Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia tingkat pertanian, kekal momentum sektor industri – Azmin

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Malaysia sedang melakukan pengubahsuaian struktur dalam hala tuju ekonomi dengan fokus utama meningkatkan sektor pertanian dan mengekalkan momentum dalam pembangunan sektor industri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor pertanian akan menjadi sangat penting dalam membawa ekonomi negara ke peringkat seterusnya.

“Secara amnya, jumlah kes kemiskinan adalah lebih tinggi di negeri-negeri yang ekonominya berasaskan aktiviti pertanian.

“Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan membetulkan ketidakseimbangan dalam pembahagian kekayaan dan mengurangkan perbezaan antara kelas pendapatan, kumpulan etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.

Mohamed Azmin menyampaikan ucapan pada perbincangan panel ‘Pengawasan Alam Sekitar dalam Menangani Kemiskinan untuk Mencapai Pembangunan Mampan’ di luar Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, semalam.

Beliau berkata sebagai permulaan, Malaysia perlu melakukan penyelidikan dan pembangunan terperinci dalam pertanian campuran supaya sektor pertanian tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil getah dan kepala sawit sebaliknya memperuntukkan sebahagian tanah untuk pengeluaran tanaman kontan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga yang mendapat permintaan di peringkat global.

Import makanan Malaysia pada 2018 berjumlah lebih daripada RM50 bilion dan berkembang tahun demi tahun.

Pisang, kelapa, cili, jagung, halia dan cendawan adalah antara contoh tanaman yang diimport Malaysia ketika ini dan ia boleh digantikan dengan pengeluaran daripada ladang tempatan.

Beliau berkata, petani yang memiliki dua atau tiga ekar tanah tidak mampu untuk memperoleh pendapatan mencukupi bagi menampung hidup, oleh yang demikian, pendekatan baharu yang menggabungkan ladang-ladang kecil yang diuruskan dengan cekap akan menjana pendapatan lebih tinggi untuk petani.

Mohamed Azmin juga menekankan bahawa peningkatan sektor pertanian menerusi pertanian pintar adalah sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.

Oleh itu, beliau berkata penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, automasi, analisis data raya, dron dan robotik akan menyediakan asas kukuh dalam pertanian tepat.

“Ini memerlukan modal insan berkemahiran tinggi seperti pengurus ladang yang disahkan secara profesional yang dapat memaksimumkan pengeluaran serta menguruskan ladang dengan cekap.

“Ia juga mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi baharu yang sangat penting dalam meningkatkan sosioekonomi tenaga kerja dalam bidang pertanian yang menjadi salah satu cara untuk meningkatkan kuasa membeli mereka,” katanya.

Menteri itu juga memberi jaminan pendekatan yang sama akan diambil dalam semua bidang ekonomi, dengan mengukuhkan asas ekonomi Malaysia dan sentiasa teguh mencapai pembangunan mampan untuk semua dalam menangani kemiskinan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia-Singapura kukuh hubungan, tingkat libat urus Asia Tenggara

SINGAPURA, 22 SEPT: Malaysia dan Singapura akan terus memperkukuh hubungan dua hala selain mempertingkat usaha libat urus dengan rantau Asia Tenggara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita yakin dapat memanfaatkan potensi ekonomi ASEAN secara bersama,” katanya menerusi hantaran pada akaun rasmi Twitter beliau hari ini, bersempena lawatan kerjanya selama dua hari ke republik itu.

Pada hantaran sama, Mohamed Azmin turut menyertakan gambar beliau bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat yang menjadi hos pada majlis makan tengah hari di Singapore Botanic Garden.

“Kita telah mengadakan perbincangan yang produktif serta berpotensi mengenai cara untuk mencatat kemajuan di masa depan,” katanya.

Mohamed Azmin turut berkongsi penghargaannya di atas penglibatan dan pertukaran pendapat menarik dengan Heng yang disifatkan beliau sebagai “penuh bersemangat dan idea bagi meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Singapura.”

“(Lebih-lebih lagi) kita adalah jiran terdekat di antara satu ssama lain. Adalah menakjubkan bagaimana pertemuan secara santai adakalanya dapat mencetuskan libat urus produktif jika perhubungan itu berteraskan rasa saling percaya dan pemahaman bersama,” katanya yang tiba di negara itu sejak semalam.

Terdahulu, pada 19 September lepas, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, dalam lawatan kerja itu, Mohamed Azmin akan menemui anggota kanan kerajaan Singapura bagi memperkukuh hubungan dua hala.

Beliau juga dijadual menemui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri republik itu, Chan Chun Sing di luar acara Formula Satu (F1) Grand Prix Singapore Airlines Singapura 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lawatan Dr Mahathir ke Rusia dijangka tingkatkan lagi hubungan

VLADIVOSTOK, 3 SEPT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual tiba esok di Rusia untuk lawatan tiga hari atas jemputan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Mat Dris Yaacob, berkata lawatan itu akan meningkatkan hubungan diplomati serta merangsang perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Bercakap kepada media Malaysia di sini hari ini, Mat Dris berkata Dr Mahathir dan anggota delegasinya buat pertama kali akan menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF).

Perdana Menteri akan menyertai pemimpin dunia pada forum itu yang merupakan platform bagi membincangkan isu-isu yang bermatlamat meluaskan kerjasama antarabangsa di Asia Pasifik.

Pada Khamis, beliau dijadual berucap pada sesi pleno forum berkenaan, acara utama EEF kelima yang berlangsung di kampus Far Eastern Federal University, di sini.

“Dr Mahathir akan membincangkan hubungan dua hala serta mempromosi kerjasama baharu dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan,” kata Mat Dris.

Menurutnya, pembinaan kapal, pelancongan, pendidikan, pembinaan, penerbangan dan aeroangkasa, merupakan antara bidang ekonomi utama di Valdivostok yang boleh diteroka selanjutnya oleh syarikat Malaysia.

Sementara itu, penganjur forum, Roscongress Foundation, memetik penasihat kepada Presiden Rusia, Anton Kobyakov, sebagai berkata bahawa Rusia berminat untuk membangunkan kerjasama dengan Malaysia dalam perdagangan, tenikal-ketenteraan serta bidang kemanusiaan.

Beliau mencadangkan Malaysia bekerjasama dengan Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) untuk membangunkan hubungan dagangan yang lebih intensif antara kedua-dua negara.

“EEC merupakan platform yang baik untuk pembentunkan pasaran antarabangsa sejagat,” kata Kobyakov.

Beliau berkata Malaysia mempunyai beberapa projek pelaburan utama di Rusia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Azmin jelas sebab tidak hadir mesyuarat MPP

SHAH ALAM, 29 JULAI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan ketiadaannya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ekoran tuntutan kerja.

Katanya, perkara itu juga sudah dimaklumkan kerana tugasnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan ia adalah proses normal.

“Sebab (tidak hadir kerana) ada tugas. Kita sebagai pemimpin parti kerajaan ada tanggungjawab kepada kerajaan dan parti.

“Kita perlu membawa mandat ini secara bersama. Ada kalanya tugas kerajaan yang perlu kita laksanakan, itu juga tanggungjawab kita kerana beberapa pemimpin senior KEADILAN mempunyai jawatan dalam Kerajaan Pusat.

“Tanggungjawab parti pun kita kena tunaikan juga, kita perlu lakukan kedua-duanya,” katanya ketika ditemui di lobi Bangunan Annex sempena persidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mempersoalkan segelintir pihak yang menyasarkan ‘serangan’ terhadapnya kerana tidak menghadiri mesyuarat berkenaan.

“Ada program parti saya hadir kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum. Itu proses normal. Kenapa sasarkan saya?” katanya.

Ketiadaan Mohamed Azmin menarik perhatian pelbagai pihak sejak sesi pemukiman KEADILAN yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Azmin sokong saranan Tun M tadbir satu penggal

SHAH ALAM, 29 JULAI: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk memberi dukungan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Katanya, pendirian itu seiring pandangan yang pernah dilontarkan sebelum ini supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

“Dukungan bipartisan terhadap perdana menteri adalah lembaran baru dalam politik Malaysia dengan kepentingan rakyat diberikan keutamaan.

“Ini sudah ditampilkan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya kepada 18 tahun.

“Sokongan itu adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mandat rakyat yang diterima Pakatan Harapan lebih setahun lalu memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah positif untuk memulihkan ekonomi.

Mohamed Azmin berkata, kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbedaan politik akan tetap wujud, namun setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat.

“Kepimpinan Tun Dr Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan (consistency) dasar Kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Permintaan domestik bantu lonjak pertumbuhan ekonomi negara

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JULAI: Permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun Malaysia menerima kesan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan akan terus berusaha menjana pertumbuhan ekonomi domestik terutama dalam mempromosikan aktiviti pelaburan dan permintaan penggunaan.

“Kesan daripada tindakan AS mengenakan tarif ke atas China, pelabur dari China beralih operasi perniagaan ke Asia Tenggara yang akan menguntungkan ekonomi Malaysia.

“Perang perdagangan membuka ruang kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport komoditi ke China terutama minyak sawit yang merupakan barangan pengganti kepada minyak soya dan jagung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang Hashim dalam soalannya bertanyakan kesan ke atas ekonomi Malaysia ekoran risiko ketidaktentuan persekitaran global khususnya antara AS dan China mutakhir ini.

Mohamed Azmin berkata, syarikat Malaysia berjaya menandatangani perjanjian bernilai hampir AS$900 juta bagi membekal 1.62 juta tan minyak sawit ke China, pada Mac 2019.

Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, eksport minyak sawit Malaysia ke China meningkat hampir 255,000 tan dengan nilai eksport RM1.4 bilion dalam tempoh Januari hingga April 2019,.

Selain itu, kerajaan yakin kerjasama serantau Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia Philippines East ASEAN Growth Area (BIMPEAGA) melalui BIMP-EAGA Vision 2025 (BEV2025) serta Indonesia Malaysia Thailand Growth Triangle (IMT-GT) berupaya memastikan Malaysia kekal di landasan pertumbuhan ekonomi yang positif ke arah negara maju.

Categories
NASIONAL

Bakke Salleh Pengerusi FELDA baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Tan Sri Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu, berkuatkuasa 1 Julai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk tempoh dua tahun iaitu sehingga 30 Jun 2021.

Katanya, Mohd Bakke adalah seorang tokoh korporat berintegriti dan berwibawa yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladangan.

“Saya yakin beliau mempunyai kepimpinan meneruskan usaha mengembalikan FELDA sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian FELDA,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau mengambil maklum hasrat Tan Sri Dato’ Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FELDA berkuatkuasa pada 30 Jun 2019.

Katanya, Megat Zaharuddin telah memberi sumbangan idea yang bernas dan progresif dalam usaha Kerajaan Pakatan Harapan membina semula FELDA.

“Beliau bersama pengurusan FELDA yang baru telah berusaha gigih dan memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan Kertas Putih yang menggariskan satu pelan pemulihan ke arah kelestarian FELDA dan telah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

“Saya menghormati hasrat Tan Sri Megat Zaharuddin dan bersetuju menerima keputusan beliau,” katanya.

Categories
NASIONAL

Langkah Selangor selaras Pusat bina rumah generasi Felda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JUN: Langkah Kerajaan Negeri memperuntukan kouta sebanyak 500 rumah Idaman Cahaya selaras dengan usaha Kerajaan Persekutuan menyediakan kediaman untuk generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM25 juta bagi projek terbengkalai sejak era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Saya ingin mengambil kesempatan ini dan tahniah kepada Kerajaan Negeri khususnya kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang mengambil inisiatif menyiapkan projek terbengkalai yang dijenamakan semula sebagai Idaman Warisan.

“Usaha ini dimulakan pada 2016 selepas hampir dua dekad pembeli menanti ketika saya masih Dato’ Menteri Besar, alhamdullilah usaha diteruskan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Must Ehsan Development Sdn Bhd bersama Konsortium PNSB-MGB dan Majlis Idaman Warisan serta Majlis Silaturahmi Aidilfitri 2019 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut memuji langkah memberi kemudahan tambahan yang mampu memberi keselesaan kepada pembeli seperti mana Rumah Idaman Selangor.

Katanya, beliau diserang dengan pelbagai tuduhan tidak berasas apabila memulakan usaha memulihkan projek terbengkalai itu ketika masih menduduki kerusi Dato’ Menteri Besar.

Categories
NASIONAL

Video kontroversi: Azmin beri keterangan kepada polis

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sudah memberi keterangan kepada polis semalam berkaitan video kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Peguamnya, N Surendran berkata, Ahli Parlimen Gombak itu memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan mereka.

“Pejabat menteri itu dihubungi polis pada 16 Jun lalu untuk merakam keterangannya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.

“Terdapat petunjuk jelas berhubung wujudnya cubaan terancang dan sistematik untuk mencemarkan nama baik dan menjatuhkan menteri itu dengan serangan tuduhan palsu dan berniat jahat.

“Para pelakunya juga mempunyai akses kepada data peribadi anggota parti yang dibocorkan, satu kaedah canggih dan mempunyai agenda politik yang jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Surendran berkata, pihaknya yakin polis akan dapat menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap para pelakunya mengikut lunas undang-undang.

Minggu lalu, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu yang cuba mengaitkannya dengan video seks dengan menyifatkannya sebagai rancangan berniat jahat untuk merosakkan dama baik dan karier politiknya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KEADILAN perlu dibersihkan untuk terus kekal relevan

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 16 JUN: Biro Disiplin KEADILAN perlu bertindak tegas dan membersihkan parti sekiranya mahu parti kekal relevan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu terserah kepada pimpinan untuk menentukannya.

“Memang patut (pembersihan parti) jika mereka mahu untuk memutuskan yang terbaik untuk parti.

“Jika mereka (pimpinan) mahu memastikan parti (KEADILAN) kekal relevan dan diterima umum, sesuatu perlu dilakukan,” katanya di Majlis Silaturrahmi Eidul Fitr DUN Gombak Setia di Padang Taman Selaseh Fasa 2 di sini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas sama ada akan mendesak Biro Disiplin KEADILAN mengambil tindakan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Mengulas mengenai sama ada penyebaran video ini membabitkan orang dalam KEADILAN sendiri dan tindakan ahli parti yang ‘menyambut’ pembebasan Haziq Abdullah, beliau berkata, ia terpulang kepada parti untuk menyiasat.

“Saya diberitahu penyebaran ini tidak dimulakan di Facebook atau Instagram kerana mereka mahu mengelak alamat IP dikesan dan (penyebaran) dilakukan menerusi WhatsApp.

“Itu laporan yang diberikan kepada saya dan ‘group’ WhatsApp ini mengandungi semua nombor (telefon) ketua-ketua cabang serta peringkat bawahan jabatan di peringkat cabang.

“Saya tidak mempunyai semua maklumat itu. Persoalannya sekarang, siapa menyalurkan maklumat untuk membentuk ‘group’ WhatsApp ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, maka pimpinan perlu jelaskan,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Azmin terharu terima pesanan mufti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluahkan rasa terharu atas pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri susulan ujian yang dilaluinya kini.

Menerusi ciapan Twitternya, Mohamed Azmin berkata, pertemuan petang semalam itu memperkukuh semangatnya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara.

“Saya amat terharu dengan pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan @drzul_albakri untuk saya dan keluarga tatkala badai fitnah mengganas.

“Pertemuan petang semalam memperkukuh semangat saya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara,” tulisnya.

Mohamed Azmin turut memuat naik sepucuk surat dari mufti berkenaan yang mahu beliau terus komited dan konsisten berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam apa jua tindakan serta tugas seharian.

“Saya sentiasa berdoa Allah yang maha kuasa memberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat genting ketika mana fitnah yang mengganas. Semoga gerhana itu berlalu pergi,” kata mufti.

Sebelum ini, Dr Zulkifli mengakui berasa gusar dengan penyebaran video berkenaan yang bakal mendatangkan pelbagai masalah kepada umat Islam di negara ini, pada masa akan datang.

Beliau turut mencadangkan semua pihak sentiasa bermuhasabah dengan mengingati Allah SWT kerana setiap perbuatan pasti akan diperhitungkan satu persatu.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan menyeluruh berhubung penularan video skandal seks yang mengaitkan beliau dan Ketua Angkatan Muda keadilan (AMK) Santubong, Muhammad Haziq Abdul Aziz.

Timbalan Presiden KEADILAN itu juga berjanji akan memberikan sepenuh komitmen terhadap siasatan terbabit dan berharap ia tidak diganggu mana-mana pihak.

Categories
NASIONAL

Isu video: Hilman nafi ugut Haziq

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham menafikan dakwaan beliau mengugut Haziq Abdullah Abdul Aziz ketika bertemu di sebuah hotel di Putrajaya berhubung isu video, pada 11 Jun lalu.

Beliau menjelaskan, laporan dibuat Haziq yang juga pegawai timbalan menteri itu sebagai palsu sebaliknya pertemuan tersebut adalah atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk menteri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut dan ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah laporan palsu.

“Dalam pertemuan tersebut, Haziq telah menyatakan kepada saya bahawa beliau adalah mangsa permainan politik kotor untuk menjatuhkan Mohamed Azmin.

“Beliau juga menyatakan bahawa video tersebut palsu dan menafikan beliau adalah karakter dalam video tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Haziq memuatnaik dua keping gambar laporan polis yang dibuat terhadap Muhammad Hilman di laman Facebook berhubung ugutan yang diterimanya.