Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri laksana langkah strategik tarik pelaburan luar

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah strategik merangkumi pengurusan, jaringan usahasama dan promosi bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Kim, berkata semua langkah terbabit bagi memastikan sektor perindustrian diberdaya dan mampu terus menarik pelaburan luar.

Teng Sidang DUN“Daripada segi pengurusan, antara langkah dilaksana ialah menyediakan pelan perancangan strategik sektor perindustrian, memperkukuhkan peranan agensi penggalakan pelaburan seperti Invest Selangor yang berfungsi sebagai pemudahcara pelaburan kepada pelabur dan memperkasakan unit pelaburan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ia termasuk memastikan mesyuarat Industrial Park Management Committee (IPMC) diadakan sekerap mungkin di setiap PBT bagi menyelesaikan isu pengurusan dan penyelenggaraan kawasan industri.

“Selain itu, menyediakan kawasan perindustrian kondusif dengan membenarkan PBT menggunakan peruntukan MARRIS bagi menyelenggara kawasan sedia ada serta menggalakkan pembukaan perindustrian baharu dengan pembabitan anak syarikat Kerajaan Negeri dan pemaju swasta,” katanya menjawab pertanyaan Gan Pei Nei (PKR-Rawang) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri turut menggalakkan pembukaan kawasan perindustrian baharu berkonsepkan ‘Managed Industrial Park’ dengan konsep ‘Gated and Guarded’ yang membantu pihak industri menyelesaikan isu pelaburan berbangkit melalui Mesyuarat Penyelarasan Projek dipengerusikan Exco setiap bulan.

“Kerajaan Negeri juga memberi inisiatif e-perdagangan bagi membantu usahawan tempatan melebarkan pasaran produk keluaran mereka dan menjalin kerjasama strategik bersama institusi pendidikan bagi membantu pelabur mendapat sumber tenaga kerja mengikut kemahiran diperlukan (Invest Selangor Talent Initiative).

“Kita juga menjalin kerjasama strategik dengan penyedia perkhidmatan profesional bagi memberi perkhidmatan kepada pelabur (Invest Selangor Advisory Network),” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut meningkatkan promosi di luar negara seperti program lawatan penggalakan pelaburan setiap tahun melalui Invest Selangor, selain merangka lawatan sekurang-kurangnya empat kali setahun ke negara berpotensi.

“Kita turut meningkatkan kerjasama dengan kedutaan asing, dewan perniagaan asing dalam dan luar negara melalui program kunjungan hormat diadakan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Negeri juga menghantar wakil dalam misi penggalakan pelaburan dan perdagangan anjuran MITI/MIDA serta mewujudkan jaringan kerjasama strategik dengan syarikat milikan asing yang ada di Selangor bagi memperkenalkan negeri ini kepada pelabur luar,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga mempromosikan peluang pelaburan dengan kerap melalui pengiklanan di media cetak juga elektronik dalam dan luar negara serta menggalakkan penyertaan pihak berkaitan dalam pameran bertaraf antarabangsa.

“Promosi berterusan dibuat bagi menggalakkan pelaburan asing dan Kerajaan Negeri akan menganjurkan Ekspo Antarabangsa Selangor, di Seri Kembangan, pada 26 hingga 28 November ini,” katanya.

-NFN-

Selangor bakal kemuka sistem bantu IKS,E-Dagang teroka pasaran serantau

Pengalaman 19 tahun Dato’ Teng Chang Khim berpolitik di Selangor jarang boleh disaingi ahli-ahli politik lain.

Sebaik sahaja diamanahkan porfolio pelaburan, perindustrian dan perdagangan, industri kecil dan sederhana, dan pengangkutan, Chang Khim terus mengaplikasikan denyut nadi warga Selangor dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.