Categories
PBT SELANGOR

755 mangsa banjir di Subang Jaya berlindung di tujuh pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC : Seramai 755 mangsa banjir di Subang Jaya dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi tadi, kata Datuk Bandar.

Dato’ Johary Anuar berkata jumlah itu terdiri 187 keluarga dari Kampung Bersatu, Kampung Baru Sri Puchong, Kampung Sri Andalas, Kampung Tengah, Kampung Kenangan dan Kampung Sri Langkas

Menurutnya, PPS dibuka adalah Dewan Camelia Sek 10 Putra Heights, Dewan Kg Seri Aman, Dewan Puchong Jaya, Dewan Puchong Utama, Dewan Batu 3, Shah Alam, Masjid Putra Height dan Masjid Nur Huda

“Kesedaran penduduk dilihat bertambah baik memandangkan mereka sedia berpindah ke PPS lebih cepat mungkin kerana kesan trauma kejadian banjir Disember lalu memberi pengajaran.

“Namun, kita sedia maklum air mulai surut pagi tadi dan kebanyakan penduduk sudah mula pulang ke kediaman masing-masing untuk mencuci rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Johari menambah pihaknya akan terus membuka PPS itu sehingga esok sebagai persediaan jika berlaku lagi kejadian bencana bah dan memberi perlindungan kepada mangsa terlibat.

“Kita turut membeli tiga bot tambahan untuk persiapan memindahkan mangsa banjir..kita akan menambah ia (bot) jika ada keperluan pada masa akan datang,” katanya.

Hujan lebat luar biasa kira-kira jam 3 petang semalam menyebabkan banyak kawasan di Kuala Lumpur Selangor dinaiki air.

Seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor setakat 11 pagi tadi.

Categories
PBT SELANGOR

Johary Anuar angkat sumpah Datuk Bandar Subang Jaya

SHAH ALAM, 9 FEB: Dato’ Johary Anuar mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Subang Jaya disempurnakan di ibu pejabat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) semalam.

Pelantikan Johary, 48, berkuat kuasa 3 Februari menggantikan Noraini Roslan yang kini menjawat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang.

Johary berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Bandar Universiti Teknikal Berlin, German; Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi Universiti Teknologi Mara (UiTM); Diploma Pengajian Perniagaan UiTM dan Diploma Pengurusan Awam Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)adalah pegawai daerah dan tanah Petaling sejak 2020.

Johary adalah individu kedua dilantik menyandang jawatan Datuk Bandar Subang Jaya dan mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam perkhidmatan awam.

Beliau pernah bertugas sebagai penolong pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2000, diikuti ketua penolong pengarah seksyen maklumat tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2007 serta pengurus kanan sumber manusia Lembaga Tabung Haji pada 2009.

Sebelum itu, Johary menyandang jawatan sebagai ketua penolong pengarah JPA pada 2010, timbalan pengarah Pejabat Kerajaan Negeri Selangor pada 2012, setiausaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 2015 dan jawatan terakhir sebagai Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 2020.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Skuad Pantas MBSJ jalani latihan, siap siaga hadapi bencana

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjalankan latihan dan uji cuba peralatan bantuan kecemasan sebagai persiapan menghadapi musim monsun timur laut.

Uji cuba bot aluminium, bot getah, set jana kuasa dan pam air dilakukan 37 anggota pasukan tindakan segera (Pantas) serta 10 anggota bomba, kata timbalan pengarah jabatan korporatnya.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan aset logistik seperti kenderaan, khemah, dewan dan balai masyarakat yang berpotensi dijadikan pusat pemindahan sementara turut diperiksa.

“Pemeriksaan ini jika berkemungkinan berlaku sesuatu kejadian bencana sekali gus memastikan peralatan berada dalam keadaan siap siaga digunakan,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata pihaknya mengaktifkan bilik gerakan bencana di pusat kawalan dan panggilan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam, namun tertakluk arahan Kerajaan Negeri.

“Pusat ini juga sentiasa memantau sistem amaran paras air di empat lokasi dan berkongsi maklumat amaran di platform media sosial MBSJ,” katanya.

Sementara itu, Azfarizal berkata sebanyak 19 titik panas banjir dikenal pasti di kawasan pentadbiran terbabit dan kontraktor digerakkan untuk memastikan sistem saliran diselenggara mengikut jadual.

Untuk rekod, sebanyak 85 kes kecemasan dan bencana berlaku di bawah pentadbiran MBSJ sejak Januari hingga September tahun ini dengan banjir kilat melibatkan 15 kes, tanah runtuh (enam), pokok tumbang (54) serta lain-lain (10).

Categories
PBT SELANGOR

97 peratus kakitangan MBSJ lengkap vaksin

SHAH ALAM, 29 SEPT: Seramai 1,476 atau 97.62 peratus kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) lengkap menerima dos vaksin setakat ini.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata seramai 1,497 atau 99.01 peratus kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan pelalian.

“Walaupun menerima suntikan vaksin, masih diingatkan supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan dengan mengelak 3S (sesak, sempit dan sembang dekat),” katanya ketika mesyuarat penuh MBSJ Bil.10/2021 secara maya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 249 kes positif dilaporkan dalam kalangan kakitangan MBSJ sejak pandemik menular sehingga 26 September.

Noraini menjelaskan lima kes aktif dikesan setakat ini dengan seorang kakitangan dirawat di hospital manakala selebihnya menjalani kuarantin di rumah.

Keseluruhannya, sebanyak 70,237 kes positif Covid-19 direkodkan dalam kawasan pentadbiran MBSJ sehingga kini.