Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua hakim syarie disahkan negatif Covid-19

PUTRAJAYA, 8 OKT: Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar disahkan negatif Covid-19.

Unit Komunikasi Korporat JKSM dalam satu kenyataan lewat malam tadi, memaklumkan Mohd Na’im menjalani ujian berkenaan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif virus tersebut, Isnin lepas.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, Ketua Pengarah JKSM telah menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada 6 Oktober di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya dan keputusan didapati negatif.

“Beliau sehingga hari ini juga dalam keadaan sihat dan tidak bergejala,” menurut kenyataan itu.

Zulkifli menghadiri majlis perasmian dan penutup Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 anjuran JKSM yang turut dihadiri Mojd Na’im di Movenpick Hotel and Convention Centre, Sepang, Selangor pada 29 dan 30 September lepas.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Wujud satu lagi lapisan Mahkamah Syariah selesai kes secara adil

MELAKA, 27 NOV: Satu lagi lapisan Mahkamah Syariah perlu diwujudkan di negara ini bagi memastikan proses keadilan dilaksanakan dengan baik sekali gus memperkukuh bidang kuasa institusi perundangan Islam itu pada masa depan.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata setakat ini mahkamah dalam sistem kehakiman syariah mempunyai tiga lapisan iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Perak merupakan negeri pertama mewujudkan satu lagi peringkat iaitu Mahkamah Utama Syariah, mahkamah teratas selepas Mahkamah Rayuan Syariah dan ini perlu bagi memastikan kes dan masalah yang berlaku di peringkat Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah dapat diselesaikan secara adil.

“Pada masa ini, kes yang dimulakan di Mahkamah Tinggi Syariah, hak rayuan hanya sekali sahaja sebelum ke Mahkamah Rayuan Syariah sedangkan kebanyakan kes yang difailkan di mahkamah ini lebih berat dan tuntutan lebih banyak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka di Kompleks Mahkamah Syariah di sini, hari ini.

Majlis pentauliahan kepada 77 peguam syarie termasuk enam pentauliahan khas itu dirasmikan Ketua Menteri Adly Zahari.

Pada 5 Disember tahun lalu, Perak menjadi negeri pertama mempunyai empat lapisan mahkamah syariah setelah persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 negeri itu meluluskan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Perak Ke-14 pada 6 Ogos tahun lalu, menitahkan agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan dalam sistem Mahkamah Syariah di Perak.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumah tangga dinasihatkan tidak menggunakan platform media sosial untuk meluahkan masalah termasuk mengaibkan pasangan masing-masing kerana ia memberi kesan besar dalam kehidupan mereka.

Beliau berkata pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga perlu merujuk kepada pihak ketiga seperti kaunselor profesional di Jabatan Agama Islam atau individu yang boleh dipercayai bagi membantu menyelamatkan perkahwinan mereka.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong terima menghadap Ketua Hakim Syarie

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Istana Negara, di sini.

JKSM dalam satu kenyataan menyatakan pertemuan selama 45 minit itu berlangsung dalam suasana yang sangat mesra.

“Banyak perkara berkaitan syariah dan perundangan syariah dibincangkan.

“Mohd Na’im juga berkesempatan menyampaikan ucapan tahniah mewakili warga JKSM, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16,” menurut kenyataan itu.

Mohd Na’im dilantik memegang jawatan tersebut pada Mac lepas bagi menggantikan Datuk Mukhyuddin Ibrahim yang menerajui JKSM sejak 2017.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Rujuk JAKESS jika tidak terima nafkah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 DIS : Wanita yang tidak menerima nafkah sepatutnya daripada bekas suami boleh melapor kepada Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia bagi memastikan isteri dan ibu tunggal menerima hak mereka seperti diperintahkan mahkamah.

Katanya, perkhidmatan nasihat juga diberikan secara percuma sekaligus mengurangkan bebanan mereka yang memerlukan bantuan.

Dr Mohd Na'im Mokthar“Kita akan pastikan bahagian ini berfungsi sebaiknya supaya perintah bayaran nafkah itu tidak kekal di atas kertas sahaja.

“Kalau di Mahkamah Sivil, ibu bukan Islam terpaksa berjumpa dan membayar peguam bagi mendapatkan rundingan kerana tiada khidmat percuma di situ.

“Tetapi dengan adanya bahagian sokongan keluarga, wanita boleh menerima nasihat secara percuma.” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Mohd Na’im berkata, JAKESS turut menyediakan perkhidmatan sistem elektronik pengurusan, e-nafkah yang membolehkan semakan nafkah bulanan dibuat.

Katanya, mana-mana pihak yang gagal melunaskan bayaran nafkah bakal berdepan tindakan tegas daripada mahkamah.

CERAI“Kita cuba sampaikan falsafah berbeza dengan Mahkamah Sivil di mana kita ambil tanggungjawab itu dengan harapan boleh memberi nasihat secara percuma berkaitan tuntutan nafkah.

“Kita juga bangunkan tabung untuk bantuan nafkah sementara kerana penguatkuasaan terhadap pihak yang gagal membayar nafkah mengambil masa selama enam bulan,” katanya.

Gagal bayar nafkah keluarga, suami berdepan penjara

Suami atau bapa yang didapati gagal melunaskan bayaran nafkah kepada isteri dan anak seperti diperintahkan mahkamah bakal berdepan hukuman penjara.