Categories
AGENDA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 rekod 3,120, Lembah Klang catat lebih 1,000

SHAH ALAM, 4 MEI: Kes positif baharu Covid-19 naik kembali atas angka 3,000 apabila sebanyak 3,120 kes direkodkan hari ini berbanding 2,500 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan 420,632 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitternya berkata daripada jumlah itu Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 675 kes diikuti Sarawak (620) dan Kuala Lumpur (408)

Ia kemudian diikuti Johor merekodkan 336 kes, Kelantan (296) ; Pulau Pinang (167); Kedah (155); Perak (117); Negeri Sembilan (95); Sabah (89); Terengganu (53) ; Melaka (52) serta Pahang (41).

Pada masa sama Putrajaya merekodkan sebanyak 11 kes diikuti Labuan (5) sementara Perlis tiada kes.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Elak gelombang tsunami Covid-19 lebih dahsyat, patuhi SOP

SHAH ALAM, 2 OGOS: Rakyat perlu mengambil iktibar daripada negara lain supaya dapat mencegah gelombang tsunami Covid-19 yang lebih dahsyat lagi, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata perangkaan tiga negara iaitu Australia, Hong Kong dan Jepun mengalami lonjakan drastik kes Covid-19 sejak Jun lalu walaupun berjaya mencatat penurunan ketara sebelum itu.

Katanya gelombang kedua penularan di negara terbabit menyaksikan peningkatan kes yang lebih tinggi berbanding Mac lalu.

Dr Noor Hisham berkata beliau bimbang keadaan sedemikian melanda negara ini jika masyarakat mengabaikan pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP).

“Inilah kebimbangan saya dan saya menyeru rakyat Malaysia untuk patuh kepada penjarakan selamat, kerap mencuci tangan dan memakai pelitup muka. Kurangkan berada di tempat awam dan duduk di rumah lebih selamat.

“Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita. Kita jaga masyarakat dan negara kita,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, malam tadi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tiga kes baharu, 12 pesakit sembuh

SHAH ALAM, 16 JULAI: Sebanyak tiga kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan dua daripadanya membabitkan penularan tempatan manakala satu kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah terkumpul kes sebanyak 8,737 manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan 77 kes.

“Satu kes import merupakan warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara dan dua kes penularan dalam negara adalah bukan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata terdapat 12 kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya 8,538 kes atau 97.7 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya terdapat tiga kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan manakala kes kematian kekal 122 orang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tukang gunting rambut positif, 40 kontak rapat dikenal pasti

SHAH ALAM, 12 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti seramai 40 kontak rapat kepada seorang tukang gunting rambut warganegara Pakistan yang disahkan positif Covid-19 di Setapak, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kontak rapat sudah disaring dan diarah menjalani kuarantin di rumah manakala lelaki terbabit sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Hasil siasatan awal, kedai gunting rambut tersebut tidak beroperasi sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu namun beliau terus memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di kawasan sekitar.

“Terdapat 25 kontak rapat dikenalpasti dengan rekod panggilan telefon iaitu empat rakan serumahnya dan 21 pelanggan manakala selebihnya mendapat perkhidmatan sehingga semalam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lebih 2,000 tukang gunting rambut warga asing di negara ini perlu menjalani saringan terlebih dahulu sebelum kembali bekerja.

“Kita telah kaji hal ini…kebimbangan KKM ialah warga asing dan kalau lihat pada data setiap hari, kes positif melibatkan warganegara sudah kurang.

“Namun, warga asing perlu dilihat dengan teliti iaitu salah satu syarat untuk mereka mula bekerja perlu jalani ujian Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 33 kes baharu, satu kematian

SHAH ALAM, 12 JUN: Malaysia mencatatkan 33 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah positif sebanyak 8,402, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 16 adalah kes import manakala selebihnya penularan dalam negara.

“Daripada 17 kes penularan dalam negara, 14 adalah bukan warganegara dan bakinya rakyat tempatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Berikut perincian bagi tiga kes penularan dalam negara membabitkan warga tempatan :

– Satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-7,735) di wilayah persekutuan Kuala Lumpur

– Satu kes saringan pusat tahfiz di Selangor

– Satu kes saringan kepada kes kematian dalam komuniti

Dr Noor Hisham berkata sebanyak empat kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiada pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya terdapat pertambahan satu lagi kes kematian menjadikan jumlah kumulatif meninggal di Malaysia adalah sebanyak 119 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sebanyak 103 pesakit lagi berjaya sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes pulih ialah 7,168 kes atau 85.31 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes Covid-19 kembali dua angka, majoriti libat warga asing

SHAH ALAM, 27 MEI: Sebanyak 15 kes positif Covid-19 direkodkan hari ini dengan 10 daripadanya melibatkan kes import dan warga asing, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kepada 7,619 kes dengan 1,421 kes aktif.

“Hari ini juga terdapat 42 kes telah pulih dan dibenarkan keluar wad maka jumlah keseluruhan kes telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 6,083 kes (79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga kini, sebanyak lapan kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam dan kelmarin, Malaysia merekodkan tiga angka kes Covid-19 dua hari berturut-turut iaitu 172 dan 187 kes.

Hampir keseluruhan kes tersebut melibatkan warga asing di depoh tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, DTI Semenyih dan DTI Sepang.