Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Sungai Ramal, Pekawanis bantu 20 pesakit kronik

SHAH ALAM, 8 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal bersama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) melawat 20 pesakit kronik menerusi program Ziarah Medik pada akhir Oktober lalu.

Mazwan Johar berkata semua pesakit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menerima bantuan wang tunai RM250 bagi membeli ubat dan keperluan diri.

“Pesakit yang dibantu ini biasanya menghidap penyakit kronik seperti jantung, buah pinggang, kencing manis, kanser dan terlantar sakit.

“Selain bantuan daripada Pekawanis, pejabat DUN juga menyumbang bakul makanan dan kit saringan kendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Mazwan, pihaknya bersama Pekawanis akan melawat 10 lagi pesakit dalam masa terdekat untuk diagihkan bantuan sekali gus meringankan beban.

Pekawanis memperuntukan sejumlah RM220,000 bagi membantu pesakit kronik di 44 DUN pada tahun ini di bawah program Ziarah Medik Pekawanis.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhammad berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban pesakit untuk membeli ubat-ubatan iaitu setiap pesakit diberi RM250 untuk membeli ubat dan barangan keperluan harian.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis santuni petugas Media Selangor, sumbang kit kesihatan

SHAH ALAM, 12 OKT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk RM7,500 untuk bantuan kit kesihatan kepada 30 petugas media Kerajaan Negeri, Media Selangor Sdn Bhd.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhammad berkata kit itu mengandungi pelitup muka, oximeter, cecair pembasmi kuman, tuala, vitamin C dan pelindung muka.

“Kita selalu dengar petugas barisan hadapan terdiri dalam kalangan doktor dan polis tetapi kita tertinggal media juga antara golongan penting yang perlu dihargai.

“Terima kasih kepada kumpulan media dari Media Selangor yang sentiasa membuat liputan program Pekawanis dan pelbagai lagi untuk Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Penyerahan Kit Kesihatan Kepada Petugas Barisan Hadapan anjuran Pekawanis di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Pada masa sama Masdiana berharap petugas media sentiasa tidak putus memberi sokongan dan liputan berhubung program Pekawanis.

“Insya-Allah selepas ini jika ada keperluan kita akan menganjurkan lagi program menghargai seluruh petugas barisan hadapan di negeri ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pekawanis peruntuk RM220,000 bantu pesakit kronik beli ubat

SHAH ALAM, 24 OGOS : Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk sejumlah RM220,000 bagi membantu pesakit kronik di 44 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhammad berkata inisiatif di bawah program Ziarah Medik Pekawanis bertujuan meringankan beban pesakit untuk membeli ubat-ubatan.

“Setiap daripada pesakit ini diberi RM250 untuk membeli ubat dan barangan keperluan harian. Golongan penerima layak akan ditentukan oleh ahli majlis dan ketua kampung.

“Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka terutama ketika pandemik Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar berkata Pekawanis juga sedang dalam perancangan untuk mengagihkan sumbangan kit kesihatan kepada petugas barisan hadapan pada masa akan datang.

“Kita sedang merancang program, insya-Allah nanti kita akan umumkan peralatan yang ada dalam kit itu,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sahut cabaran hari wanita, YDP Pekawanis tamatkan larian 50km

SHAH ALAM, 14 APRIL: Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berjaya menamatkan acara larian 50km secara maya pada 12 April lalu.

Datin Seri Masdiana Muhamad antara 1,200 peserta yang menyelesaikan misi melalui program MCIS Life Malaysia Women Marathon (MWM) 2021 dalam tempoh sebulan.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar Selangor ketika ditemui menjelaskan tekadnya menyertai acara itu sempena Hari Wanita Sedunia bertemakan #ChooseToChallenge.

“Saya mulakan larian secara berperingkat bermula dengan jarak dua kilometer dan sedikit demi sedikit meningkat kepada lapan kilometer selama 30 hari.

Datin Seri Masdiana Muhamad (berdiri, tiga dari kiri) bergambar selepas acara larian MCIS Life Malaysia Women Marathon 2021 di Bulatan Kecil Jalan Indah Taman Tasik, Shah Alam pada 12 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya mahu cabar diri saya selaras tema hari wanita tahun ini. Terima kasih atas sokongan suami (Dato’ Seri Amirudin Shari) dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di Taman Tasik Shah Alam.

Masdiana menambah acara tersebut landasan terbaik untuk masyarakat melakukan aktiviti sihat meskipun ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19.

“Menariknya, program kali ini kita boleh pilih trek masing-masing, justeru saya pilih Taman Tasik Shah Alam sambil melihat tempat menarik sekitar sini,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan wanita khususnya untuk membiasakan diri dengan kehidupan norma baharu termasuk menyertai aktiviti sukan jika ada kelapangan.

Acara maraton wanita yang memasuki tahun kesembilan dijalankan secara maya sejak 8 Mac lalu selaras sambutan Hari Wanita Sedunia 2021.

Peserta boleh melakukan larian di mana sahaja menggunakan teknologi mudah alih bagi merekod jarak dan masa untuk dihantar kepada penganjur sepanjang program berlangsung.