadah keluarga

RAWANG, 26 SEPT: Aktiviti pertanian dan penternakan di Selangor Fruit Valley (SFV) sesuai dijadikan pilihan keluarga untuk beriadah.

Isteri Dato’ Menteri Besar berkata keunikan kawasan seluas hampir 1,000 hektar itu juga membolehkan kanak-kanak menimba pengalaman baharu.

“Ini julung kali saya membawa anak-anak ke SFV. Mereka gembira berpeluang menyuapkan rusa makan dan memetik sayur sendiri.

Datin Seri Masdiana Muhamad memetik sayur semasa mengadakan lawatan ke Selangor Fruit Valley anjuran PKPS di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 25 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Usaha ini merapatkan hubungan kekeluargaan selain menjadi tarikan pelancong lain,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad ketika ditemui selepas membuat lawatan ke SFV semalam.

Sementara itu, Pengurus Agro Tourism SFV Md Saad Mahsah berkata tanaman anggur di 10 rumah kaca menjadi tarikan terbaharu kawasan berkenaan.

“Kita dalam perancangan membina terusan serta penginapan bagi memudahkan pelawat bermalam di sini dan dijangka siap pada tahun hadapan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Isteri MB serah bantuan air, makanan asas di Pangsapuri Golden Villa

KLANG, 7 SEPT: Isteri Dato’ Menteri Besar menyampaikan bantuan air minuman kepada penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air di Pangsapuri Golden Villa di sini, hari ini.

Datin Seri Masdiana Muhamad yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyerahkan 932 botol air minuman lima liter sumbangan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) untuk kegunaan kira-kira 6,000 penduduk.

Selain itu, penduduk turut menerima bantuan makanan asas sumbangan Kerajaan Selangor.

Datin Seri Masdiana Muhamad beramah mesra bersama penduduk ketika Program Pengagihan Air Minuman Kepada Penduduk Pangsapuri Golden Villa, Klang pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Masdiana ketika ditemui berkata sumbangan itu untuk meringankan beban penduduk yang terputus bekalan air susulan pencemaran di Sungai Gong, Rawang, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

“Terima kasih kepada semua yang terbabit membantu dan bertungkus-lumus bagi memastikan orang ramai mendapat bekalan air sepanjang tempoh gangguan,” katanya.