Categories
AGENDA NASIONAL

MITI tarik balik kelulusan 4 syarikat semasa PKP – Azmin

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Setakat hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menarik balik kelulusan terhadap empat buah syarikat yang didapati melanggar syarat -syarat kelulusan yang ditetapkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata siasatan juga sedang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 35 syarikat yang telah dilaporkan melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh MITI.

“Orang awam boleh membuat aduan sama ada secara terus kepada PDRM atau kepada MITI sekiranya mengetahui sebarang kes pelanggaran syarat-syarat tatacara operasi piawai  (SOP) dalam kalangan syarikat,” katanya pada satu sidang media, di sini, hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembangunan pesat Kuala Selangor selari WKB 2030 – Azmin

KUALA SELANGOR, 16 FEB: Pembangunan pesat yang menjana pertumbuhan ekonomi di daerah Kuala Selangor selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri hal ehwal ekonomi berkata WKB tidak hanya menumpukan sesuatu kawasan maju, sebaliknya semua daerah bagi merapatkan jurang pendapatan.

“Sektor perumahan seperti di Kuala Selangor penting bagi menjamin pertumbuhan ekonomi. Kuala Selangor dulu sunyi tetapi dengan pertambahan penduduk, daerah ini menjadi kawasan penting.

“Ini selari dengan WKB di mana pembangunan tidak tertumpu di wilayah yang kaya seperti Shah Alam atau Petaling Jaya,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Laman Haris, di Eco Grandeur, di sini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Perdana Menteri tidak lama lagi menumpukan sektor pelancongan, pembuatan dan pelaburan domestik serta pembinaan.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selesai projek terbengkalai, bukti Selangor peduli rakyat

KUALA SELANGOR, 16 FEB: Penantian 987 peneroka Revolusi Hijau selama 20 tahun berbaloi apabila Kerajaan Selangor yang peduli rakyat berjaya menyelesaikan projek terbengkalai itu, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri hal ehwal ekonomi percaya masalah yang sukar boleh diselesaikan jika sesebuah kerajaan mempunyai keazaman dan kejujuran yang tinggi.

“Penantian ini cukup menyeksakan. Benarlah ibarat sebuah lagu, penantian satu penyeksaan tetapi kerana tabah, sabar dan bekerja sebagai satu keluarga, kita berjaya miliki rumah yang selesa ini.

“Kejayaan ini bukan datang bergolek, ia tidak mudah dicapai. Saya pernah ditekan oleh pihak berkuasa, diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, ahli jawatankuasa penduduk ditahan dan pegawai ditekan beri kenyataan,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Laman Haris di Eco Grandeur di sini.

Mohamed Azmin berkata lebih memilukan apabila seramai 373 peneroka meninggal dunia sebelum menerima kunci rumah baharu di Laman Haris.

“Ada yang menangis kegembiraan dan ada yang bersedih kerana kematian ahli keluarga, namun bersyukur komitmen diberikan dalam merealisasikan harapan dan penuhi aspirasi peneroka berjaya,” katanya.

Menerusi projek itu juga, EcoWorld Development Group Berhad sebagai pemaju akan membina sekolah rendah kebangsaan dan masjid seluas 12 ekar untuk kegunaan penduduk.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan peruntuk RM800,000 ganti dua lif penumpang Masjid Negeri

SHAH ALAM, 31 JAN: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi meluluskan peruntukan RM800,000 bagi menggantikan dua buah lif penumpang di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah yang rosak sejak dua tahun lalu.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata penggantian terbabit untuk memudahkan pergerakan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) sekali gus memberi keselesaan kepada jemaah.

“Lif ini sudah terlalu lama iaitu 30 tahun dan sejak dua tahun lalu ia tidak berfungsi, jadi penggantian ini untuk memberi kemudahan kepada warga emas dan OKU,” katanya selepas penyerahan replika cek kelulusan peruntukan terbabit kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini hari ini.

Penyerahan turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad.

Mohd Shahzihan berkata kerja penggantian lif yang menghubungkan tingkat bawah ke dewan solat utama di tingkat satu serta ruang solat wanita di tingkat dua terbabit akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka siap antara enam hingga 12 bulan.

“Kerja penggantian melibatkan keseluruhan struktur dan dibuat mengikut pilihan reka bentuk sendiri (custom made). Malah, Tuanku sangat menekankan bentuk yang praktikal dan cantik bagi membolehkan OKU mengakses lif dengan baik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Elaun menteri boleh dipotong jika bantu urus perbelanjaan negara berhemah

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat tiada masalah untuk elaun menteri dan ahli politik dipotong bagi menyokong usaha kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan lebih berhemah.

Beliau berkata adalah penting untuk kewangan negara diurus secara berhemah, tanpa berlaku ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah, sekali gus dapat menguruskan pembangunan yang lebih baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau perlu potong, potong (elaun menteri dan ahli politik). Apa yang penting kita harus melihat keperluan hari ini untuk menguruskan kewangan secara bertanggungjawab.

“Sekiranya kerajaan hari ini meletakkan fokus untuk membanteras rasuah, amalan salah guna kuasa, berbelanja dengan berhemah… kita dapat kembali uruskan pembangunan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata tindakan kerajaan sebelum ini yang gagal berbelanja dengan berhemah akibat amalan rasuah dan salah guna kuasa meninggalkan pengalaman pahit kepada kerajaan kini yang turut memberi kesan kepada ekonomi negara dan juga rakyat.

Mohamed Azmin mengulas cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya kerajaan memotong elaun ahli politik dan menteri, susulan kontroversi melibatkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dalam kalangan penjawat awam terutama doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling pada 20 Dis menyatakan BIPK bagi penjawat awam dalam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal akan dimansuhkan bagi pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk menangguhkan pemansuhan BIPK, dan keputusannya hanya diputuskan selepas perbincangan bersama Jemaah Menteri pada persidangan pertama Januari nanti.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa ditemui pemberita selepas meninjau kawasan rumah banglo yang mengalami tembok pecah di Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin gesa rakyat Malaysia tolak ketaksuban, ekstremisme

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa rakyat Malaysia untuk menolak ketaksuban, ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi.

Dalam perutusan Hari Krismas beliau hari ini, Mohamed Azmin berkata setiap individu perlu menyemai semangat persefahaman, kesederhanaan dan saling menghormati kerana keharmonian yang dinikmati hari ini adalah hasil belas ihsan, toleransi dan saling memahami dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh meremehkan sumbangan penganut Kristian ke arah keamanan, keharmonian, kemakmuran dan pembinaan negara. Saya ingin mengambil kesempatan ini, menyeru semua rakyat Malaysia untuk sama-sama meraikan perayaan Krismas,” katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada penganut Kristian, beliau berkata Krismas adalah musim yang membawa kegembiraan dan rahmat serta masa untuk seseorang ‘memberi’ dan memaafkan.

“Saya harap anda dan keluarga anda akan diberkati pada Krismas ini. Semoga rumah anda dipenuhi kegembiraan dan keharmonian,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih banyak MITS demi pembangunan pendidikan Islam

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri komited membangunkan lebih banyak Maahad Intergrasi Tahfiz Selangor (MITS) di negeri itu demi kemajuan pendidikan Islam serta melahirkan golongan huffaz profesional.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor berjaya melahirkan 660 huffaz muda yang bukan sahaja mampu menghafaz al-Quran tetapi merangkul kecemerlangan dalam bidang akademik sejak penubuhan dua MITS.

“Kerajaan Negeri berazam membangunkan lebih banyak MITS sebagai model pendidikan tahfiz. Kita juga bersetuju menambah bilangan guru kontrak dan tetap bagi memastikan proses pengajaran juga pembelajaran berjalan lancar serta kondusif,” katanya.

pmb_3770Beliau berkata demikian dalam Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Intergrasi Tahfiz Selangor kali keempat 2016 yang turut dihadiri Exco Agama Islam, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Baktiar Hussin, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, majoriti graduan MITS mendapat tawaran di institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang pengajian profesional berdasarkan rekod JAIS.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri mengesyorkan graduan MITS yang memperoleh ijazah sarjana muda mengambil peluang program ‘Selangor Business School’ yang akan bermula, pada September 2017.

“Saya bersyukur Selangor tuntas bagi melahirkan lebih ramai generasi huffaz profesional yang menguasai ilmu al-Quran secara komprehensif.

“Kerajaan Negeri melakukan anjakan paradigma dalam pendidikan tahfiz al-Quran yang tidak hanya memberi fokus kepada pengajian ilmu al-Quran tetapi dilaksanakan secara bersepadu mengikut epistemologi Islam. Ini bermakna pendidikan tahfiz diintergrasikan dengan ilmu sains dan teknologi,” katanya.

Sebagai penghargaan kepada semua graduan, beliau mengumumkan Kerajaan Negeri bersetuju memberikan insentif kepada mereka iaitu RM1,000 setiap seorang manakala empat pelajar terbaik yang menerima anugerah khas masing-masing mendapat RM3,000.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil khatam al-Quran kepada 102 huffaz termasuk kepada empat pelajar terbaik iaitu Luqman Al Hakim Abdul Jabar dan Nur Fatimah Aimiros dari MITS Kuala Langat serta Muhammad Rujhan Mohd Subari juga Naiemah Mohamad (MITS Klang).

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Krisis politik Terengganu perlu PRN – Azmin

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 3 OGOS: Persekitaran politik di Terengganu kini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pentadbiran baru mengikut proses demokrasi, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali.

Bagaimanapun katanya, proses tersebut bergantung kepada pendirian yang bakal diambil bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said samada terus kekal dengan pendiriannya bersama Umno atau sebaliknya.

“Apabila sesebuah kerajaan tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat, ia mesti diadakan semula pilihanraya supaya adanya mandat baru dan keadaan di Terengganu itu adatu keadaan yang amat kritikal.

“Apa jua keadaan yang diambil oleh Ahmad Said itu akan menentukan langkah seterusnya, jadi Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai pilihan melainkan memberi pilihan mandat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri bersama penjawat awam, di sini.

Sebelum ini, Ahmad menyuarakan bahawa beliau tidak kisah dipecat dari Umno ekoran kelantangannya mengkritik pentadbiran Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Kerajaan Negeri itu.

Beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan kedudukan dalam parti ketuan melayu itu selepas wujudnya desakan daripada segelintir pihak yang memintanya dipecat.

Pada masa ini, BN menguasai 17 kerusi dalam dewan undangan negeri (DUN) Terengganu manakala PAS mempunyai 14 kerusi tersebut dan PKR pula hanya diwakili seorang ADUN.

Jika Ahmad dipecat dari Umno dan beliau mengadakan sekutu dengan pembangkang, DUN Terengganu bakal menyaksikan bilangan kerusi setara (16-16) antara kerajaan dan pembangkang yang boleh menjurus kepada pilihan raya mengejut.

AZMINSekirannya pilihan raya mengejut itu berlaku, Mohamed Azmin mengingatkan pemimpin Pakatan mengambil pengajaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.

“Kita wajar mendengar kemahuan rakyat.

“Jika kita mengenepikan semua sentimen yang berlaku sebelum ini, saya percaya kita boleh terus maju dengan misi kita,” kata Menteri Besar Selangor itu.

-nR-