Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jakess berjaya selesai 161 kes sulh secara dalam talian

SHAH ALAM, 14 DIS: Sejumlah 161 kes sulh berjaya diselesaikan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) secara dalam talian menerusi majlis sulh sehingga September lalu.

Ketua Hakim Syarie Dato’ Mohammad Adib Husain berkata 100 daripadanya mencapai kata sepakat berbanding 59 kes lagi dan selebihnya tidak hadir proses perbincangan bersama pegawai sulh.

“Antara diterima berkaitan kes selepas perceraian, pembayaran nafkah anak, hak jagaan, iddah, harta sepencarian dan mutaah.

“Majlis sulh dikendalikan pegawai berjaya selesaikan separuh daripada kes didaftarkan di mahkamah. Kini majlis kembali secara fizikal berbanding sebelum ini secara dalam talian sepanjang pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis pelancaran komuniti sulh dan rakan bahagian sokongan keluarga (BSK) di Dewan Muktamar, Jakess hari ini yang turut dihadiri Ketua Pendaftarnya Salehan Yatim.

Mohammad Adib menjelaskan majlis sulh diuruskan pegawai itu menjimatkan masa dan mempermudahkan urusan mahkamah.

“Contohnya berkaitan tuntutan harta yang mengambil masa kira-kira setahun tetapi dengan adanya majlis sulh urusan dapat diselesaikan kurang daripada dua bulan atau 45 hari bergantung pada kes berdaftar,” katanya.

Terdahulu, Jakess melantik 235 individu sebagai komuniti sulh (perdamaian) dan rakan bahagian sokongan keluarga (BSK).

Sejumlah 95 terdiri daripada imam masjid manakala 140 pula merupakan jawatankuasa wanita masjid yang berfungsi membantu menjadi perunding menyelesaikan masalah kekeluargaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jakess: 235 dilantik komuniti sulh, rakan bahagian sokongan keluarga

SHAH ALAM, 14 DIS: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) melantik 235 individu sebagai komuniti sulh (persetujuan bersama) dan rakan bahagian sokongan keluarga (BSK).

Ketua Hakim Syarie Dato’ Mohammad Adib Husain berkata 95 daripadanya imam masjid manakala 140 pula jawatankuasa wanita masjid yang berfungsi membantu menjadi perunding menyelesaikan masalah.

“Mereka ini bukan mahkamah dan agensi tetapi perseorangan yang bertanggungjawab dalam membantu masyarakat menyelesaikan masalah berkaitan nafkah, penceraian, penguatkuasaan serta keganasan rumah tangga.

“Pelantikan imam ini sejak 2019 dan mereka mengikuti tiga siri kursus serta jawatankuasa wanita sejak November lalu. Mereka diberikan kursus dan dilatih seperti dalam perbincangan majlis sulh di mahkamah supaya dapat membantu dalam urusan penyelesaian pertikaian kekeluargaan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran komuniti sulh dan rakan BSK di Dewan Muktamar, Jakess hari ini yang turut dihadiri Ketua Pendaftarnya Salehan Yatim.

Dalam pada itu, Mohammad Adib berkata komuniti sulh dan rakan BSK di peringkat masjid dengan penglibatan imam dapat membantu masyarakat memerlukan bantuan dan khidmat nasihat awal berkaitan pertikaian kekeluargaan sama ada sebelum atau selepas perceraian.

“Dengan penglibatan langsung imam ke dalam urusan penyelesaian pertikaian kekeluargaan secara lebih dekat diharap dapat menterjemahkan keanjalan Sistem Penyelesaian Pertikaian Islam.

“Pada masa sama, berbekalkan pengetahuan tentang prosedur, rundingan awal boleh dilakukan bagi mengelakkan mereka sedang bermasalah ini tersasar seterusnya mengetahui tempat tuju yang betul bagi menyelesaikan isu dan pertikaian,” katanya.