Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor belanja RM23.2 juta sedia kemudahan asas sekolah

KLANG, 11 DIS: Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM23.2 juta untuk bantuan infrastruktur kepada 637 sekolah seluruh negeri tahun ini.

Dana itu memanfaatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Kebangsaan Cina (SMJKC), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Mubaligh.

Peruntukan secara pemindahan dalam talian turut meliputi Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Bantuan diagih berdasarkan keperluan sekolah dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini mengikut borang permohonan yang perlu dilengkapkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan berjumlah RM9 juta kepada 137 SJKC, SMJKC, SMPC dan Sekolah Mubaligh di SMPC Ping Hwa di sini hari ini.

Amirudin berkata program bantuan sekolah tetap diteruskan meskipun negara berdepan pandemik Covid-19 bagi memperkasa sektor pendidikan negeri ini.

“Sektor pendidikan sangat banyak diperkatakan di media arus perdana dan media sosial sama ada melibatkan guru, infrastruktur sekolah, kandungan pengajaran serta pembelajaran.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk membantu menyelesaikan infrstruktur sekolah dengan hasrat agar pelajar dapat belajar dalam persekitaran selesa dan kondusif,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengilang bantah PKP penuh, pertimbang nasib 25,000 pekerja

SHAH ALAM, 20 MEI: Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) membantah cadangan penutupan penuh sektor ekonomi bagi mengekang perebakan Covid-19.

Presidennya berkata hampir 5,000 syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bernaung di bawah persatuan itu masih terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.

“Ahli kami menanggung kerugian sejak pandemik melanda malah sedang bangkit perlahan-lahan meneruskan perniagaan mulai awal 2021 mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Selain itu warga pengilang yang bernaung di bawah persatuan masih perlu membayar pinjaman, sewaan premis dan hampir 25,000 gaji pekerja,” kata Datuk Azman Yusoff menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau sebarang keputusan melaksanakan PKP penuh perlu mengambil kira nasib pekerja sekiranya pengilang tidak mampu lagi menanggung kerugian.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan PKP penuh dalam bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dato’ Seri Amirudin Shari bersedia menuruti arahan sedemikian namun menegaskan pertimbangan menyeluruh kepada aspek lain termasuk kesihatan mental dan kehilangan pendapatan.

Beliau menegaskan nyawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan berbanding penjanaan ekonomi tetapi PKP harus diiringi pelbagai aspek lain termasuk pendidikan dan kesihatan mental.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap takziah atas pemergian ayahanda Tengku Permaisuri Selangor

SHAH ALAM, 20 APRIL: Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor di atas pemergian ayahanda Tengku Permaisuri Norashikin.

“Patik mewakili seluruh lapisan pentadbiran Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor merafak sembah takziah kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin atas kembalinya ke Rahmatullah, Allahyarham Abdul Rahman Baba.

“Allahyarham adalah ayahanda kepada Tengku Permaisuri Selangor yang meninggal pada usia 89 tahun.

“Mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan dosa dan ditempatkan di kalangan mukmin yang soleh serta mendapat husnul khatimah. Al Fatihah,” kata Dato’Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB zahir ucapan takziah pemergian ibu Jokowi

SHAH ALAM, 26 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan keluarga berikutan kematian ibunya semalam.

“Saya mengucapkan takziah kepada Pak Jokowi atas pemergian bondanya. Semoga roh almarhumah dicucuri rahmah dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

“Semoga Pak Jokowi tabah menghadapi ujian pada waktu yang getir ini,” katanya di Twitter beliau, malam tadi.

Menurut media dan siaran televisyen tempatan di Indonesia, Allahyarham Sujiatmi, 77, meninggal dunia di Solo, Jawa Tengah, pada 4.45 petang waktu Indonesia Barat dan punca kematiannya belum diketahui.

Allahyarham Sujiatmi dilahirkan pada 15 Februari 1943 di Surakarta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sokongan terhadap Amirudin kukuh

SHAH ALAM, 5 MAC: Kehadiran sebahagian besar Ahli Dewan Negeri (ADN) Pakatan Harapan (Pakatan) Selangor mencerminkan sokongan kukuh terhadap Dato’ Seri Amirudin Shari untuk kekal menerajui pentadbiran.

Dato’ Menteri Besar berkata komposisi terbaharu menunjukkan 43 ADN menyokong Kerajaan, sekali gus menolak dakwaan membabitkan isu kempimpinan.

“Saya kira selepas krisis yang panjang, hal ini sewajarnya dielakkan dan pastinya hari ini majoriti ADN bersama saya serta barisan kepimpinan (Pakatan) negeri.

“Sewajarnya kita insaf dan muhasabah dengan apa yang berlaku di federal (persekutuan). Mengapa kita boleh selesaikan masalah di Selangor dalam tempoh 24 jam kerana kesepakatan yang jitu dalam kalangan pimpinan Pakatan,” katanya dalam sidang media di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau membacakan kenyataan bersama pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.

Amirudin turut mengulangi komitmen kekal bersama KEADILAN dan tidak bersama mereka yang sudah dipecat walaupun sering dikaitkan sebelum ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rangka peluang pekerjaan dari awal – MB

BANGI, 29 FEB: Lambakan universiti awam dan swasta di Selangor merupakan aset bernilai untuk pembentukan generasi baharu supaya dapat mengisi kekosongan dalam sektor pekerjaan seiring dengan kepantasan teknologi terkini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ribuan graduan berjaya dilahirkan setiap tahun tetapi tidak mampu menempatkan diri dalam industri berbanding senario 20 tahun lalu kerana gagal merangka peluang sejak di peringkat universiti.

“Kita telah berbincang bagaimana menjadikan universiti ini sebagai tiang seri. Kita berharap universiti mampu melahirkan lebih daripada apa yang pernah kita keluarkan sebelum ini kerana dunia telah bergerak begitu pantas.

Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama selepas Program Temu Rapat Dan Makan Malam Sempena Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 28 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“…ia mengingatkan saya ketika waktu belajar di sekolah menengah apabila Tun Dr Mahathir menyebutkan berkaitan ledakan teknologi maklumat. Jika kita tidak bersedia dengan Multimedia Super Corridor (MSC), Cyberjaya dan sebagainya mungkin kita akan tertinggal pada hari ini serta tidak tahu apakah itu WhatsApp sebaliknya kekal menggunakan sistem pesanan ringkas,” katanya pada Temu Rapat dan Makan Malam sempena Jelajah Maju Bersama Bersama Dato’ Menteri Besar di UKM, semalam.

Beliau berkata pada 2017 terdapat sekitar 100 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta selain universiti peringkat antarabangsa seperti Universiti Nottingham dan Lim Kok Wing di Selangor.

Katanya, pembelajaran dengan hanya menumpukan kepada buku kuliah semata-mata tidak mampu menempatkan graduan memasuki pasaran pekerjaan.

Melihat daripada perkembangan itu Amirudin berkata, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan pinjaman lebih RM480 juta membantu pembiayaan usahawan kecil menerusi Hijrah Selangor serta RM50 juta untuk Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) bagi membolehkan generasi muda mencari pekerjaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: UKM bakal jadi pusat pembentukan, latihan negeri pintar

BANGI, 29 FEB: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih menjadi pusat pembentukan dan latihan negeri pintar (smart state), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan universiti menjadi salah satu elemen penting pembangunan Selangor.

“Nak tahu lagi berkaitan Smart State (negeri pintar), insya-Allah kita ada kerjasama dengan UKM sebenarnya dan saya baru dapat berbincang dengan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), kita telah bekerjasama dengan UKM.

“Hanya UKM yang dipilih untuk dijadikan pusat pembentukan dan latihan Smart State, akan kita rasmikan bila-bila sahaja tahun ini,” katanya pada Temu Rapat dan Makan Malam sempena Jelajah Maju Bersama Bersama Dato’ Menteri Besar di UKM, semalam.

UKM merupakan universiti pertama dipilih dalam siri Jelajah Maju Bersama tahun ini selepas Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 2019.

Amirudin berkata berbaki lima tahun menjelang sasaran menjadi negeri pintar pada 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50 juta bagi merangka dan mempercepatkan proses pembentukan itu seperti digariskan dalam pelan induk yang disiapkan pada 2016.

Pada pertemuan sama Dato’ Menteri Besar turut menasihat pelajar supaya mengawal emosi dan berfikir secara sihat serta rasional supaya semangat untuk belajar kekal sehingga tamat pengajian.

Katanya, subsidi besar ditanggung kerajaan dalam sektor pendidikan serta pengorbanan ibu bapa yang meletakkan harapan besar perlu diganti dengan keputusan cemerlang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Dasar Kelulusan 100 hari pembangunan tanah berkuat kuasa serta-merta

BATU CAVES, 24 JAN: Kerajaan Negeri mengumumkan Dasar Kelulusan 100 hari bagi proses pembangunan tanah berkuat kuasa serta-merta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar baharu itu bertujuan mempercepatkan kelulusan berbanding sekitar sembilan bulan sebelum ini.

“Dengan dasar ini, proses pembangunan tanah yang biasanya mengambil masa 270 hari atau sehingga setahun di Selangor dapat dijimatkan hampir 50 peratus.

“Saya percaya ia akan menarik pelabur-pelabur untuk datang ke Selangor dan terus meningkatkan produktiviti dari segi mudah menjalankan perniagaan,” katanya dalam sidang media di Balai Penghulu Mukim Batu Gombak, hari ini.

Amirudin berkata kelulusan itu membabitkan kebenaran merancang (KM), pelan bangunan (PB) dan pelan infrastruktur (PI).

Pengurangan tempoh tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor semalam mengikut Mekanisme Pembayaran Deposit Premium yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Categories
ADN SELANGOR

Kutipan caj parkir Pasar Pagi Selayang Baru disiasat

SELAYANG, 24 JAN: Kerajaan Negeri akan menyiasat aduan orang awam berhubung isu kutipan caj parkir yang dikenakan kepada pengunjung Pasar Pagi Selayang Baru, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya akan mendapatkan laporan berhubung isu terbabit dan mencari penyelesaian dengan segera.

“Saya sedang siasat namun difahamkan parkir itu memang diuruskan pemaju.

“Bagaimanapun, saya akan dapatkan laporan dan cari jalan penyelesaian untuk kebaikan bersama,” kata Amirudin selepas Program Serahan Buah Limau Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Pasar Pagi Selayang Baru di sini hari ini.

Categories
SELANGOR

Laluan tambahan bas percuma dijangka siap selewatnya Ramadan

BATU CAVES, 24 JAN: Proses menambah baik laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dijangka siap selewatnya Ramadan tahun ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata jajaran itu bakal menghubungkan kawasan kampung ke laluan utama di Jalan Hulu Yam Bharu-Batu Caves supaya lebih ramai penduduk menggunakan perkhidmatan bas percuma.

“Kita di peringkat akhir menambah perkhidmatan bas dan dijangka sebelum atau selepas Ramadan bagi menghubungkan kawasan dalam (kampung) ke laluan utama (Jalan Hulu Yam Bharu-Batu Caves).

“Sebelum ini ia tertumpu di jalan besar dan saya akan pastikan ia disiapkan bagi memberikan keselesaan serta kemudahan penduduk setempat,” kata Amirudin di Masjid Jamek Kampung Nakhoda selepas program Jelajah Tahun Baharu Cina 2020, di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini memaklumkan laluan baharu itu membabitkan pertambahan sebuah bas dan kos keseluruhan sebanyak RM300,000.

Mengikut jajaran sedia ada, laluan Bas Smart Selangor dari Jalan Sungai Tua ke Jalan Batu Caves membabitkan empat hentian di Warta Lama, SRK Sri Selayang, SMK Taman Selayang dan Kompleks Renang Seri Siantan.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Amirudin ikrar kemudi Selangor dengan tangkas, lincah dan berani

KLANG, 11 DIS: Keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kemaslahatan rakyat sentiasa menjadi tauladan buat pentadbiran Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pentadbiran Selangor akan menjadikan baginda sebagai pedoman mengemudi bahtera dengan tangkas, lincah dan berani demi memastikan Selangor gagah berlayar serta megah bersaing.

“Negeri hebat ini bagaikan bahtera yang lincah dan tangkas. Ia seumpama bahtera pinisi orang-orang Bugis, sederhana akan tetapi lincah dan besar cita-citanya. Istilah pinisi itu merupakan gabungan dua perkataan iaitu “picuru” yang bermaksud orang-orang baik dan “binisi”, sejenis ikan kecil yang tangkas serta lincah.

“Kami setia dikemudi DYMM Tuanku, sama ada ke utara, selatan, timur mahupunbarat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Sembah Taat Setia Dato’ Menteri Besar sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-74 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Amirudin berkata, kegemilangan Selangor di bawah pentadbiran baginda turut mencatat kejayaan antaranya pelaburan sebanyak RM16.4 bilion dalam sektor pembuatan sepanjang Januari hingga September lalu.

Katanya, jumlah itu melangkaui sasaran RM10 bilion yang ditetapkan, sekali gus menjadikan Selangor berada pada kedudukan teratas di Malaysia.

“Kerajaan Negeri juga bertekad menyumbang sejumlah 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara menjelang 2030.

“Kami juga bercita-cita untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar terunggul di rantau ini yang dapat menyediakan 60 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada jumlah tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau selaku Dato’ Menteri Besar berbangga dan bertuah kerana diberi keizinan mentadbir negeri unggul itu.

“DYMM Tuanku dengan segala kebesarannya bermurah hati memberi izin menaungi patik sekalian mentadbir Selangor Darul Ehsan.

“Betapa berbangga serta bertuahnya patik dan seluruh rakyat jelata dinaungi serta dikemudi DYMM Tuanku,” katanya.