Categories
NASIONAL

PKR yakin kes NFC akan dilepas seperti PKFZ

Oleh : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM 25 NOV : Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) tidak akan dibicarakan secara serius dan menjadi seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) apabila Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik bebas daripada pertuduhan.

Naib Presiden PKR, N Surendran, menganggap perbicaraan kes itu dijalankan hanya kerana desakan pembangkang yang mahu pencuri dana rakyat dihukum.

surendranBeliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes berkenaan apabila Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta yang dihadapinya, baru-baru ini.

“Saya mengalu-alukan keputusan itu dan yang penting di sini bahawa tuduhan berkenaan dilakukan disebabkan tekanan pembangkang.

“Jadi, kita minta pendakwaan dapat dijalankan bagi memastikan keadilan dilakukan dan pesalah tidak terlepas seperti yang berlaku dalam banyak kes antaranya PKFZ,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Beliau berkata, kes skandal itu akan dilepaskan kerana keengganan Barisan Nasional (BN) menghukum pemimpinnya yang terbabit dalam kes penipuan dana rakyat.

Katanya, hal itu dibuktikan dengan pengekalan isteri Mohamad Salleh, Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita Umno.

Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang menolak permohonan Mohamad Salleh selepas mendapati pertuduhan yang dihadapi tertuduh tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui proses perbicaraan dan mahkamah menetapkan dua hari, bermula 20 Januari 2014 untuk perbicaraan kes itu.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, selaku pengarah syarikat NFCorp didakwa melakukan pecah amanah RM9,758,140 untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium dan memindahkan RM40 juta ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, pada 2009.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Shahrizat batal saman, Rafizi terus bongkar skandal NFC

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 11 NOV : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli akan terus menyiasat skandal penyelewengan RM250 juta dana Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) yang ada kaitannya dengan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Rafizi melalui laman twitternya menegaskan akan terus mencari pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam kes NFC itu, walaupun Shahrizat menggugurkan saman ke atas beliau dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, penarikan dilakukan Shahrizat itu berkemungkinan disebabkan akan lebih banyak lagi pendedahan terhadap skandal NFC itu di mahkamah.

rafizi“Saya akan terus menyiasat dan mencari kebertanggungjawaban isu NFC walaupun selepas kes saman ini digugurkan,” katanya.

Rafizi menyatakan demikian ekoran pembatalan saman RM100 juta oleh Shahrizat Jalil terhadapnya dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin setelah Ketua Wanita Umno itu menarik balik saman tersebut.

Shahrizat menarik saman berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera, pagi ini.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari 2012, Shahrizat mendakwa Rafizi dan Zuraida membuat kenyataan fitnah berhubung pendedahan mereka berkenaan projek NFC.

Rafizi dan Zuraida kemudian memfailkan saman balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berhubung satu ucapan didakwa berbaur fitnah yang diujarkan beliau, pada 9 Mac lalu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan projek kerajaan yang dianugerahkan melalui rundingan terus dan membabitkan pinjaman mudah perlu diteliti kabinet, terutama jika membabitkan “keluarga dan sekutu”.

SPRM menyifatkan langkah itu akan dapat menghindari masalah seperti yang berlaku dalam skandal NFC daripada terus berulang.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Perlantikan Shahrizat: hadiah Najib kepada rasuah

najib-shahrizat

Perlantikan Dato? Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai penasihat kepada Perdana Menteri dalam Hal Ehwal Wanita membuktikan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak berminat menghapuskan rasuah seperti yang dilaung-laungkannya melalui Program Transformasi Negara (GTP).

Shahrizat tercemar dengan ‘skandal lembu-lembu kondo’ yang membabitkan penggelapan wang rakyat RM250 juta di mana beliau sendiri mengambil bahagian dalam mesyuarat jamaah menteri yang meluluskan projek tersebut. Malah perlantikan Shahrizat yang terpalit dengan skandal NFC adalah merupakan hadiah dan ganjaran dari Najib kepada perasuah.

Skandal NFC telah memaksa Shahrizat meletakkan jawatan Menteri dan menamatkan kedudukannya sebagai Senator di Dewan Negara.

Pelantikan Shahrizat sebagai penasihat kepada Najib Razak untuk menguruskan hal ehwal wanita mengesahkan bahawa kerajaan BN pimpinan Najib Razak hanya mampu mengungkap slogan-slogan lunak membasmi rasuah ? hakikatnya hanya untuk memperdaya rakyat jelata dan songlapan RM250 juta hak rakyat itu belum nampak sebarang harapan untuk dikembalikan kepada rakyat. Rakyat Malaysia berhak mendapat kepimpinan wanita yang bersih dari rasuah dan boleh menjadi contoh; pastinya menolak pemimpin seperti beliau.

PM Najib dituntut untuk menarik balik pelantikan Shahrizat.

*Rodziah Ismail-Timbalan Ketua Wanita Pusat dan Ketua Wanita Selangor
Parti Keadilan Rakyat Merangkap ADUN Batu Tiga