Categories
SELANGOR

MB ucap selamat bertanding PRU-14 kepada semua Exco

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 APR: Barisan exco di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berjaya membuktikan perbezaan politik bukan penghalang untuk duduk semeja bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, malahan Mohamed Azmin turut mengucapkan selamat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada semua exco.

Katanya, ucapan itu dizahirkan Mohamed Azmin pada mesyuarat terakhir Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pagi tadi.

“Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat bertanding kepada semua Exco dan berharap mempertahankan prinsip-prinsip dibawa Kerajaan Negeri selama ini.

“Kami dapat duduk semeja kerana kami mengutamakan kepentingan rakyat dan melupakan perbezaan politik,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri memegang prinsip memberi pembelaan dan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding politik kepartian.

Kerajaan Negeri ditadbir Barisan Alternatif dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas berjaya menyingkirkan Barisan Nasional (BN) pada PRU-12 pada 2008.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri pada September 2014 berjaya mengemudi Kerajaan Negeri dalam satu pasukan yang padu.

Rata-rata penganalisis politik pada masa itu menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang menakjubkan dan amat sukar untuk direalisasikan oleh kebanyakkan pihak lain.

Categories
SELANGOR

BN ‘beri muka’ kepada pemaju bina rumah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 FEB: Pemaju ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) boleh membina rumah harga bebas tanpa perlu membina rumah mampu milik atau rumah kos rendah terlebih dahulu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan rumah kos rendah di bawah pentadbiran BN tidak terbina, sehingga hari ini.

Katanya, hal itu sama sekali berbeza dengan Kerajaan Negeri hari ini yang sentiasa memantau pergerakan pemaju setelah mendapat kelulusan membina Rumah Selangorku.

“Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku sentiasa memantau pemaju yang mendapat kelulusan dan memberi peringatan serta notis apabila terdapat projek lewat.

“Malah, hanya apabila tiada tindakan dari pemaju, kelulusan akan dibatalkan dan mereka tidak boleh memulakan pembinaan rumah harga bebas, pada projek sama,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri hari ini mewajibkan pemaju membina Rumah Selangorku terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

Pada masa sama, katanya, tindakan BN mempolitikkan keputusan Kerajaan Negeri membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku adalah usaha menutup kelemahan mereka.

“Pembatalan sembilan projek itu menunjukkan jawatankuasa bertanggungjawab melaksanakan tugas mereka.

“Pemaju yang dibatalkan kelulusan Rumah Selangorku perlu mendapatkan kelulusan semula dan memulakan pembinaan Rumah Selangorku sebelum boleh membina rumah harga bebas,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

BN gagal bina 19,351 rumah kos rendah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 FEB: Sejumlah 19,351 unit rumah kos rendah membabitkan 56 projek gagal dilaksanakan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), di Selangor sebelum 2008.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, mengikut rekod Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), jumlah itu hanya diluluskan pada peringkat awal tetapi akhirnya tanah terbabit dijual kepada pemaju lain.

“Pembinaan rumah kos rendah itu diluluskan ketika zaman BN tetapi ditangguhkan dan lebih rumit apabila terdapat pemaju yang menjual tanah atau projek kepada pemaju lain.

“Kemudian, pemaju baru itu tidak membina rumah kos rendah atas alasan mereka tidak mengetahui terdapat syarat membinanya,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, jika pemaju diberi amaran seperti pentadbiran hari ini, mereka tidak akan menangguhkan pembinaan rumah kos rendah sehingga bertahun lamanya.

Beliau turut menyifatkan Kerajaan BN sebelum ini takut untuk mengambil tindakan ke atas pemaju.

“Justeru, bukan Kerajaan Negeri hari ini yang gagal tetapi BN.

“Berbeza dengan Kerajaan Negeri selepas 2008, kita bersedia mengambil tindakan ke atas pemaju yang tidak serius membina Rumah Selangorku,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penyelesaian masalah penduduk DUN Chempaka jadi keutamaan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad menjelaskan pihaknya dan agensi berkaitan memberi penekanan bagi menyelesaikan permasalahan dihadapi penduduk di kawasan DUN berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak dalam menangani isu itu akan memudahkan lagi segala tindakan demi kebaikan rakyat.

“Saya melahirkan rasa gembira terhadap sokongan dari pelbagai pihak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

“Segala permasalahan dan persoalan ditujukan penduduk sekitar akan segera diselesaikan setiap agensi,” katanya.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata demikian dalam dialog bersama penduduk di Karnival Rakyat di Pangsapuri Merpati A, Pandan Indah, di sini, hari ini.

Dialog itu ialah acara kemuncak dijayakan bersama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Chempaka, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Daerah Hulu Langat, Jabatan Bomba dan polis.

Karnival terbabit dijayakan Majlis Permuafakatan Prihatin Rakyat Selangor (MPRS) dengan kerjasama PKM DUN Chempaka mendapat sambutan meriah di kalangan penduduk sekitar.

Ia menyediakan pelbagai acara menarik untuk disertai kanak-kanak dan ibu bapa serta penduduk.

Categories
SELANGOR

Nasib Town Park, Pandan Indah dibincang 26 Januari

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 JAN: Satu mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan diadakan, pada 28 Januari ini bagi mencari penyelesaian baik pulih kemudahan di Town Park, Pandan Indah.

Ahli Dewan negeri Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, beliau sudah melawat kawasan berkenaan, pada 18 Januari lalu dan melihat sendiri beberapa kerosakan kemudahan awam, termasuk kawasan pejalan kaki yang dibanjiri air.

“Saya melihat sendiri masalah dihadapi mereka yang menggunakan taman terbabit.

“Town Park adalah antara kawasan riadah yang popular di Pandan Indah dan MPAJ mesti memastikan kemudahan di sana berada dalam keadaan sempurna,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan beberapa keping foto dikongsikan, Iskandar turut mendapatkan maklumat daripada orang awam yang menggunakan kemudahan, di situ untuk dipanjangkan dalam mesyuarat akan datang.

Categories
SELANGOR

MPAJ diminta pantau kerja kontraktor, utama keselamatan penduduk

OLEH HAFIZAN TAIB

KULA LUMPUR, 4 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diminta memastikan kontraktor menjalankan kerja pembentungan dengan mengutamakan keselamatan penduduk di Taman Angsana Hilir, di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ia berikutan kerja menaik taraf pembentungan dilakukan di kawasan itu didapati tidak dilaksanakan dengan sempurna.

“Saya meminta MPAJ memberi tekanan kepada kontraktor untuk memastikan keselamatan penduduk tidak terancam akibat kerja pembentungan itu.

“Ini kerana selepas kerja selesai, kawasan diturap atau ditutup tidak sama paras dengan permukaan jalan di sekeliling dan ia menjadi tidak rata,” katanya.

Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar berkata, hasil kerja tidak sempurna itu boleh mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya terutamanya penunggang motorsikal.

Katanya, terdapat juga lokasi yang menjadi tempat air bertakung.

“Ini sama ada boleh menyebabkan kemalangan atau menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Pejabat saya telah menghubungi kontraktor terbabit dan mengadakan perbincangan dengan mereka,” katanya ekoran penduduk berhadapan dengan pelbagai kesusahan ketika kerja pembentungan dijalankan.

Katanya, nasib penduduk kini boleh dianggap bagai jatuh tangga ditimpa tangga.

Categories
SELANGOR

1,000 peserta meriahkan Fun Walk DUN Chempaka

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JAN: Kira-kira 1,000 orang menyertai Fun Walk 10,000 langkah anjuran Pusat Khidmat DUN Chempaka.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, program yang bermula sejak malam 31 Disember itu dimulakan dengan Solat Berjemaah dan solat hajat.

Katanya, ia kemudian di serikan dengan persembahan Kelab Teater Pandan dan Forum Perdana Khas menampilkan penalis seperti Brother Shah Kirit Govingier dan Dr Ann Wan Seng.

“Sambutan Ambang Tahun baru 2018 disambut meriah oleh masyarakat pelbagai kaum di Pandan Selangor.

“Kemuncaknya diakhiri dengan Selawat Nabi dan Doa Awal Tahun Baru yang dipimpin oleh Hafiz Razak selaku Pegawai Khas ADN Chempaka.

“Program diteruskan disebelah pagi tahun baru 2018 dengan Program Fun Walk 10,000 langkah yang terbuka kepada semua lapisan umur,” katanya.

Beliau berkata, 500 helai t-shirt turut diberikan percuma kepada peserta mendaftar awal dan program bertemakan Selamatkan Bumi kita disertai pelbagai Kaum.

Turut bersama didalam program Fun Walk 10,000 langkah ialah Yang Dipertua Majlis Ampang Jaya, Hamid Hussein serta Pegawai Bomba dan Polis Pandan Indah.

Peserta diberi sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan dari pihak pengajur. Seramai 50 peserta terpilih dari undian menerima hadiah cabutan bertuah semasa majlis penutup Fun Walk.

Iskandar turut bersyukur diatas sambutan luar biasa dari peserta Fun Walk dan berharap akan meneruskan kesinambungan program seperti ini dimasa hadapan.

Categories
SELANGOR

Pemaju tiada hak paksa pembeli terima pakej ‘upgrading’

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 DIS: Pemaju tidak dibenarkan menaikkan harga rumah kos rendah atau Rumah Selangorku jenis A dan mesti dijual dengan harga RM42,000 atau RM35,000 bagi bekas peneroka bandar yang layak.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri menerima aduan terdapat pemaju memaksa dan mengugut pembeli menerima pakej ‘upgrading’ dengan bayaran tambahan sehingga RM30,000.

Katanya, pembeli kononnya dijanjikan bakal mendapat kemasan lantai, dinding, siling dan kelengkapan rumah yang lebih baik dengan pakej itu.

“Pembeli berkemungkinan boleh mendapat ‘upgrading’ ini dengan harga yang lebih murah jika melantik kontraktor mereka sendiri.

“Mereka mesti melaporkan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) jika terdapat pemaju yang memaksa mereka menerima pakej berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, pemaju juga tidak boleh mengugut membatalkan perjanjian jual-beli jika pembeli enggan menerima pakej itu.

Katanya, pembeli juga dinasihat membuat laporan polis jika pemaju memaksa mereka dengan menggunakan kekerasan atau ahli kongsi gelap.

“Pakej ‘upgrading’ ini merupakan taktik licik dalam kalangan pemaju untuk menaikkan harga rumah kos rendah.

“Kerajaan Negeri akan bertindak tegas termasuk mengeluarkan notis berhenti kerja, menahan kelulusan Kebenaran Merancang atau Pelan Bangunan untuk projek Rumah Selangorku atau projek rumah harga bebas.

“Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan juga diharap dapat mengambil tindakan tegas seperti menarik balik atau menggantung lesen pemaju,” katanya.

Untuk makluman, LPHS boleh dihubungi menerusi talian 03 5510 3924, 03 5510 3487, 03 5544 7537 atau 03 5510 2177.

Orang ramai juga boleh faks ke 03 5513 5568 / 03 5510 0798 atau emel [email protected], [email protected], [email protected] atau [email protected].

 

Categories
SELANGOR

Selangor profesional lulus projek perumahan Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Walaupun berdepan konfrontasi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, namun Kerajaan Negeri tetap bertindak profesional demi kepentingan rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, hal itu dapat dilihat apabila Kerajaan Negerimeluluskan tiga projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), di Rawang membabitkan 800 unit.

“Pagi ini kita adakan mesyuarat dengan Ketua Unit PPA1M, Ismail Che Hassan di Bangunan SUK dan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku dipengerusikan saya meluluskan tiga projek PPA1M, di Rawang membabitkan 800 unit.

“Siapa kata Kerajaan Negeri tidak boleh bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan? Mungkin sebab PPA1M tidak di bawah Kementerian Perumahan tetapi di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya dalam status terbaru di Facebooknya.

Sementara itu, bercakap kepada SelangorKini, Iskandar berkata, Kerajaan Negeri mengamalkan sikap menolak sentimen politik dalam memastikan kebajikan rakyat Selangor terbela.

Katanya, amalan itu menyebabkan Kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan PPA1M dan Perumahan Rakyat
1Malaysia (PR1MA) dengan baik dan berkesan.

“Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan PPA1M dan PR1MA tetapi menteri perumahan mengambil sikap konfrontasi dengan kerajaan negeri.

“Banyak masalah rakyat seperti di PPR Lembah Subang dapat diselesaikan jika menteri perumahan bersifat lebih sopan dan terbuka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sabotaj projek pusat warga emas seperti isytihar perang

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 NOV: Tindakan pihak tertentu merosakkan projek pembinaan pusat kegiatan warga emas di Taman Nirwana, Ampang seperti mengisytiharkan perang kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan sabotaj itu dilakukan sehari selepas majlis pelancaran permulaan projek berkenaan.

“Pada 17 November lalu, majlis permulaan kerja berlangsung bagi Pusat Kegiatan Warga Emas di Taman Nirwana, Ampang.

“Bagaimanapun, kakitangan saya datang ke tapak itu Sabtu lalu dan mendapati tembok bata dibina di situ dipecahkan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, tapak projek tersebut adalah bekas tapak sebuah restoran yang tidak disambung lesen pendudukan sementaranya oleh Kerajaan Negeri.

“Saya memandang serius tindakan sabotaj ini kerana ia merupakan pengisytiharan perang ke atas rakyat terutamanya warga emas. Kita tidak boleh biarkan sesiapa sahaja menghalang Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan untuk rakyat.

“Di zaman BN, tapak tersebut dimanfaatkan untuk individu tetapi di bawah Kerajaan Negeri hari ini ia akan dimanfaatkan untuk seluruh rakyat,” katanya sambil menambah terdapat bantahan terhadap pembinaan projek berkenaan,” katanya.

Iskandar turut memohon Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Kampung Pandan, Ahli Jawatankuasa Masjid Nurul Hidayah dan Surau Darussalam berhampiran tapak projek tersebut membuat kawalan agar projek berjaya dilaksanakan.

“Saya dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Hamid Hussain, telah menerima surat membantah pembinaan di atas tapak tersebut.

“Diharapkan polis dapat menyiasat sama ada terdapat hubungan di antara sabotaj dan (surat) bantahan ini,” katanya.

Sehubungan itu, Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka menawarkan RM1,000 kepada pemberi maklumat berkenaan pihak tidak bertanggungjawab di talian 03-92014411 pada waktu pejabat.

Menurut Iskandar, pembinaan pusat itu adalah melalui peruntukan ADN Chempaka, MPAJ dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pusat kegiatan warga emas itu dijangka dilengkapi dengan gelanggang refleksologi, mesin senaman dan wakaf.

Categories
SELANGOR

Selangor ‘gentleman’ lulus projek Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 26 OKT: Dakwaan Kerajaan Negeri sengaja bermain politik dan melengahkan usaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membina rumah mampu milik, di Selangor adalah tidak benar.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bersikap terbuka asalkan projek dijalankan membawa manfaat langsung kepada rakyat.

Katanya, pihak berkenaan juga sepatutnya menyemak dahulu rekod sebelum melemparkan tuduhan tidak berasas.

“Sudah banyak projek KPKT kita luluskan dan baru sebentar tadi kita luluskan projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, sebelum ini projek Perumahan Rakyat 1Malaysia.

“Walaupun kita diserang saban hari tetapi kita tidak berdendam dan masih meluluskan projek mereka kerana Selangor ‘gentleman’,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail mendakwa Kerajaan Negeri sengaja mensabotaj usaha KPKT membina 51,000 unit rumah, di Selangor.

“Kerajaan Negeri juga mungkin takut jika KPKT lebih menonjol dalam membantu rakyat memiliki rumah mampu milik.

“Terlalu banyak dolak-dalik diberikan Kerajaan Negeri seolah sengaja mahu melambatkan kelulusan terhadap usaha Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ masih selanggara PPR Taman Putra Damai, penduduk perlu bekerjasama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih menyelenggarakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang dan penduduk diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata MBPJ masih mengendalikan segala perkara berkaitan termasuk kerja pembersihan biarpun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendakwa mengambilalih PPR berkenaan.

“PPR itu masih di bawah MBPJ maka penduduk perlu membayar sewa mereka kepada MBPJ dan bukan KPKT.

“Sekiranya penduduk membayar kepada KPKT dan kutipan sewa MBPJ tidak mencukupi untuk menanggung kos penyelenggaran maka penduduk akan berhadapan dengan masalah kerana KPKT tidak akan melakukannya,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembersihan dikendalikan empat pekerja bagi tingkat atas dan bawah dan MBPJ turut mempunyai pejabat di Blok D diuruskan Penolong Jurutera serta empat kakitangan yang bertanggungjawab menerima aduan juga bayaran sewa dari penduduk dibuka Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, MBPJ melantik dua syarikat bagi menyelenggarakan lif di PPR itu dan lif akan dipastikan berfungsi sekurang-kurangnya satu bagi setiap blok.

“Penyelenggaraan kerja mekanikal dan elektrikal ini diuruskan Jabatan Kejuruteraan MBPJ manakala terdapat juga seorang pengawal keselamatan bagi setiap blok yang disediakan PBT itu,” katanya.

Selain menguruskan penyelenggaraan, beliau berkata, MBPJ juga menggerakkan program komuniti melalui Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar (PPKB) di PPR berkenaan.

Katanya, antara program dijalankan ialah menjahit apron dan beg dari kain rentang terpakai dan membuat serta menjual kuih pau.

“Oleh yang demikian, MBPJ bukan sahaja prihatin terhadap penyelenggaraan bangunan tetapi pembinaan komuniti,” katanya.

=EZY=