Categories
AGENSI SELANGOR

Usahawan Hijrah terima moratorium pinjaman secara automatik

SHAH ALAM, 2 JULAI: Semua peminjam Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) diberi moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan secara automatik.

Pengarah eksekutifnya berkata tiada sebarang proses diperlukan untuk membuat penangguhan dan golongan terbabit mengambilnya kerana pendapatan terjejas akibat Covid-19.

“Berdasarkan data, jumlah keseluruhan berjumlah 56,800 tetapi peniaga terlibat kira-kira 40,000 berikutan terdapat kumpulan yang membuat pinjaman kali kedua.

“Mereka yang terlibat dengan Hijrah daripada sektor pembekal, pemakanan, perkhidmatan, pertanian, penternakan dan pemprosesan,” kata Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor kepada SelangorKini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang memberi impak kewangan berjumlah RM11.35 juta disalurkan susulan Kerajaan Negeri memahami kesukaran golongan itu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan perniagaan dan gangguan aliran tunai.

Pada 11 Jun, Mohamad Suparadi berkata pihaknya menjelajah ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyegerakan pelaksanaan dasar itu memandangkan majoriti peminjam golongan B40.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Proses lulus pinjaman Hijrah seawal lima hari

AMPANG, 23 APRIL: Tempoh kelulusan pinjaman modal perniagaan melalui Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) kini dipercepat kepada lima hari bekerja.

Pengarah eksekutifnya berkata tempoh 14 hari yang diguna pakai ketika ini dianggap terlalu lama dan menyukarkan peniaga yang memerlukan bantuan kewangan.

“Saya sudah berbincang dengan pegawai dan beri cabaran kepada mereka yang saya tentukan bahawa lima hari bekerja siapa yang pinjam akan dapat.

Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor

“Kita tahu mereka perlukan kewangan, kalau 14 hari tidak membantu. Mulai dua minggu lagi kita akan pastikan lima hari kerja mereka akan dapat wang pinjaman,” kata Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah dan Iftar Hijrah Selangor di Kampung Pandan Dalam di sini semalam.

Sementara itu, ahli parlimen Pandan berharap Hijrah mempermudah proses pinjaman kepada peniaga wanita kerana ramai yang terkesan akibat Covid-19.

“Ramai wanita yang dibuang kerja dan mereka perlukan sesuatu untuk dijadikan pendapatan tambahan,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata soal bayaran balik tidak perlu dikhuatiri berikutan golongan itu paling gigih melunaskan pinjaman.

Hijrah yang ditubuhkan enam tahun lalu memberi modal mudah, cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang menghadapi kekangan kewangan.

Pada 10 Februari, Kerajaan Negeri melancarkan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kompas Keusahawanan Hijrah fokus lahir usahawan berjaya

SHAH ALAM, 20 APRIL: Program Kompas Keusahawanan menjadi tumpuan utama Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) bagi membantu usahawan meningkatkan hasil perniagaan.

Pengarah eksekutifnya berkata mereka perlu dibimbing bagi meningkatkan potensi diri dan mempunyai hala tuju jelas dalam bidang diterajui.

“Kompas Keusahawanan adalah program baharu yang saya zahirkan untuk seseorang usahawan bergerak dari satu arah ke satu arah dan tidak hanya statik.

“Kita mahu mereka meningkat dan tidak sia-sia membuat pinjaman dengan Hijrah. Menjadi usahawan perlu berani teroka, saya tidak mahu mereka meminjam tetapi tidak pandai mengurus sebaiknya,” kata Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar dan Memperkenalkan Pengarah Eksekutif baharu Hijrah di Kelab Shah Alam di sini, semalam yang turut dihadiri yang turut hadir EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail.

Mohamad Suparadi yang baharu seminggu menerajui Hijrah berkata beliau akan membawa satu paradigma baharu dengan tidak sekadar berperanan sebagai agensi pemberi pinjaman sebaliknya membantu melahirkan usahawan berjaya.

“Sebelum ini saya bertugas di Tekun Nasional di Kelantan selama lebih setahun. Insya-Allah saya akan bawa pengalaman lama untuk diterapkan di Hijrah,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Usahawan Hijrah perlu sahut cabaran teroka pasaran baharu

SHAH ALAM, 30 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) melaksanakan program Kompas Keusahawanan untuk meningkatkan produktiviti perniagaan usahawan di negeri ini.

Pengarah eksekutifnya berkata golongan tersebut perlu diberi latihan untuk meningkatkan potensi diri serta meneroka pasaran dan mencari idea perniagaan baharu.

“Kita tidak mahu tahap perniagaan usahawan yang mendapat pinjaman Hijrah berada statik, kita mahu ada peningkatan.

“Mereka perlu melangkah ke tahap baharu dan ini cabaran kepada Hijrah dan pihak yang menerima pinjaman,” kata Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor sempena Sambutan Ulang Tahun Hijrah keenam di Perbadanan Perpusatakaan Awam Selangor (PPAS) semalam.

Hijrah yang ditubuhkan enam tahun lalu bertujuan mengeluarkan modal mudah, cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang sering menghadapi isu kekangan modal.

Ketika awal penubuhan Hijrah, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Mikro Kredit dengan modal pusingan RM100 juta.

Inisiatif membantu usahawan ditambah baik menerusi program Zero To Hero dengan melatih dan memantau peserta dikendalikan syarikat peneraju terpilih.

Pada 10 Februari lepas, Kerajaan Negeri melancarkan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

Turut dilancarkan Go Digital untuk membantu usahawan sedia ada beralih ke arah pendigitalan menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.