Categories
EXCO SELANGOR

Penularan penyakit influenza A tidak jejas kedatangan pelancong

SEPANG, 17 JAN: Penularan penyakit influenza A tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke Selangor sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, kata EXCO pelancongan.

Datuk Abdul Rashid Asari berkata penyakit itu disifatkan sebagai kes terpencil.

Bagaimanapun kata Abdul Rashid, pihaknya enggan mengambil mudah isu terbabit dan membuat pemantauan secara berterusan.

“Ia tidak melibatkan sektor pelancongan secara am, malah kebanyakan (isu influenza A) tidak dihebahkan kepada negara luar.

“Namun, jika terdapat pelancong yang datang ke sini dan mengalami penyakit mungkin sedikit sebanyak akan menjejaskan sektor pelancongan negara kita. Tetapi buat masa ini tiada rekod menunjukkan pelancong sakit,” katanya pada Majlis Sambutan Pembukaan Tahun Melawat Sepang 2020 hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Categories
EXCO SELANGOR

ADN BERSATU ditahan polis

SHAH ALAM, 13 JAN: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor hari ini mengesahkan seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) parti itu ditahan polis.

Datuk Abdul Rashid Asari dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan perkara itu, lapor Berita Harian.

“Kami sedang menunggu apa hasil siasatan kes ini. Saya juga sudah berbincang dengan presiden parti (dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam dan kami perlu menunggu siasatan polis.

“Apa hasil siasatan itu saya tidak tahu tetapi jika ada kes, tiada sesiapa melebihi undang-undang. Saya juga tidak tahu sama ada beliau kini berada di rumah atau di balai polis,” katanya di sini pagi tadi.

Pengguna media sosial pagi ini menyebarkan maklumat berhubung beberapa individu termasuk ADN tersebut ditahan di sebuah kondominium di Damansara dekat sini.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor sasar lapan juta pelancong tahun ini

SUBANG, 1 JAN: Kerajaan Selangor menyasarkan kedatangan lapan juta pelancong ke negeri ini pada 2020, berbanding 7.7 juta tahun lalu.

Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata kepelbagaian produk pelancongan di Selangor diyakini mampu menarik minat pelancong asing dan tempatan.

“Oleh itu, kita berharap tahun ini lapan juta pelancong berkunjung ke Selangor yang menawarkan pelbagai produk pelancongan eko, agro, perubatan, pendidikan dan sukan.

“Antara lokasi unik yang boleh dikunjungi ialah Sky Mirror, Taman Kelip-Kelip dan Selangor Fruit Valley di Kuala Selangor.

“Selangor turut menawarkan kepelbagaian pusat perubatan dan paling membanggakan apabila salah sebuah hospital di Subang Jaya menerima anugerah di peringkat Asia Pasifik,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Selamat Datang Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 Peringkat Selangor di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal Subang Sky Park di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata Selangor ketika ini menjadi negeri ketiga pilihan pelancong di Malaysia, sementara tempat pertama dan kedua adalah Sabah dan Pulau Pinang.

Sementara itu, katanya sebanyak RM9.7 juta diperuntuk tahun ini bagi tujuan promosi untuk meningkatkan prestasi sektor pelancongan di Selangor.

“Pada 2018, Kerajaan Negeri menerima RM20.6 juta cukai pelancongan dan sebahagian daripada hasil pendapatan ini digunakan untuk tujuan promosi,” katanya.

Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pelancong belanja RM13.2 bilion di Selangor sepanjang 2018

SUBANG, 1 JAN: Selangor mencatatkan kutipan perbelanjaan RM13.2 bilion hasil kunjungan kira-kira 7.2 juta pelancong tempatan dan luar negara ke negeri ini pada 2018.

Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata
jumlah itu meletakkan Selangor di hadapan diikuti Sabah dan Sarawak.

“Jumlah perbelanjaan pelancong pada 2019 ialah RM15 bilion, namun jumlah tepat akan diperolehi pada April 2020,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Selamat Datang Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) peringkat Selangor di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal Subang Sky Park, di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengurus Besar Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nashir.

Pada majlis itu, kesemua penumpang yang tiba di lapangan terbang terbabit menerima kalungan kain batik dan cenderamata daripada Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Mengulas program berkenaan, Abdul Rashid berkata majlis itu dianjur sebagai pembuka tirai tahun baharu untuk merancakkan kempen TMM 2020.

Beliau turut menjangkakan 600 pelancong domestik dan luar negara tiba melalui pintu masuk Terminal Subang sepanjang hari ini.

Categories
EXCO SELANGOR

Rancak aktiviti giat kempen Tahun Melawat Malaysia 2020

PELABUHAN KLANG, 22 DIS: Karnival memancing di Pantai Tanjung Harapan akan dijadikan acara tahunan sebagai usaha merancakkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata ia susulan lebih 2,000 kaki pancing termasuk Sabah dan Sarawak mengunjungi pantai berkenaan sepanjang tahun ini.

Katanya walaupun terletak di tengah-tengah kesibukan kapal kontena dan lori muatan berat, namun ia tidak menghalang pantai berkenaan dikenali dalam kalangan kaki pancing.

“Saya berbangga melihat jumlah pengunjung yang membanjiri pantai setiap kali acara diadakan.

“Bagi memastikan misi TMM2020 terlaksana, Kerajaan Negeri juga akan menaik taraf mercu tanda di sini iaitu kapal Bugis, surau dan tandas awam,” katanya ketika ditemui pada Karnival Pentas Lokal anjuran Pejabat DUN Selat Klang di Bazaar Esplanade Tanjung Harapan hari ini.

Acara utama iaitu pertandingan memancing mendapat sambutan lebih 1,000 peserta dari seluruh negara.

Mengulas berhubung pertandingan itu, Abdul Rashid mencadangkan jumlah hadiah wang tunai ditambah dari RM40,000 kepada RM60,000 sekiranya acara sama diadakan tahun hadapan.

“Terdapat pelbagai ikan yang ditangkap kali ini termasuk malong, belukang, duri, sembilang dan kerapu.

“Saya berharap lokasi pantai ini akan bertambah selesa tahun depan, sekali gus membolehkan acara kita menarik lebih ramai peminat joran,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Tuah si kaki pancing

PELABUHAN KLANG, 22 DIS: Seorang kaki pancing tidak menyangka wang tunai RM40,000 menjadi miliknya selepas menjuarai pertandingan memancing pada Karnival Pentas Lokal Tanjung Harapan, di sini.

Shahril Arifin, 43, berkata wang itu akan digunakan untuk membuat persiapan majlis perkahwinannnya yang dijangka berlangsung tahun depan.

“Sekarang duit mencukupi, mungkin 2020 saya sudah boleh adakan majlis. Duit ini juga akan digunakan untuk membantu keluarga,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Aksi peserta pada program Santai Pentas Belia dan Pertandingan Memancing di Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang pada 22 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pekerja swasta dari Pandamaran Klang itu berkata ini adalah kali ketiga dia menyertai pertandingan memancing anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri Selat Klang.

Katanya walaupun acara bermula seawal 8 pagi, namun dia antara peserta yang lewat tiba di lokasi pertandingan.

“Saya sampai 8.30 pagi dan kemudian berjaya mendapat tempat untuk membaling joran pada 9.30 pagi. Lebih kurang 10 kali saya cuba naikkan ikan tetapi tidak berjaya kerana tersangkut di celah batu.

“Namun, pada balingan ke-11 saya berjaya menaikkan ikan kerapu seberat 1.9 kilogram dan tidak menyangka ia membawa rezeki kepada saya,” katanya.

Selain Shahril, dua lagi pemenang ialah Dayang Melati, 38, yang berjaya membawa pulang wang tunai RM8,000, sementara ketiga Sugeng Dwi Saputra, 38, memenangi hadiah RM3,000.

Pertandingan itu dirasmikan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Categories
EXCO SELANGOR

Jelajah Persona Selangor pacu manfaat pelancongan dua hala

SHAH ALAM, 20 DIS: Program Jelajah Persona Selangor 2019 dirancang ke tiga negeri, mampu memberi manfaat dua hala ke arah memacu industri pelancongan serta meningkatkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negara ini.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, inisiatif dijayakan Tourism Selangor melalui program sarat dengan intipati pelancongan itu banyak memberi impak positif khususnya kepada Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Program Jelajah Persona Selangor 2019 menjadi landasan kepada penggiat industri pelancongan untuk menjalin kerjasama dengan Badan Pelancongan Negeri serta Kerajaan Negeri secara amnya.

“Perkara ini secara tidak langsung akan membuka peluang lebih luas dalam usaha mempergiat pelan promosi pelancongan bagi menggalakkan kemasukan lebih ramai pelancong domestik khususnya ke Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rashid berkata, menerusi program itu, Tourism Selangor menggerakkannya ke Alor Setar, Kedah (26 hingga 28 November); Johor Bahru, Johor (15 hingga 17 Disember) dan Ipoh, Perak (18 hingga 20 Disember) sebagai usaha strategik program promosi pelancongan untuk Selangor.

Beliau berkata, program ini membabitkan kerjasama kerajaan dengan kerajaan (GTG) dan perbincangan antara lain membabitkan usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri yang akan diambil bagi memperkasa industri pelancongan.

“Pembabitan diterima baik membolehkan sesi promosi dan pengenalan produk dilakukan secara terus kepada penggiat industri pelancongan.

“Hasil perkongsian di ketiga-tiga negeri ini dijangka dapat disampaikan kepada golongan sasar yang terdiri daripada pelancong tempatan bermastautin luar dari Selangor,” katanya.

Untuk rekod, tarikan produk pelancongan Selangor berjaya menyumbang kepada jumlah kedatangan pelancong seramai 3.48 juta orang dariJanuari hingga Jun lalu.

Jumlah itu membabitkan 53 peratus atau 1.86 juta terdiri daripada pelancong domestik manakala 47 peratus atau 1.62 juta adalah pelancong antarabangsa.

Angka berkenaan menyumbang kepada peningkatan tiga peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Categories
EXCO SELANGOR

PAKATAN terus tunai janji kepada rakyat

SHAH ALAM, 14 DIS: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan terus berusaha memastikan segala manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya umum (PRU) tahun lalu ditunaikan.

Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata pihaknya akan terus bekerja kuat bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Masalah yang dihadapi kerajaan adalah disebabkan kewangan, namun kita akan berusaha bagi memastikan janji kepada rakyat dapat ditunaikan.

“Malah, kerajaan sedang bekerja keras bagi mengembalikan semula wang yang disalah guna kerajaan terdahulu,” katanya kepada media pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Kuala Selangor di Hotel Concorde Shah Alam, di sini malam tadi.

Rashid berkat, majlis julung kali diadakan itu bertujuan meraikan jentera parti yang bekerja keras bagi memastikan kelancaran PRU lalu.

“Kita berharap semoga usaha dan jalinan kerjasama antara jentera di dalam parti sentiasa kukuh dan bersatu-padu,” katanya.

Dianggarkan 200 orang hadir menghadiri majlis terbabit yang turut disertai Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram, Shaid Rosli dan ADN Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli.

Turut diadakan pelancaran program Kembali Ke Sekolah peringkat Kuala Selangor yang akan mengagihkan
10,000 beg sekolah kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di daerah itu.

Categories
EXCO SELANGOR

Pelancong meningkat kepada 5.38 juta setakat September

SHAH ALAM, 10 DIS: Jumlah kedatangan pelancong di Selangor mencatatkan peningkatan empat peratus dalam tempoh sama tahun lalu iaitu 5.38 juta, sehingga September.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan jumlah kedatangan pelacong seramai 7.7 juta orang untuk tahun ini.

“Untuk 2020, Kerajaan Negeri mensasarkan jumlah kedatangan pelancong seramai 7.7 juta seiring dengan pelaksanaan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Hos Komuniti, pada 7 Oktober lalu.

Datuk Abdul Rashid Asari bersama Pemangku Pengurus Besar Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nashir menerima penerangan tentang peta budaya daerah yang dihasilkan oleh graduan Hos Komuniti Selangor. – Foto Tourism Selangor

Terdahulu, sektor pelancongan di Selangor dijangka menjana pendapatan lebih RM10 bilion pada tahun ini, dengan sasaran 9 juta kedatangan pelancong tahun ini.

“Kita begitu giat mengadakan program pelancongan, dan lawatan ke luar negara untuk mempromosi Selangor sebagai negeri yang harus dilawati.

“Selangor mempunyai keunikan dengan pelbagai makanan dan produk pelancongan serta diiktiraf Majlis Pelancongan Malaysia sebagai destinasi pilihan pada tahun lepas,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Program Hos Komuniti lahir 51 pemandu pelancong

SHAH ALAM, 10 DIS: Program Latihan Hos Komuniti Selangor berjaya melahirkan 51 pemandu pelancong di enam daerah membabitkan Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, ia adalah usaha proaktif Kerajaan Negeri dalam memartabatkan industri pelancongan, seterusnya membangunkan ekomoni setempat di kesemua daerah negeri ini.

Katanya, ini kerana industri pelancongan berdasarkan lokaliti mampu memperkasa industri berkenaan secara keseluruhan dan ia perlu dimulakan dari teras.

“Dengan sokongan penuh yang diterima dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau (MOTAC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.

“Angka ini dijangka akan terus meningkat dari tahun ke tahun lantaran sasaran Tourism Selangor terhadap pelaksanaan Program Latihan ini yang akan diperluas ke keseluruhan sembilan daerah menjelang 2020,” katanya pada Majlis Graduasi Hos Komuniti pada 7 Disember lalu.

Pada majlis itu, seramai 30 graduan dari kumpulan kedua Program Latihan Hos Komuniti Selangor diraikan.

Datuk Abdul Rashid Asari bersama Pemangku Pengurus Besar Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nashir menerima penerangan tentang peta budaya daerah yang dihasilkan oleh graduan Hos Komuniti Selangor. – Foto Tourism Selangor

Abdul Rashid berkata, Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor meneruskan komitmen memasuki tahun kedua bagi penganjuran program latihan iaitu sebuah program perintis atau yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Program Latihan Hos Komuniti Selangor memegang aspirasi menjadikan pelancongan sebagai salah satu medium pembangunan komuniti.

“Dengan itu, Hos Komuniti dilatih untuk menjadi ‘story-tellers’ kepada pelancong atau ‘master minds’ dalam inisiatif promosi pelancongan serta pemerkasaan komuniti setempat.

“Hal ini membuktikan keupayaan mereka dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan demi memacu Kempen Promosi Daerah yang lebih mampan dan komprehensif,” katanya.

Graduan Program Latihan Hos Komuniti Selangor mengikuti latihan selama enam bulan merangkumi silibus pengenalan terhadap sektor perkhidmatan dan hospitaliti dan kemahiran penting yang perlu diaplikasi bagi pengurusan promosi pelancongan yang sistematik.

Antaranya seperti kemahiran multimedia bagi memperkasa penguasaan teknologi, rangkaian bagi meluaskan jaringan perhubungan pelancongan, serta komunikasi untuk melancarkan interaksi dengan pelancong dalam Bahasa Melayu juga Inggeris.

Categories
EXCO SELANGOR

Pelancong negara seberang tambak paling ramai melawat Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 22 NOV: Selangor antara destinasi paling menambat perhatian pelancong Singapura dan merekodkan kehadiran tertinggi berbanding negara lain pada tahun lalu, kata Datuk Abdul Rashid Asari.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan berkata, seramai 316,230 pelancong dari negara seberang tambak itu memilih Selangor sebagai destinasi pelancongan daripada keseluruhan 7.23 juta pengunjung dicatatkan bagi tempoh sama ke negeri berkenaan.

“Ini adalah suatu pencapaian yang baik dan boleh ditingkatkan lagi untuk industri pelancongan Selangor, seterusnya memberi lonjakan pembangunan ekonomi negeri serta negara.

“Malah, kita juga mencatatkan hasil cukai pelancongan berjumlah RM10.3 juta yang dilihat sebagai satu pendapatan kepada Kerajaan Negeri,” katanyapada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) peringkat Selangor, di Grand Ballroom, Eastin Hotel Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Mohammad Bakhtiar Wan Chik serta Pengarah Pejabat MOTAC Selangor, Syed Mohd Fariz Syed Mansor.

Sebagai langkah meningkatkan kehadiran pelancong pada tahun hadapan, Abdul Rashid berkata, pihaknya menerusi Tourism Selangor kini giat melakukan persediaan terperinci membabitkan perancangan strategik promosi pelancongan.

Katanya, pelbagai acara besar disusun sempena TMM2020 antaranya Selangor Marathon, Selangor Cruise Festival , Selangor Golf Open, REGATTA (Perlumbaan Bot) dan Selangor International Indigenous Arts Festival.

“Penganjuran acara ini banyak memberi impak kepada pelancong untuk mengenali Selangor secara lebih dekat dan Malaysia amnya, selain memberi sumber pendapatan untuk masyarakat setempat.

“Selangor mempunyai pelbagai produk pelancongan yang menarik dan ia seharusnya dikembangkan lagi untuk menarik minat kedatangan pelancong.

“Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat serta semua lapisan masyarakat amat diperlukan bagi menaikkan lagi industri pelancongan Selangor berdasarkan kepada kepelbagaian produk pelancongan sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa rakyat Selangor supaya membantu menguar-uarkan logo dan lagu kempen TMM2020 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pada Julai lalu.

“Masyarakat boleh menyokong pelaksanaan kempen TMM2020 secara bersepadu melalui pelbagai usaha seperti penyampaian perkhidmatan yang mesra dan memelihara kebersihan tempat pelancongan.

“Selain itu, produk pelancongan perlu diselenggara dan dipulihara serta menambah nilai kepada yang sedia ada,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor catat 1.86 juta pelancong domestik setakat Jun

SHAH ALAM, 7 NOV: Selangor berjaya mencatatkan kedatangan pelancong domestik sebanyak 1.86 juta bermula Januari hingga Jun lalu, kata Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Katanya, ia adalah peningkatan sebanyak empat peratus berbanding jumlah pelancong domestik bagi tempoh sama pada 2018.

“Tourism Selangor giat menjalankan promosi untuk terus menggalakkan aktiviti pelancongan ke negeri ini.

“Penyertaan Tourism Selangor melalui siri promosi dalam negara seperti Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) dan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) juga menyasarkan pasaran pelancong domestik dari dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagai menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran pada Sidang Dewan Negeri berhubung pengunjung domestik serta usaha kerajaan menarik lebih pelancong ke negeri ini.

Rashid berkata, Tourism Selangor juga mengadakan program Skuad Kembara Sekolah bagi memperkenalkan lagi destinasi pelancongan kepada guru dan pelajar sepanjang tahun ini.

Katanya, ia adalah program interaktif memberi kesedaran dan menggalakkan pelancongan domestik dalam kalangan masyarakat tempatan ke Selangor.

“Usaha meningkatkan jumlah pelancong turut dilakukan dengan kerjasama syarikat penerbangan antaranya Malindo Air dan Air Asia di dalam menganjurkan program ‘Familiarization Trip’ atau FAM Trip.

“Melalui program itu kita berharap supaya agensi pelancongan luar dari Selangor menghasilkan pakej pelancongan untuk ditawarkan kepada pasaran domestik di Malaysia,” katanya.