Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh atlet, seorang pegawai sukan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Tujuh atlet negara termasuk lima atlet para disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan sebelum memulakan latihan berpusat menggunakan pendekatan kuarantin hari ini.

Menurut Majlis Sukan Negara (MSN), kes positif itu membabitkan dua atlet olahraga, tenis berkerusi roda (dua), sukan bola keranjang kerusi roda (dua) dan seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran serta seorang pegawai pengiring sukan boccia.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kesemua individu yang disahkan positif Covid-19 telah diasingkan dan menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“MSN juga mengasingkan atlet (PUS) berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan atlet dan pegawai yang disahkan positif dan ujian calitan akan dilakukan pada hari keempat.

“Jika keputusan negatif tetapi mempunyai simptom, mereka perlu menjalani proses kuarantin hingga hari ke-10. Ujian akan diadakan pada hari kesembilan untuk pengesahan bebas daripada jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 466 daripada 735 atlet Program Podium dan pelapis kebangsaan serta jurulatih negara telah menjalani ujian calitan di pusat latihan masing-masing yang diselaraskan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).

Ujian calitan itu juga diadakan di Kompleks MSN Taman Keramat melibatkan 38 daripada 41 atlet dan jurulatih, selain di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan melibatkan 89 daripada 91 atlet para dan jurulatih.

Sebelum ini, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choon Hann didapati positif Covid-19 selepas ujian calitan dilakukan ke atas 39 pemain dan jurulatih badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai persediaan ke Jelajah Asia BWF di Thailand.

Secara keseluruhan, hanya satu peratus iaitu lapan daripada 632 atlet dan pegawai yang telah menjalani ujian swab didapati positif Covid-19 dan dipercayai mendapat jangkitan semasa bercuti di kampung atau rumah masing-masing.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata setelah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kem latihan berpusat MSN akan diteruskan menggunakan pendekatan secara kuarantin bagi tempoh dua minggu pertama dengan atlet dan jurulatih tidak dibenarkan keluar kecuali ke tempat latihan masing-masing secara terkawal.

“Arahan ini akan dikaji semula selepas dua minggu melihat kepada perkembangan penularan jangkitan Covid-19. Kemudahan pusat latihan hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih sahaja. Pengawalan keluar masuk ke premis penginapan dan latihan selain dari atlet dan jurulatih adalah tidak dibenarkan.

“Proses sanitasi akan dilaksana di setiap pusat latihan dan penginapan seminggu sekali. Perkara ini akan dilaksana secara serta merta. Langkah ini diambil bagi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan dan komitmen MSN dalam memastikan atlet negara berada dalam kesihatan dan kondisi terbaik bagi menjalani latihan masing-masing,” kata Ahmad Shapawi.

Katanya, perkara itu dikuatkuasakan kepada semua pusat latihan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Kompleks MSN Taman Keramat, Kompleks Pelayaran Langkawi, Akademi Badminton Malaysia, Velodrom Nasional Nilai dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari.

Bagi atlet yang belum melaporkan diri hari ini, Ahmad Shapawi berkata mereka akan berbuat demikian esok di pusat latihan masing-masing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sukan Para Asean 2020 ditangguh ke Mac

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Majlis Sukan Negara (MSN) sahkan Sukan Para Asean 2020 di Filipina yang dijadualkan berlangsung pada 18-24 Januari ditunda ke 20-28 Mac.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, maklumat tersebut diperoleh daripada Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) yang disampaikan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

“Kita baru dapat maklumat bahawa Sukan Para Asean akan ditangguhkan dari bulan Januari ke Mac. Persiapan kita sudah pun di peringkat akhir, di mana kita akan buat ‘camp’ terakhir pada 11-13 Januari ini, sebelum bertolak pada 14 Januari.

“Sudah tentu penundaan ini memberi sedikit kesan. Walau bagaimanapun, kita telahpun berbincang untuk mengubahsuai dan menyelaraskan semula program latihan. Program latihan sebelum ini, melibatkan waktu kemuncak (peak time) atlet iaitu di Sukan Para Asean pada bulan Januari.

“Sekiranya mereka tidak bertanding pada waktu tersebut iaitu masa sepatutnya dia berada di kemuncak, maka kita kena lihat semua program persediaan mereka untuk kemuncak semula pada bulan Mac,” katanya kepada pemberita di MSN hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, pihaknya termasuk Institut Sukan Negara (ISN), persatuan sukan para kebangsaan dan jurulatih, terpaksa bekerja keras untuk memastikan atlet para negara, boleh mempamerkan aksi terbaik mereka pada bulan Mac.

Katanya, beliau telah mencadangkan kepada persatuan kebangsaan untuk menganjurkan kejohanan simulasi pada bulan Januari, agar atlet tidak terjejas dari segi persiapan.

“Ini cabaran untuk kita. Kita harap bahawa jurulatih dan atlet akan ada kejohanan pada Januari ini bagi ganti Sukan Para Asean, pada tarikh sama. Hal ini bukan dialami Malaysia sahaja, semua negara yang sertai akan terlibat dan terkesan.

“Sudah tentu mengganggu dari segi psikologi. Semua perlu diambil kira, untuk pastikan atlet bersedia kembali pada bulan Mac. Bulan Januari bukan masa untuk kita cuti, kena kerja,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sukan SEA: Masalah makanan halal hanya di Manila

SEPANG, 28 NOV: Isu tiada makanan halal dibekalkan kepada kontinjen negara ke Sukan SEA ke-30 hanya berlaku di Manila, tidak dilaporkan berlaku di perkampungan sukan di Clark.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan perkara itu berlaku disebabkan atlet yang bertanding di Manila ditempatkan di hotel berbanding perkampungan sukan di Clark.

“Masalah banyak berlaku di Manila sebab hotel. Dekat perkampungan sukan sudah tidak timbul isu makanan halal sekarang. Namun pihak hotel sudah mula mendapatkan makanan halal. Sudah ada perkembangan tapi kita masih bekalkan dengan pek makanan segera daripada Brahim’s.

“Ia cita rasa rakyat Malaysia. Mereka boleh buat pilihan mahu makan makanan yang disediakan penganjur atau Brahim’s. Kalau penganjur ada masalah berkaitan makanan halal lagi, ia sepatutnya selesai menjelang 28 November (hari ini),” katanya pada majlis penghantaran Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-30 di Lapangan Terbang Antaraangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada Rabu, media melaporkan sebanyak 500 kotak besar pek makanan Brahim’s diterbangkan khas ke Filipina bagi keperluan atlet dan pegawai negara sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ketua kontinjen, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta dua timbalannya, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah menjalankan tugas mereka dengan proaktif dalam menjaga kebajikan atlet dan pegawai.

“Pegawai MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) pun ada di sana. Kita ada pelan B berkaitan masalah makanan, Brahim’s turut membantu pastikan makanan atlet dapat dijaga. Kita pantau dari dekat dan kalau masalah sebegini timbul, kita akan gunakan saluran sedia ada untuk membuat aduan.

“Iaitu menerusi ketua kontinjen. Kita telah menyuarakan keprihatinan kita tapi untuk sekarang kita hanya mahu pastikan kebajikan atlet dapat dijaga sebaik mungkin,” katanya.

Selain masalah makanan halal, difahamkan, pelbagai aduan dikemukakan termasuk tentang masalah pengangkutan serta penginapan selain kerja pembinaan yang didakwa masih dilakukan di beberapa lokasi acara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Dunia: Lima negara ASEAN bincang kriteria bidaan

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Hasrat ASEAN menjadi tuan rumah bersama bagi Piala Dunia 2034 mungkin dapat direalisasikan.

Ini berikutan satu mesyuarat membabitkan lima negara ASEAN termasuk Malaysia akan diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan keperluan dan komitmen yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN di Manila, Filipina pada Rabu berkata:

“Oleh kerana syarat yang ada dalam pembidaan FIFA yang memerlukan beberapa perkara diteliti, jadi pada mesyuarat itu kita telah bersetuju untuk menubuhkan satu kumpulan kerja teknikal untuk mengkaji dengan lebih mendalam khususnya berkaitan dengan dokumen pembidaan.

“Kita juga akan memanggil persatuan bola sepak negara ASEAN bersama kumpulan ini bagi membincangkan tentang bagaimana kita boleh meneruskan usaha untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah,” katanya selepas perasmian Hari Sukan Negara (HSN) yang merupakan kemuncak sambutan Bulan Sukan Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, mesyuarat yang masih belum dimuktamadkan tarikh itu bukan bertujuan membincangkan mengenai bidaan tetapi lebih kepada membincangkan kekuatan dan potensi yang ada pada negara ASEAN yang boleh ditawarkan untuk meyakinkan pihak FIFA.

Untuk rekod, pada Jun lalu, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha memaklumkan bahawa kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di Bangkok, Thailand.

Lima negara ASEAN itu ialah Malaysia, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.

— BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Persiapan kontinjen Sukan Sea negara kini di peringkat akhir

SEREMBAN, 18 OGOS: Persiapan kontinjen Sukan SEA negara kini sudah sampai ke peringkat akhir, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pemilihan MOM telah mengenal pasti hampir 800 orang atlet untuk temasya Sukan SEA 2019 di Filipina November ini.

“Tarikh akhir senarai akhir atlet mengikut nama ialah pada 2 September depan untuk persatuan memuktamadkan atlet yang mana layak untuk didaftarkan dalam acara mereka masing-masing. Selepas itu pihak MOM akan menghantar pendaftaran kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA…itu adalah komposisi akhir kontinjen Sukan SEA Malaysia.

“Seterusnya di peringkat MSN dari segi persiapan kontinjen, kita akan adakan satu latihan pusat akhir untuk mengumpulkan kesemua 800 orang atlet kontinjen negara sebelum kita bertolak ke Filipina,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada Perlumbaan Basikal Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB dan Kriterium Yayasan CIMB siri ke-5 di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata, dari segi persiapan semuanya berjalan lancar dan kini persiapan lebih banyak tertumpu kepada pertandingan-pertandingan sebelum temasya Sukan SEA berlangsung.

“Ini adalah persiapan terakhir, sebelum kita perbaiki balik ke arah Sukan SEA,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran pingat, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan pada majlis penyerahan bendera nanti.

“Itu pun selepas kita kemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memuktamadkan dari segi status sesama prestasi atlet dan sasaran yang mungkin mereka boleh capai di Sukan SEA nanti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiada isu ‘beri kelonggaran’ pada Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Walaupun peluang pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan untuk layak ke temasya Sukan SEA 2019 secara merit sudah berakhir, namun beliau masih boleh disenaraikan dalam kategori B.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sama ada untuk menyenaraikan Khairul Hafiz bagi mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2017 dalam kategori B atau memilih calon lain untuk bersaing dalam acara 100 m.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, KOM sebelum ini telah menetapkan syarat kepada atlet olahraga yang mana mereka perlu layak secara merit untuk disenaraikan dalam kategori A, iaitu ditanggung oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kalau kata Khairul Hafiz tidak lepas dalam kategori A, bermakna persatuan kena berbincang dan memutuskan sama ada hendak hantar dia dalam kategori B atau tidak kerana dalam kategori B pun ada beberapa atlet juga turut layak. Seperti yang kita sedia maklum, untuk acara 100 m, hanya dua penyertaan sahaja, dan 4×100 m empat atau lima atlet boleh disenaraikan.

“Jadi tidak ada isu kelonggaran diberikan atau tidak, ia terserah kepada persatuan. Dalam kategori A, sudah ada seorang atlet (Johnathan Nyepa) sahaja yang dah lepas, kalau kategori B pula ada empat atau lima pelari pecut, persatuan kena buat keputusanlah,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran penggunaan percuma trek Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata, KOM perlu mengemukakan semula kepada jawatankuasa pemilihan MOM mengenai keputusan yang telah dibuat berhubung penyenaraian atlet dalam kategori B, dan atlet yang diputuskan itu mestilah mereka yang sudah ada dalam senarai panjang sebelum ini.

Pada Kejohanan Olahraga KOM 2019 di Stadium MSN semalam, raja pecut Asia Tenggara terpaksa berpuas hati dengan catatan masa 10.71 saat (s) untuk menduduki tempat kedua acara 100 m lelaki, iaitu catatan yang masih jauh daripada rekod kebangsaan 10.18 s miliknya.

Untuk melayakkan diri secara merit, Khairul Hafiz juga perlu mencatatkan masa lebih baik daripada 10.37 s yang dilakukan oleh Johnathan, iaitu catatan di ranking ketiga terbaik Asia Tenggara.

Acara 100 m pada Kejohanan Olahraga KOM menyaksikan Muhammad Haiqal Hanafi dari Johor muncul juara dengan catatan masa 10.59 s diikuti Khairul Hafiz yang mewakili Melaka (10.71 s) dan gangsa dimenangi pelari Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail (10.81 s).

Untuk rekod, pelari berusia 21 tahun itu baru saja membuat penampilan pertama pada kejohanan kompetitif di Sukan Universiti Dunia di Napoli bulan lepas dengan catatan masa 10.70 s dan berjaya membaiki catatan 10.50 s pada Terbuka Kuala Lumpur minggu lalu yang juga kejohanan keduanya selepas tempoh kecederaan.

Semalam, Ketua Jurulatih Olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, peluang untuk Khairul Hafiz ke temasya di Filipina menerusi Kategori A sudah berakhir namun namanya masih boleh disenaraikan di bawah Kategori B dan akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan KOM yang akan berlangsung Isnin ini.

– BERNAMA