Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Sembilan kompaun bernilai RM120,000 dikeluar sepanjang tempoh kempen

MELAKA, 22 NOV: Polis Melaka mengeluarkan sembilan kompaun bernilai RM120,000 kepada pelbagai parti politik kerana melakukan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 hingga 19 November lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tempoh berkenaan kerana melakukan pelbagai kesalahan melibatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka di bawah Akta 342 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) mengekang penularan Covid-19 seperti berhimpun dan sebagainya manakala 18 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Secara keseluruhan, sepanjang tempoh kempen, hari mengundi dan pengumuman kemenangan parti politik, tiada sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam berlaku,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang dan SOP yang dilaksanakan sepanjang PRN Melaka menjamin kesihatan awam dan menyuburkan demokrasi menerusi pelaksanaan pilihan raya.

Katanya, PRN Melaka dilihat mencapai matlamat ditetapkan kerajaan iaitu mengawal kesihatan awam menerusi SOP ketat dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan penguat kuasa terlibat.

Abdul Majid berkata Polis Melaka juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka yang turut memberi kerjasama dengan mematuhi SOP PRN ditetapkan.

“Rakyat Melaka hebat kerana tidak terbawa-bawa sentimen politik sebaliknya mereka lebih mementingkan kesihatan awam dan keselamatan,” katanya.

Pada PRN Melaka Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Pakatan Harapan (HARAPAN) pula memenangi lima kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi DUN.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Polis beri amaran bertindak tegas pihak cetus provokasi

MELAKA, 19 NOV: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi melampau sehingga boleh menganggu gugat ketenteramaan awam dan keselamatan negeri sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata pihaknya memberi jaminan keadaan keselamatan terkawal untuk masyarakat serta pengundi menunaikan tanggungjawab.

“Kita telah menggerakkan semua elemen yang ada dalam kontinjen negeri selain mendapat bantuan sumber manusia yang merangkumi kekuatan elemen daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengatur gerak menghadapi segala kemungkinan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis juga akan memastikan proses pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula 8 pagi hingga 5.30 petang bagi membentuk kerajaan yang mendapat mandat itu berjalan lancar dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Majid berkata semua pengundi yang layak diminta menjalankan hak dan tanggungjawab mereka tanpa perlu khuatir terhadap keselamatan diri.

Beliau berkata rakyat di negeri itu juga dinasihatkan supaya menerima keputusan pilihan raya itu dengan penuh kematangan dan hati terbuka.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

– BERNAMA