Categories
SELANGOR

JAIS sahkan tempat sembelih ayam viral tiada sijil halal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan pusat sembelihan ayam yang menjadi tular di media sosial tidak mempunyai sijil halal.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati pusat sembelihan terbabit juga dimiliki orang bukan Islam.

“Bekalan ayam disembelih dijual kepada orang bukan Islam, jadi saya nasihatkan supaya orang ramai tidak gelisah kerana ayam ini tidak dijual kepada orang Islam.

“Oleh itu janganlah membuat pelbagai spekulasi kerana kita turut mempunyai pusat penyembelihan ayam yang mempunyai sijil halal dan ia dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM),” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman video berdurasi tiga minit 40 saat memaparkan seorang pekerja menyembelih beberapa ekor ayam tanpa mengikut hukum syarak sebelum dibiarkan mati dengan mencampakkannya ke dalam bekas besar berisi air.

Kejadian dipercayai berlaku di Seri Kembangan itu turut menunjukkan ayam yang telah disembelih diuruskan di atas lantai simen yang dipenuhi darah oleh beberapa pekerja lain.

Haris berkata, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya bertindak bijak sebelum meviralkan sesuatu isu.

Katanya, ia berikutan video terbabit mendatangkan rasa takut kepada masyarakat untuk membeli ayam.

“Sebenarnya terdapat banyak lagi bekalan ayam yang mempunyai sijil halal dan boleh dipilih di pasaran.

“Jadi berhati-hatilah sebelum meviralkan sesuatu isu dan sebaiknya semaklah dulu sebelum ia dipaparkan untuk tontonan umum,” katanya.

Categories
SELANGOR

JAIS: Kes khalwat turun, namun masih membimbangkan

 

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerima 1,017 aduan berkenaan kes khalwat dan 1,111 kes tangkapan direkodkan sepanjang 2017.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, katanya angka itu menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 1,106 kes aduan khalwat dan 1,408 tangkapan direkodkan.

Haris berkata, walaupun statistik menurun, namun ia masih ditahap membimbangkan dan semua pihak perlu bekerjasama memastikan gejala itu dibendung dan dikurangkan.

“Hampir setiap hari kita menerima lebih daripada tiga aduan mengenai kes ini.

“Perkara ini harus dipandang serius kerana gejala khalwat adalah punca kes remaja hamil luar nikah dan kemudian melahir anak tidak sah taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023 di Bangunan Sultan Idris Shah, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 532,158 kelahiran anak luar nikah didaftarkan sepanjang 2005 hingga 2015.

“Di Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri melaporkan 1,603 remaja berumur 10 hingga 19 tahun hamil tanpa nikah sepanjang tempoh 2012 ke 2015.

“JAIS memandang berat masalah ini dan berusaha memastikan maqasid syariah sentiasa ditetapkan dalam segenap aspek kehidupan. Selain itu, menjaga nasab adalah penting mengelak berlaku kecelaruan dalam salasilah keturunan masyarakat Islam.

“Pelaksanaan Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023 adalah antara inisitif khusus menangani gejala itu,” katanya.

Categories
SELANGOR

JAIS-MAH tampal pelekat bendung khalwat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Malaysian Association of Hotels (MAH) menggunakan pendekatan menampal pelekat sebagai inisiatif membasmi gejala maksiat di semua hotel negeri ini.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, pelan tindakan itu diambil bagi mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya menjauhi anasir buruk dan perlakuan tidak bermoral.

“Buat masa ini kerjasama dibuat melibatkan lebih 200 persatuan hotel, namun Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan juga perlu dipatuhi.

“Pelekat diletakkan di satu notis kesedaran terutama di ruang utama tempat pendaftaran hotel supaya mereka yang berniat melakukan maksiat berfikir dua kali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023 di Bangunan Sultan Idris Shah, pagi tadi.

Dalam pada itu, Haris turut mengingatkan pihak hotel memberi kerjasama dengan menghubungi JAIS jika melihat mana-mana individu mencurigakan mengunjungi hotel.

Categories
SELANGOR

FHS 2017: Medan usahawan luas pasaran, rancak industri halal

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR BARU BANGI, 1 DIS: Festival Halal Selangor (FHS) 2017 mebuka ruang dan peluang kepada usahawan tempatan meluaskan pasaran serta meningkatkan industri halal di Selangor.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, penganjuran festival itu adalah salah satu usaha JAIS mempromosikan industri halal tempatan di dalam negara ini khususnya di Selangor.

“JAIS bertanggungjawab untuk membantu industri halal melalui usaha membina imej produk halal sekali gus mempromosi penggunaan produknya dan pendidikan kepenggunaan barangan halal.

“Penganjurannya pasti akan menjadi landasan bagi memberi kesedaran kepada pengguna sert maklumat dalam setiapaspek berkaitan pengurusan halal di Selangor.

“Ia sekali gus menyedarkan masyarakat berhubung peranan JAIS yang semakin berkembang dan penting khususnya bagi menjamin kehidupan diredhai Allah melalui sumber makanan dan keperluan harian yang halal,” katanya dalam majlis FHS 2017 di sini, semalam.

Majlis perasmian FHS 2017 disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Bahagian Pengurusan Halal JAIS menerima 2,559 permohonan bagi mendapatkan pensijilan halal di mana 1,098 teleh diluluskan, manakala 1,149 ditolak kerana tidak memenuhi syarat dan piawai ditetapkan.

“Secara keseluruhan, terdapat 4,032 pemegang sijil halal di Selangor dan ini membuktikan permintaan terhadap produk dan barangan halal adalah tinggi di negeri ini.

“Ia bukan sahaja kepada orang Islam semamta-mata malah turut membabitkan orang bukan Islam,” katanya.

Categories
SELANGOR

JAIS: 1,667 Guru Rakyat diserap ke jawatan Guru KAFA

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhasrat menyerap 1,667 Guru Rakyat ke jawatan Guru KAFA dengan memohon kelulusan Kerajaan Negeri.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, jumlah guru tetap di sekolah JAIS adalah 2,500, guru kontrak 400 manakala KAFA seramai 6,000.

“Manakala kekosongan jawatan guru KAFA diisi 1,667 Guru Rakyat dengan elaun dibayar pihak sekolah dan ibu bapa.

GURU KAFA“Oleh itu JAIS berhasrat menyerap mereka ke jawatan Guru KAFA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru ke 46 JAIS di stadium melawati Shah Alam, di sini hari ini.

Katanya, perkara itu melibatkan peruntukan berjumlah RM32 juta setahun.

Difahamkan, di Selangor terdapat sebanyak 593 sekolah yang digerakkan oleh 10,010 guru untuk mendidik hampir 253,000 murid.

Haris berkata, angka itu sentiasa bertambah setiap tahun.

“JAIS sentiasa memandang serius terhadap angka yang semakin meningkat itu dengan memberi pelbagai fokus antarnya aspek penambahan Guru KAFA, kebajikan serta pembangunan sekolah dan kurikulum,” katanya.