Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSepang bentang projek bandar hijau di Ekspo Dubai

CYBERJAYA, 31 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan membentangkan projek bandar hijau (Urban Nature Project) di Ekspo Dubai 2020 minggu hadapan.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pihak berkuasa tempatan itu dipilih Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) untuk berkongsi pembangunan di Sepang termasuk berkaitan inisiatif rendah karbon.

“Di samping itu, kita mahu menarik pelabur yang berminat melabur di Sepang kerana kita masih mempunyai ruang untuk dibangunkan khususnya di Cyberjaya.

“Sekiranya ada pihak bersesuaian kita alu-alukan dan cuba menemukan mereka dengan pemaju,” katanya ditemui selepas Program Selangor Agro Market (SAM) di Taman Tasik Cyberjaya semalam.

Terdahulu, beliau mengiringi EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim ke tapak jualan SAM bersama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor Aiaida Abdul Rashid.

Sementara itu, Abd Hamid berkata, berdasarkan rancangan tempatan, Sepang memerlukan industri berteknologi tinggi dan tenaga kerja yang ramai.

“Namun kita tidak mahu kilang-kilang industri berat yang boleh membawa kepada pencemaran.

“Kita fokus kepada teknologi tinggi yang boleh menjana pendapatan kepada MPSepang dan negara serta memberi pekerjaan kepada warga Malaysia berbanding industri berat mengupah warga asing,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang sedia beri kerjasama, galak aktiviti ekonomi

CYBERJAYA, 30 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menggalakkan aktiviti ekonomi seperti program Selangor Agro Market (SAM) dalam kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata program seperti itu membantu usahawan dalam menjana pendapatan selain memudahkan masyarakat setempat memperoleh keperluan harian dengan kualiti yang baik.

“Contohnya di program SAM di Taman Tasik Cyberjaya ini, selain masyarakat dapat bersenam mereka berpeluang untuk membeli keperluan seperti ikan dan tidak perlu ke pasar.

“Di daerah Sepang kawasan agak luas dan sekiranya ada permintaan kita tiada masalah untuk mempertimbangkannya dan sedia memberi kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Abd Hamid mengiringi EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim ke tapak jualan SAM di Taman Tasik Cyberjaya hari ini bersama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor Aiaida Abdul Rashid.

Program SAM adalah kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Fama yang sudah bermula sejak tiga tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM5.2 juta.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang: 268 jenazah mangsa Covid-19 dikebumi di Raudhatul Baqi’

SHAH ALAM, 30 SEPT: Seramai 268 jenazah pesakit Covid-19 telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ Cyberjaya di sini sejak 31 Julai sehingga Isnin lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain berkata daripada jumlah itu 153 jenazah adalah lelaki dan 115 wanita.

“Seramai 132 jenazah adalah rakyat Malaysia manakala 137 lagi warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurutnya jumlah pengurusan pembakaran mayat mangsa Covid-19 terkumpul di Krematorium Sepang, Tanah Perkuburan Bersepadu sejak 9 Ogos sehingga Isnin lalu adalah 93 orang.

“Ia melibatkan mayat pesakit lelaki seramai 66 orang dan 27 wanita,” katanya.

Beliau menjelaskan krematorium Sepang telah beroperasi selama 51 hari iaitu bermula 9 Ogos lalu.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang periksa tahap patuh SOP 38 pasar sari, malam

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjalankan pemeriksaan tatacara operasi piawai (SOP) di 38 pasar sari dan malam sekitarnya sejak 11 September hingga Sabtu lalu.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pemantauan itu dibuat bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi syarat dan SOP.

“Kita tidak membenarkan orang awam yang belum lengkap dos vaksin termasuk remaja bawah 17 tahun tanpa penjaga hadir ke pasar sari atau malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Abd Hamid berkata operasi pemantauan terhadap semua pasar awam juga kerap dilaksana termasuk program saringan Covid-19 secara berkala dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah.

Beliau menegaskan mana-mana individu yang gagal membuat saringan di bawah program tersebut wajib melakukan saringan ujian polimeras masa nyata (RT-PCR) di klinik swasta seterusnya mengemukakan keputusan kepada penguat kuasa sebelum memulakan perniagaan.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang sumbang lebih RM20,000 untuk tabung kemanusiaan Palestin

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyumbang sebanyak RM24,000 kepada Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu rakyat Palestin.

Manakala, Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain pula menghulur RM11,000 sebagai tanda solidariti kepada rakyat negara berkenaan.

“MPSepang prihatin dengan pergolakan berlaku di negara itu dan selaras dengan saranan Kerajaan Selangor kita setuju untuk menyumbang sedikit bantuan,” kata pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan Negeri menubuhkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin sejak 19 Mei dengan sasaran kutipan RM1 juta bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Bantuan berkenaan dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan mereka.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh membuatnya melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Categories
PBT SELANGOR

Tiada kompaun babit aktiviti bazar Ramadan di Sepang

PUTRAJAYA, 2 MEI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) tiada mengeluarkan sebarang kompaun terhadap pengunjung dan peniaga bazar Ramadan atas kesalahan mengingkari tatacara operasi piawai (SOP) setakat Jumaat lalu.

Yang dipertuanya berkata pihaknya mengambil pendekatan menasihati dan menegur orang ramai jika berlaku pelanggaran SOP berbanding mengenakan tindakan serta-merta.

“Saya berpuas hati kerana lebih 60 peratus pengunjung dan peniaga mematuhinya dengan memakai pelitup muka, mengawal penjarakan fizikal termasuk arahan larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 12 tahun mengunjungi bazar.

“Diharap kesedaran masyarakat terus meningkat, namun kawalan sepanjang masa akan dibuat bagi memastikan operasi berjalan lancar. Jika perlu, kita akan buat siar raya supaya pelanggan tidak berada di gerai juadah terlalu lama,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Iftar bersama media dan ketua jabatan MPSp 2021 di Hotel Le Meridien di sini Jumaat lalu.

Bermula 20 April, Kerajaan Negeri menyelaras semula penguatkuasaan SOP seluruh bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi mengelak kluster baharu serta gelombang keempat Covid-19.

Ketetapan baharu antaranya melibatkan laluan sehala, pelaksanaan sistem bernombor, mengehadkan bilangan pengunjung dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan.

Sementara itu, Abd Hamid berkata program berbuka puasa dianjurkan sebagai menghargai peranan pengamal media yang banyak menerbitkan artikel dan maklumat berkaitan MPSp.

“Walaupun maklumat boleh diperoleh daripada media sosial tetapi peranan media cetak dan elektronik penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan betul.

“Memandangkan Sepang antara PBT yang sedang membangun, jadi maklumat pembangunan, aktiviti serta hal ehwal pentadbiran ini perlu disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Gagal patuh SOP, amaran lisan kepada 24 penjaja

SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) memberi amaran lisan kepada 24 penjaja berikutan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di tapak perniagaan sementara Taman Mas, Puchong.

Yang dipertuanya berkata tindakan tersebut dikenakan menerusi operasi pemantauan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan Jabatan Penguatkuasa pada Jumaat lalu.

“Kesalahan dikesan antaranya tidak menyediakan pengimbas kod QR MySejahtera dan penyukat suhu,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata dua pasar raya yang beroperasi sekitar Jalan Mas turut diberi amaran sama kerana didapati tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya, sebanyak 60 pemantauan dijalankan di bengkel, kedai runcit dan stesen minyak di Jalan Dagang Mas serta Jalan Industri Mas.

“Tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas semua premis kerana mematuhi SOP,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

MPSepang: RM9,300 untuk Anugerah Kebun Komuniti @Sepang

SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyediakan hadiah keseluruhan RM9,300 bagi Anugerah Kebun Komuniti @Sepang 2020.

Yang dipertuanya berkata tiga kategori dipertandingkan iaitu komuniti yang akan memenangi wang tunai RM4,500 serta sekolah rendah dan menengah masing-masing RM2,400 dalam bentuk insentif pertanian.

“Program ini bagi menggalakkan mereka menghasilkan kebun komuniti masing-masing dengan harapan dapat menjana ekonomi sendiri.

“Ia juga merupakan susulan daripada pandemik Covid-19 dan diharapkan aktiviti ini sedikit sebanyak membantu komuniti setempat dengan pergerakan terbatas,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata tarikh tutup penyertaan pada 30 November depan dan mereka berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang http://smart.mpsepang.gov.my atau Facebook rasmi MPSepang.

“Peserta boleh mendaftar dengan mengisi borang secara dalam talian serta memuat naik laporan Kebun Komuniti untuk penilaian dan dikemukakan kepada urusetia dengan kadar segera,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Karnival bantu MPAJ promosi kempen bebas plastik

SHAH ALAM, 14 DIS: Karnival Kepenggunaan dan Keusahawanan peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diharap mampu mencapai matlamat utama mempromosi kempen bebas beg plastik serta polisterina dalam kalangan komuniti di Selangor.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, karnival sehari itu sebagai pendekatan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menjayakan kempen ‘Pelan Hala Tuju Malaysia Menuju Penggunaan Sifar Plastik 2018-2030’.

“Ini sekali gus dapat membantu mengatasi masalah pemanasan global yang semakin meruncing menerusi pendedahan secara menyeluruh berhubung isu kepenggunaan.

“Program ini turut memberi pendedahan kepada setiap lapisan masyarakat untuk mengendalikan sisa buangan yang boleh dikitar semula dan minyak masak terpakai bagi membantu sistem pembuangan sisa pepejal secara lebih teratur serta menjimatkan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program dirasmikan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham di pekarangan letak kereta di Melawati Mall, Ampang dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Hilman menyifatkan penganjuran karnival berkenaan sebagai langkah membentuk budaya masyarakat lebih prihatin terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar dan amalan kitar semula serta hak kepenggunaan.

“Ia dapat membantu merancakkan perkembangan ekonomi negara terutama golongan peniaga menjana pendapatan dengan hasil jualan mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPAJ kumpul 35 kg sehari lebihan makanan bazar Ramadan

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 16 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya mengumpulkan hampir 35 kilogram (kg) makanan lebihan di bazar Ramadan Pandan Indah, tahun ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, bagaimanapun jumlah itu didapati berkurangan berbanding tahun lalu yang mencecah sehingga 100 kg sehari.

“Apabila jumlah kutipan lebihan makanan ini semakin kurang, ia adalah kesan positif kerana berkemungkinan peniaga telah merancang untuk mengurangkan pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Bazar Ramadan Mampan MPAJ 2019 di Taman Melur, di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Talha.

Pada program yang sama, MPAJ turut melancarkan Program MYsaveFOOD@Ramadan MPAJ 2019 yang bertujuan mencegah pembaziran sumber makanan yang masih elok di bazar Ramadan dari dibuang ke tong sampah.

Abd Hamid berkata, program itu dijalankan sejak 2018 dan berjaya mengumpulkan sebanyak 770.1 kg lebihan makanan yang masih elok sepanjang Ramadan.

Katanya, makanan itu kemudiannya disumbangkan kepada masyarakat yang lebih memerlukan di sekitar Ampang.

“Pada tahun ini, MPAJ merasakan program berkenaan masih relevan diteruskan dan kerana itulah kita meletakkan satu lagi tapak iaitu di Kompleks Muhibbah dan Bukit Indah.

“Sewajarnya semua bazar Ramadan melaksanakan program ini, namun rangka kerja lebih efisyen perlu dilakukan lebih teliti kerana bukan mudah untuk mendapat lebih ramai sukarelawan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Lebih 8,000 pemilik premis perbaharui lesen perniagaan MPAJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 JAN: Seramai 8,546 pemegang lesen di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat pembaharuan lesen premis perniagaan, setakat 31 Disember tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,186 atau 61 peratus pemegang lesen membuat pembayaran melalui sistem ICOMM dengan menggunakan perbankan dalam talian (online banking), kad debit dan kad kredit.

“Pembaharuan lesen daripada pemilik premis perniagaan membabitkan jumlah kutipan keseluruhan RM5.3 juta.

“Manakala, peningkatan hasil daripada kutipan terbabit sebanyak RM771,252.52 dengan kadar kenaikan jumlah pembaharuan lesen sebanyak 1,008 pemilik premis.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bil.1/2019, di Menara MPAJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata, sebanyak 330 pemegang lesen premis perniagaan membuat pembaharuan lesen 2019 di Kaunter Lobi MPAJ dengan kadar denda RM200, sehingga 17 Januari lalu.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan bermula Januari terhadap pemilik premis perniagaan yang gagal membuat pembaharuan lesen di bawah Peruntukan Undang-Undang Kecil MPAJ 2007.

Categories
SELANGOR

2,593 kes denggi, MPAJ ‘Search & Destroy’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 24 DIS: Sebanyak 2,593 kes denggi dicatatkan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan tiga kes kematian dilaporkan sehingga 18 Disember lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya turut mengenal pasti dua tempat panas (lokaliti hotspot) bermula minggu epid ke-51 sehingga kini.

“Lokasi ini termasuk Bandar Baru Ampang iaitu Jalan Wawasan 2/1, 2/8, 2/10 dan 2/12 mencatatkan 15 kes serta tempoh wabak melangkaui 45 hari.

“Manakala, lokaliti hotspot kedua di Kampung Tasik Tambahan iaitu Jalan Tasek Tambahan 3, 3/1 hingga 3/5 membabitkan tujuh kes serta 30 hari tempoh wabak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh di Bilik Mesyuarat 1, Menara MPAJ, di sini, hari ini.

Abd Hamid berkata, sebagai tindakan kawalan, MPAJ akan lebih agresif dalam menjalankan Pemeriksaan dan Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP) menggunakan konsep ‘Search & Destroy’.

Katanya, ia dilakukan di sekitar 200 radius dari lokaliti kes sporadik dan wabak dengan melakukan pemeriksaan terhadap tapak bina, tanah atau lot kosong, padang permainan, kawasan rekreasi, institusi pendidikan juga kawasan tumpuan awam.

“Kita juga meneruskan pendekatan ekosistem yang bermula pada 20 Jun tahun lalu bagi mengenal pasti lokasi yang bermasalah dan berpotensi menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi.

“Bagi aktiviti promosi dan pendidikan di sekolah pula, selain ceramah berkaitan denggi, pameran, PTP dan pengedaran risalah, pihak jabatan juga menyediakan forum keselamatan dan kesihatan bagi mengatasi serangan virus demam denggi dengan kerjasama Bahagian Alam Sekitar,” katanya.

Katanya, MPAJ turut mengadakan pertandingan gubahan ‘Flower Ovitrap’ bersama JKP dan penduduk yang memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai salah satu tindakan kawalan pencegahan denggi.