Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

300 mangsa banjir dipindah ke lapan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di negeri ini menempatkan 300 mangsa banjir setakat 8.30 malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah mangsa itu terdiri daripada 56 keluarga.

PPS berkenaan ialah Dewan Camelia Seksyen 10, Sekolah Kebangsaan Puchong Indah, Dewan Batu 3, Dewan Kampung Seri Aman, Dewan Puchong Jaya, Dewan MPS Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35.

“Skuad Pantas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah digerakkan ke Kampung Tengah, Kampung Baru Seri Kembangan, Taman Kinrara 1, Taman Kinrara 4 and Puncak Jalil 8 di Seri Kembangan untuk membantu,” katanya menerusi Twitter.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah kanak-kanak meninggal, lima hari terperangkap dalam perigi di Maghribi

SHAH ALAM, 6 FEB: Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga kanak-kanak berusia lima tahun di Maghribi yang meninggal dunia selepas diselamatkan akibat terperangkap di dalam perigi.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang mengikuti laporan Rayan Oram terjatuh dan terperangkap dalam perigi selama lima hari itu menyifatkan ia berita yang menyayat hati.

“Inalillahwainailaihirajiun. Berdukacita di atas kisah menyayat hati pemergian adik Rayan Oram. Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan beliau di kalangan orang yang beriman.

“Takziah diucapkan kepada keluarga dan seluruh rakyat Maghribi,” katanya di Twitter.

Amirudin juga turut berkongsi pautan berita dari Astro Awani mengenai pemergian kanak-kanak lelaki berkenaan.

Menurut laporan media antarabangsa, Raja Maghribi Raja Mohammed VI mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rayan atas pemergiannya.

Rayan terjatuh ke dalam perigi kering sedalam 32 meter (105 kaki) pada Selasa di Igran, wilayah Chefchaouen.

Pasukan penyelamat berjaya menemui budak lelaki itu dan bergelut untuk mengeluarkan Rayan daripada perigi sejak kanak-kanak itu terperangkap pada Selasa.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor hulur bantuan untuk mangsa banjir lumpur di Yan

YAN BESAR, 31 OGOS: Kerajaan Selangor menyumbang bantuan RM100,000 kepada Kerajaan Kedah bagi membantu mangsa banjir lumpur akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos.

Sumbangan diserah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada EXCO sumber manusia Kedah Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad.

“Mungkin jumlah yang diberikan terlalu kecil untuk keperluan dan kos pemulihan memakan belanja sehingga RM60 juta.

“Terpulang kepada mereka tetapi mungkin boleh diberikan kepada yang memerlukan ikut kesesuian dan pelan kerajaan Kedah,” kata Amirudin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat kesan banjir akibat fenomena kepala air dalam sesi lawatan ke kawasan terjejas di air terjun Titi Hayun, Yan Besar pada 31 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam lawatan ke air terjun Titi Hayun hari ini, beliau turut menyerahkan barang keperluan harian daripada Yayasan Selgate kepada keluarga terjejas.

Dato Menteri Besar juga menyampaikan sumbangan wang tunai kepada enam keluarga mangsa yang terkorban akibat bencana berkenaan.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, enam orang terkorban dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai.

Sebanyak 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pencemaran LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor pulih

SHAH ALAM, 19 OKT: Tahap bacaan pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 telah mencapai 0 TON (nilai bau ambang) petang ini.

Sehubungan itu, Dato’ Menteri Besar berkata loji terbabit akan kembali memproses air mentah untuk disalurkan kepada pengguna.

“Alhamdulillah. Saya dimaklumkan tahap bacaan pencemaran di LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 telah mencecah 0 TON.

“Oleh itu, loji telah mula beroperasi untuk kerja-kerja pembersihan dan akan mula memproses air mentah bagi kegunaan para pengguna,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Siasatan awal pakar Air Selangor menemukan bau seakan-akan pelarut.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

SIBS platform perkongsian pengetahuan, pemadanan perniagaan

SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri menganjurkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 secara maya bermula hari ini hingga Sabtu.

Dato’ Menteri Besar berkata penganjuran secara maya tersebut meliputi tiga komponen utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor Asean dan Konvensyen Bandaraya Pintar serta Ekonomi Digital Selangor.

“Kerajaan Negeri menawarkan peluang tanpa sempadan dengan mengumpul pemain industri seluruh dunia untuk mengukuh dan merangsang semula perniagaan mereka dengan menyediakan platform perkongsian pengetahuan serta pemadanan perniagaan.

“Virtual SIBS 2020 akan berterusan sehingga 2021, seterusnya membolehkan usahawan untuk terus menggunakan platform ini,” katanya berucap secara maya hari ini.

Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia menganjur serta memimpin mesyuarat pelaburan serta persidangan ekonomi secara maya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: PKPB di zon hijau mungkin beri kesan ekonomi

SHAH ALAM, 14 OKT: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan zon hijau seperti Kuala Selangor dan Sabak Bernam mungkin memberi kesan kepada ekonomi.

Dato’ Menteri Besar berkata ia sekali gus menyebabkan impak kewangan sesebuah keluarga memandangkan kadar pendapatan kawasan itu kurang tinggi.

“Katalah jika sektor ekonomi dibenarkan tetapi sekolah, pusat jagaan, taska tutup. Apa yang jadi? Ramai terpaksa cuti sebab anak tak ada siapa jaga.

“Kalau sekolah tak beroperasi, sebahagian kedai makan pun tak boleh beroperasi. Kesan (PKPB) ni besar, bukan kecil,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Pejanjian Kontrak Penjaaan Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan (NCBL) 2021 semalam.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebelum kerajaan persekutuan mengumumkan tatacara operasi piawai (SOP) PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebelumnya, Amirudin memaklumkan akan menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pelaksanaan arahan itu bermula hari ini hingga 27 Oktober.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama Yang Dipertua (YDP), Datuk Bandar dan pegawai daerah bagi menyelaraskan pelaksanaan PKPB.

“Kita mahu pastikan PKPB berjalan lancar dan dapat memutuskan rantaian perebakan Covid-19,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB sumbang RM110,000 kepada 22 surau di DUN Sungai Tua

SHAH ALAM, 14 OKT: Dato’ Menteri Besar menyerahkan sumbangan berjumlah RM110,000 kepada 22 buah surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Sumbangan diserahkan Dato’ Seri Amirudin Shari itu untuk program pengimarahan dan setiap surau menerima RM5,000.

Majlis Sumbangan Kepada Surau-surau DUN Sungai Tua itu berlangsung di Surau Al Karimiah, Kampung Laksamana.

Amirudin yang tiba sekitar jam 8 malam turut menunaikan solat Isyak berjemaah bersama penduduk setempat di samping menasihatkan kariah untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor sumbang pek barangan untuk penumpang dari Sabah

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sukarelawan Team Selangor menyediakan 500 pek barangan keperluan  untuk penumpang dari Sabah yang menunggu ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Dato’ Menteri Besar turut menyertakan dua keping foto bantuan berkenaan yang diserahkan kepada Malaysia Airports bagi tujuan berkenaan semalam.

“500 pek berupa makanan, minuman, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk penumpang dari Sabah yang menunggu giliran menjalani ujian saringan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter semalam.

Sementara itu, Team Selangor menerusi tulisan sama berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu penumpang di sana.

Dua lapangan terbang utama negara sesak pada Ahad kerana proses saringan Covid-19 terhadap individu yang pulang dari Sabah.

Keadaan itu menyebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia menambah bilangan kakitangan dan peralatan bagi melancarkan proses saringan.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Program IKTISASS perkukuh rantaian keperluan tenaga mahir

KUALA SELANGOR, 26 OGOS: Kandungan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) terus dikembangkan supaya ia dapat mewujudkan rantaian kukuh bersama pemain industri pada masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar berkata ekosistem teknologi kini memerlukan sumber tenaga manusia mahir selaras perkembangan Revolusi Industri 4.0 malah lebih banyak institusi pengajian teknikal dan vokasional diperlukan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Penjenamaan semula (Kolej Antarabangsa) Inpens bukan hanya sekadar nama dan lambang sebaliknya ia mengisi lohong-lohong dan ruang kosong yang selama ini tidak dapat diisi kerana ekosistem teknikal dan vokasional yang boleh dikatakan bergerak secara sendirian serta tidak membina rantaian kukuh dan menyeluruh yang akhirnya menggagalkan usaha-usaha pembangunan.

“Selepas ini kita akan menambah beberapa usaha termasuk menubuhkan institusi teknikal dan vokasional yang akhirnya akan bergabung dengan rantaian institusi pengajian kita ada iaitu Universiti Selangor (Unisel) dan lain-lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa Inpens di sini semalam.

Beliau berkata perkembangan pembelajaran teknikal dan vokasional yang diamalkan negara maju seperti Jerman boleh dijadikan contoh hingga mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang kini berkhidmat bersama syarikat automotif besar seperti Mercedes dan BMW.

Menurut Amirudin Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM20 juta tahun ini bagi memantapkan program IKTISASS sebagai tanda sokongan.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan Sijil Tamat Latihan kepada 91 pelajar tajaan program IKTISASS yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada 2019.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Covid-19 juga kembalikan kita kepada norma asal

Berikut adalah Perutusan Syawal 1441H Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari

Alhamdulillah saat ini kita sudah berada di hari terakhir Ramadan. Bulan mulia ini juga dianggap sebagai bulan latihan jiwa dan mengukuhkan kesabaran. 10 hari terakhir ini, kita dinasihatkan untuk menjadikannya sebagai medan mujahadah bagi setiap dari kita yang mahu mencicip rahmat, keampunan dan kesejahteraan yang dijanjikan-Nya pada malam al-Qadr sehingga fajar menjelma walau hanya untuk sesaat.

Ibadah puasa di samping amukan Covid-19 pada tahun ini menghilangkan beberapa kebiasaan Ramadan yang lalu: Ramadan dan ibadah puasa tanpa undangan jamuan layan diri berbuka puasa besar-besaran bersama anak yatim mahupun fakir miskin di hotel lima bintang yang bernilai ratusan ringgit satu kepala dengan mengharap “keberkatan”—cukup berbuka bersama yang tersayang di rumah. Tiada sumbangan bersama replika cek yang besar-besar: program program yang asalnya mempromosi kebaikan tetapi lama kelamaan mampu melahirkan pula kepura-puraan yang akhirnya mungkin membawa kepada pembaziran.

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutus rantaian Covid-19, tahun ini juga tiada solat tarawih beramai-ramai di masjid dan surau yang dipimpin oleh imam jemputan berdarah Arab baik dari Palestin mahu pun Mekah, sambil sebahagian kita memperagakan kain pelikat, jubah terkini ataupun telekung elit yang pasti mahal, mengerlip, yang kadangkala sehingga melahirkan perbuatan banding-membanding antara kita, walaupun asalnya perkumpulan itu tidak lain ialah untuk menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sebagaimana seruan rasul junjungan.

Di tengah ancaman Covid-19, yang tinggal adalah nikmat kebersamaan dengan keluarga. Seorang ibu puas dapat memasak buat anak-anak dan suami; seorang bapa pula dapat mengimami solat isyak dan tarawih. Paling tidak, kita mempunyai kesempatan menyantuni jiran tetangga yang dekat dengan berkongsi makanan dengan mereka atas kekangan PKP yang ada. Tidak salah menyantuni anak yatim-anak yatim dalam jamuan berbuka yang enak dan meriah. Tetapi dalam Islam juga terdapat anjuran untuk menyantuni jiran sendiri seperti hadis Nabi S.A.W yang bermaksud “Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan” (Hadis riwayat At-Tabrani No. 12579).

Dalam kita berdepan dengan wabak yang merata-rata dan tidak putus-putus kemaraannya, kita harus bersyukur masih lagi dapat berpuasa, berbuka dan bertarawih dengan penuh kejujuran dan beribadat tanpa sebarang cubaan menunjuk-nunjuk yang bukan-bukan.

Begitulah juga dengan cara kita berhari raya. Kebiasaannya, orang berbondong-bondong balik kampung, sebahagiannya dengan maksud tersirat untuk membandingkan anak siapa lebih berjaya, menantu mana yang bergaya, sehinggakan silaturahim tinggal menjadi permukaan sahaja.

Dalam 10-15 tahun kebelakangan ini, perlahan-lahan budaya takbir raya rumah ke rumah mahupun marhaban ‘disewakan’ kepada kumpulan jemaah tegar dengan anak-anak berkira-kira duit raya rumah mana yang ‘mantul’ (mantap betul – menurut istilah generasi Bigo). Budaya kunjung-mengunjung yang bercirikan ukhuwah adakala cair dalam gemerlap perhiasaan dan kebendaan, jauh meninggalkan pengukuhan hubungan keluarga dan kejiranan.

Kegilaan glamor dan budaya konsumerisme berlebihan telah benar-benar mengherotkan nilai kehidupan yang baik dalam rutin seharian, termasuk dalam konteks ibadah kepada tuhan. Covid-19 dianggap ancaman kepada kelestarian hidup, namun ternyata ia juga mampu mengembalikan kita kepada norma yang mulia ataupun kepada kebiasaan yang boleh juga kita sebut sebagai “the real normal” yang sewajarnya dibiasakan.

Benar, Covid-19 meresahkan dan menyusahkan. Tidak perlu diulang kebiasaan-kebiasaan baharu yang menjengkelkan. Namun, ia juga merupakan wadah terbaik kita untuk bermuhasabah dan kembali kepada fitrah kemanusiaan dalam menempuh kehidupan.

Bagi saya, mungkin inilah makna kemenangan kembali kepada fitrah setelah sebulan berjuang di medan Ramadan. Walau bagaimana sekali pun, nilai kekeluargaan dan kesepakatan kejiranan harus dikekalkan.

Walaupun tidak ada lagi kunjung-mengunjung dan rumah terbuka, tetapi dengan saluran dalam talian, ia masih boleh dikekalkan dengan harapan kita sedar tentang fitrah yang saya sebutkan tadi.

Selamat Hari Raya. Selamat kembali kepada Fitrah. Minal aidin wal faizin. Maaf zahir dan batin

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB puji petugas tungkus-lumus pulih bekalan air

SHAH ALAM, 18 MAC: Dato’ Menteri Besar memuji usaha petugas yang bertungkus-lumus memastikan bekalan air kepada pengguna berterusan susulan henti tugas empat loji rawatan air (LRA), petang semalam.

“Saya merakamkan penghargaan kepada petugas yang bertungkus-lumus melengkapkan proses pemulihan bekalan air demi kesejahteraan rakyat Selangor. Komitmen sehingga lewat malam demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter, malam tadi.

Beliau turut meninjau kerja pemulihan bekalan air di LRA Fasa 1 dan 2 di Kuala Selangor lewat malam tadi, yang dihenti tugas akibat pencemaran bau.

Lembaga Urus Air Selangor hari ini memaklumkan penemuan bau seakan pelarut di Sungai Gong dan Sungai Bakau, Rawang menyebabkan henti tugas LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang.

Bagaimanapun, bekalan air di Kuala Selangor pulih sepenuhnya pagi tadi susulan pengoperasian semula LRA tersebut, manakala di Klang dijangka pulih sepenuhnya 6 petang ini.