Categories
AGENDA NASIONAL

Azmin dan 10 ahli KEADILAN keluar parti

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan Ahli Parlimen Gombak dan 10 anggota KEADILAN, yang juga ahli parlimen, mengistiharkan keluar parti hari ini.

Sepuluh anggota lain yang keluar ialah:

1. Zuraida Kamaruddin (Ampang)
2. Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota)
3. Baru Bian (Selangau)
4. Datuk Kamaruddin Ja’afar (Bandar Tun Razak)
5. Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal)
6. Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat)
7. Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat)
8. Ali Biju (Saratok)
9. Willie Mongin (Puncak Borneo)
10. Jonathan Yasin (Ranau).

“Kami, ahli-ahli parlimen KEADILAN mengisytiharkan keluar daripada KEADILAN dan muafakat Pakatan Harapan, bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan RM10.875 juta laksana pembangunan di Gombak

SHAH ALAM, 22 FEB: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memperuntukkan RM10.875 juta bagi menaik taraf serta membaik pulih infrastruktur sekolah, masjid dan madrasah di Gombak, kata menterinya.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengadakan lawatan kerja ke daerah tersebut hari ini berkata 15 projek naik taraf merangkumi lapan sekolah, dua masjid dan empat madrasah, yang bakal memanfaatkan lebih 16,000 masyarakat setempat.

“Program turun padang untuk menyantuni masyarakat membabitkan lawatan ke enam lokasi utama bagi meninjau sendiri tapak projek dan lokasi terlibat serta bertemu dengan penerima.

“Antara kerja yang dilaksanakan adalah pembangunan semula dan naik taraf surau, pembinaan kuarters dan dewan masjid, pembinaan dewan terbuka sekolah serta menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata projek tersebut adalah kerjasama antara kementeriannya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta pelbagai agensi Persekutuan dan negeri.

“Kelulusan projek ini berdasarkan permohonan pihak sekolah dan pelbagai komuniti yang terlibat,” katanya yang turut mengadakan Program Gotong-Royong Perdana bersama penduduk Gombak.

Hadir sama dalam lawatan itu Ketua Setiausaha Kementerian Dato’ Saiful Anuar Lebai Hussen, Pengarah Pembangunan Selangor Dato’ Ruzain Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Mohd Nazrul Izam Mansor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan lulus RM8 juta naik taraf institut kemahiran tenun Pahang

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Kerajaan telah meluluskan dana berjumlah RM8 juta bagi menaik taraf Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) di Pekan, Pahang, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya beliau yakin peruntukan itu akan mengangkat serta menyemarak martabat seni kemahiran tangan dan warisan tenun Pahang hingga ke persada antarabangsa.

Perkara itu diumumkan Azmin dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini. Semalam beliau menghadap Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara.

“Minat dan kesungguhan Raja Permaisuri untuk menyemarakkan kegiatan kemahiran warisan anak watan negeri Pahang amat mengagumkan.

“Hati patik tertawan dengan kemahiran, kehalusan serta keindahan kerja tangan yang ditampilkan oleh pelajar-pelajar IKTPD,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selesai ujian getir politik kejam, Azmin mahu fokus 2020

BATU CAVES, 11 JAN: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu kekal fokus melaksanakan tugas menteri Kabinet tahun ini selepas beliau melalui ujian getir dalam hidupnya.

Menyifatkan beliau menjadi mangsa percaturan politik kejam, menteri hal ehwal ekonomi bagaimanapun bersyukur dirinya bebas daripada kes fitnah susulan penyebaran video.

“Saya melalui tempoh yang panjang menghadapi ujian ini tetapi Alhamdulillah saya yakin dari awal ini adalah percaturan politik yang amat kejam dan tidak baik bagi negara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis doa selamat dan kesyukuran di Masjid Jamek Al-Amaniah di sini hari ini.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media selepas Majlis Kesyukuran Tausiah dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves pada 11 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Katanya tahun ini penting kerana Malaysia dipilih tuan rumah sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik dan pimpinan negara bertungkus lumus menjadi yang terbaik.

Majlis yang disertai ratusan jemaah itu dipimpin Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Muhammad Farhan Wijaya.

Hadir sama isteri kepada Mohamed Azmin, Datin Seri Shamshida Taharin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham dan ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri.

Pada 9 Januari lalu, peguam negara berkata tiada pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak dalam siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Tan Sri Tommy Thomas berkata timbalan pendakwa raya memutuskan demikian secara sebulat suara berikutan laporan analisis yang diterima polis mengesahkan pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara pasti.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kanan) bersama Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) membaca yassin pada Majlis Kesyukuran Tausiah dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves pada 11 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes video: Azmin bersyukur, minta henti politik fitnah

SHAH ALAM, 9 JAN: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersyukur atas kenyataan peguam negara berkaitan siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan dirinya.

“Saya bersyukur kepada Allah atas kemenangan kebenaran ke atas kejahatan dan berdoa agar tidak ada sesiapa lagi yang akan menjadi mangsa kepada kedurjanaan politik seperti ini,” kata timbalan presiden KEADILAN.

Menyifatkan video itu komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya, menteri hal ehwal ekonomi melalui kenyataan media berkata beliau sedari awal menegaskan secara tuntas rakaman itu hanya fitnah.

“Meskipun mereka yang berniat jahat boleh merancang dan bersekongkol, saya tidak sama sekali ragu bahawa keadilan akan menyerlah,” katanya yang turut merakam penghargaan kepada keluarga, rakan serta rakyat.

“Akhir sekali, mari kita menghentikan politik fitnah, serangan peribadi dan caci-maki. Sebaliknya, menjayakan wacana yang membina dan idea bernas tentang Kemakmuran Bersama, kesejahteraan rakyat dan pembinaan negara”.

Petang tadi, Tan Sri Tommy Thomas dalam kenyataan media berkata timbalan pendakwa raya memutuskan tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak berikutan laporan analisis yang diterima polis mengesahkan pengenalan identiti dalam rakaman tidak boleh dibuat secara pasti.

Categories
AGENDA NASIONAL

RM120 juta naik taraf, pemuliharaan bangunan mahkamah seluruh negara

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memperuntukkan RM120 juta bagi projek naik taraf dan kerja pemuliharaan bangunan mahkamah di seluruh negara untuk memastikan mahkamah dapat menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya secara berkesan.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dalam kenyataan di sini, hari ini, peruntukan itu akan disalurkan secara sekali sahaja dalam Pelan Pelaksanaan Keempat Tahun 2020 di bawah peruntukan pembangunan, dengan tempoh pelaksanaan projek adalah selama dua tahun.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengambil perhatian serius mengenai permohonan untuk menaik taraf dan memulihara kebanyakan bangunan mahkamah yang lama dan mengalami kerosakan kritikal.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan operasi mahkamah malah keselamatan pengguna terutamanya hakim, kakitangan mahkamah, peguam dan orang awam,” katanya.

Justeru kerajaan yakin peruntukan itu akan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan mahkamah kepada orang awam.

Jelas Mohamed Azmin projek itu melibatkan kerja naik taraf dan pemuliharaan 120 buah mahkamah seluruh Malaysia meliputi pembaikan kritikal antaranya seperti bumbung, dinding, saluran paip, penghawa dingin dan sistem pencegahan kebakaran.

Bilangan mahkamah yang terlibat adalah Johor (13), Melaka (3), Negeri Sembilan (8), Selangor (12), Putrajaya (1), Perak (18), Pulau Pinang (5), Kedah (10), Kelantan (10), Terengganu (6), Pahang (9), Sarawak (5), Sabah (19) dan Labuan (1).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat pelabur berpotensi disenarai pendek rakan sinergi MAS

SHAH ALAM, 22 OKT: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Malaysian Aviation Group Berhad (MAGB) sudah menyenarai pendek empat pelabur strategik berpotensi untuk menjadi rakan sinergi Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai usaha memastikan kelangsungan operasi bagi jangka panjang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan perlu menilai semula model perniagaan MAS secara lebih menyeluruh supaya dapat keluar daripada kemelut yang sedang dihadapi serta bangkit sebagai sebuah syarikat penerbangan berprestasi tinggi dan mampan.

“Khazanah dan MAGB telah mempelawa 20 pelabur yang berpotensi untuk menjadi rakan strategik MAS. Melalui proses ini, Khazanah dan MAGB menyenarai pendekkan empat pelabur strategik untuk dinilai dengan ketat dan teliti.

“Penekanan diberi kepada cadangan yang mengambil kira kehematan kewangan dan sinergi kepada operasi Malaysia Airlines.

“Bagaimanapun, di bawah Non Disclosure Agreement (perjanjian menghalang pendedahan), kerajaan tidak dapat memberikan dan mendedahkan maklumat yang lebih terperinci mengenai pelabur strategik yang sedang melalui proses ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan prestasi kewangan dalam tempoh tiga tahun pertama Pelan Pemulihan MAS (PPM) dilaksanakan, MAGB mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.2 bilion pada 2015, RM799 juta (2016) dan RM1.2 bilion (2017).

“Keadaan ini memberi kesan langsung kepada Khazanah, selaku pemegang saham tunggal Malaysia Airlines.

“Bagi tahun kewangan 2018, daripada jumlah RM7.3 bilion rosot nilai yang terpaksa Khazanah lakukan ke atas aset-aset yang dilaburkan dan tidak memberikan pulangan yang baik, RM3.1 bilion telah diperuntukkan untuk MAGB.

“Kerajaan sedar akan kepentingan serta sumbangan Malaysia Airlines dan kakitangannya kepada negara. Ini termasuklah penjenamaan Malaysia yang telah memberi manfaat ekonomi menerusi perdagangan, pelancongan serta penyediaan pekerjaan dan peluang perniagaan kepada rakyat,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2020 langkah permulaan realisasi WKB2030

KLANG, 12 OKT: Belanjawan 2020 menjadi langkah permulaan ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam disifatkan selari dengan WKB2030 iaitu merapatkan kesenjangan ekonomi, sekali gus memberi keadilan kepada rakyat.

Katanya, belanjawan berjumlah RM297 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM19.5 bilion itu antara lain turut memberi fokus terhadap pemberdayaan golongan belia, wanita, penduduk luar bandar, dan golongan B40.

“Belanjawan yang dibentangkan adalah komitmen kerajaan merapatkan kesenjangan ekonomi antara kelas pendapatan, kumpulan etnik dan wilayah.

“Ia adalah sebahagian daripada falsafah WKB2030 yang berpaksikan model pertumbuhan inklusif demi kemakmuran seluruh rakyat,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Azmin Ali bergambar bersama guru dan pelajar ketika Majlis Penyampaian Kelulusan Baik Pulih Prasarana Sekolah di SMK Telok Gadong, Klang pada 12 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Kelulusan Projek Baik Pulih Prasarana Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, berdasarkan pengumuman semalam, peruntukan pembangunan bagi 2020 dinaikkan kepada RM56 bilion iaitu 18.9 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2020 berbanding 17.3 peratus pada tahun ini.

Katanya, peningkatan itu akan memberi manfaat secara langsung kepada semua rakyat Malaysia khususnya masyarakat B40, penduduk luar bandar dan anak muda.

Tun Dr Mahathir memegang buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 selepas merasmikan Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut serta, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Eknomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada 5 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan WKB2030 yang secara khusus memastikan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.

Ia adalah kelangsungan kepada Wawasan 2020 dengan mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan keadaan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng memegang Belanjawan 2020 selepas membentangkan belanjawan tersebut di Parlimen hari ini.
Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan)
-Foto BERNAMA

Semalam, Guan Eng membentangkan belanjawan kedua Pakatan Harapan berasaskan WKB2030 yang memandu Malaysia Baharu ke arah mencapai status negara maju, hasil pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi dengan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kelas, etnik, dan lokasi geografi untuk mencipta masyarakat harmoni, progresif, dan makmur.

Bagi memenuhi WKB2030, langkah teras Belanjawan 2020 sejajar dengan pelbagai strategi Kemakmuran Bersama untuk memastikan tiada siapa ketinggalan apabila Malaysia maju ke hadapan sekali gus setiap rakyat dapat merasakan hasil pertumbuhan negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM1.8 juta bantu baik pulih 11 sekolah di Klang

KLANG, 12 OKT: Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan kepada 11 sekolah terpilih di Klang bagi kelulusan projek baik pulih prasarana di bawah Peruntukan Projek Kecil Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, hari ini.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara projek baik pulih yang akan dilaksanakan adalah pemasangan pagar, pembinaan kantin, baik pulih kerosakan fizikal bangunan, pembinaan dataran berbumbung, menaik taraf makmal sains dan infrastruktur sekolah.

Katanya, kelulusan projek itu adalah berdasarkan permohonan bantuan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terlibat.

“Selepas semakan dan penilaian dijalankan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri berhubung permohonan terbabit, projek ini diluluskan oleh MEA memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk dilaksanakan.

“Pada masa sama, saya optimis dengan sumbangan baik pulih ini akan mewujudkan suasana ruang yang lebih kondusif, selesa sekali gus dapat membantu warga pendidik dan pelajar untuk meningkatkan tahap kecemerlangan mereka.

“Pihak saya juga akan sentiasa memberikan sokongan bagi membangunkan sektor pendidikan di Malaysia ke arah yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Kelulusan Projek Baik Pulih Prasarana Sekolah di SMK Telok Gadong, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Dato’ Seri Azmin Ali, (tengah) bersama Dato’ Abdul Rashid Asari, (dua, kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil sekolah ketika Majlis Penyampaian Kelulusan Baik Pulih Prasarana Sekolah di SMK Telok Gadong, Klang pada 12 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sekolah terpilih menerima bantuan berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gadong; SK Sungai Udang, Sekolah Agama Rakyat (KAFA Integrasi) Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Bin dengan masing-masing menerima RM199,000.

Sekolah lain turut menerima sumbangan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Sultan Suleiman (RM198,000) dan Sekolah Rendah Agama (KAFA Integrasi) Nurul Ain, Telok Gadong (RM197,000).

Manakala, SK Pelabuhan Utara, SMK Telok Gadong masing-masing menerima RM195,000, Sekolah Rendah Agama Kampung Delek (RM139,000), Sekolah Menengah (SM) Pulau Ketam (RM76,000) dan SM Raja Uda (RM10,000).

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkilangan Selangor sumbang RM3.8 bilion separuh pertama 2019

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Sektor perkilangan Selangor menyumbangkan RM3.8 bilion bagi separuh pertama 2019 berbanding nilai pelaburan langsung asing diluluskan di peringkat nasional bernilai RM49.5 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan Selangor itu lebih sekali ganda berbanding dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, banyak usaha masih perlu dilakukan bagi meningkatkan ekosistem perniagaan dan industri negara.

“Oleh itu, perancangan strategik kami diteruskan dengan usaha yang dipertingkatkan bagi memenuhi peluang dan cabaran Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor sempena Persidangan Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2019 Ketiga di Pusat Perdagangan Antarabangsa & Pameran Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut mempelawa Selangor menjalin kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Halal di bawah kementeriannya bagi merangka pelan strategik pada masa hadapan.

Katanya, ini kerana sektor halal berpotensi besar berkembang pesat dengan penghasilan produk bermutu tinggi dan memenuhi keperluan syariah yang mempunyai permintaan tinggi di seluruh dunia.

Beliau berkata, industri teknologi dan berimpak tinggi yang menjadi keutamaan mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan lagi perkembangan industri negara.

“Kerajaan mengenal pasti beberapa sektor industri yang boleh dibangunkan, antaranya aero angkasa, pertanian berteknologi tinggi, data raya, kecerdikan tiruan, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sertai KEADILAN bukan untuk lonjak kedudukan

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Pemimpin yang baru menyertai KEADILAN perlu berlandaskan semangat reformasi yang diperjuangkan parti itu, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, penyertaan ahli baharu bukan untuk mengambil kesempatan melonjakkan kedudukan seseorang dan meraih keuntungan daripada kejayaan dikecapi selepas berjuang lebih 20 tahun.

“Saya berharap mana-mana individu yang hendak sertai KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) harus menerima prinsip serta idealisme perjuagan yang termaktub dalam Perlembagaan PAKATAN,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada media pada Persidangan Perniagaan Asean Selangor sempena Perhimpunan Perniagaan Antarabangsa Selangor ketiga di Pusat Perdagangan Antarabangsa & Pameran Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, KEADILAN sentiasa bersikap terbuka terhadap mana-mana pihak yang menyertai parti itu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Barisan Nasional dikaitkan akan menyertai KEADILAN antaranya bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah tekad kurangkan hutang kepada RM35 bilion

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan mengurangkan lagi hutangnya kepada antara RM35-RM40 bilion daripada paras RM47 bilion yang dijangka dicapai pada akhir tahun ini, menerusi aktiviti pelupusan aset dan penjualan pelaburan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, langkah pelupusan dan penjualan mengurangkan hutang Khazanah tersebut telah terbukti berjaya setakat ini, apabila dana pelaburan negara itu berada di landasan mengurangkan hutangnya kepada RM47 bilion daripada RM55 bilion setahun yang lalu.

Foto BERNAMA

“Proses menjual aset adalah satu urus niaga biasa bagi Khazanah dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi kita perlu memastikan aset-aset yang kita akan jual akan dapat menjana wang dan (menyediakan) dana baharu kepada kita untuk melabur semula ke dalam aset lain dan membuat lebih banyak keuntungan.

“Bagi tempoh 10 tahun lalu, Khazanah telah menjual aset bernilai kira-kira RM65 bilion. Ia bukan suatu yang luar biasa, ia hanya memerlukan pertimbangan strategik berdasarkan situasi pasaran, mewujudkan nilai kepada aset kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan pada Forum Khazanah Megatrend 2019, di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Redzuan dalam temu bual baru-baru ini berkata, selain berjaya mengurangkan hutangnya kepada RM47 bilion, dana itu juga berjaya menjanakan hasil RM9 bilion semasa tempoh tersebut.

Dana pelaburan negara itu, katanya, dijangka pulih dan menjana potensi hasil sebanyak RM5 bilion tahun ini.

“Walaupun nilai aset kita masih pada RM130 bilion, hutang kita telah susut sebanyak RM10 bilion, jadi dari segi aset bersih atau lembaran imbangan bersih kita, ia menjadi semakin kukuh.

“Daripada unjuran kami, Khazanah boleh dan sepatutnya mempunyai hutang sekitar RM35 bilion kerana dengan menggunakan kombinasi hutang dan ekuiti daripada kerajaan, kita boleh memaksimumkan pendapatan kita,” kata Shahril Ridza dalam temu bualnya bersama RTM.

Sementara itu, mengenai usaha mencari rakan kongsi bagi Malaysia Airlines Bhd, Mohamed Azmin berkata, Khazanah menerima beberapa cadangan berhubung perkara itu dan sedang menilainya ketika ini.

“Buat masa ini saya tidak dapat mendedahkan sebarang butiran terperinci kerana proses penilaian itu masih sedang berjalan. Sebaik sahaja Khazanah dan MAS memuktamadkannya, barulah kami akan membuat pengumuman yang sewajarnyna,” katanya

Terdahulu dalam ucapannya, Azmin berkata kerajaan komited untuk menyediakan model pertumbuhan lebih inklusif yang akan menjaga kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi bagi golongan kurang bernasib baik dan miskin yang tinggal di kawasan luar bandar dan bandar.

“Bagaimanapun, untuk menghidupkan keadilan pengagihan dalam era moden ini , kita tidak boleh mengabaikan prasyarat, iaitu, untuk mengembangkan dan membesarkan saiz ekonomi agar semua rakyat Malaysia boleh menikmati kemakmuran negara dengan lebih saksama.

“Meskipun penting bagi kerajaan untuk mengekalkan disiplin fiskal, kita juga memerlukan perangsang untuk ekonomi berkembang dan menjadi lebih rancak,” katanya.

Azmin berkata, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bermula dari 2021 hingga 2025 akan menjadi fasa pertama untuk melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), di mana objektif dan semangat pelan sepuluh tahun itu akan membentuk falsafah dasar bagi memacu pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

“Ketika kita merancang peringkat pembangunan ekonomi seterusnya bagi Malaysia, kita juga sedar akan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Bagaimanapun, kita perlu mempunyai kepastian bahawa negara kita telah membangunkan pengetahuan yang kukuh dan menyeluruh dan dengan itu, mengambil pengajaran daripada sejarah politik dan ekonomi kita,” katanya.

– BERNAMA