Categories
AGENDA NASIONAL

Penganggur penggal kepala ibu dipercayai di bawah pengaruh dadah

SHAH ALAM, 17 JAN: Penganggur berusia 28 tahun yang disyaki memenggal kepala ibunya Sabtu lepas dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata ketika kejadian, hanya suspek dan ibunya yang berusia 56 tahun berada di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang dekat Kuala Selangor.

“Kita telah tahan reman selama tujuh hari dari 16 hingga 22 Januari dan (senjata) barang kes juga kita telah rampas.

“Kita percaya ketika kejadian itu, suspek hendak meminta duit daripada ibunya (untuk beli dadah) dan punca kejadian dipercayai berkaitan dengan pengaruh dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Ramli Kasa berkata laporan awal ujian air kencing ke atas suspek di Hospital Tanjong Karang mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis tahan 10 ahli sindiket judi dalam talian di Klang

SHAH ALAM, 17 JAN: Polis menahan 10 ahli sindiket judi dalam talian di dua premis di Klang dekat sini menerusi Ops Khas Perjudian bermula Jumaat lepas hingga semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata enam lelaki, tiga wanita serta seorang wanita warga asing, kesemuanya berusia 20-an hingga 40-an itu dipercayai menjalankan aktiviti mempromosi dan menganjurkan judi dalam talian membabitkan transaksi hampir RM5 juta sebulan dengan pemain melebihi 3,000 orang.

“Sindiket dikesan mempunyai pemain dalam kalangan rakyat Malaysia dan Indonesia. Mereka menggunakan pelbagai akaun bank tempatan dan luar bagi transaksi kewangan perjudian,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Arjunaidi berkata pihaknya turut merampas 21 komputer riba, perkakas teknologi maklumat serta wang tunai RM100,000 dalam operasi itu.

Beliau berkata kesemua 10 individu berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1)(a)(c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menerusi operasi sama turut menahan 13 pemain judi dan lima penjaga premis di sebuah premis di Klang Selatan dan dua premis di Kajang.

Menurutnya, 59 komputer, beberapa perkakas teknologi maklumat serta wang tunai berjumlah RM3,210 dirampas manakala kesemua 18 individu itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Arjunaidi berkata seramai 10,649 individu di Selangor ditahan pada 2020 hingga 2021 berkait kegiatan perjudian dengan 6,432 kertas siasatan dibuka dan 92 peratus kertas siasatan tersebut berjaya dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan perjudian mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya bagi judi dalam talian, 2,106 kertas siasatan telah dibuka melibatkan tangkapan 5,792 orang manakala 4,326 kertas siasatan berkaitan loteri awam tanpa lesen dibuka dengan 4,857 orang ditahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Poliklinik jual sijil vaksin palsu diserbu, tujuh ditahan

SHAH ALAM, 17 JAN: Polis menahan tujuh individu tempatan termasuk tiga wanita berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun yang merupakan pekerja dan pemilik sebuah poliklinik dipercayai terbabit dalam aktiviti pemalsuan cara memperoleh dan mengeluarkan sijil vaksinasi secara tidak sah di Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan di poliklinik berkenaan, polis turut merampas peralatan komputer yang dipercayai boleh digunakan untuk mengisi data pesakit ke dalam aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata walaupun poliklinik tersebut menerima vaksin Covid-19 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun kandungan botol vaksin dibuang dan dipulangkan kepada KKM sebagai tanda sudah dicucuk dan sijil vaksinasi dikeluarkan.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Arjunaidi berkata modus operandi poliklinik itu adalah bagi individu yang tidak mahu menerima vaksin (antivaksin), mereka tidak akan disuntik tetapi hanya dikeluarkan sijil selepas dikenakan bayaran tertentu.

Katanya pada peringkat awal, pelanggan akan dikenakan bayaran sehingga RM3,000 tetapi kemudiannya berdasarkan laporan yang diterima harganya turun kepada RM500.

Beliau juga tidak menafikan terdapatnya persaingan harga dari kumpulan lain yang menawarkan perkhidmatan yang sama dan serbuan itu dilakukan susulan pesanan ringkas yang tular melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

“Hasil penelitian di dalam komputer riba yang dirampas mendapat terdapat 5,601 pesakit yang telah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan,” katanya.

Arjunaidi berkata modus operandi yang digunakan dalam kes itu ialah dengan cara mendapatkan pelanggan melalui sebaran WhatsApp dan juga kenalan terdekat.

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Batu Caves mula dikunjungi ramai sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR , 16 JAN: Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini yang menjadi lokasi tumpuan utama setiap kali Thaipusam, mula dipenuhi penganut Hindu yang hadir menunaikan nazar dan sembahyang hari ini menjelang perayaan itu Selasa ini.

Kebanyakan mereka dilihat membawa ‘Paal Koodam’ atau belanga susu untuk dituangkan ke atas patung Dewa Murugan di puncak kuil berkenaan, sebagai antara upacara keagamaan.

Malah, tinjauan Bernama seawal 8 pagi mendapati pengunjung berbilang bangsa juga tidak melepaskan peluang melihat sendiri suasana sambutan, dengan masing-masing dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Tidak seperti sebelum ini, hanya beberapa gerai menjual bunga untuk upacara sembahyang dan gerai makanan dibuka, di perkarangan kuil.

Pegawai Informasi Pejabat Batu Caves K Tamilvaani berkata pihaknya menerima pengunjung seawal 12 tengah malam semalam, bagi melaksanakan upacara sembahyang.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata seperti mana ditetapkan kerajaan, pihaknya menyediakan Kod QR Mysejahtera, pengimbas suhu badan serta tag, bagi pengunjung yang membawa ‘Paal Koodam’.

Katanya bagi menjaga kesesakan dan penjarakan sosial, hanya 500 orang dibenarkan memasuki ke kawasan kuil pada satu-satu masa.

“Pihak kami juga akan sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa, untuk orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak, serta kerja-kerja sanitasi akan dilakukan bagi setiap sesi sembahyang yang diadakan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu sidang media, hari ini sebelum meninjau sambutan berkenaan berkata situasi semasa di sekitar kawasan kuil masih dalam keadaan terkawal dan berjalan lancar.

“Secara keseluruhan seramai 1,500 kekuatan anggota polis terlibat dan kami juga dibantu agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Selayang dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Pada masa sama, kebanyakkan pengunjung yang hadir meluahkan rasa gembira dapat menunaikan upacara sembahyang, dalam keadaan selesa dan teratur.

Salah seorang pengunjung N Lokizhwaran, 25, berkata beliau lebih selesa walaupun dalam keadaan SOP yang ketat.

“Kalau dahulu, saya mengambil masa empat jam untuk sampai ke kuil di puncak kerana kepadatan pengunjung, manakala hari ini saya selesai upacara ibadat dalam masa 30 minit sahaja,” katanya.

Turut berkongsi rasa yang sama, D Dashieny, 26, berkata kemeriahan itu masih dirasai kerana masih ada laungan ‘Vel Vel’, walaupun tiada iringan musik dan sebagainya.

“Bagi saya suasana pada kali ini lebih tenang dan lebih bersifat ketuhanan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: 14 korban seluruh negara, lapan di Selangor

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Tempoh 24 jam tanpa hujan lebat di beberapa negeri sedikit memberikan kelegaan dan kegembiraan buat mangsa terjejas dengan banjir yang telah memasuki hari ketiga semalam.

Namun keadaan cuaca panas itu yang membolehkan keadaan air di beberapa kawasan mulai surut, turut membawa berita duka buat negara apabila terdapat angka korban akibat bencana telah direkodkan.

Lapan mayat ditemukan di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang manakala empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.

Penemuan mayat itu menjadikan 14 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri, dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata di Selangor selain kematian akibat banjir itu direkodkan di Shah Alam dengan empat kematian, di daerah Kajang merekodkan dua kematian dan masing-masing satu di Sungai Buloh dan Sepang.

Satu mayat lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mangsa lemas pertama ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam pada 7.50 malam pada Ahad.

Penemuan mayat bagaimanapun tidak terhenti di situ apabila pihak polis mengesahkan tiga lagi mangsa lemas ditemukan maut dalam insiden banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kesemua mayat lelaki dengan dua daripadanya ditemukan pada 1 pagi sementara satu lagi mayat ditemukan pada 5 pagi semalam oleh orang awam dan pihak bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata dua mayat lelaki ditemukan di Dengkil dan satu mayat lelaki ditemukan di Sepang semalam, sementara satu mayat lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor pada Ahad.

Selain itu, beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka dilaporkan berlaku di kawasan Taman Sri Muda yang sedang mengalami banjir teruk yang dipercayai berlaku sekitar 1 tengah hari hingga 2 petang dan ia disahkan Baharudin kepada Bernama.

Di Pahang pula, operator kilang M Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada 2.22 petang Jumaat (17 Disember) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat jatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.

Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi Ahad, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.

Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, di sini, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.

Mayat lelaki ditemukan pada 1 tengah hari semalam manakala mayat tiga wanita ditemukan pada 1.20 tengah hari, 2 petang dan 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.

Di Perak, meskipun cuaca diramal baik sehingga pagi hari ini di kebanyakan tempat namun pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan khasnya di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Di Terengganu, kebanyakan paras air di sungai-sungai utama di negeri ini berada di paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45 meter (m) mengatasi paras bahaya 4m.

Di Kuala Lumpur, seramai 371 mangsa banjir di ibu negara masih ditempatkan di tiga PPS yang dibuka serta keadaan baik semalam menyaksikan 10 jalan yang sebelum ini ditutup akibat ditenggelami air, telah kembali dibuka.

Di Kelantan, empat sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.67 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.10m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.29m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.19m).

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu yang ditempatkan di PPS semakin menurun susulan keadaan cuaca baik semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Unsur dendam punca ah long maut ditetak

SEPANG, 19 NOV: Unsur dendam dikenal pasti sebagai punca kematian seorang pemberi pinjaman wang atau ah long, yang ditetak dengan parang di hadapan sebuah kopitiam di Bandar Baru Bukit Tinggi Klang, Selangor pada 6 November lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini, berkata mangsa dan suspek yang terlibat adalah daripada dua kumpulan kongsi gelap berbeza yang berdendam sesama sendiri.

Rentetan kes tersebut beliau berkata pihaknya telah menahan 16 warga tempatan, berumur antara 30 dan 40 tahun dipercayai anggota Geng Kongsi Gelap 24 Cina, menerusi beberapa siri tangkapan di kawasan Lembah Klang, serta Ledang dan Muar di Johor.

Dalam kejadian pada 6 November itu, lelaki berusia 47 tahun itu dibunuh tiga lelaki dengan menggunakan parang, dan menurut Arjunaidi pihak polis telah menahan enam lelaki di sekitar Klang dan Banting pada hari kejadian.

“Mereka direman tujuh hari bermula 7 November untuk disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis pada 13 November lepas,” katanya.

Beliau berkata hasil maklumat yang diperoleh daripada penahanan itu, pihaknya menjalankan tangkapan di Bandar Baru Seri Petaling pada 10 November lepas melibatkan tiga lelaki dan dua wanita yang kini direman selama 13 hari, bermula 11 November lepas.

Katanya, polis turut menahan empat lelaki pada 11 November lepas di Johor yang kini direman sehingga 23 November ini.

Arjunaidi berkata, antara barangan yang dirampas daripada penahanan di Bandar Baru Seri Petaling itu ialah pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian dan wang tunai berjumlah RM19,198, dipercayai duit upah kepada suspek.

“Hasil soal siasat dimaklumkan lokasi pembakaran pakaian dan pembuangan senjata yang digunakan ketika kejadian. Senjata dibuang dari Jambatan Kota, Klang,” katanya.

Beliau berkata penahanan 16 individu itu dan rampasan barang bukti telah membantu pihak polis dalam menyelesaikan kes tersebut dan laporan hasil siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk tindakan selanjutnya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kesalahan rentas negeri, polis Selangor belum keluarkan kompaun

SHAH ALAM, 17 OKT: Polis Selangor belum mengeluarkan kompaun terhadap kesalahan rentas negeri kepada individu tidak lengkap vaksinasi.

Ketua polis negeri berkata bagaimanapun pihaknya akan terus mengadakan pantauan serta pemeriksaan bagi memastikan semua pihak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Untuk lakukan sekatan jalan raya di setiap pintu masuk (negeri) sudah tak relevan sebab kerajaan dah benarkan aktiviti rentas.

“Kita teruskan pemeriksaan. Orang awam diminta patuh dan ikut SOP untuk elak kompaun dikenakan,” kata Datuk Arjunaidi Mohamed kepada SelangorKini hari ini.

Bermula 11 Oktober kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri kepada individu yang lengkap menerima vaksin Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata keputusan dibuat selepas kadar vaksinasi golongan dewasa negara mencapai tahap 90 peratus.

Bagaimanapun kebenaran tidak terpakai ke kawasan atau lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan palsu berkaitan kad pengenalan hilang meningkat

SHAH ALAM, 20 MEI: Polis Selangor mendapati terdapat peningkatan yang ketara dari segi jumlah laporan polis palsu yang diterima berkaitan kehilangan kad pengenalan dengan 108 laporan palsu telah disiasat untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata jumlah tersebut adalah tinggi berbanding angka keseluruhan pada tahun lepas iaitu hanya 60 kes laporan palsu.

Beliau berkata daripada 168 laporan palsu itu, sebanyak 86 kes telah berjaya dituduh di mahkamah manakala 82 kes masih dalam siasatan polis.

“Siasatan polis mendapati penyebab utama laporan palsu dibuat kerana denda yang dikenakan ke atas setiap kehilangan kad pengenalan sekiranya berpunca dari kecuaian, namun pengecualian denda diberikan ke atas kes jenayah seperti kecurian, ragut dan samun,” katanya.

Arjunaidi berkata orang ramai membuat laporan palsu kerana semata-mata untuk mengelakkan dari dikenakan denda dan sering mengaitkan dengan kehilangan kad pengenalan dengan menjadi mangsa jenayah.

Beliau berkata pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu demi kepentingan peribadi kerana kesahihan sesuatu laporan polis akan diketahui selepas siasatan terperinci dilakukan sama ada laporan tersebut benar atau rekaan semata-mata.

Tegasnya individu yang membuat laporan palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM 2,000 jika disabitkan kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: 13 sekatan jalan di Kuala Lumpur, Putrajaya esok

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Sebanyak 13 sekatan jalan raya akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sempena Aidilfitri esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta larangan rentas daerah dan negeri.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata antaranya ialah di Jalan Persekutuan, Lebuhraya Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Jalan Ampang berdekatan Bangunan RISDA.

“Hampir 400 pegawai dan anggota akan dikerahkan untuk bertugas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata sejak pelaksanaan PKP di Selangor Khamis lepas, sebanyak 1,472 kenderaan yang cuba keluar dan masuk ibu negara telah diarahkan berpatah balik, antara lain kerana tidak mendapat kebenaran polis untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata sejak pelaksanaan PKP, sebanyak 313 kompaun telah dikeluarkan ke atas individu yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah tersebut termasuk melakukan perjalanan rentas daerah.

Beliau berkata kesesakan akibat sekatan jalan raya tidak dapat dielakkan kerana pihaknya perlu memeriksa satu persatu kenderaan untuk mengelakkan mereka melanggar SOP PKP.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tahan 550 ahli kongsi gelap sejak 2019

SHAH ALAM, 10 APRIL: Polis Selangor menahan 550 individu di atas pelbagai kesalahan berkaitan kongsi gelap melibatkan Geng 08, Geng 21, Geng 24 dan Geng 36, bagi tempoh 2019 hingga Mac tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, antara jenayah yang dilakukan mereka meliputi kes seperti pergaduhan kerana perebutan kawasan penjualan dadah dan kawalan keselamatan, serta pemerasan ke atas premis-premis perniagaan.

“Selain itu, ia juga melibatkan 175 kes seperti bunuh, cubaan bunuh, merusuh, penggunaan senjata api, samun dan lain-lain jenayah kekerasan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Beliau berkata ahli kumpulan kongsi gelap yang ditahan terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata polis sedang mengesan saki-baki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 Bukit Raja yang masih aktif melakukan jenayah serta giat merekrut ahli baharu termasuk pelajar sekolah dengan menawarkan antaranya perlindungan, kewangan, kuasa dan pengaruh.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa sekolah yang menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap terbabit, dalam merekrut ahlinya.

Katanya setakat ini, dilaporkan kumpulan terbabit mempunyai hampir 100 ahli berusia belasan hingga 50-an, di sekitar Lembah Klang.

“Kumpulan kongsi gelap ini memperoleh sumber kewangan dengan melakukan pemerasan, samun, menjaga kawasan termasuk pusat hiburan, rumah urut dan perjudian. Jika ada yang enggan mengikuti arahan, mereka akan membuat kacau termasuk mencederakan orang,” katanya.

Arjunaidi berkata sehingga kini, 50 ahli kongsi gelap Geng 24 Bukit Raja ditahan, dengan 19 individu telah dituduh di mahkamah, 20 ditahan di bawah Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan 11 lagi masih direman.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat lelaki ditemukan di dalam but kereta

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Seorang lelaki warga emas dipercayai mati dibunuh telah ditemukan di dalam but sebuah kereta di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan, Puchong di sini malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.

Bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat digunakan untuk mengumpil but kereta tempat mayat dijumpai.

Mangsa berusia 70 tahun itu dilapor hilang sejak 31 Disember lepas dan susulan laporan kehilangan warga emas itu, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan di sebuah pasar raya di Kuala Klawang, Negeri Sembilan pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian berpunca daripada persengketaan berhubung isu jual beli tayar dianggarkan bernilai RM1,100.

Katanya, keluarga mangsa membuat dua laporan polis berhubung kehilangan warga emas itu pada Jumaat dan Sabtu di Balai Polis Ara Damansara.

“Keluarganya memaklumkan kepada polis bahawa kad kredit milik mangsa telah digunakan suspek dan berlaku transaksi kad kredit di sebuah pasar raya di Kuala Klawang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Nik Ezanee, lelaki yang ditahan adalah seorang ahli perniagaan dan pemilik sebuah bengkel kereta.

“Mayat mangsa dijumpai di dalam but sebuah kereta Volvo berwarna hijau yang juga milik seorang pelanggan suspek,” katanya.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Arjunaidi Mohamed dilantik pemangku ketua polis Selangor

SHAH ALAM, 14 DIS: Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik sebagai pemangku ketua polis Selangor berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas berkenaan daripada Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin yang akan bersara wajib esok.

Majlis serah terima tugas antara Noor Azam dengan Arjunaidi dilakukan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini, disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya.

Dalam pada itu, Noor Azam menzahirkan penghargaannya terhadap kerjasama dan komitmen warga polis kontinjen Selangor yang banyak membantunya semasa menyandang jawatan ketua polis negeri.

“Pengalaman dan nasihat daripada anggota dan pegawai dalam polis Selangor terutamanya Arjunaidi banyak membantu menangani kes-kes dan isu di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Pada masa sama, Noor Azam turut menasihatkan warga polis kontinjen Selangor supaya terus patuh dengan arahan yang diberikan kerana ia bertujuan untuk meletakkan mereka semua pada landasan yang betul.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Arjunaidi sebagai pemangku Ketua Polis Selangor, Zamri berkata ia dibuat berikutan Bukit Aman belum lagi memuktamadkan calon untuk menyandang jawatan berkenaan.

-BERNAMA