Categories
AGENDA NASIONAL

5,671 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, Selangor 1,510 kes

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebanyak 5,671 jangkitan baharu Covid-19 dilapor dalam tempoh 24 jam lalu, menurun sedikit berbanding semalam.

Mengikut data dikongsi ketua pengarah kesihatan, Selangor catat jumlah kes tertinggi dengan 1,510 kes diikuti Kuala Lumpur (769), Sarawak (631) dan Negeri Sembilan (593).

Berikut pecahan kes mengikut negeri yang dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook:

Johor: 524
Kedah: 309
Kelantan: 262
Sabah: 233
Melaka: 184
Pulau Pinang: 166
Perak: 143
Pahang: 112
Terengganu: 108
Labuan: 106
Putrajaya: 18
Perlis: 3

Categories
AGENDA NASIONAL

Produk kosmetik FS Turmeric dikesan mengandungi racun berjadual

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Produk kosmetik untuk merawat jeragat dan parut-parut jerawat, FS Turmeric Cream, dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri dan betamethasone 17-valerate, yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan notifikasi produk kosmetik tersebut dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

Kementerian Kesihatan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik FS Turmeric Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual. Foto Sumber: KKM

“Bahan itu juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit. Sehubungan itu orang awam digesa mengelak pembelian dan penggunaan produk kosmetik itu,” katanya.

Beliau berkata produk yang mengandungi betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Ini kerana penggunaan produk yang mengandungi bahan itu tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti bahagian kulit yang disapu menjadi nipis, mudah mengalami iritasi dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh memudaratkan.

Sehubungan itu, katanya penjual dan pengedar produk kosmetik ini diminta menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta.

Dr Noor Hisham berkata penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Mereka yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihat supaya menghentikan segera penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 11 kes baharu, lima jangkitan import

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sebanyak 11 kes baharu Covid-19 direkodkan dalam negara hari ini membabitkan enam penularan tempatan dan lima jangkitan import, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 9,094 dengan 166 kes aktif.

“Tiga daripada lima kes import adalah dari Australia manakala satu kes masing-masing dari Jepun dan Singapura.

“Daripada enam kes penularan dalam negara, lima kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan satu kes bukan warganegara iaitu kes saringan di tempat kerja di Selangor,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Perincian baki kes penularan tempatan membabitkan warganegara Malaysia seperti berikut:

1. Johor: satu kes saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta yang dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom

2. Perak: tiga kes daripada Kluster Kurau

3. Melaka: satu kes saringan kemasukan ke wad di sebuah pusat perubatan swasta. Beliau tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Melaka.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 19 kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya adalah 8,803 kes atau 96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif maut ekoran wabak itu kekal 125 kes atau 1.37 peratus daripada keseluruhan kes.

“Hanya satu kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster PUI Sivagangga: 11 kes positif di Perlis satu keluarga

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 11 kes termasuk 10 kes baharu Covid-19 di Perlis hari ini adalah kluster PUI Sivagangga dan merupakan satu keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan bermula dari kes pertama dikesan di negeri itu 4 Ogos lalu.

“Kes ke-9054 adalah pelanggan tetap restoran milik kes induk kluster berkenaan. Kes generasi kedua itu menjangkiti 10 ahli keluarga lain yang merupakan generasi ketiga.

“Kesemua kes baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan di Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau setakat jam 12 tengah hari tadi seramai 3,246 individu membabitkan kluster itu disaring.

“43 kes disahkan positif manakala 2,320 negatif. Sebanyak 883 kes masih menunggu keputusan. Susulan pertambahan kluster ini di Perlis dan Pulau Pinang, KKM mengenal pasti 1,884 kontak rapat yang bakal disampel,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan 25 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 16 merupakan penularan tempatan menjadikan keseluruhan sebanyak 9,063 kes.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 12 daripada 16 kes penularan tempatan babit kluster PUI Sivagangga

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sebanyak 25 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 16 merupakan penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 12 kes jangkitan dalam negara berkait kluster PUI Sivagangga dengan 10 kes direkodkan di Perlis manakala dua lagi masing-masing di Pulau Pinang dan Kedah.

“Empat lagi kes tempatan turut dicatatkan dengan dua kes di Perak membabitkan Penyakit Seperti Influenza (ILI), satu kes bergejala di Kuala Lumpur dan satu lagi melibatkan pendatang tanpa izin di Johor.

“Sembilan kes import pula dengan empat kes jangkitan Filipina manakala satu kes masing-masing dari Emiriah Arab Bersatu, Turki, Afrika Timur, Australia dan Yaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pertambahan itu menjadikan keseluruhan sebanyak 9,063 kes dan 210 merupakan kes aktif.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, 15 kes dibenarkan keluar hospital dan disahkan pulih menjadikan jumlah sembuh sebanyak 8,728 kes iaitu 96.3 peratus dari keseluruhan.

“Dua pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kematian baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kekal 125 kes,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lakukan sanitasi setiap hari di lokasi tumpuan – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan proses sanitasi di lokasi tumpuan awam seperti restoran dilakukan setiap hari bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata langkah tersebut tidak wajar dilakukan hanya setiap enam bulan terutama di persekitaran yang kerap disentuh orang ramai.

“KKM mengeluarkan nasihat dan tekankan kepada pihak berkaitan supaya proses sanitasi dilakukan setiap hari, bukannya enam bulan sekali baru hendak buat, kita kena pastikan kawasan kerap disentuh jalani sanitasi setiap hari,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan hari ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan 9,475 operasi sanitasi merangkumi 134 zon sejak 30 Mac.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter adalah senjata paling ampuh mencegah penularan Covid-19.

“Orang awam diwajibkan memakai pelitup muka di kawasan sesak dan dalam perkhidmatan awam, walaupun mereka mungkin boleh menanggalkannya dalam keadaan tertentu seperti ketika bersendirian atau ketika bersenam.

“Kedua, kita juga boleh menanggalkan pelitup muka ketika bercakap dan ketiga perlu meneruskan amalan kerap mencuci tangan, mengelakkan tempat sesak serta tertutup,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai makan tiada rekod pelanggan, KKM sukar kesan kontak Covid-19

SHAH ALAM, 3 OGOS: Premis makanan di Jitra, Kedah yang menjadi lokasi bermula penularan Kluster Sivagangga tidak menggunakan aplikasi MySejahtera, merekodkan kehadiran dan suhu badan pelanggan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) tersebut menyukarkan petugas kesihatan melakukan pengesanan kontak rapat bagi Covid-19.

“Sehingga jam 12 tengah hari, sebanyak 425 orang disaring dan daripada jumlah ini, 21 kes adalah positif, 362 negatif dan 42 masih
menunggu keputusan. Kita menyeru orang ramai yang berkunjung ke lokasi tersebut supaya pergi menjalankan saringan kesihatan.

“Kluster ini merupakan penularan dalam negara yang berpunca daripada kes import iaitu kegagalan pesakit bawah siasatan (PUI) patuh arahan kuarantin, kluster menular kerana kesilapan kita sendiri,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster yang wujud berpunca kegagalan individu pulang dari luar negara mematuhi tempoh kuarantin wajib di
rumah ialah Kluster Elsa, Kluster PUI Novgorod, Kluster PUI Pitakwa, Kluster PUI Melbourne, Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan
Kluster PUI Shirala.

“Kita mengingatkan masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan
kes positif Covid-19 atau maklumat yang berkenaan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: 64 jenama termometer infra merah dapat kebenaran

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan 64 jenama termometer infra merah diimport bagi menyukat suhu badan, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua jenama tersebut melepasi ujian keselamatan dan prestasi bagi memastikan peralatan berfungsi dengan berkesan ketika melakukan saringan kesihatan.

“Bagi pendaftaran dan pemasaran termometer di Malaysia, peralatan dibekalkan dalam pasaran perlu mematuhi aras menunjukkan keselamatan dan prestasinya.

“KKM sedar terdapat bahan tersebut tidak berdaftar atau mendapat kebenaran akses dalam pasaran. Adalah diingatkan KKM melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP) memantau situasi dan akan mengambil tindakan sekiranya melanggar undang-undang di bawah Akta 737,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata ia selamat digunakan serta menegaskan dakwaan penggunaan peralatan tersebut menyebabkan kecederaan otak tidak tepat.

“Termometer tanpa sentuh bukan alat penembak dan tidak memancarkan radiasi kerana direka bentuk untuk mengesan serta menyerap isyarat sinaran infra merah dari permukaan kulit yang diubah menjadi isyarat elektrik.

“Litar elektronik dalam termometer memproses isyarat elektrik untuk menentukan suhu tubuh manusia yang diukur dan memaparkannya di skrin paparan,” katanya.

Beliau berkata kajian dilakukan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM mendapati tiada bukti saintifik mengenai kesan sampingan penggunaannya untuk mengukur suhu di dahi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua kes baharu Covid-19 libat rakyat tempatan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Sebanyak dua kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini selepas kali terakhir mencatatkan angka harian sama pada 30 Jun lalu, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes tersebut adalah satu kes kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Sivagangga di Kedah dan saringan pelajar kolej tidak bergejala di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pertambahan dua kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia adalah 9,001 dengan 208 daripadanya merupakan kes aktif.

“Hari ini juga terdapat empat kes telah pulih menjadikan jumlah keseluruhan 8,668 atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan kes kematian di negara ini kekal 125 atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kes kluster PUI Sivagangga babit pelajar sekolah

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan dua daripada 11 kes kluster PUI Sivagangga dilaporkan positif Covid-19 hari ini merupakan pelajar sekolah rendah.

Ketua pengarah kesihatan berkata pelajar tahun satu dan empat itu mendapat jangkitan dari generasi pertama kluster berkenaan yang dikesan di Kedah.

“Kes ke-8975 menyebabkan lapan kontak rapatnya positif manakala tiga kes lagi mendapat jangkitan dari kes ke-8976.

“Semua dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan. Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif dan pembersihan nyahkuman di sekolah serta rumah mangsa sedang dilaksanakan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sehingga 12 tengah hari tadi seramai 313 individu sudah disaring dengan 20 disahkan positif, 280 negatif manakala 13 masih menunggu keputusan.

“Semua 20 kes adalah aktif namun tiada yang dirawat di unit rawatan rapi(ICU). Jumlah ini membabitkan 15 warganegara dan lima lagi warga asing,” katanya.

Hari ini 14 kes baharu Covid-19 dilaporkan menjadikan keseluruhan sebanyak 8,999 kes.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 14 kes baharu, 11 kluster PUI Sivagangga

SHAH ALAM, 2 OGOS: Sebanyak 14 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 13 darinya penularan tempatan membabitkan warganegara, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 11 kes dari kluster PUI Sivagangga di Kedah manakala dua lagi direkodkan di Sabah ketika saringan di Pintu Masuk Antarabngsa Laut Labuan.

“Hanya satu kes import dari jangkitan luar negara membabitkan warga Filipina. Ini menjadikan keseluruhan 8,999 kes.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 210. Dua pesakit turut ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat jam 12 tengah hari tadi tujuh kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah sembuh sebanyak 8,664 kes iaitu 96.3 peratus.

“Tiada kematian baharu direkodkan. Jumlah kumulatif kekal 125 kes iaitu 1.39 perayus dari keseluruhan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Sembilan kes baharu, tujuh kes import

SHAH ALAM, 1 OGOS: Sebanyak sembilan kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan tujuh kes import dan dua penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes import berkenaan mendapat dua jangkitan di India serta masing-masing satu di Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Switzerland, Filipina dan Pakistan.

“Penularan tempatan pula dikesan di Selangor melibatkan warga asing yang mendapat jangkitan kluster Bukit Tiram manakala satu kes lagi di Kedah berkait kluster PUI Sivaganga. Ini menjadikan keseluruhan 8,985 kes.

“Setakat 12 tengah hari tadi tiga pesakit dibenarkan keluar hospital menjadikan pesakir sembuh seramai 8,647 iaitu 96.2 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat 12 tengah hari tadi tiga pesakit dibenarkan keluar hospital menjadikan pesakit sembuh seramai 8,647 iaitu 96.2 peratus dari keseluruhan.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan hari ini. Jumlah kumulatif kekal 125 kes iaitu 1.39 peratus dari keseluruhan,” katanya.