Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Seldec perluas khidmat penghantaran ke seluruh negara

SHAH ALAM, 7 DIS: Penghantaran produk usahawan melalui Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) diperluas ke seluruh Malaysia berikutan sambutan baik orang ramai.

EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif itu dibuat bersama syarikat logistik tempatan seperti Pos Laju, Line Clear dan Logistika.

Beliau berkata seramai 1,200 peniaga berdaftar dengan lebih 8,000 produk dijual melalui platform tersebut sejak dilancarkan pada Oktober 2019.

“Dalam platform Seldec, terdapat produk segar seperti ikan, ayam, daging, sayur dan buah-buahan, makanan sejuk beku,sedia dimakan, produk kering dan pelbagai lagi.

“Produk ini terdiri daripada perusahaan mikro kecil dan sederhana,” katanya mengulas keberkesanan program Seldec pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Chang Khim berkata inisiatif dalam talian itu turut merangkumi kerjasama Smart Selangor Delivery Unit, Yayasan Hijrah Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 12 pihak berkuasa tempatan seluruh Selangor terlibat memperkasa program keusahawanan ke arah Ekonomi dan Digital Pintar.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pameran Udara Selangor tahun depan sasar lebih banyak penyertaan

SUBANG, 28 NOV: Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 dijadual berlangsung pada 8 hingga 10 September tahun depan di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark di sini.

Penganjuran edisi kedua menyasarkan penyertaan 11 negara meliputi Sepanyol, United Kingdom, Jepun, Korea, China, Rusia, Turki, Switzerland, Amerika Syarikat, Perancis, Brazil termasuk Malaysia, kata EXCO pelaburan.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim, sasaran lebih banyak penyertaan pemain industri aeroangkasa dan penerbangan berupaya mengukuhkan taraf acara itu di peringkat global.

“Kita jangka keadaan (pandemik) akan pulih tahun depan, maka sasaran lebih tinggi harus diletakkan sebagai cabaran. Kita (Kerajaan Negeri) dan kerajaan persekutuan juga perlu berusaha gigih dalam memajukan industri ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup SAS 2021 di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Sementara itu, Chang Khim berkata pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada pempamer sebaik SAS 2021 menutup tirai bagi meneliti aspek yang perlu ditambah baik.

“Sudah tentu setiap program dianjurkan akan ada kekurangannya terutama dari segi mengaturkan gerai (pameran) disebabkan berdepan kesuntukan masa.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada orang ramai khususnya pempamer supaya dapat mencapai prestasi lebih tinggi (bagi penganjuran SAS 2022),” katanya.

Mengulas sama ada Selangor bersedia menganjurkan pertunjukan udara sebagai sebahagian SAS 2022, beliau berkata pihaknya akan meneliti perkara tersebut selain mencari penaja berikutan memerlukan perbelanjaan besar.

“Peruntukan sebanyak RM5 juta disediakan dalam Belanjawan #Selangor2022 mungkin belum cukup tetapi kita cuba cari sokongan daripada syarikat berkaitan dan penaja yang dapat membantu perkara ini.

“Memandangkan SAS tahun ini mendapat sambutan begitu baik daripada pemain industri, ia memudahkan usaha kita untuk memperoleh lebih banyak penajaan pada pameran tahun depan,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Belanjawan Selangor 2022 utama kebajikan rakyat

SUBANG JAYA, 23 OKT: Kerajaan Negeri tetap mengutamakan kebajikan rakyat dalam Belanjawan Selangor 2022, meski berdepan cabaran kewangan akibat pandemik Covid-19, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata kaedah inovatif akan diguna dalam belanjawan supaya perbelanjaan penting bukan sahaja dapat dikekalkan malah merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

“Tahun depan merupakan tahun mencabar bagi seluruh negara termasuk Selangor dan kita jangka ada sedikit penurunan bajet memandangkan kewangan terkesan susulan pandemik.

“Tetapi kita boleh guna kaedah inovatif iaitu menyediakan belanjawan yang bukan sahaja dapat mengekalkan perbelanjaan penting sebaliknya merancakkan pembangunan ekonomi negeri,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pembukaan bilik pameran hiasan dalaman dan jubin Yellow Box by Homa di Taman Perindustrian Subang di sini hari ini.

Selain itu, Chang Khim turut mencadangkan Kerajaan Negeri menganjurkan lebih banyak sesi webinar berbanding fizikal tahun hadapan bagi program melibatkan sektor industri dan perdagangan.

“Kita boleh perbanyakkan program atau mesyuarat menerusi dalam talian berbanding lawatan secara fizikal…dengan cara ini semua program dapat digerakkan meskipun dengan impak kewangan kecil,” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, Amirudin menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor dibuat pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Yellow Box bilik pameran jubin layan diri pertama di Malaysia

SUBANG JAYA, 23 OKT: Kerajaan Negeri memuji bakat ditonjolkan syarikat hiasan dalaman Homa Sdn Bhd mewujudkan Yellow Box by Homa yang menawarkan perkhidmatan layan diri pertama di Malaysia.

EXCO pelaburan, perdagangan, perindustrian, industri kecil dan sederhana berkata konsep inovatif syarikat tersebut yang mewujudkan bilik pameran berkonsep kabin itu wajar dicontohi oleh semua usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif Homa Pennie Lim bergambar di hadapan Yellow Box by Homa. Foto Sheeda Fathil

“Pelancaran Yellow Box by Homa hari ini adalah detik yang amat membanggakan bagi Kerajaan Negeri kerana syarikat itu kini berada antara alumni Program Pemecut Selangor (SAP) yang berjaya.

“Saya difahamkan ada hampir 600 jubin disediakan dalam bilik pameran ini dan pelanggan yang hadir ke sini boleh melihat serta menempah melalui kod QR sekiranya mahu membuat pembelian,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pembukaan Yellow Box by Homa di Taman Perindustrian Subang di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Homa Pennie Lim turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memberi peluang menjadi sebahagian peserta SAP.

Suasana dalam Yello Box. Foto Sheeda Fathil

“SAP sangat banyak memberi pengetahuan yang bukan sahaja cara memasarkan produk tetapi cara bagaimana kita menguruskan kewangan turut dipelajari.

“Program ini amat bagus dan patut diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya yang menyasarkan mahu membuka 100 Yellow Box dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Industri aeroangkasa berkembang, Selangor sasar tumpuan pelabur menjelang 2030

SHAH ALAM, 19 OKT: Industri aeroangkasa diramal berkembang lebih pesat di Selangor menjelang 2030, kata EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ketika ini sebanyak 63 peratus industri aeroangkasa di Malaysia beroperasi di Selangor dan yakin jumlah tersebut terus meningkat.

Dato’ Teng Chang Khim ketika temu bual bersama Media Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam pada 18 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita sasar negeri ini terus jadi tumpuan pelabur menjelang 2030 dan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) memastikan usaha ini berjaya.

“Malah, kita juga yakin penganjuran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 pada September ini membuka peluang kepada pemain industri menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada sesi temubual Sidang Kemuncak Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 dan Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 di pejabatnya di sini semalam.

Pameran julung kali itu bakal berlangsung pada 25 hingga 27 November di Skypark Subang dengan menyasarkan sebanyak 30 pempamer serta 5,000 pelawat.

Pada 18 Mei tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skop utama sektor aeroangkasa adalah penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pembuatan; sistem integrasi; kejuruteraan dan reka bentuk serta pendidikan dan latihan.

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).

Pemain besar industri antaranya Airbus Helicopters, Execujet Malaysia, Sapura Aero dan Weststar Aviation menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini sebagai pangkalan operasi mereka.

 

 

Categories
EXCO SELANGOR

MPK diarah naik taraf pasar awam lebih moden, selesa

KLANG, 22 SEPT: Kerajaan Negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menaik taraf semua pasar awam kepada pasar yang lebih moden, bersih dan selesa.

EXCO Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim berkata pengubahsuaian itu perlu setanding dengan kemunculan infrastruktur baharu di daerah tersebut iaitu Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

“MPK telah diarahkan untuk mengkaji naik taraf keseluruhan pasar awam. Tiada guna ada LRT yang cantik dan canggih tetapi keadaan pasar ‘uzur’ atau kurang menarik.

“Kita mahu pasar awam yang boleh memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung. Malah, bukan sahaja menjadi tarikan penduduk Klang tetapi masyarakat luar juga tertarik untuk datang,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang berkata demikian ketika membuat lawatan ke program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru di sini hari ini.

Sebelum ini, Chang Khim mengumumkan Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan semula blok C dan D Kompleks Pasar Besar Meru dengan kos bernilai RM8 juta yang dijangka siap pada 2024.

Blok itu dibina semula kerana pernah diroboh bagi memberi ruang pembangunan projek LRT3.

Categories
EXCO SELANGOR

Dua blok pasar besar Meru dibina semula babit kos RM8 juta

KLANG, 22 SEPT: Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan semula blok C dan D Kompleks Pasar Besar Meru di sini dengan kos bernilai RM8 juta.

EXCO Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) Dato’ Teng Chang Khim berkata sebelum ini kedua-dua blok itu diroboh kerana memberi ruang kepada pembangunan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3).

“Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada minggu lepas telah meluluskan cadangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk membina semula blok C dan D kompleks itu.

“MPK akan menggunakan wang tabung pampasan sebanyak RM8 juta. Pembinaan bermula dalam masa terdekat dan dijangka siap pada 2024,” katanya.

Chang Khim berkata demikian ketika melawat program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang menjelaskan pembinaan semula kedua-dua blok pasar tersebut akan diuruskan pihak kontraktor LRT3.

“Kita serahkan kepada pihak LRT3 bagi memastikan kerja berjalan lancar dan selamat di samping tidak menjejaskan struktur landasan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Program vaksin bergerak DUN Bandar Baru Klang sedia 750 dos

KLANG, 12 SEPT: Sebanyak 750 dos suntikan pelalian disediakan untuk program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Kompleks Pasar Besar Meru hari ini.

Wakil rakyatnya Dato’ Teng Chang Khim berkata kaedah sama seperti Selvax Komuniti digunakan iaitu menggalakkan orang ramai membuat pendaftaran awal di pejabat pusat khidmat masyarakat bagi mengelak kesesakan.

“Vaksin yang dibeli mahal dan selalunya bila guna kaedah tanpa janji temu stok yang dibawa dalam jumlah banyak, jadi bagi elak pembaziran kita galakkan orang ramai daftar awal supaya dapat tahu berapa keperluan.

ADN Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Khim

“Program vaksin ini sudah berbulan dan hanya perlukan masa sehari untuk berdaftar bagi mendapatkan vaksin. Jangan lakukan semua pada saat akhir, jadi segera daftar di kawasan DUN walaupun terpaksa pergi di luar kawasan masing-masing,” katanya.

Chang Khim yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata keputusan membeli vaksin adalah strategi dalam mempercepatkan proses vaksinasi dan berjaya mengurangkan kadar jangkitan.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai pandangan jauh dari peringkat awal apabila memutuskan untuk membeli vaksin. Ini strategi penting yang harus diikuti negeri lain yang masih dalam usaha meningkatkan kadar suntikan vaksin,” katanya.

Program Selvax bergerak yang bermula hari ini dianjurkan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir dari menerima pelalian.

Selvax bergerak melibatkan 11 DUN bermula di Bandar Baru Klang dari 9 pagi hingga 5 petang. Program selama seminggu itu diteruskan ke DUN Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor bakal perkenal inisiatif di kawasan industri baharu

SHAH ALAM, 30 OGOS: Satu inisiatif bakal diperkenal di kawasan perindustrian baharu bagi membolehkan pelabur dan pengilang mengurus kebajikan pekerja dengan lebih sistematik.

EXCO pelaburan berkata antaranya kebenaran membina asrama setempat yang bertujuan memusatkan semua pekerja kilang dalam kawasan industri itu.

“Perkara ini sedang dalam proses dan Kerajaan Negeri akan laksanakan secepat mungkin,” kata Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan tambahan wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi berhubung kediaman pekerja industri.

Menurut Chang Khim pihaknya juga menggalakkan pelabur dan pengilang yang beroperasi di kawasan yang luas membina asrama untuk pekerja mereka.

“Setakat ini syarikat Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) menggunakan alternatif ini untuk 3,000 pekerjanya. Ini modul yang baik tetapi tidak dikuatkuasakan sebagai undang-undang,” katanya.

Terdahulu wakil rakyat Bandar Baru Klang memaklumkan Selangor catatkan nilai pelaburan lebih RM22.45 bilion sepanjang Januari tahun lalu hingga sekarang.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor terima nilai pelaburan RM22.45 bilion sejak Jan 2020

SHAH ALAM, 30 OGOS: Selangor menerima 411 projek perkilangan dengan nilai pelaburan berjumlah RM22.45 bilion bagi tempoh Januari 2020 hingga sekarang.

EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian berkata dari jumlah berkenaan sebanyak RM10.43 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM12.02 daripada pelaburan asing.

“Sebanyak 27,491 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan menerusi pelaburan ini,” kata Dato’ Teng Chang Khim dalam sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu dibangkitkan wakil rakyat Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar mengenai nilai pelaburan yang masuk ke Selangor dari Januari tahun lepas hingga sekarang.

Sementara itu, mengenai usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk memastikan bahawa pelaburan di negeri ini diyakini pelabur, Chang Kim berkata pelbagai program dilaksana menerusi Invest Selangor.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap telah melaksanakan sebanyak 121 program dan aktiviti bagi menggalakan aktiviti pelaburan .

“Walaupun perintah larangan ke luar negara masih berkuatkuasa disebabkan pandemik Covid-19, Invest Selangor mengambil pendekatan dengan mengadakan program virtual bersama pelabur berpontensi dari luar negara,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor terima pelaburan lebih RM26 juta sektor alat perubatan

SHAH ALAM, 27 OGOS:  Selangor menerima pelaburan sebanyak RM26.37 juta menerusi dua projek perkilangan bagi sektor pembuatan peralatan perubatan antara Januari hingga Mac tahun ini.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata sektor tersebut antara industri teras yang diberi keutamaan untuk menjana pendapatan negeri.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, sebanyak dua projek perkilangan bagi mengeluarakan produk Scientific & Measuring Equipment diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM 26,379,000.

“Sebanyak RM 14,069,000 adalah daripada pelaburan tempatan manakala sebanyak RM 12,310,000 daripada pelaburan asing,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab perkara dibangkitkan wakil rakyat Banting Lau Weng San yang mengesyorkan Kerajaan Negeri merangka strategi bagi menarik pelaburan dalam industri pembuatan peralatan perubatan.

Chang Khim berkata Invest Selangor turut giat mengadakan promosi pelaburan untuk barangan peralatan perubatan yang merupakan antara lima kluster perindustrian teras negeri.

“Invest Selangor akan menganjurkan Selangor International EXPO (Medic) (SIE Medic 2021) yang menjadi salah satu acara dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 18 hingga 21 November 2021 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur.

“SIE Medic 2021 menghimpunkan pemain industri bekalan peralatan perubatan dan diagnostik, penjagaan kesihatan, farmasi serta hospital yang mempamerkan perkhidmatan kesihatan terkini,” katanya.

Jelasnya, serentak dengan pameran itu, Kerajaan Negeri mengadakan Persidangan Perubatan Antarabangsa Selangor dengan tiga tema utama iaitu vaksinasi, penjagaan warga emas dan kesihatan digital.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 300,000 dos vaksin negeri sudah disuntik setakat semalam

SHAH ALAM, 16 OGOS: Sebanyak 296,213 dos vaksin Covid-19 sudah disuntik di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) setakat semalam.

Berdasarkan data dikongsi jawatankuasanya Dato’ Teng Chang Khim, sebanyak 160,519 dos diberikan di bawah Selvax Komuniti manakala sebanyak 135,694 dos menerusi Selvax Industri.

Maklumat itu juga menjelaskan seramai 82,304 individu memohon lengkap menerima dua dos vaksin dengan pecahan 21,966 bagi kategori orang ramai manakala 60,338 pekerja industri.

Selangor menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.