Categories
NASIONAL

Rasuah dalam Umno sudah lumrah

politik-wang

SHAH ALAM 20 OKT : Pengakuan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan rasuah adalah lumrah yang diraikan oleh peringkat akar umbi hingga ke kepimpinan tertinggi Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng menegaskan mana-mana parti politik yang membudayakan politik wang seperti lubuk perasuah dan pemecah amanah.

“”Sistem rasuah ini sudah lama berlaku dan lihatlah kesannya kepada rakyat sekarang dan ia menjadi tragedi kepada negara,” kata Jui Meng.

chua jui meng -wacanaJui Meng adalah bekas Naib Presiden MCA dan menyertai PKR pada 2009. Meninggalkan Barisan Nasional dan budaya politik gagasan itu menyebabkan beliau dilucut gelaran Dato’ Seri.

Dr Mahathir baru-baru ini berkata rasuah masih berleluasa dalam pemilihan Umno dan ahli-ahlinya yang mengundi didorong karenah politik wang.

“Saya sendiri semasa bertanding di peringkat bahagian Umno terpaksa menyalurkan RM200 seorang. Jadi anda boleh bayangkan berapa banyak yang telah dihabiskan sehingga saya menjadi Perdana Menteri,” kata beliau.

Sebelum ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, berkata maklum-balas yang diterima pihaknya mendapati wang diagihkan di program-program khas yang dianjurkan untuk Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Calon yang terpilih untuk jawatan kanan dalam Umno nanti akhirnya akan diberi portfolio menteri, dimana mereka akan terlibat dalam membuat keputusan keatas projek-projek mega.  Soalnya adalah adakah projek-projek ini berdaya maju, atau hanya sebagai imbalan kepada pihak yang membiayai kempen-kempen beli undi itu?” kata Akhbar.

Sementara itu, Jui Meng berkata beliau tidak yakin kepimpinan Barisan Nasional dapat membanteras politik wang. Beliau juga berpendapat sistem pemilihan satu ahli satu undi yang diamalkan PKR lebih berkesan dalam melawan salahlaku itu.

“Umno tidak boleh lari daripada gejala politik wang walaupun sistem pemilihan yang dilaksanakan dengan menambah perwakilan dilakukan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Caj Elektrik Tinggi Bila Guna Meter Elektronik, PKR Minta Kerajaan Siasat

tarif eletrik 01 wong chan

PETALING JAYA 23 JULAI : PKR menggesa Kerajaan Pusat melantik satu badan bebas bagi menyiasat dan mengkaji kadar tarif elektrik masakini ditetapkan Tenaga Nasinal Berhad (TNB) yang dikatakan tinggi dan membebankan pengguna.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, siasatan itu perlu kerana majoriti pengguna sekarang menerima kesannya yang berpunca daripada pemasangan meter elektrik elektronik yang baru menggantikan meter analog lama.

“TNB tidak boleh memberikan alasan dan mesti membenarkan badan bebas dilantik untuk memeriksa dan menguji meter digital ini.

“Kerajaan boleh melantik badan bebas ini, begitu juga Suruhanjaya Tenaga. Ini kerana meter kepunyaan TNB maka kebenaran dari TNB diperlukan bagi membuka meter dan menyiasat.

“Kita juga mahu pihak berkepentingan terlibat termasuk Pakatan Rakyat (PR) dan BN kerana ini adalah isu rakyat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, PR menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai perkara itu yang menyatakan rasa tidak puashati mereka.

wong chan - tarif eletrik 02

Katanya, alasan diberi TNB bahawa bil elektrik tinggi dari meter baru berpunca daripada bacaan meter lama yang tidak tepat adalah tidak munasabah sama sekali.

Berikutan itu, Wong memberitahu, PR menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dan mengetengahkan isu itu yang dianggotai Naib Presidennya, Datuk Chua Jui Meng; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan beliau sendiri.

“Jawatankuasa ini akan melancarkan satu kempen awam untuk menegaskan kepentingan ketelusan berhubung dengan bil elektrik tinggi.

“Kita juga akan melancarkan laman sesawang minggu depan bagi penglibatan awam dan satu petisyen akan dihantar ke TNB untuk tujuan ini,” katanya yang mendakwa orang ramai menyatakan kesanggupan membayar RM20 bagi kos pemeriksaan untuk mendapatkan bacaan meter yang tepat.

Manakala Chua berkata, tarif elektrik ditanggung rakyat ketika ini begitu tinggi dan satu tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasinya.

“Satu masalah membebankan rakyat, pihak peniaga dan yang lain. Hampir setiap isi rumah mengalaminya dengan kenaikan sampai 100 peratus, 200 peratus atau lebih.

“Jawatankuasa ini akan membantu rakyat bagi penggurangan kadar tarif elektrik kepada satu kadar yang lebih rendah atau hampir dengan bacaan meter lama,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Memorandum Minta Singapura Beri Peluang Kedua Kepada 21 Rakyat Malaysia

DSC_0383

KUALA LUMPUR 23 MEI : Pakatan Rakyat (PR) menyerahkan memorandum kepada kerajaan Singapura berhubung kes penahanan 21 rakyat Malaysia atas kesalahan mengadakan tunjuk perasaan menetntang penipuan terhadap Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Rakyat(PR) berharap kerajaan Singapura memberikan kerjasama dalam perkara itu dengan memikirkan nasib dan masa depan mereka.

“Mereka hanya mengharapkan pilihan raya yang adil di negara ini. Kita harap kerajaan Singapura mengambil kira peluang mereka untuk bekerja di negara itu.

“Tanpa permit untuk masuk ke Singapura, bagaimana mereka boleh meneruskan kerja?,” soalnya.

Nurul Izzah berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini selepas penyerahan memorandum itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Ong Keng Yong menerusi wakilnya, Haris Rusdi Chai dan M Ramanathan.

Nurul Izzah disertai Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Idris Jauzi; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Dilaporkan, 21 rakyat Malaysia ditahan polis Singapura berikutan dakwaan melanggar undang-undang perhimpunan awam yang diadakan di Merlion Park, Singapura pada 11 Mei lalu berkaitan bantahan terhadap PRU13 Malaysia yang didakwa berlaku penipuan.

Berikutan itu, difahamkan seorang daripada mereka dibatalkan pas kerja manakala dua lagi dibatalkan pas lawatan selain pas kerja 18 orang yang lain akan dikaji selepas siasatan selesai.

Dalam memorandum tersebut antara lain menyatakan harapan supaya kerajaan Singapura memberi peluang kedua kepada rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.

Selepas PRU13 yang dipenuhi penipuan, berpuluh ribu rakyat Malaysia di seluruh dunia mengadakan bantahan dalam siri perhimpunan aman Black 505 seperti London dan Melbourne baru-baru ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Semua Kerajaan Pakatan Rakyat Bubar Hari Ini – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 05042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kesemua negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat telah membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Sekaligus mencerminkan kesediaan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13.

2. Bekas Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid akan bertanding di kerusi parlimen Lumut sebagai calon PKR pada pilihanraya ke-13 nanti.

3. Asalkan Bukan Umno (ABU) akan menggerakan skuad khas bagi memastikan warga asing yang diberi MyKad tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

4. Keputusan parti yang menempatkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang disambut baik Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

5. Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat, William Leong Jee Keen ingin menggesa penubuhan jawatankuasa khas parlimen untuk Petronas adalah bagi kekayaan syarikat petroleum dan gas nasional itu tidak diseleweng Barisan Nasional.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL

Semua Kaum Perlu Bersatu Tolak Umno-BN

SABAK BERNAM 21 JUN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari meminta semua kaum di negara ini bersatu dan menolak pentadbiran Umno-BN.

Katanya, hal itu kerana ramai pemimpin Umno-BN banyak mencetuskan masalah kepada rakyat dan akan berlagak hero untuk menyelesaikan masalah itu.

“Mereka ini pemimpin yang berpura-pura. Jadi kita mesti berubah untuk menolak dan membuang mereka.

“Contohnya, saya dimaklumkan, terdapat lebih 300 nelayan Cina di Sabak Bernam memohon untuk mendapatkan geran tanah tempat tinggal mereka tetapi tiba-tiba mereka dapati bahwa tapak rumah mereka itu dikenal pasti adalah tanah rizab melayu.

“Saya pelik bagaimana penempatan nelayan kaum Cina yang sudah berusia lebih 100 tahun boleh bertukar status. Kita dapat lihat, ini bukan kerja kita tetapi kerja Umno-BN yang mahukan pemimpin mereka bangunkan tanah terbabit,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penduduk dalam Program Merdeka Rakyat, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Turut hadir, Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon, Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Adun Hutan Melintang, S Ke savan, Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Sementara itu, Chua Jui Meng berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berani untuk mengumumkan Pilihan Raya Umum ke -13(PRU13) kerana khuatir Umno-BN akan tergugat.

“Saya diberitahu oleh sumber-sumber yang boleh dipercayai, jika Najib umumkan pembubaran parlimen, Johor bukan lagi kubu kuat Umno-BN tetapi akan jadi kubu kuat Pakatan Rakyat.

“Kerana di Johor sekarang angin sudah meniup, apabila Johor bergoyang maka Umno-BN di seluruh negara akan tergugat,” katanya.

Selain itu, Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR memberitahu pemberian saguhati RM50 sebulan kepada wanita seluruh negara akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat memenang PRU13.

Katanya, pemberian tersebut yang dinamakan Program Caruman Wanita Nasional adalah salah satu daripada program yang dirangka khusus bagi membela kaum wanita.

“Ia untuk membantu wanita tersebut sekiranya ditimpa perkara yang tidak diingini kepadanya, suami atau keluarganya. Maknanya wanita ada sesuatu untuk membantu mereka sekiranya ditimpa kesusahan,” katanya.