Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBI santuni 40 kanak-kanak di Sunway Lagoon

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 1 DIS: Seramai 40 kanak-kanak dari Yayasan Chow Kit dan asnaf Gombak disantuni dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) di Sunway Lagoon, di sini, semalam.

Kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun itu diraikan dalam Majlis Amal “Hope for the Future” anjuran Cardinal Merit Sdn Bhd dan The Good Deeds.

Majlis dirasmikan isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamsidar Taharin.

Shamsidar dalam ucapannya berkata, MBI dan Pemodalan Negeri Selangor Berhad sedia memberi sokongan dan sumbangan kepada sebarang majlis amal seumpama itu.

“Majlis amal ini diadakan khas untuk memberi pendedahan dan bimbingan dalam bentuk terapi supaya dapat memupuk nilai-nilai positif, disiplin, memberi kekuatan diri dari aspek fizikal dan emosi, semangat berpasukan dan semangat juang yang tinggi.

“Saya sentiasa perihatin dan mengambil berat nasib di alami golongan miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan golongan tidak berkemampuan.

“Justeru, saya menyeru agar kita semua dapat memberikan yang terbaik kepada kanak-kanak ini yang bakal menjadi penyambung legasi kepimpinan dan transformasi Negara,” katanya.

Beliau berkata, setiap anak di dalam sesebuah komuniti, tidak kira kedudukan sosio-ekonomi, keluarga, agama atau adat perlu diberi peluang sama untuk mendapat bantuan dari segi akademik dan juga aktiviti kokurikulum.

“Syabas diucapkan kepada para sukarelawan, aktivis dan individu yang tidak kenal penat lelah demi membantu menjaga dan mendidik kanak-kanak dari Yayasan Chow Kit dan asnaf Gombak ini.

“Sesungguhnya peluang untuk bertemu dan bersama dengan kanak-kanak yang terdiri daripada anak yatim dan keluarga miskin sungguh berharga bagi saya,” katanya.