Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: 5,000 individu terima dos penggalak percuma takat hari ini

SHAH ALAM, 16 DIS: Seramai 5,000 individu negeri ini menerima dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka itu membuktikan semangat rakyat Selangor mengekang wabak Covid-19 yang boleh mengancam kesejahteraan negeri.

“Bagi menjamin warga Selangor mendapat akses kepada perlindungan optimum terhadap virus Covid-19, Kerajaan Negeri menawarkan dos penggalak secara percuma menerusi Selvax Booster.

“Sehingga 13 Disember lepas, seramai 33,358 warga Selangor telah mendaftar di aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), menggambarkan sambutan sangat menggalakkan,” tulisnya di Facebook hari ini.

Pada 7 Disember lalu, Amirudin mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program itu mulai 8 Disember.

Menurutnya, individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

Senarai klinik yang terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi SELangkah.