Categories
PENDAPAT RENCANA

Pelihara identiti kebangsaan, hargai pengorbanan generasi awal

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 esok, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan perutusan khas yang menyentuh pengorbanan generasi lama, kepentingan Rukun Negara dan epidemik. 

Kita menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dalam suasana krisis kesihatan dan politik berpanjangan yang belum pernah kita alami sebelum ini. Pengalaman lampau ketika melalui liku-liku cabaran dari penjajahan hinggalah proses pengisian kemerdekaan seharusnya mengajar kita untuk terus cekal dan berfikiran positif.

Selepas berlakunya sejarah hitam 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak yang pada waktu itu mempengerusikan Majlis Perundingan Negara mengetengahkan idea dan prinsip Rukun Negara sebagai usaha mengemudi negara ke arah identiti kebangsaan.

Pada ketika itu, suatu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum difikirkan perlu untuk diwujudkan di negara muda ini.

Majlis Perundingan Negara dalam beberapa siri perbincangan menggariskan beberapa objektif seperti kebersamaan, kehidupan berdemokrasi, sebuah masyarakat yang adil dan saksama, pemeliharaan nilai dan tradisi serta sebuah bangsa yang progresif ke arah penggunaan sains dan teknologi.

Latar belakang ini kemudiannya menjadi menjadi teras kepada lima prinsip yang dilaungkan kita sejak dari bangku sekolah lagi, selepas dimasyhurkan oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni al-Marhum Sultan Haji Zainal Abidin III Mu’azzam Shah, Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-4, pada 31 Ogos 1970, ulang tahun kemerdekaan ketiga belas.

Seperti Pancasila di Indonesia, deklarasi bersama ini menjadi iltizam dan bahtera untuk mengemudi negara Malaysia agar setiap rakyat memahami sejarah, kisah dan rencana kemerdekaan yang dipenuhi jalan berliku-liku dan melibatkan pengorbanan pelbagai pihak.

Endemik

Dan sejak detik itu, negara kita telah melalui pelbagai cabaran untuk tiba sehingga ke detik ini.

Walaupun ulang tahun kemerdekaan kali ini seakan-akan dejavu tahun lalu, di mana kita mengharungi dan menghadapi cabaran virus Covid-19 yang meragut lebih 14,000 nyawa dan menjangkiti sekurang-kurangnya 1,593,602 penduduk Malaysia, perbezaannya kali ini, sejumlah besar penduduk negara telah menerima vaksin, termasuk sekurang-kurangnya 3,178,491 ataupun 66.92 peratus daripada populasi dewasa yang mendaftar untuk menerima vaksin.

Namun, negara kita tidak boleh laungkan kata-kata “Merdeka!” daripada wabak Covid-19 selagi terdapat kes-kes jangkitan virus ini yang masih menular di negara kita serta negara-negara lain. Ini mendesak keperluan untuk kita semua mengadaptasi secara sepenuhnya cara dan gerak kehidupan kita dan menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersama-sama dengan ancaman Covid-19 (live with the virus) sebagai endemik.

Menginsafi hakikat itu, kita berada dalam saat terpenting dalam abad ini yang harus difahami dan didalami oleh setiap lapisan masyarakat, daripada peringkat ketua-ketua keluarga dan komuniti sehingga ke tahap pimpinan negara.

Dan cabaran yang saya maksudkan di sini adalah jurang generasi ataupun ‘generational divide’ yang sedang kita lihat.

Setiap generasi mempunyai detik ‘kemerdekaan’-nya, dan ditimbulkan sama ada melalui isu, kejadian, situasi ataupun darurat yang mendorong sekumpulan orang untuk berhenti menerima sesuatu situasi dan mula bertindak membetulkan kesilapan-kesilapan yang dilihat serta dialaminya.

Misalnya, Dr Martin Luther King belum tentu akan tertonjol sebagai ikon pembebasan jika tidak berlakunya penindasan warna kulit. Kemerdekaan India tidak mungkin dapat dicapai tanpa jerih-payah Mahatma Gandhi. Begitu juga dengan negara kita ke arah membebaskan tanah ini daripada cengkaman kuasa luar.

Secara peribadi, kesedaran saya untuk menjadi lebih aktif dan menyumbang kepada pembangunan negara tercetus pada tahun 1998 yang kemudiannya dikenali sebagai Generasi Reformasi. Generasi ini bangkit menuntut keadilan akibat berlakunya beberapa insiden melibatkan kuasa negara digunakan sewenang-wenangnya bagi kepentingan tertentu.

Ini disusuli pula dengan Generasi Bersih sepuluh tahun kemudian yang melihat lahirnya generasi baharu yang menuntut, antara lain supaya meratakan padang sistem pilihan raya.

Generasi baharu

Kini, kita berada pada titik pertimbangan itu dan kemuncak lahirnya generasi baharu yang menuntut supaya masa hadapan negara tidak ditentukan hanya oleh mereka yang dilihat sebagai generasi Perang Dingin.

Generasi ini merasakan bahawa suara mereka tidak didengari pimpinan politik dan negara yang berasaskan sistem hierarki. Mereka melihat sistem ini didirikan dengan konsep jalan sehala kerajaan kepada rakyat tanpa wujudnya dialog yang sewajarnya.

Bahasa politik yang digunakan kini dilihat tidak relevan dan tidak menyentuh kepentingan generasi muda kerana lahir dari perasaan yang kurang ikhlas. Ini mungkin menolak penglibatan mereka daripada kekal ‘engaged’ menjadi tidak peduli atau ‘disengagement’ malahan mungkin membawa kepada ‘apathy’ ataupun pendirian sinikal.

Mereka menuntut supaya padang permainan menjadi rata agar medan politik menjadi lebih inklusif, bukan terpaut kepada sistem, pendekatan, komitmen dan kesilapan yang lepas.

Dunia yang bakal mereka warisi terpaksa menghadapi cabaran berlainan berbanding generasi sebelum ini. Antaranya seperti perubahan iklim, perumahan mampu milik, model pengajaran dan pembelajaran yang bertaraf dunia, peluang dan kualiti pekerjaan baharu, serta sistem kewangan yang lebih adil dan saksama.

Disebabkan ini, negeri Selangor tampil ke hadapan dengan beberapa usaha dan idea di luar kotak, seperti usaha ke arah menjamin peluang pekerjaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam bentuk Selangor Advance, Selangor Freelancer, Niaga Darul Ehsan, perumahan mampu milik berkualiti Rumah Idaman, serta pengkhususan kepada kesihatan awam menangani penularan wabak Covud-19 seperti saringan berskala besar serta bantuan pantas kepada golongan yang amat terkesan.

Cara dan pendekatan yang digunakan untuk menangani perkara ini amat penting kerana generasi muda bakal menjadi duta abad ke-21.

Namun, penting juga untuk generasi muda memahami, mendalami dan menghargai usaha dan pengorbanan yang disumbang oleh generasi-generasi sebelum ini agar tidak terkeluar daripada rasa kekitaan dalam memelihara identiti kebangsaan yang menjadi hak bersama kita semua.

Tun Razak pernah berpesan bahawa “kita bertanggungjawab mengisi kemerdekaan yang telah kita capai dan kita bertanggungjawab membina satu bangsa yang mempunyai taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara kita ini daripada rakyat negeri kita yang berasal dari berbagai bangsa itu,”.

Mengambil iktibar tersebut, marilah bersama-sama kita mengisi kemerdekaan dengan memajukan bangsa ini ke hadapan.

Saya mengakhiri perutusan ini dengan sekali lagi memetik kata-kata Tun Razak, “kemajuan sesuatu bangsa itu bukanlah dalam tangan Kerajaan bahkan bukanlah dalam tangan Menteri, tetapi ialah dalam tangan, dalam nadi dan titik peluh tiap-tiap orang rakyat. Oleh itu kalau kita semua ada mempunyai keazaman, semangat dan jiwa ingin kepada kemajuan, semangat dan jiwa berani dan bersedia berkorban dan bertenaga, dengan berkat Tuhan kemajuan-kemajuan akan tercapai”.

Selamat Hari Kebangsaan kepada semua!

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: 2020 tahun mencabar, kekal dalam lipatan sejarah

SHAH ALAM, 30 DIS: Dato’ Menteri Besar menyifatkan 2020 sebagai tahun mencabar yang akan tercatat dalam lipatan sejarah.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata banyak perancangan tidak dapat dilaksana berikutan pandemik Covid-19 selain pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan dan kelembapan ekonomi.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana mampu mengharungi kekangan itu secara bersama berkat kegigihan dan semangat kental.

“Syukur Alhamdulillah, berkat kegigihan dan semangat yang kental kita harungi semua cabaran bersama, kita kekal kukuh di sini dan bakal melangkah masuk ke tahun seterusnya,” tulisnya di Facebook.

Amirudin berharap supaya Selangor mengecap pelbagai kejayaan tahun hadapan sekali gus meletakkannya sebagai negeri terbaik dalam negara.

“Doa saya agar 2021 memberi seribu sinar yang bermakna kepada seluruh rakyat, membawa kejayaan dan kegemilangan kepada Selangor sebagai negeri ulung kekal unggul di persada tanah air,” katanya disertakan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baru 2021.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

7,000 baucar pelancongan boleh ditebus bermula 8 Januari

SHAH ALAM, 18 DIS: Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu bermula 8 hingga 31 Januari tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 7,000 baucar boleh ditebus untuk hotel, inap desa berlesen serta taman tema di negeri ini menerusi platform e-dompet Touch n Go dan Lazada.

“Untuk e-dompet, baucar ini boleh ditebus menerusi pakej pelancongan yang disenaraikan dalam platform tersebut.

“Manakala untuk platform Lazada, orang ramai boleh tebus baucar menerusi pautan ‘Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ dan tempoh sah baucar sehingga 31 Jun 2021,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada sidang media Majlis Pelancaran Promosi Pelancongan Domestik ‘Pusing Selangor Dulu’ di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor semalam.

Beliau berkata sebanyak 43 penggiat sektor pelancongan terdiri pengusaha hotel, taman tema dan inap desa menyertai program baucar subsidi tersebut.

“Kita tidak boleh mengalah dan kehidupan perlu diteruskan. Kerajaan Negeri terus berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kita semua dapat bangkit kembali,” katanya.

Pada 13 Julai, Amirudin mengumumkan subsidi baucar pelancongan bernilai RM2 juta.

Selain itu seramai 553 penggiat sektor pelancongan di Selangor terdiri pemandu pelancong berlesen, pengusaha inap desa dan Hos Komuniti Selangor turut menerima bantuan khas RM1,000 secara sekali bayar.

Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans bersama gegantung promosi kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selangor Advance agih RM75 juta bantu PKS terjejas

SHAH ALAM, 2 NOV: Sebanyak RM75 juta di bawah skim pembiayaan tunai Selangor Advance diguna membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pembiayaan tersebut memastikan kelangsungan serta mengukuhkan daya saing perniagaan sekali gus menyelamatkan syarikat dan pekerja.

“Peruntukan RM75 juta dicairkan membantu kitaran ekonomi PKS mendepani cabaran semasa, selain turut memberi baucar pelancongan dan melaksanakan projek Rumah Selangorku dan IDAMAN bagi merancakkan ekonomi.

“Untuk meningkatkan daya saing rakyat pula, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif e-Dapur, e-Bazar, Selangor Kerjaya, Roda Darul Ehsan, Rakan Digital dan pelbagai bentuk bantuan lagi,” kata Dato’ Seri Amiruddin Shari.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berhubung inisiatif Kerajaan negeri untuk merancakkan ekonomi pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Pada 22 Jun Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif pembiayaan tunai Selangor Advance dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu PKS.

Sistem pembiayaan patuh syariah berkonsepkan Tawarruq membantu syarikat PKS dalam isu aliran tunai untuk meneruskan perniagaan.