Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: Tempoh pembersihan di Genting Peras dijangka dua minggu

HULU LANGAT, 29 DIS: Tempoh pembersihan kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras di sini dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang giat menjalankan operasi pembersihan dan dijangka lebih banyak kawasan dapat dibersihkan dalam tempoh tersebut.

“Perkampungan ini satu-satunya kawasan yang terputus bekalan akibat tanah runtuh berbanding kawasan lain disebabkan banjir. Minggu lepas kita lihat lebih 30 kawasan tanah runtuh antara Genting Peras ke Kuala Klawang.

“Kalau dilihat dari awal lagi susah kerana tiada laluan dan mengambil masa lima ke enam jam tetapi kini sebahagian daripadanya boleh dilalui,” katanya ditemui selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras.

Dalam program sama, Amirudin turut melepaskan 58 sukarelawan pendaki dan anggota bomba yang terlibat dalam operasi mengagih bantuan bekalan makanan serta keperluan harian kepada penduduk terputus hubungan.

“Lebih 600 individu daripada 54 keluarga berada di perkampungan itu yang masih berada di atas disebabkan kesukaran mereka untuk turun.

“Kita berpendapat tidak praktikal untuk membawa mereka turun kerana melibatkan kanak-kanak dan orang tua. Setakat ini, bekalan makanan yang dihantar kepada mereka mencukupi untuk tempoh seminggu,” katanya.

Keadaan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL

MB junjung kasih, tahniah kepada Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan ke-76

SHAH ALAM, 11 DIS: Dato’ Menteri Besar  yang mewakili kepimpinan negeri dan rakyat jelata menjunjung kasih tahniah buat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan Baginda ke-76 hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendoakan Sultan Sharafuddin dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT.

“Patik mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafiatan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya.

“Doa sekalian rakyat juga untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda tuanku, waris-waris serta kerabat diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta sentiasa dalam perlindungan Allah SWT,” ucap beliau menerusi Facebook.

Menurut Amirudin, keprihatinan DYMM Tuanku terhadap kebajikan rakyat sentiasa menjadi inspirasi buat beliau dan seluruh pentadbiran kerajaan untuk tekun berusaha demi kesejahteraan penduduk dan kesentosaan negeri.

“Akhirul kalam patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan DYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,”katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2022: Pertimbang dana naik taraf jalan raya, tebatan banjir

KLANG, 28 OKT: Kerajaan Negeri berharap Belanjawan 2022 peringkat persekutuan yang dibentangkan esok dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara perkara yang wajar diberi tumpuan adalah berkaitan infrastuktur khususnya jalan raya dan projek tebatan banjir

“Kita berharap beberapa syarat Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi membiayai kerja penyelenggaraan jalan dapat dilonggarkan.

“Kalau diberi kelonggaran dan dipermudahkan syarat-syarat itu, saya percaya banyak isu dapat diselesaikan seperti jalan berlubang yang memerlukan peningkatan dari segi kualiti dan bahan digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan inisiatif Selangor Freelance di Hotel Wyndham Acmar di sini, hari ini.

Berhubung projek tebatan banjir, Amirudin berkata pihaknya sebelum ini memohon kepada kerajaan persekutuan peruntukan RM1.3 bilion bagi tujuan tersebut.

“Saya percaya projek tebatan banjir dapat dibuat secara sekali gus atau berperingkat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta kerajaan persekutuan mempertimbangkan pemberian insentif kepada penggiat pelancongan yang terkesan akibat pandemik untuk merancakkan kembali sektor tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

65 sertai kayuhan Hari Malaysia MPKK Kampung Baru Batu Caves

GOMBAK, 16 SEPT: Seramai 65 penggemar sukan berbasikal menyertai program kayuhan anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Batu Caves sempena sambutan Hari Malaysia ke-57 hari ini.

Program julung kali dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 8 serta Team KKG & Cabin 8 membabitkan kayuhan sejauh 10 kilometer (km) melalui Kampung Melayu Wira Damai dan Kampung Sungai Kertas.

Dato’ Menteri Besar yang menyempurnakan pelepasan peserta jam 9.30 pagi berkata acara itu menggantikan sukan rakyat yang lazimnya diadakan setiap tahun.

“Walaupun disambut secara kecil-kecilan tetapi ia memberi peluang untuk meraikan dan menghayati penubuhan Malaysia lebih 56 tahun lalu selepas tanah air mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Saya percaya kayuhan ini akan mengingatkan kepada semua bahawa begitu sukar untuk membangunkan negara dan perjalanan kita selama ini lebih-lebih lagi dengan ancaman Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui.

Sementara itu Pengerusi MPKK Adnan Mohd Yatim berkata semua peserta memberi kerjasama dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Walaupun diadakan dalam skala kecil dan sedikit berbeza namun kita bangga kerana masyarakat menyambut baik program ini yang mampu menggalakkan mereka bergerak aktif dalam sukan,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Bantuan kecemasan buat mangsa kebakaran di Batu Caves

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua akan menyalurkan bantuan kecemasan dalam masa terdekat kepada empat keluarga yang terjejas ekoran kediaman mereka hangus dijilat api dalam satu kejadian semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam insiden yang membabitkan empat unit kediaman di Jalan Kampung Melayu, Batu Caves, petang semalam.

“Saya turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” tulisnya menerusi hantaran twitternya, semalam.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang.

Pihaknya, mengerakkan sepasukan 16 anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selang dan BBP Rawang digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal pada jam 2.35 petang,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Anwar puji kecekapan Selangor urus ekonomi

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 NOV: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji pencapaian Kerajaan Selangor mengurus ekonomi yang dilihatnya sangat cekap dalam menjana pertumbuhan ekonomi, mengawal perbelanjaan dan mencegah rasuah juga ketirisan dalam pentadbiran.

Anwar berkata, pencapaian itu membolehkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang diterajui Dato’Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Belanjawan Selangor 2018 yang lebih bersifat komprehensif kepada rakyatnya.

“Dengan kejayaan Selangor di bawah pimpinan Mohamed Azmin, ikhtiar membantu rakyat dipertingkat dan bonus penjawat awam memecah rekod bonus dalam negara.

“Saya yakin contoh dan modal ini akan memperkuat semangat rakyat berjuang menjayakan perubahan dalam Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 3 November lalu, Mohamed Azmin membentangkan Belanjawan Selangor 2018 dengan tema ‘Membangun Bangsa, Memakmur Negeri’ berjumlah RM3.12 bilion dengan pecahan RM1.66 bilion atau 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan, manakala RM1.46 bilion (46.8 peratus) bagi pengurusan.