Categories
AGENDA JENAYAH

Ugutan bunuh ke atas ketua polis Johor sedang disiasat

JOHOR BAHRU, 20 DIS: Polis Johor sedang menyiasat kes ugutan bunuh ke atas Ketua Polis Negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, yang dipercayai melibatkan tiga ahli kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menurut Ayob Khan, dua minggu lepas pihaknya menerima panggilan daripada orang awam, yang memberitahu bahawa tiga lelaki dari Selangor dikatakan akan turun ke Johor untuk membunuhnya, dan polis sentiasa memandang serius terhadap sebarang ancaman terhadap keselamatan anggotanya.

“Kita percaya ia panggilan dari warga tempatan, kerana panggilan yang dibuat kepada pembantu peribadi saya itu menggunakan Bahasa Malaysia, tapi itu semua dalam siasatan,” katanya kepada ditanya pemberita hari ini.

“Saya tak pasti isu apa.. Saya dah lama tinggalkan Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman.. saya tak buat lagi isu-isu keganasan tak tahulah kenapa isu ini ditimbulkan kembali,” tambahnya.

Jumaat lepas, Ayob Khan dalam temu bual bersama sebuah akhbar tempatan di platform sosial media Facebook mendedahkan beliau menerima ugutan bunuh, yang dipercayai daripada ahli kumpulan LTTE yang telah dilabelkan oleh polis Malaysia sebagai kumpulan pengganas.

Sementara itu Ayob Khan berkata kontinjen Johor merupakan kontinjen polis pertama di Malaysia yang berjaya melengkapkan pembancian e-census 100 peratus melibatkan 12,267 pegawai kanan polis, anggota dan pegawai awam dari 10 jabatan, tujuh formasi dan 13 daerah di negeri ini.

Katanya, Kontinjen Johor dengan kerjasama Jabatan Jabatan Perangkaan Johor telah membuka klinik e-census di Dewan Serbaguna IPK Johor pada 27 Ogos, 27 September dan 27 Oktober lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ingatkan masyarakat supaya tidak sebar berita palsu

JOHOR BAHRU, 24 FEB: Masyarakat di negeri ini diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran ketenteraman awam berhubung situasi politik negara ketika ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, walaupun banyak tindakan sudah dikenakan terhadap individu yang menyebarkan pelbagai berita palsu sebelum ini, namun, masyarakat dilihat masih meneruskan perbuatan seumpama itu.

“Kita tidak mahu individu atau ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam isu politik yang sedang bergolak.

“Kalau kita tengok, sejak semalam banyak tersebar video dan audio oleh pelbagai pihak yang menggambarkan Malaysia ini akan menghadapi satu isu ketenteraman awam,” katanya.

Ayob Khan yang memulakan tugas sebagai Ketus Polis Johor yang baharu hari ini berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas antara beliau dan bekas Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din di sini, hari ini.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor manakala Mohd Kamarudin akan bertukar ke Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Ayob Khan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan penyebaran berita palsu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kalau ada pihak yang terlibat, polis akan mengambil tindakan, itu sudah ditegaskan sebelum ini. Jangan bila kita (polis) sudah ambil tindakan, baru (masyarakat) hendak menyesal,” katanya.

Sementara itu, mengenai tugas baharunya, Ayob Khan, 54, yang sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman berkata, beliau akan meneruskan polisi yang dilaksanakan Mohd Kamarudin.

“Saya akan meneruskan polisi yang bagus, yang mana ada kekurangan, saya akan perbaiki lagi,” kata anak jati Kedah, yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Disember 1991.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis hantar kertas siasatan 12 individu LTTE ke Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung penahanan 12 individu disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke pejabat Peguam Negara, Rabu lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah selesai melakukan siasatan dan kini sedang menunggu keputusan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Terpulang kepada Peguam Negara untuk memaklumkan sama ada bukti itu mencukupi atau tidak,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini.

Mengulas lanjut mengenai kebenaran melawat 12 suspek itu sempena perayaan Deepavali, Ayob Khan berkata, pihak keluarga individu terlibat diberikan hak untuk melawat tahanan pada hari ini.

“Seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sempena Deepavali pertemuan ini telah diaturkan. Keluarga juga dibenarkan membawa makanan untuk mereka.

“Tiada halangan untuk melawat dengan kebenaran melawat setiap keluarga selama dua jam, dan waktu lawatan diperuntukkan dari 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek berada dalam keadaan terkawal dengan kesihatan mereka sentiasa dipantau.

“Ada yang dilaporkan mengalami gastrik serta sakit perut namun perkara itu perkara biasa dan kami tetap memantau mereka. Tidak perlu risau kerana khidmat doktor ada disediakan di sini,” katanya.

Sebelum ini, 12 individu termasuk termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dikaitkan dengan LTTE.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PDRM patah 25 serangan pengganas sejak 2013

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Polis mematahkan 25 rancangan serangan pengganas di negara ini sejak 2013, antaranya serangan berskala besar ke atas tempat ibadat Kristian, Hindu dan Buddha serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berikutan itu 74 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan keganasan termasuk merancang serangan keganasan dan mengumpul dana bagi serangan.

Antara rancangan serangan terbesar ialah pengganas Daesh Wolf Pack di kuil Sri Maha Mariaman USJ, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, kejayaan mematahkan serangan yang dirancang oleh pengganas itu adalah hasil risikan polis dan perkongsian maklumat yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Kami berjaya menggagalkan percubaan serangan kumpulan Daesh sejak 2013 kerana kita mempunyai undang-undang yang kukuh.

Ayob Khan berkata, undang-undang berkaitan pencegahan memainkan peranan penting dalam usaha membendung kegiatan keganasan dan setiap negara, tidak terkecuali Malaysia, mempunyai undang-undang khusus bagi menangani keganasan atau pencegahan.

“Pihak berkuasa berdepan dengan ancaman yang berbeza jika dibanding dahulu hingga kini, oleh itu undang-undang pencegahan perlu ada.

“Kalau kita tiada undang-undang pencegahan kami sukar untuk ambil tindakan awal…tindakan pencegahan untuk memastikan kumpulan pengganas ini tidak melakukan serangan,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pada masa ini terdapat 65 rakyat Malaysia yang yang mempunyai kaitan dengan Daesh berada di Syria.

Beliau berkata, mereka yang terdiri daripada 40 wanita dan kanak-kanak telah menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia dan PDRM kini dalam proses perbincangan melibatkan beberapa agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Dalam Negeri serta agensi di luar negara untuk menguruskan perkara itu.

“Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada keputusan kerajaan sama ada membenarkan mereka ini pulang atau tidak kerana perkara ini dipertimbangkan melalui pelbagai aspek seperti kos penghantaran dan sebagainya,” katanya yang secara peribadi merasakan mereka perlu dibawa pulang kerana apa pun yang dilakukan, mereka adalah rakyat Malaysia dan Malaysia sebuah negara yang bertanggungjawab.

“Mereka mungkin buat salah, kami akui. Tapi kami boleh mempertimbangkan rayuan mereka dan bagi lelaki dewasa, mereka akan dituduh di mahkamah manakala wanita dewasa, mereka akan dinilai dan kalau cukup bukti akan dituduh juga.

“Kanak-kanak pula akan melalui sesi kaunseling dan deradikalisasi. Keadaan rakyat Malaysia yang ditahan di penjara dan kem pelarian (di luar sana) kini amat kritikal dari pelbagai aspek,” katanya.

– BERNAMA