Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor serah pinjaman vaksin kepada Pulau Pinang esok

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerajaan Selangor akan menyerahkan 200,000 vaksin yang dipinjamkan kepada Pulau Pinang esok bagi membantu negeri itu memberi suntikan pelalian kepada penduduk lebih cepat.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya turut menyumbang tambahan 20,000 pelalian daripada program Vaksin Selangor (Selvax) secara percuma.

“Esok saya ke Pulau Pinang untuk serahkan 200,000 dos secara pinjaman dan 20,000 yang kita sumbangkan kepada rakan kita.

Kita tidak mahu Pulau Pinang terima nasib macam kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sesi penggulungan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Menurutnya, selain Pulau Pinang terdapat negeri lain yang menyuarakan hasrat meminjam vaksin Selangor bagi mempercepatkan imunisasi penduduk.

“Ada satu negeri berhampiran dengan kita nak juga buat pinjaman tapi saya minta perkara itu dibawa ke pusat sebab ia satu jaringan dan harus mendapat pelepasan seperti mana kita buat untuk Pulau Pinang,” katanya.

Pada 19 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan antara negeri bakal menerima bekalan tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rancak semula sektor perumahan pascawabak Covid-19

SHAH ALAM 15 SEPT: Sektor perumahan di negeri ini kembali rancak selepas terhenti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata projek merangkumi pembinaan 30,000 unit Rumah Idaman dalam tempoh tiga hingga lima tahun serta kediaman lain yang menyumbang RM12 bilion kepada nilai ekonomi.

“Walaupun sektor perumahan hanya meliputi antara 10 hingga 15 peratus daripada kek ekonomi Selangor tetapi sumbangannya amat penting.

“Kelembapan sektor perumahan akan menjejaskan sistem sokongan meliputi sektor bahan mentah seperti simen dan batu atau perbekalan merangkumi aksesori rumah seperti kipas, penghawa dingin, perabot dan pelbagai komponen penting lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada Majlis Penjenamaan Semula Projek Perumahan Idaman Taman Air Manis, Sabak Bernam di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata pelaksanaan projek Rumah Idaman bakal menyelesaikan masalah pemilikan rumah golongan B40 dan M40 selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta peluang pekerjaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SELangkah diperkasa, fungsi dikembangkan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan diperkasa berikutan kebolehfungsiannya dikembangkan lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua data dan operasi kini dikendalikan Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya, Selgate Corporation.

“Sebelum ini SELangkah dengan datanya di bawah jaminan Kerajaan Negeri tetapi kini data dan operasinya dikendalikan Selgate,” katanya di sini petang semalam.

Terdahulu, Amirudin menyaksikan majlis perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Corporation Noor Hisham Mohd Ghouth dan pengasas aplikasi berkenaan Dr Helmi Zakariah.

Sehingga Julai lalu, SELangkah digunakan kira-kira 7.3 juta pengguna dan diakses sebanyak 69 juta kali. Sistem itu dibangunkan bagi memudahkan penjejakan kontak jika berlaku jangkitan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB terbuka SPRM siasat isu jual aset Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kerajaan Negeri terbuka sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menyiasat isu berkait aset Yayasan Selangor.

Dato’ Menteri Besar menegaskan penjualan aset mengikut prosedur betul bagi mengurangkan beban hutang sewa dan pembiayaan pengajian.

“Mereka (SPRM) boleh siasat, tiada masalah kerana kita sudah ikut proses sepatutnya, bukan suka-suka. Isu berkenaan juga dijelaskan secara terperinci dalam sidang Dewan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media.

Beliau mengulas gesaan badan bukan kerajaan supaya SPRM menyiasat isu tersebut yang didakwa meragukan dan tidak menggunakan kaedah tender.

Pada 15 Julai lalu, Amirudin memaklumkan aset Yayasan Selangor dijual kerana tidak ekonomik dan mengurangkan beban hutang berjumlah RM34 juta.

Yayasan Selangor yang ditubuhkan sebagai syarikat berhad tidak mendapat geran daripada Kerajaan Negeri, sebaliknya perlu menjana pendapatan sendiri.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sumbang KDNK 24.2 peratus, Selangor kekal tertinggi

SHAH ALAM, 6 OGOS: Selangor menyumbang 24.2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi (KDNK) negara pada 2019, kekal tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.

Dato’ Menteri Besar berkata angka berkenaan meningkat 0.5 peratus berbanding 23.7 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama, dua tahun lalu.

“Alhamdulillah, Jabatan Statistik merekodkan Selangor kekal penyumbang terbesar KDNK dengan 24.2 peratus pada 2019, naik daripada 23.7% pada 2018,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Tujuh negeri mencatatkan KDNK melepasi paras nasional sebanyak 4.3 peratus tahun lalu, dengan Selangor menerajui pertumbuhan pada 6.7 peratus sementara Wilayah Persekutuan pada 6.0 peratus.

Menurut Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 oleh Jabatan Perangkaan hari ini Kelantan turut mencatatkan peningkatan kepada 5.3 peratus, Labuan (5.2 peratus) Negeri Sembilan (5.1 peratus), Kedah (4.6 peratus) dan Perlis (4.6 peratus).

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik kilang kimia digesa patuh SOP, ambil iktibar insiden Beirut

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pemilik kilang berasaskan kimia di negeri ini diingatkan supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) semasa mengendalikan bahan itu bagi mengelak insiden tidak diingini.

Dato’ Menteri Besar berkata pengusaha perlu mengutamakan aspek keselamatan premis masing-masing tanpa bergantung kepada penguatkuasaan Kerajaan Negeri.

“Saya percaya, kesedaran pencegahan bukan hanya dibebankan kepada Kerajaan Negeri tetapi semua pemilik gudang dan kilang harus pastikan SOP dipatuhi ketika proses (pengendalian bahan kimia) di kawasan mereka,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Warisan di sini hari ini.

Beliau memberi reaksi sedemikian susulan tragedi letupan dasyat yang berlaku di ibu kota Beirut, Lubnan baru-baru ini sehingga mengakibatkan lebih 100 penduduk terkorban manakala ribuan lagi cedera.

Amirudin turut mengimbau insiden letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparkler di Sungai Buloh pada 7 Mei 1991 yang mengorbankan 26 mangsa termasuk kejadian gas ammonia bocor di sebuah kilang ais di Shah Alam pada 16 Ogos 2018.

Katanya, usaha pencegahan diperketatkan dari semasa ke semasa dengan berbincang bersama EXCO bertanggungjawab jika wujud masalah.

“Sudah pasti kita lihat secara terperinci dan Unit Pengurusan Bencana Selangor paling maju malah sebahagian SOP di peringkat persekutuan atau kaedah diadaptasi oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) merupakan (SOP) yang mula-mula ditubuhkan di Selangor,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pembeli Rumah Idaman Warisan terima kunci lepas 21 tahun menunggu

SHAH ALAM, 6 OGOS: Penantian lebih dua dekad pembeli Rumah Idaman Warisan di Alam Perdana, Puncak Alam berakhir hari ini selepas masing-masing menerima kunci.

Menariknya, kediaman teres dua tingkat itu dilengkapi set televisyen, kabinet dapur, penghawa dingin, pemanas air dan peti sejuk sebagai insentif kepada 203 pembeli yang menunggu sekian lama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya komited memastikan rakyat negeri ini menerima pulangan baik hasil tadbir urus cekap.

Dato’ Seri Amirudin Shari berbual bersama pembeli selepas menyerahkan replika kunci Rumah Idaman Warisan di Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Saya berharap pemilik memanfaat kemudahan tambahan diberi dan meneruskan kehidupan dengan lebih selesa selepas ini,” katanya selepas menyerahkan replika kunci kepada pembeli di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Beliau berkata proses pemulihan projek mengambil masa lama berikutan pelbagai aspek teknikal dan undang-undang yang perlu diteliti.

“Selepas melihat pelbagai kaedah dan bertindak sebagai kerajaan prihatin dengan keadaan sosioekonomi rakyat Selangor, semuanya dapat diselesaikan dengan baik.

“Bagaimanapun, saya sedih detik bersejarah ini tidak dapat dirasai semua pembeli kerana ada yang sudah meninggal dunia dan tidak sempat melihat kediaman impian mereka siap tetapi waris dapat berteduh di kediaman tersebut,” kata Amirudin lagi.

Rumah Idaman Warisan dahulunya dikenali sebagai Taman Arcadia, terbengkalai sejak 1999 sebelum diambil alih Pemerbadanan Menteri Besar pada September 2016.

Projek pemulihan bersama Worldwide Holdings Berhad dan LBS Bina Group Berhad membabitkan kos RM38 juta siap sepenuhnya akhir tahun lalu, dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Selangor sifar kes baharu kali ke-10

SHAH ALAM, 5 OGOS: Selangor bebas kes Covid-19 kali ke-10 bermula 10 Jun lalu hingga hari ini, maklum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Alhamdulillah, buat kali ke-10 dan tiga hari berturut-turut tiada sebarang kes dicatatkan di Selangor. Tiada kes discaj dan tiada kematian dilaporkan,” tulisnya di Twitter.

Keseluruhannya negeri itu mencatatkan 2,130 kes dengan 1,904 daripadanya berjaya sembuh.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor memaklumkan tiada perubahan demografi zon kes aktif dan bilangan kes kurang lima.

Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatatkan satu kes manakala dua di Sepang.

“Jadikan berita baik ini sebagai motivasi. Terus amalkan langkah pencegahan dan guna SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi mendaftar pengunjung yang masuk ke premis,” tulisnya di Twitter.

Sebanyak 21 kes baharu wabak dicatatkan hari ini dengan sebahagian besarnya membabitkan rakyat tempatan yang pulang dari luar negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mohon biasiswa pendidikan Selangor hingga 31 Ogos

SHAH ALAM, 5 OGOS: Permohonan Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara Kerajaan Selangor 2020 dibuka bermula 1 hingga 31 Ogos ini.

Dato’ Menteri Besar berkata permohonan secara dalam talian boleh dibuat menerusi portal Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS).

“Sila layari laman sesawang tkwbns.selangor.gov.my/portal/ untuk menyemak syarat kelayakan dan membuat permohonan secara dalam talian,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Tabung biasiswa yang ditubuhkan sejak 1987 bertujuan memberi pembiayaan pendidikan kepada anak Selangor dan penjawat awam yang berkhidmat di sini.

Tujuh program pembiayaan pendidikan ditawarkan ialah:

1. Program Peduli Siswa- Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara (pelajar IPTA/IPTS dalam negara)

2. Program Khas Kakitangan Awam Negeri Selangor (penjawat awam di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, Badan Berkanun dan PBT Negeri Selangor)

3. Program Khas Kakitangan Akademik Negeri Selangor (Tenaga Pengajar Inpens)

4. Program Khas Biasiswa DYMM Sultan Selangor (khas bagi pelajar Sekolah Alam Shah)

5. Program Khas Biasiswa Sagong Tasi (bagi mahasiswa Anak Orang Asli)

6. Program Khas Universiti Islam Madinah, Arab Saudi (program kerjasama Jais)

7. Program Khas Selangor Brain Bank (pengajian PhD luar negara)

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tempoh selenggara saliran kawasan banjir lanjut sebab PKP

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Tempoh naik taraf saliran di kawasan banjir terpaksa dilanjutkan selepas terhenti susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata keadaan bertambah buruk berikutan cuaca tidak menentu yang menjejaskan beberapa kawasan antaranya Semenyih, Kajang, Sepang, Dengkil dan Sungai Tua.

“Tahun ini sahaja Selangor peruntuk RM10 hingga RM15 juta bagi penyelenggaraan saliran, namun tertangguh kerana PKP. Kebetulan kita berhadapan cuaca tidak menentu yang menyebabkan banjir kilat kerana kuantiti hujan melebihi kapasiti saliran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau mengulas rungutan orang awam berhubung insiden banjir kilat berulang kali di beberapa lokasi di seluruh negeri.

Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pengairan Saliran bagi memastikan Rancangan Tebatan Banjir dilaksanakan sebaiknya.

Pada 19 Julai lalu, sebanyak 41 kawasan di lima daerah dilanda banjir menyebabkan 265 penduduk daripada 62 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Hulu Langat paling teruk terjejas membabitkan 22 kampung dan taman perumahan serta sekolah diikuti Sepang sebanyak 12 lokasi, Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan Klang (satu).

Categories
AGENSI SELANGOR

Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati 2025 bangun potensi pelancongan

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Potensi pelancongan berasaskan warisan, sejarah dan alam semula jadi dibangunkan menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati Kuala Selangor 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan meliputi 11 projek berimpak tinggi, 24 projek sokongan dan 17 projek jangka pendek (quick win).

“Kesemua projek berimpak besar serta memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi Kuala Selangor. RKK juga mewujudkan persekitaran perbandaran yang kondusif bagi ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, warisan dan sejarah serta pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.

Beliau berucap pada Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 di Dataran Malawati di sini hari ini.

Hadir sama, EXCO negeri Ng Sze Han dan Rodziah Ismail, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Rahilah Rahmat dan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiyah Zulkifli.

Maklumat lanjut berkaitan projek tersebut boleh didapati menerusi laman sesawang MDKS atau muat naik aplikasi RKKBMKS di Google Play.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Kekal guna SELangkah kesan jangkitan Covid-19

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dikekalkan meskipun kerajaan mewajibkan penggunaan MySejahtera di semua premis seluruh negara.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan menggabungkan kedua-dua aplikasi bagi menjejaki jangkitan Covid-19 dibincangkan bersama Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba.

“Kita kekalkan SELangkah kerana ia melengkapi MySejahtera, malah perbincangan awal dengan menteri kesihatan untuk menggabungkan kedua-dua aplikasi demi kesejahteraan masyarakat.

“Apa yang penting SELangkah akan terus mengenal pasti kontak rapat Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 di sini hari ini.

Media semalam melapor kerajaan akan mewarta kewajipan pengunaan MySejahtera di setiap premis seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Langkah itu susulan Kementerian Kesihatan berdepan masalah mengesan kontak rapat di premis yang tidak mempunyai rekod maklumat pelanggan sekiranya ada kes positif.

Aplikasi SELangkah yang digunakan di 77,470 premis dimanfaatkan oleh 6.15 juta individu setakat 15 Julai lalu, menghampiri jumlah keseluruhan rakyat Selangor.