Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

MB: Waris mangsa maut akibat tanah runtuh terima bantuan minggu depan

HULU SELANGOR, 12 MAC: Kerajaan Negeri akan segera menyalurkan bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini kelmarin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bayaran itu akan dibuat kepada keluarga mangsa selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu.

“Fokus utama kita adalah memastikan kawasan insiden selamat dan diikuti dengan bantuan. Ketika bencana, langkah awal adalah menyelamatkan nyawa dan kemudiannya sumbangan serta sokongan kepada keluarga dan waris mangsa terjejas.

“Jumlah keseluruhan bantuan perlu diputuskan tetapi yang pasti keluarga mangsa yang meninggal dunia akan menerima RM10,000 dan ia akan diserahkan dalam tempoh seminggu,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini.

Semalam, ketika meninjau lokasi tanah runtuh Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengagihkan bantuan segera sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut.

Bantuan diberi kepada waris mangsa yang meninggal dunia terlebih dahulu dan diikuti mangsa lain yang turut terjejas dengan insiden tersebut.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa manakala seorang lagi cedera ringan dan mengakibatkan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula jam 5.54 petang.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

MB positif Covid-19, kembali bertugas 8 Mac

SHAH ALAM, 1 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari positif Covid-19 berdasarkan ujian polimeras masa nyata (rt-PCR) yang dijalankan hari ini.

Menurut sekretariat akhbarnya, beliau akan menjalani kuarantin kendiri tujuh hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan sebelum bertugas semula secara rasmi pada 8 Mac.

Amirudin juga memohon maaf atas kesulitan itu dan meminta semua individu yang ada berurusannya dalam tempoh 48 jam terdahulu supaya menjalani saringan segera.

“Marilah bersama-sama kita mendoakan kesihatan beliau sekeluarga dan semua
yang turut terkesan dengan wabak Covid-19,” kata kenyataan itu lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

MB ucap takziah pemergian adik Anwar

SHAH ALAM, 1 MAC: Dato’ Menteri Besar menyampaikan ucapan takziah kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga atas pemergian adiknya hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter turut mendoakan roh Allahyarham Rusli Ibrahim dicucuri rahmat.

“Takziah diucapkan kepada Dato Seri @anwaribrahim sekeluarga atas pemergian adinda tercinta.

“Moga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Al Fatihah,” tulisnya.

Sebelum itu, ahli parlimen Port Dickson melalui media sosial sama memaklumkan adiknya itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang.

“Mohon teman-teman mendoakan rohnya diberikan tempat terbaik oleh Yang Maha Esa,” tulisnya.

Rusli, 74, dilaporkan meninggal dunia kira-kira 2.20 petang tadi akibat sakit tua selepas dirawat di hospital tersebut selama beberapa minggu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah rakyat Selangor terima vaksin cecah sejuta hari ini

SHAH ALAM 29 JULAI: Seramai 1.04 juta atau 22 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos suntikan vaksin setakat hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Berdasarkan perkongsian infografik menerusi Twitter, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sejumlah 3.97 juta dos vaksin Covid-19 diberikan di Selangor menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Daripada jumlah itu 2.93 juta atau 61.7 peratus sudah menerima dos pertama suntikan pelalian.

Infografik sama menunjukkan sebanyak 151,884 dos disuntik bawah program Vaksin Selangor (Selvax).

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Seramai 2,385 disyaki positif, lebih 56,000 sertai saringan di 28 DUN

SHAH ALAM, 28 MEI: Seramai 2,385 individu disyaki positif Covid-19 hasil saringan di 28 lokasi sepanjang bulan ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka itu dikesan daripada 56,463 individu yang menyertai Program Saringan Komuniti secara percuma antara 8 Mei hingga 27 Mei.

Jumlah keseluruhan itu dikongsi beliau menerusi Facebook yang merangkumi keputusan saringan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan DUN Kota Damansara semalam.

Berdasarkan perkongsian Amirudin, seramai 49 daripada 2,548 individu di DUN Kota Anggerik disyaki positif manakala saringan di DUN Kota Damansara mengesan 103 disyaki positif daripada 3,017 individu.

Program saringan hari ini bertempat di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam dan Dewan MPK, Meru Klang.

Esok, saringan diteruskan di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali dan Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. Semua saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
SELANGOR

Kerjasama Selangor-ESMT beri tambah nilai pendidikan negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 MAC: Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan European School of Management and Technical (ESMT), di Berlin akan dirangka bagi memberi nilai tambah kepada perkembangan Selangor Business School (SBS).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, langkah itu akan membantu Selangor meningkatkan lagi sektor perkhidmatan, khususnya dalam bidang pendidikan.

“Ketika di Berlin, saya sempat melawat ESMT dan mungkin akan ada kerjasama yang akan dirangka. Tidak ketinggalan, saya juga melawat beberapa tempat lain dengan perancangan menjurus kepada teknikal dan vokasional secara keseluruhan di Jerman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Meraikan Pesara 2019 Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Dewan Sivik MBPJ di sini, malam tadi.

Tidak ketinggalan, Amirudin bersama EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Rashid Asari turut menghadiri Berlin Internationale Tourism Borse.

Katanya, pada program tahun ini, Malaysia adalah rakan kongsi penganjuran ekspo pelancongan terbesar itu.

“Selangor juga menghantar delegasi yang agak besar diketuai saya sendiri dan kita hadiri beberapa program yang fokus kepada Datuk Rashid selaku EXCO untuk mempromosi negeri sebagai destinasi pelancongan terbaik,” katanya.

Categories
SELANGOR

Biasiswa Sagong Tasi bukti PAKATAN mampu bela Orang Asal

OLEH AFIX REDZUAN

JELAI, 21 JAN: Kerajaan Selangor sudah membuktikan pembelaaan terhadap Orang Asal khususnya dalam meningkatkan taraf hidup menerusi pendidikan dengan memperkenalkan Biasiswa Sagong Tasi khususnya buat mereka melanjutkan pelajaran.

Pengerusi Majlis Pimpimpinan KEADILAN Negeri Selangor, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang kini sudah mentadbir di peringkat Persekutuan mampu melakukan lebih lagi seperti yang digerakkan Selangor.

“Kami datang ke Pilihan Raya Kecil (PRK) selaku Kerajaan Persekutuan yang dipilih rakyat pada 9 Mei tahun lalu.

“Kita datang dahulu selaku pembangkang. Orang boleh kata kita tidak mampu lakukan tetapi saya yakin kali ini kita boleh lakukan kerana kita sudah jadi Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Majlis Santai Mesra Sewang dan Masyarakat Orang Asal Pos Lanai di sini, hari ini.

Biasiswa Sagong Tasi adalah salah satu bantuan kebajikan yang terdapat dalam program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Masyarakat Orang Asal Pos Lanai terdiri daripada suku kaum Semai mempunyai 426 pengundi berdaftar.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, pengundi tidak perlu menoleh lagi dan terus memangkah calon PAKATAN, M Manogaran yang berada di kedudukan keempat dalam kertas undi ketika membuang undi pada 26 Januari hadapan.

 

 

Categories
SELANGOR

MB alukan laporan bebas, hargai peranan media

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tidak berkecil hati terhadap laporan kritikal yang dilihat tidak memihak kepada pentadbiran Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata, sebaliknya beliau percaya laporan bebas pihak media merupakan bahagian penting untuk beliau menambahbaik pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Terus terang saya tidak berkecil hati dengan laporan media sepanjang 100 hari pentadbiran saya.

“Ini kerana kebebasan media untuk memberi laporan tepat perlu dipertahankan untuk proses semak dan imbang,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Dan Hi-Tea YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Media di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sedia terima teguran dilontarkan pengamal media menerusi berita, rencana dan lain-lain.

Katanya, sudah menjadi tradisi, Selangor sentiasa mendapat tumpuan media ekoran status negeri itu penanda aras dalam pelbagai aspek khasnya sektor ekonomi.

Ketika menyentuh peristiwa bersejarah perubahan Kerajaan Persekutuan pada Mei lalu, Amirudin menyifatkannya sebagai bukti rakyat tidak mudah terpedaya dengan berita palsu dan berat sebelah memenangkan satu pihak.

“Akhirnya rakyat membuat keputusan walaupun ada media cuba memimpin untuk mempercayai propaganda mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, kira-kira lebih 100 pengamal media hadir pada majlis itu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sidang DNS, fokus angkat sumpah ADN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan memberi penumpuan khas majlis angkat sumpah, Ahli Dewan Negeri (ADN).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, proses itu perlu dilakukan segera sebelum persidangan selanjutnya diteruskan.

“Untuk DSN akan datang, kita akan memberi keutamaan kepada proses angkat sumpah terlebih dahulu sebelum persidangan dan siri perbahasan dibuat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau diminta mengulas sebarang gerak kerja dan penumpuan khas yang akan dijalankan pentadbiran negeri pada persidangan DNS akan datang.

Amirudin sebelum ini mendedahkan kemungkinan proses angkat sumpah wakil rakyat negeri akan dibuat, selewat-lewatnya penghujung Jun ini.

Terdahulu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua itu hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Negara, di Stadium Shah Alam, petang ini.

Kira-kira 20,000 pengunjung memeriahkan program berkenaan yang turut dihadiri Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Turut hadir, pimpinan Exco Pimpinan Kerajaan Negeri ; Ir Izham Hashim, Dr Siti Mariah Mahmud, Haniza Talha dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Categories
SELANGOR

Mat Sabu yakin kepimpinan Amirudin terus kecemerlangan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk menerajui kecemerlangan pentadbiran Selangor.

Justeru katanya, semua pihak diingatkan supaya tidak lagi mencetuskan sebarang sentimen bagi mencabar kredibiliti Amirudin sebagai pemimpin muda.

“Saya menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru ini.

“Demi rakyat, sokongan ini harus diberikan dan tentunya kami sebagai rakan komponen dalam Pakatan Harapan akan menjalinkan kerjasama terbaik dengan beliau untuk mengekalkan kecemerlangan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rumah Terbuka Parti Amanah Negara peringkat Selangor, di Stadium Shah Alam, petang ini.

Amirudin bersama pimpinan Exco Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim, Dr Siti Mariah Mahmud, Haniza Talha dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi turut hadir memeriahkan majlis.

Terdahulu, Amirudin mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16.

Beliau menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menerajui kabinet Putrajaya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

 

Categories
SELANGOR

Lebih 50,000 meriahkan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr, rai perpaduan kaum

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Lebih 50,000 rakyat terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa dan agama memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri, peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan sambutan menggalakkan itu sebagai lambang manifestasi perpaduan rakyat di negeri berkebajikan itu.

“Berpuluh ribu rakyat yang hadir pada majlis ini membuktikan manifestasi sebenar perpaduan rakyat Selangor yang hidup aman dan damai.

“Di bawah lindungan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya percaya keamanan dan keharmonian ini dapat dikekalkan,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika berucap pada sembah ucapan Dato’ Menteri Besar kepada baginda, pagi ini.

Terdahulu, majlis yang turut dihadiri DYMM Sultan Selangor itu turut diserikan dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan mencemar duli hadir pada majlis tahunan itu.

Turut hadir, pimpinan Kerajaan Negeri antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan barisan Exco Kerajaan Negeri juga hadir memeriahkan sambutan.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan pimpinan tinggi Kerajaan Persekutuan, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Dr Dzulkefly Ahmad.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Amirudin Shari angkat sumpah Dato’ Menteri Besar Selangor baharu

KLANG 19 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua, Amirudin Shari, 38, dipilih dan mengangkat sumpah bagi memegang jawatan  Dato’ Menteri Besar Selangor ke- 16.di Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula jam 10.15 pagi.

Amiruddin yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan tiba di perkarangan Balai Rung Seri Istana Alam Shah sekitar jam 8.20 pagi bersama isterinya, Masdiana Muhamad.

Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji pagi ini turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan pembesar-pembesar negeri.

Dalam istiadat sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Rodziah Ismail sebagai Exco Kerajaan Negeri bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Amirudin.

Rodziah pernah memegang jawatan EXCO Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dari 2008 sehingga 2013 ketika di bawah pentadbiran bekas Dato’ Menteri Besar, Tan Sri dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkesempatan untuk mengikuti Majlis Serah Kuasa Menteri Besar Selangor bersama Amirudin di Balai Mengadap Istana Alam Shah sekitar jam 9.30 pagi.

Mohamed Azmin bersama isterinya, Datin Seri Shamshida Taharin tiba di Istana Alam Shah sekitar jam 8 pagi mengikuti majlis berkenaan.

Dalam majlis itu, Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Antara kandungan Aku Janji tersebut adalah memihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam, memelihara institusi raja dari dicaci serta diganggu, mematuhi arahan Tuanku Sultan.

Selain itu, Amirudin turut berikrar bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain, melaksanakan tugas dengan penuh intergriti serta tanggungjawab, mendahulukan rakyat, memasgikan kemakmuran negeri itu ditahap tertinggi, memelihara jawatan yang diamanahkan dari dicemari tindakan menyalahi undang-undang dan memelihara perpaduan.