Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sirim, Turkish Aerospace meterai kerjasama bangun ekosistem industri aeroangkasa

SUBANG, 26 NOV: Sirim Berhad dan Turkish Aerospace menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan ekosistem industri aeroangkasa di Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 semalam.

Kedua-dua syarikat itu antara 43 syarikat pempamer yang terlibat dalam acara yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata kerjasama antara kedua-dua pihak mempercepatkan penggunaan teknologi termaju berkaitan dengan aeroangkasa seperti dron ataupun pesawat udara tanpa pemandu.

“Kita berharap dengan kerjasama ini juga dapat membangunkan rangka kerja teknologi strategik perniagaan antarabangsa berkaitan dengan industri aeroangkasa dan mengenal pasti penyelesaian penuh bagi pelaksanaan projek perindustrian pembuatan pintar Industri 4.0.

“Selain itu, kita juga akan menerokai pembangunan kepakaran penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi industri aeroangkasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Terdahulu, Ahmad Sabirin mewakili Sirim Berhad manakala Turkish Aerospace diwakili Pengarah Pejabat Industri Aeroangkasa Turki Malaysia (TUSAS) Muhammad Najmi Ibrahim dan disaksikan Naib Presiden Sirim Dr Zanariah Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries Prof Temel Kotil.

SAS 2021 membuka tirai semalam di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark dengan penyertaan 43 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Acara selama tiga hari menampilkan pemain industri terkemuka seperti Aerodyne Geospatial Sdn Bhd, Turkish Aerospace Industry dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

Bertemakan ‘Selangor, the ASEAN Business & General Aviation Hub’, pameran dibuka selama dua hari untuk pemain industri manakala hari terakhir bagi kunjungan awam.