Categories
AGENDA NASIONAL

Garap pendekatan RAHMAH dalam pentadbiran Islam – Mujahid

PUTRAJAYA, 28 JAN: Pendekatan RAHMAH menjadi garapan utama dalam dasar pentadbiran Islam Malaysia pada 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata setiap program yang dirancang, pelan strategik atau sasaran kerja tahunan semua agensi hendaklah lebih tersusun dengan memberi tumpuan penuh kepada advokasi mesej RAHMAH agar ia difahami di semua peringkat masyarakat.

Pendekatan RAHMAH merujuk kepada R=Ramah; A=Aman; H=Harmoni; M=Mesra; A=Alami; H=Hormat.

Mujahid berkata dasar pentadbiran Islam melalui pendekatan RAHMAH ialah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sejahtera dengan kehidupan yang aman dan harmoni, keperluan ekonomi dan sosial yang terjamin, menghormati kemuliaan sesama insan dan saling menerima kepelbagaian tanpa mengira bangsa dan agama.

“Fokus kerja kita pada tahun ini ialah bagaimana hendak menyampaikan intipati dasar ini bagi melahirkan sebuah masyarakat RAHMAH dan memberi justifikasi mengapa ia perlu dilaksanakan dan keperluannya kepada negara,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2020 baru-baru ini.

Mujahid juga mahu pada 2020, persepsi negatif yang ditimbulkan terhadap pentadbiran Islam khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang sering menjadi bahan kecaman segelintir masyarakat, diperbetulkan walaupun sebahagian besar persepsi itu adalah sikap prejudis atau tidak semuanya benar.

Dalam hal ini, katanya agensi berkenaan perlu memastikan setiap program dan aktiviti yang dilaksanakan bersifat ‘national solution based mindset’ supaya memberi impak lebih besar kepada ummah secara keseluruhan.

Mujahid juga mahu pendekatan RAHMAH, yang bersifat progresif dan inklusif selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), dipromosikan ke peringkat global bagi membolehkan semua pihak atau individu merasai dan mengakui bahawa Islam merupakan agama yang membawa rahmat ke seluruh alam.

“Beberapa sesi pembentangan dasar ini telah dibuat di peringkat antarabangsa tahun lepas. Tetapi masih belum mencukupi dan perlu diteruskan tahun ini, bagi menunjukkan kepada dunia bahawa RAHMAH merupakan satu gagasan yang realistik, inklusif dan universal dan sesuai dilaksana dalam semua keadaan,”katanya.

Beliau juga berharap intipati dan mesej RAHMAH dapat diterapkan dalam pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di bawah seliaan Jakim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Modul umur minimum perkahwinan bakal diperkenal

PARIT BUNTAR, 24 NOV: Kerajaan akan memperkenalkan satu modul yang menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat untuk mengehadkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata modul itu yang sedang disiapkan merupakan garis panduan untuk dipatuhi oleh semua negeri mengenai perkahwinan dan adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang jika SOP itu tidak diikuti.

“Modul itu telah kita bincangkan di peringkat Jawatankuasa Persekutuan yang dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sukaneka dan penyampaian baucer pakaian sekolah di Parlimen Parit Buntar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing di sini hari ini.

Seramai 200 murid dan pelajar menerima baucer pakaian sebagai persiapan untuk persekolahan tahun hadapan di samping meringankan beban ibu bapa terutama golongan B40.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata walaupun ada negeri yang mahu meneruskan perkahwinan bawah umur 16 tahun, tetapi ia mestilah mematuhi SOP yang ketat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semakan latar belakang pendakwah untuk jaga keselamatan negara

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Semakan latar belakang terhadap semua penceramah luar yang mengadakan ceramah keagamaan di Malaysia bertujuan menjaga keselamatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, langkah itu juga bagi memastikan pendakwah Islam atau bukan Islam menghargai konteks keharmonian dan sensitiviti kaum.

“Kita kena periksa latar belakang mereka sebab kemungkinan besar mereka ada membawa fahaman yang tidak sesuai dengan konteks Malaysia,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Mengenai sama ada beliau akan memanggil semula pendakwah-pendakwah kontroversi, Mujahid berkata “Perkara itu dah masuk kepada soal terperinci, saya hanya memberi komen terhadap satu dasar, tentang soal siapa dan apa,terpulanglah”.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihak kementerian melakukan proses semakan dengan badan-badan keagamaan berkaitan yang terdapat dalam negara bagi memastikan kumpulan pendakwah asing bebas daripada fahaman songsang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar Rahmatan Lil Alamin dilaksana sepenuhnya tahun depan

PARIT BUNTAR, 26 OKT: Pelaksanaan sepenuhnya dasar Rahmatan lil Alamin dalam pentadbiran kerajaan dijangka dapatkan dilakukan pada tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata semua proses untuk melaksanakan dasar tersebut telah diambil termasuk mendapatkan persetujuan serta perkenan daripada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam pada 14 Mac lalu serta Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Jun lalu.

“Semua kementerian juga telah setuju, ia telah dibahaskan dan semua memberikan maklum balas positif, jadi ini bermaka dasar ini akan dipakai, saya ada ruang untuk sampaikan dasar ini untuk mengisi pentadbiran Islam dalam negara.

“Kita ada bajet RM10 juta untuk melaksanakan promosi dan taklimat serta pembudayaan Maqasid Syariah dan Rahmatan lil Alamin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan 100 tahun Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi, Selama, dekat ini, hari ini.

Semalam, Mujahid, yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, berkata kertas pelaksanaan dasar pentadbiran Islam baharu melalui pendekatan Rahmah sudah dipersetujui dan mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri, pada Jumaat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ada gerakan cuba burukkan Jakim dalam pensijilan halal

PUTRAJAYA, 28 SEPT: Terdapat gerakan cuba memburukkan reputasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam pensijilan halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mujahid berkata sebagai contoh, kes cop halal pada tin makanan berasaskan khinzir yang berlaku pada 2014 ditularkan semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab walaupun telah dinafikan.

“Saya hairan hari ini seolah-olah ada gerakan yang hendak pertikaikan reputasi JAKIM dalam pensijilan halal. Contohnya ada yang mendapat pensijilan tetapi dinafikan satu pihak lain… Kedua mungkin ada (gerakan) merancang untuk mencemarkan reputasi halal dan kerajaan hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Halal Fun Run sempena Karnival Rahmah 2019 anjuran JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang disertai 2,600 peserta.

Katanya antara usaha yang dilakukan bagi menangani masalah tersebut termasuk menyediakan aplikasi telefon pintar ‘Verify Halal’ bagi memudahkan pengguna menyemak status halal sesuatu produk dengan mengimbas kod produk.

Mujahid menjelaskan JAKIM melaksanakan tugasnya dengan profesional mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mujahid: Serbu kumpulan Syiah ikut SOP

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap kumpulan pengikut Syiah di Selangor, baru-baru ini mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Kita sudah pun mendapat maklum balas daripada Dato’ Menteri Besar (Amirudin Shari) dalam mesyuarat MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) kelmarin (11 September).

“Serbuan yang dilakukan di Selangor adalah bidang kuasa Selangor dan mengikut SOP, maka kita hormati tindakan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Amiruddin turut dilaporkan berkata, serbuan dilakukan oleh JAIS terhadap kumpulan tersebut di Gombak adalah mengikut SOP JAIS.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Lebih 60 peratus syarikat dengan sijil halal adalah milik bukan Islam

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Data halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan lebih 60 peratus syarikat dan pengeluar produk yang memperoleh sijil halal adalah syarikat multinasional yang dimiliki oleh orang bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata ini kerana syarikat bukan Islam sedar akan kepentingan memiliki pensijilan halal yang boleh membawa produk mereka jauh dalam industri selain produk mereka bukan sahaja diterima secara meluas dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Sebaliknya industri Bumiputera pula masih banyak lagi yang belum memohon untuk memiliki sijil halal daripada kami… ini yang saya musykil kenapa mereka tidak berbuat demikian,” katanya dalam ucapannya di HALFEST JAKIM 2019 edisi Ke-8 dari 4 hingga 8 Sept, bertempat di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan dekat sini.

Mujahid berkata dengan persijilan halal JAKIM itu, dapat dipastikan sesuatu produk itu bukan sahaja menggunakan bahan halal tetapi juga bersih tidak kira ia dikeluarkan syarikat milik Muslim atau bukan Muslim.

Oleh itu syarikat-syarikat milik Bumiputera dan Muslim yang belum mendapat pensijilan halal bagi produk atau perkhidmatan mereka digesa untuk memohon perakuan itu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Dengan adanya pensijilan halal itu, syarikat Bumiputera juga dapat bersaing dengan syarikat multinasional, bukan sahaja dalam negara bahkan di luar… ia juga memberi akses yang meluas, dan produk itu sendiri diyakini serta selamat digunakan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mujahid juga berkata Islam tidak mengajar umatnya untuk memilih produk berdasarkan bangsa dan kaum tertentu tetapi menekankan kepentingan membeli barangan halal serta bersih.

“Kita perlu fokus kepada dua teras iaitu Yakini Halal Malaysia dan Buy Malaysian Product First… kita jadikan halal sebagai ‘benchmark’ kita.

“Sebagai Muslim, apabila saya ke luar negara, saya mencari makanan halal… saya akan tanya halal atau tidak, saya tidak tanya bangsa apa,” katanya.

Turut hadir pada majlis yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu ialah Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee dan Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, Datuk Seri Sirajuddin Suhaimee.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada pendeposit tutup akaun, malah bertambah – Mujahid

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 APR: Tiada pendeposit Tabung Haji (TH) yang bertindak menutup akaun atau mengeluarkan wang simpanan mereka ekoran permasalahan akar umbi prestasi kewangannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof berkata, setakat tengah hari tadi tiada sebarang pergerakan luar biasa, sebaliknya menerima penambahan pendeposit baharu.

“Setakat ini tiada pergerakan luar biasa, bahkan kita menerima pendeposit baharu.

“Saya harap pendeposit kekal di TH kerana kita mempunyai pelan menyeluruh untuk memulihkan prestasi kewangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Bicara Eksekutif Maqasid Syariah Peringkat Negeri 2019 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Majis negeri, di sini.

Dr Mujahid berkata, bagi memulihkan TH, kerajaan akan memberi suntikan dana RM17.8 bilion dan peruntukan RM500 juta pada 2020, seterusnya RM1.73 bilion setahun mulai 2021 sehingga semua sukuk ditebus semula.

Katanya, menerusi langkah pertama itu, kerajaan akan berjaya mengekalkan kepercayaan orang ramai kepada TH.

“Saya meminta orang ramai supaya terus yakin dan kekal bersama TH kerana kita kini berada di landasan tepat untuk memulihkannya.

“Kerajaan meletakkan kebajikan kepada pendeposit supaya boleh mengerjakan ibadah haji sebagai keutamaan.

“Saya yakin pada masa hadapan, kita mampu memberikan hibah lebih dan pengurusan haji itu dapat dijalankan dengan lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau dijangka akan membentangkan kenyataan rasmi berkenaan status TH di sidang Parlimen esok.

Setakat 31 Disember lalu, TH merekodkan aset keseluruhan RM76.5 bilion, sekali gus mencatat lebihan aset RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan kedudukan kewangannya kembali pulih berbanding defisit aset RM4.1 bilion berdasarkan laporan kewangan diaudit pada 2017.

Baru-baru ini, TH mengumumkan kadar agihan hibah Tabung Haji bagi Tahun Kewangan 2018 ialah 1.25 peratus.