Categories
AGENDA NASIONAL

Rosmah diperintah bela diri kes rasuah projek solar

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Penilaian maksimum terhadap bukti, saya dapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh,” kata hakim.

Hakim Mohamed Zaini berkata pihak pendakwaan telah berjaya mengemukakan bukti yang boleh dipercayai mengikut elemen di bawah pertuduhan tersebut, jika tidak disangkal atau tidak dijelaskan boleh disabitkan kesalahan.

“Oleh itu, saya mengarahkan tertuduh membela dirinya,” kata hakim.

Rosmah memilih untuk memberi keterangan pembelaan secara bersumpah dari kandang saksi.

Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pasukan pembelaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Tiada resit sumbangan politik RM6.5 juta kepada Rosmah

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Seorang ahli perniagaan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tiada sebarang resit diterima daripada Barisan Nasional (BN) dan Umno berhubung sumbangan politik berjumlah RM6.5 juta yang diberikan kepada isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Saidi Abang Samsudin, 61, Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes rasuah Rosmah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.

Sri Ram: Sehingga hari ini, anda mengatakan bahawa RM6.5 juta adalah untuk sumbangan politik. Jadi sehingga hari ini, adakah anda menerima sebarang resit daripada BN dan Umno untuk memperakui bahawa RM6.5 juta itu sebagai sumbangan?

Saidi: Tidak.

Sri Ram: Adakah tertuduh (Rosmah) menolak ketika anda membuat sumbangan politik itu?

Saidi: Tidak, dia (Rosmah) senyum sahaja dan dia panggil Rizal (Datuk Rizal Mansor) untuk atur semua.

Sri Ram: Semasa pertemuan kedua pada 7 September 2017, ketika anda membawa dua beg berisi wang (RM1.5 juta) adakah dia (Rosmah) meminta anda meninggalkan rumahnya?

Saidi : Dia hanya memberi respons “Hm”…itu sahaja.

Saidi, yang juga saksi penting pendakwaan ketika membacakan penyataan saksi, berkata beliau telah menyerahkan RM6.5 juta seperti yang telah dijanjikan kepada Rosmah untuk sumbangan politik.

Menceritakan perkara itu, Saidi, yang juga ahli parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata pada 20 Disember 2016, beliau telah menyerahkan wang RM5 juta yang diisi ke dalam dua bagasi kepada Rosmah melalui bekas pembantu wanita itu Datuk Rizal Mansor di bangunan pejabat Lawrence di Pavilion.

“Saya telah jumpa Rizal dan Lawrence …dalam perjumpaan itu, saya telah memberitahu mereka bahawa dua bagasi berkenaan mengandungi wang tunai RM5 juta. Saya juga meminta Lawrence untuk mengeluarkan resit penerimaan wang tunai kepada saya dan Lawrence mengatakan dia akan menyediakan resit itu.

“Saya tidak pernah menerima resit yang dijanjikan oleh Lawrence sehingga ke hari ini. Rizal telah berbincang dengan Lawrence berkenaan isu penyerahan wang itu kepada siapa tetapi saya tidak memberi perhatian kepada perbincangan mereka.

“Kemudian Rizal mengatakan beliau perlu menghantar wang tunai itu ke rumah Datin Seri Rosmah,” katanya yang turut memaklumkan kedua-dua bagasi kemudian dimasukkan ke dalam kereta Toyota Vellfire milik Rizal.

Menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani sama ada beliau tahu wang RM5 juta itu telah diserahkan kepada Rosmah, Saidi berkata “Rizal beritahu saya bahawa beliau akan pergi ke rumah Datin Seri Rosmah.”

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata wang tersebut merupakan sebahagian daripada wang pinjaman berjumlah RM16 juta yang diperoleh daripada syarikat Builtamont International Sdn Bhd untuk melaksanakan projek genset diesel bermula 1 Jan 2017.

“Pinjaman itu dimasukkan Builtamont ke dalam akaun operasi Jepak di CIMB Bank secara berperingkat. Saya telah menggunakan RM5 juta daripada pinjaman itu untuk membayar Datin Seri Rosmah atas bantuan yang diberikan,” katanya.

Saidi berkata beliau dan rakan perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah, juga telah membawa dua beg galas berisi wang tunai RM1.5 juta untuk diserahkan kepada Rosmah di kediaman tertuduh di Langgak Duta pada 7 September 2017 selepas Rizal sering mengingatkan beliau agar membayar sumbangan politik yang dijanjikan kepada Rosmah.

Saksi itu juga berkata beliau telah meminta Rizal untuk mendapatkan bantuan ‘Mem’ bagi mempercepatkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) kepada Jepak bagi projek solar hibrid.

“Mem merupakan nama panggilan yang digunakan Rizal untuk merujuk kepada Rosmah. Saya juga ada bertanya kepada Rizal mengenai jumlah wang yang perlu dibayar oleh saya kepada Datin Seri Rosmah untuk membantu Jepak. Rizal memberitahu saya dan Rayyan biasanya 10 peratus hingga 15 peratus,” katanya.

Saidi berkata beliau telah memaklumkan Rosmah bahawa sumbangan politik sebanyak 10 peratus daripada nilai projek solar hibrid bernilai RM1.25 billion akan diberikan kepada isteri bekas perdana menteri itu.

“Idea penawaran sumbangan politik ini merupakan idea saya dan Rayyan,” katanya.

Saksi itu berkata Rosmah kemudian memberikan respons bahawa status politik Umno ketika itu agak teruk dan UMNO Pekan memang memerlukan dana politik dan meminta beliau berbincang dengan Rizal.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi berhubung projek tenaga solar itu.

Suapan itu didakwa diterima melalui Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahdzir Khalid minta 20 peratus daripada projek solar RM1.25 bilion – saksi

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bekas menteri pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta 20 peratus daripada Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings).

Ia adalah sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2016.

Rayyan Radzwill Abdullah, 41, rakan perniagaan kepada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar itu.

Akberdin: Kita dah tahu peranan dimainkan oleh Mahdzir dalam projek ini, oleh kerana peranan dimainkan oleh beliau saya katakan beliau telah meminta 20 peratus daripada Jepak sebagai balasan atau upah kerana bantu Jepak Holdings dalam projek ini.

Rayyan Radzwill: Ya, melalui rakannya bernama Md Fuad Yasin dan dia (Md Fuad) merupakan salah seorang individu yang hadir dalam mesyuarat teknikal pertama (berhubung projek ini) di KPM.

Akberdin: Ingat atau tidak, oleh kerana 20 peratus besar, Saidi cakap tidak boleh entertain (layan) sebab (20 peratus) terlalu tinggi dan selepas berbincang, 20 peratus dikurangkan kepada RM60 juta bagi tempoh lima tahun atau RM1 juta bagi tempoh 60 bulan.

Rayyan Radzwill: Ya benar.

Saksi pendakwaan ke-16 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Dalam keterangannya sebelum ini, Mahdzir yang juga saksi pendakwaan kelima menyangkal dakwaan peguam Rosmah bahawa beliau ada menerima habuan RM60 juta daripada Jepak Holdings sebagai balasan kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar tersebut.

Rayyan Radzwill yang juga Pengarah Syarikat Nanocarb Technology Sdn Bhd turut memberitahu mahkamah bahawa Saidi ada memberitahunya bahawa rakan perniagannya itu membayar RM50,000 untuk penginapan hotel perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, Kedah, ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

Saksi pendakwaan itu juga bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Pahang Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib turut memainkan peranan penting dalam membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar itu.

“Sebagai balasan atas khidmat diberi oleh Datuk Aazmey, Jepak telah buat ‘perjanjian perkhidmatan perundingan’ dengan beliau tentang bayaran yang perlu diberikan kepadanya,” soal Akberdin dan Rayyan Radzwill menjawab ya selain menambah beliau yang telah menyediakan perjanjian berkenaan bagi pihak Jepak Holdings.

“Secara ringkasnya, persetujuan antara Jepak Holdings dan Datuk Aazmey melalui perjanjian itu ialah Jepak Holdings secara prinsipnya telah bersetuju untuk beri Datuk Aazmey RM50 juta,” kata Akberdin.

“Jumlah tidak ingat tetapi yang saya ingat empat atau lima peratus yang dipersetujui (daripada nilai projek solar RM1.25 bilion),” jawab saksi itu.

“Setuju atau tidak Saidi telah bayar hampir RM2 juta kepada Datuk Aazmey,” kata Akberdin dan Rayyan Radzwill menjawab: “Setuju, Datuk Aazmey ada beritahu saya.”

Saksi tu pada satu ketika kelihatan sebak apabila menyatakan bahawa beliau daripada awal tidak bersetuju dengan tindakan menawar dan ‘menabur’ wang yang banyak kepada ahli politik bagi mendapatkan projek tersebut.

Rayyan Radzwill berkata beliau bersetuju membantu Saidi dalam kerja-kerja teknikal bagi mendapatkan projek solar itu disebabkan beliau datang dari keluarga miskin yang kerap mengalami gangguan elektrik.

“Saya beritahu Saidi jangan beri wang kepada mereka (ahli politik) tetapi kalau nak beri juga berilah kepada kawasan mereka, namun Saidi tetap berdegil dan menyatakan perkara itu (menabur wang) adalah perlu bagi mendapatkan sesuatu projek. Sebab itu banyak urusan pemberian wang oleh Saidi di luar pengetahuan saya. Apabila berlaku penipuan terhadap terma-terma projek saya terpanggil untuk membuat laporan polis,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara kes rasuah projek solar Rosmah bersambung 13 Julai

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak, akan bersambung selama 31 hari di Mahkamah Tinggi di sini bermula 13 Julai depan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memaklumkan bahawa pihak-pihak terlibat telah berbincang tarikh-tarikh yang sesuai untuk perbicaraan kes berkenaan.

Tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan ialah 13 sehingga 16 Julai; 3 hingga 6 Ogos; 17 hingga 19 Ogos; 7 hingga 10 Sept; 14 hingga 17 Sept; 5 hingga 8 Okt; 2 hingga 5 Nov dan 16 hingga 19 Nov.

Perkara itu turut disahkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir mewakili Rosmah, yang dikecualikan hadir ke mahkamah hari ini.

Poh berkata pihak pendakwaan akan memanggil sembilan lagi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu dan tiga lagi penyataan saksi akan diserahkan kepada pihak pembelaan hujung bulan ini.

Setakat ini, 12 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dan apabila perbicaraan bersambung pada 13 Julai, pihak pembelaan akan meneruskan dengan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-12, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (MOE) Datuk Seri Alias Ahmad.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 9 hingga 11 Jun, 6 hingga 9 Julai, 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 23 Julai untuk menyambung perbicaraan kes berkenaan.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sebelum ini sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan, namun pada 8 Jan lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Projek solar: Rosmah minta percepat tandatangan kontrak untuk bayar ‘kemajuan’

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Bekas ketua setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor memintanya untuk mempercepat proses menandatangani kontrak projek solar hibrid di Sarawak.

Datuk Seri Alias Ahmad, 62, berkata isteri bekas perdana menteri itu juga ada bertanya kepada beliau bilakah kontrak tersebut boleh ditandatangani supaya bayaran ‘progress’ dapat dibuat.

“Saya beritahu beliau Syarikat Jepak (Jepak Holdings Sdn Bhd) tidak dapat menyiapkan draf dokumen kontrak untuk diteliti oleh KPM,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Saksi itu memberi keterangan pada hari ke-13 perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Membacakan penyataan saksinya, Alias yang memegang jawatan tersebut dari 5 September 2016 sehingga bersara pada 22 Mei 2018, berkata, Rosmah juga ada bertanyakan kepada beliau perkembangan bayaran pendahuluan kepada Jepak Holdings dan bila pembayaran tersebut boleh dibuat kerana syarikat tidak dapat bergerak tanpa bayaran itu.

“Saya beritahu beliau bahawa terdapat isu berkenaan insurans yang digunakan oleh syarikat tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan tanpa kelulusan Kementerian Kewangan untuk insurans ini, pembayaran tidak boleh dibuat dan sekiranya dibuat juga ia adalah perlanggaran kepada proses perolehan kerajaan,” kata saksi ke-12 pihak pendakwaan itu.

Alias berkata Rosmah bertanyakan mengenai perkembangan projek tersebut kepadanya selepas mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Permata Malaysia, yang beliau tidak mengingati tarikh sebenar mesyuarat itu, namun menyatakan ia berlangsung ketika isu pembayaran pendahuluan timbul serta sebelum tarikh kontrak rasmi projek tersebut ditandatangani.

Menurut saksi itu, beliau mengambil serius pertanyaan Rosmah kerana ia datang daripada isteri Perdana Menteri dan telah mengarahkan pegawai-pegawainya supaya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah Jepak Holdings berkaitan isu bayaran pendahuluan, bayaran kemajuan dan penyediaan dokumen kontrak.

“Seingat saya, kontrak untuk projek ini telah ditandatangani pada 20 Jun 2017 dan ketika itu saya telah menandatangani dokumen kontrak tersebut bersama dengan pihak Jepak iaitu Saidi Abang Samsudin yang merupakan pengarah syarikat tersebut,” katanya.

Sementara itu, suasana menjadi sedikit tegang ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Rosmah, apabila Alias tidak bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa tindakannya mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada Jepak Holdings berhubung pemberian projek solar itu ‘mengingkari’ surat daripada Kementerian Kewangan yang tidak meluluskan permohonan tambahan dikemukakan oleh KPM.

Akberdin: Awak nak tegakkan benang yang basah. Ada atau tidak MOF (Kementerian Kewangan) luluskan permohonan peruntukan tambahan?

Alias: Tidak.

Akberdin: Kalau MOF tidak luluskan permohonan peruntukan tambahan jadi tindakan kamu keluarkan SST satu perbuatan yang mengingkari jawapan MOF sebab MOF tidak luluskan (peruntukan tambahan).

Alias: Tidak betul sebab bukan saya yang keluarkan SST sebab tidak ada tandatangan saya atas SST.

Akberdin: Awak berbohong kepada mahkamah. Awak nak beritahu awak sebagai pegawai pengawal awak tidak dimaklumkan atau tidak tahu bila SST dikeluarkan (kepada Jepak Holdings).

Alias: Setuju, saya tidak tahu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib sekeluarga selesai pemeriksaan fizikal barang rampasan

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka Nooryana Najwa selesai melakukan pemeriksaan fizikal ke atas barang yang didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad di Bank Negara Malaysia hari ini.

Timbalan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urusetia Ketua Polis Negara Bukit Aman, ACP Amran Yaacob berkata pasangan itu bersama anaknya melakukan pemeriksaan lebih tiga jam sejak tiba jam 9.15 pagi.

“Mereka ditemani peguam masing-masing dan proses itu berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Amran berkata pihaknya akan menentukan sama ada satu pemeriksaan semula dilakukan selepas ini.

Pada 3 Februari lalu, Hakim Mohamed Zaini memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib, Rosmah dan Nooryana memeriksa barang berkenaan secara fizikal.

Antara syarat ditetapkan pemeriksaan mesti dilakukan di premis yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan dan hanya dilakukan sekali dalam tempoh dua minggu dari tarikh perintah dikeluarkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Projek solar: Pendakwa akan buktikan Rosmah terima ‘upah’ RM6.5 juta

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Pendakwaan dalam kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor akan membuktikan isteri bekas perdana menteri itu menggunakan pengaruhnya untuk menerima wang tunai RM6.5 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kontrak projek hibrid solar.

Pendakwa utama Datuk Seri Gopal Sri Ram di Mahkamah Tinggi hari ini berkata RM5 juta dihantar ke kediaman rasmi tertuduh di Putrajaya manakala RM1.5 juta lagi dihantar ke kediamannya di Langgak Duta, di sini.

Beliau berkata bayaran itu bergantung kepada tertuduh yang menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan kontrak pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah bandar bagi Jepak Holdings Sdn Bhd.

“Bukti akan menunjukkan peranan aktif yang dimainkan oleh tertuduh untuk mendapatkan projek bagi Jepak. Sebagai balasan dia meminta dan menerima rasuah,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan .

Menjelaskan kes tersebut, Sri Ram berkata Jepak Holdings adalah sebuah syarikat berhad swasta yang ada kaitan dengan pertuduhan dan Saidi Abang Samsudin merupakan pengarah urusan dan pemegang saham majoriti syarikat berkenaan.

Beliau berkata Saidi mahu mendapatkan kontrak daripada kerajaan persekutuan bagi syarikatnya untuk melaksanakan projek hibrid solar yang kononya memanfaatkan 369 sekolah luar bandar di kawasan pedalaman Sarawak.

“Saidi bersama rakannya Rayyan Radzwill Abdullah memohon kontrak daripada Kementerian Pendidikan. Mereka berjumpa dengan Menteri Pendidikan ketika itu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan satu pertemuan diadakan antara mereka.

“Ia tidak berhasil untuk Saidi dan tidak tahu nak ke mana. Saidi dan Rayyan kemudian bertemu dengan seorang bernama Aazmey Abu Talib yang mereka anggap rapat dengan suami tertuduh (Datuk Seri Najib Tun Razak) bagi mendapatkan sokongan untuk permohonan kontrak tersebut,” katanya.

Pendakwa Raya kanan itu berkata dengan bantuan Aazmey, Saidi berjaya mendapatkan tanda sokongan suami tertuduh dalam surat permohonannya tetapi ia tidak membantu mempercepatkan urusan dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata Saidi dan Rayyan bertekad untuk mendapatkan projek tersebut untuk Jepak.

“Selepas semua platform untuk berjaya gagal menghasilkan keputusan positif, maka mereka beralih kepada tertuduh yang dapat dihubungi menerusi bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.

“Rizal mengatur pertemuan antara Saidi, Rayyan dan tertuduh. Pertemuan itu berlangsung antara Januari dan April 2016. Ia diadakan secara sulit di kediaman peribadi tertuduh di Jalan Langgak Duta di sini,” katanya.

Beliau berkata Saidi mahu jaminan daripada tertuduh bahawa dia akan membantu Jepak dan sebagai balasan, Saidi bersedia menawarkan sejumlah wang yang besar kepada tertuduh.

Katanya, menurut Saidi, pada mesyuarat pada 2016 itu, tertuduh ditunjukkan permohonan Jepak dengan tanda sokongan suami tertuduh pada permohonan tersebut.

“Saidi kemudian membuat tawaran derma politik kepada suami tertuduh sebagai tanda terima kasih kerana menyokong permohonan itu.

“Adalah penting untuk diperhatikan bahawa tertuduh tidak mempunyai kedudukan atau memegang sebarang tanggungjawab dalam mana-mana parti politik pada masa itu Tertuduh tahu bahawa apa yang dipanggil sumbangan politik dimaksudkan sebagai rasuah untuk dirinya,” kata Sri Ram.

Pendakwa Raya itu berkata selepas pertemuan itu, tertuduh meningkatkan jumlah sumbangan politik kepada RM187.5 juta iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak berjumlah RM1.25 bilion dan dia menggunakan Rizal untuk membuat tuntutan dan berunding mengenai jumlah rasuah yang perlu dibayar kepadanya.

“Pada mulanya, dia mahukan 17 peratus daripada nilai projek iaitu melebihi RM200 juta. Atas nasihat Rizal, dia bersetuju menerima 15 peratus. Perjanjian palsu digubal oleh seorang bernama Lawrence Tee.

“Tujuan perjanjian itu adalah untuk menyorok bayaran dan menyembunyikan nama penerima sebenar wang tersebut. Perjanjian itu telah hilang dan tiada siapa yang pasti siapa menyimpan perjanjian itu.

“Lawrence akan memberi keterangan mengenai kandungannya,” katanya.

Sri Ram berkata selepas perjanjian itu dilaksanakan, pada 20 Dis 2016, Saidi memberikan tertuduh RM5 juta dalam bentuk tunai dan bayaran tersebut dibuat selepas Kementerian Pendidiklan mengeluarkan surat penganugerahan tender projek itu kepada Jepak.

‘Wang tersebut dihantar ke kediaman rasmi tertuduh di Putraya dan diterima olehnya selepas mengesahkan dengan Rizal bahawa jumlah itu sebenarnya RM5 juta.

Sri Ram berkata kontrak projek solar itu dikuatkuasakan pada 20 Jun 2017 dan Kementerian Pendidikan kemudian mengeluarkan siri pembayaran kepada Jepak dan pada September 2017, Saidi mnyerahkan wang tunai RM1.5 juta kepada tertuduh di kediamannya di Langgak Duta.

“ Seperti kebanyakan jika tidak semua kes rasuah, pihak pendakwa perlu bergantung kepada keterangan saksi-saksi yang berkepentingan. Pada peringkat yang sesuai, pihak pendakwaan akan meminta mahkamah untuk memperhalusi keterangan saksi secara berhati-hati,” katanya.

Pada akhirnya, keterangan mereka akan didapati boleh dipercayai dan disahkan dalam bentuk butiran material dan pihak pendakwaan dapat membuktikan bukan sahaja jenayah dilakukan tetapi tertuduh yang melakukannya, katanya.

“Akhirnya, mahkamah akan mendengar keterangan saksi yang mungkin berat sebelah dengan tertuduh. Mengenai fakta kes, ini tidak dapat dielakkan. Pihak pendakwaan akan memaklumkan kepada mahkamah cara keterangan saksi diambil kira apabila kami membuat hujahan,” katanya.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Mac dan 7 September 2018.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

‘Suka mengarah’, Rosmah didakwa boleh pengaruhi keputusan kerajaan

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Walaupun tidak mempunyai kedudukan rasmi, isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bertindak ‘bossy’ (suka mengarah) sehingga boleh mempengaruhi keputusan kerajaan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pendakwa utama Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Rosmah sendiri tidak mempunyai kedudukan rasmi tetapi mempunyai pengaruh besar kerana sifatnya yang suka menguasai orang lain.

”Dia menempatkan dirinya dalam kedudukan di mana dia dapat mempengaruhi keputusan dalam sektor awam,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan kes rasuah Rosmah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Sri Ram berkata pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung dan ikut keadaan bagi menunjukkan tertuduh meminta dan menerima suapan mengikut pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Rosmah, 68, berdepan dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Datuk Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Mac dan 7 September 2018.

Perbicaraan kes rasuah yang dinanti-nantikan dijadual bermula Isnin lalu tetapi ditangguhkan hingga hari ini kerana Rosmah tidak hadir pada hari berkenaan kerana diberi cuti sakit sehingga Sabtu ini.

Hakim Mohamed Zaini berkata mahkamah bersimpati dengan Rosmah atas keadaan kesihatannya dan membenarkan penangguhan selama dua hari lagi.

Katanya, Rosmah akan dibenarkan duduk di kerusi roda semasa perbicaraan dan diberi waktu rehat sebanyak mungkin jika tidak berasa sihat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rosmah gagal tangguh prosiding dalam saman firma barang kemas Lubnan

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk penangguhan perbicaraan saman difailkan oleh sebuah firma barang kemas Lubnan yang menuntut pemulangan 44 butir barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta, yang didakwa telah dihantar kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dilihat.

Hakim Wong Chee Lin memerintahkan Rosmah membayar kos RM3,000 kepada firma Lubnan itu.

Terdahulu, peguam Mohamed Reza Rahim, yang mewakili Rosmah berhujah bahawa mereka sedang menunggu rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah itu membenarkan Rosmah melanik seorang pakar barang kemas bebas bagi mengenalpasti dan mengesahkan bilangan barang kemas tersebut yang ketika ini dalam jagaan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Bagaimanapun, kami sedia, dan sanggup menyertai perbicaraan,” kata beliau.

Peguam Datuk David Gurupatham, bertindak bagi pihak firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL berkata perbicaraan sepatutnya berjalan hari ini kerana pemilik firma Lubnan itu Samir Halimeh bersedia untuk memberi keterangan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Gurupatham berkata perbicaraan itu ditangguhkan oleh kerana terdapat rayuan belum diputuskan tentang isu juri (pakar barang kemas bebas).

“Jika anak guam saya beri keterangan dan pulang, maka ini akan memprejudis beliau. Walaupun (permohonan) penangguhan telah ditolak, terdapat rayuan belum diputuskan bagi mengenal pasti dan mengesahkan 44 butir barang kemas atau cuma hanya sebutir atau mana-mana daripadanya di mahkamah perlucutan hak.

“Jadi, kami putuskan untuk menarik balik kes, bergantung pada keputusan mahkamah perlucutan hak. Jika mahkamah itu menyatakan bahawa ada juri (pakar barang kemas bebas), maka kami akan ambil tindakan terhadap kerajaan atau Rosmah,” kata beliau.

Ditanya sama ada beliau boleh memfail saman baharu, peguam itu berkata tidak ada apa yang boleh menyekat mereka daripada berbuat demikian.

Dalam saman itu, Global Royalty mendakwa bahawa pada 10 Februari, 2018, ia telah menghantar 44 butir barang kemas termasuk kalung berlian, subang, cincin, rantai tangan dan tiara, setiap satu bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3.8 juta) kepada defendan, diserah dengan tangan menerusi dua agennya.

Syarikat itu berkata Rosmah telah mengaku menerima barang-barang kemas tersebut dan bersetuju dengan terma dan syarat yang terkandung dalam Memorandum No 926 berkaitan barang kemas itu.

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, menerusi surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui ada menerima barang kemas itu tetapi menyatakan semua barang kemas itu tidak lagi dalam miliknya kerana telah dirampas dan diletakkan dalam simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon agar mahkamah mengisytiharkannya sebagai pemilik sah semua barang kemas berkenaan dan bahawa milikannya tidak pernah berpindah tangan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori agar Rosmah membekalkan senarai barang kemas yang dirampas, untuk dikembalikan, atau Rosmah membayar harga barang kemas itu bernilai AS$14.79 juta (RM59.83 juta).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Rosmah periksa barang sita didengar 29 November

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Mahkamah Tinggi menetapkan 29 November ini untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan gambar dan memeriksa barangan yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia daripada sebuah premis milik OBYU Holdings Sdn Bhd.

Antara barang yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 11,990 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 cermin mata serta 306 beg tangan manakala wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi yang disita pada 31 Januari 2019.

Selain itu, sebuah hartanah di sebuah daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 November 2018.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan hari ini, yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof dan peguam Iskandar Shah Ibrahim, mewakili Rosmah.

Mahkamah memerintahkan kesemua pihak memfailkan afidavit masing-masing dalam tempoh seminggu sebelum tarikh pendengaran.

Terdahulu, Iskandar Shah memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan gambar dan memeriksa barang secara fizikal berikutan beliau adalah pihak ketiga yang berkepentingan terhadap harta itu.

“Pada prosiding sebelum ini (3 September), pihak kami telah hadir ke mahkamah sebagai pihak ketiga bagi menuntut harta-harta yang disita oleh SPRM,” katanya.

Pihak pendakwaan selaku pemohon memfailkan notis pelucutan hak ke atas aset dan wang tunai yang disita dari Obyu Holdings Sdn Bhd dan menamakan syarikat itu sebagai responden.

Rosmah kemudiannya memohon menjadi pihak ketiga dalam kes pelucutan harta itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perbicaraan kes saman barang kemas ditetapkan 21 – 24 Oktober

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan empat hari mulai 21 Oktober untuk perbicaraan kes saman oleh Global Royalty Trading SAL terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menuntut beliau memulangkan 44 barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Peguam Datuk David Gurupatham, yang mewakili syarikat pemborong barang kemas berpangkalan di Lubnan itu memberitahu media, mahkamah juga menetapkan 17 September untuk pengurusan kes bagi semua permohonan interlokutori yang difailkan Global Royalty selaku plaintif dan Rosmah sebagai defendan.

Beliau berkata demikian selepas kes itu disebut di hadapan Hakim Wong Chee Lin, di dalam kamar.

Pada 14 Februari lepas Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 barang kemas yang berada dalam miliknya sebelum dirampas polis.

Global Royalty dalam saman yang difailkan pada 26 Jun tahun lalu mendakwa pada 10 Februari 2018 mereka menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai hampir US$124,000 (RM519,183) dan US$925,000 (RM3.8 juta) kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu mendakwa ketika serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma serta syarat dalam Memorandum No. 926 bagi barang kemas berkenaan.

Syarikat itu berkata, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, Rosmah mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas itu tetapi menyatakan ia tidak lagi berada dalam milikannya kerana disita dan kini berada dalam jagaan pihak berkuasa.

Sehubungan itu Global Royalty memohon perintah perisytiharan mahkamah bahawa syarikat itu adalah pemilik sah ke atas barang kemas tersebut dan turut memohon pemilikan barangan kemas itu tidak dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang dirampas dan supaya barangan terbabit dipulangkan atau Rosmah perlu membayar harga barang kemas itu yang berjumlah US$14.79 juta (RM59.83 juta).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 11 September untuk mendengar dua permohonan yang difailkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor termasuk untuk mendapatkan jaminan kos sebanyak RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL.

Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun tahun lepas, menuntutnya memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Peguam Datuk David Gurupatham, yang bertindak bagi pihak syarikat Lubnan itu memberitahu pemberita bahawa defendan (Rosmah) juga memfailkan permohonan lain untuk mendapatkan seorang pakar bagi mengesahkan barang kemas yang telah disita untuk dilucuthakkan.

“Defendan memfailkan dua permohonan pada Jumaat (16 Ogos), jadi kami perlu membalasnya dan menyediakan afidavit jawapan,” katanya ketika ditemui selepas pengurusan kes yang disebut dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin.

Peguam itu berkata, mereka juga meminda pernyataan tuntutan mereka bagi disesuaikan dengan perubahan terkini dan isu itu juga akan didengar pada 11 September.

Beliau berkata, perbicaraan saman berkenaan akan diteruskan pada 17 September seperti yang dijadualkan dan tiga saksi akan dipanggil.

Sementara itu, Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah, berkata defendan memohon RM500,000 sebagai jaminan kos dan satu lagi permohonan bagi tukang emas bebas menilai empat daripada 44 barang kemas yang Rosmah dakwa kini dengan polis.

“Kami meminta sebanyak RM500,000 sebagai jaminan kos tetapi plaintiff membantah jumlah itu. Bagaimanapun mereka bersetuju pelantikan seorang tukang emas bebas untuk menilai empat barang kemas itu,” katanya dan menambah bahawa defendan memohon jaminan kos memandangkan kes berkenaan melibatkan syarikat asing.

Pada 14 Februari, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah supaya memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barang kemas di bawah milikannya yang didakwa dirampas oleh pihak polis, dalam masa tujuh hari.

Dalam samannya, Global Royalty mendakwa pada 10 Februari 2018, syarikat telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 (RM519,183) dan US$925,000 (RM3.8 juta) kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Menurut syarikat itu, semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas tersebut.

Syarikat itu juga mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah US$14.79 juta (RM59.83 juta).

Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai 2018 menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata barang kemas terbabit dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri perdana menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas tersebut.

– BERNAMA