Categories
AGENDA NASIONAL

KPM ganti buku teks rosak akibat banjir

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Murid yang mengalami kerosakan buku teks akibat banjir tidak perlu membayar ganti rugi atau menggantikannya dengan buku teks baharu bagi menjalani sesi persekolahan yang bermula minggu depan, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata ini kerana kementerian itu akan memastikan usaha menggantikan buku teks yang rosak kepada mereka yang terjejas dilaksanakan segera bagi membolehkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berjalan dengan teratur dan lancar.

“Berdasarkan rekod yang ada pada Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga ke hari ini, sebanyak 263,662 naskhah buku teks rosak akibat banjir melibatkan 14,422 orang murid seluruh negara.

“KPM mempunyai stok mencukupi untuk menggantikan buku yang rosak bagi membolehkan murid mengikuti sesi PdP pada minggu hadapan,” katanya dalam perkongsian video di Facebook rasminya hari ini.

Radzi berkata demikian berikutan KPM menerima banyak pertanyaan berhubung buku teks sekolah yang rosak akibat banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, guru-guru akan mencatatkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir sebelum memberikan buku teks baharu.

Menerusi video itu, beliau berharap murid yang terjejas terus tabah dan bersemangat untuk kembali ke sekolah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar hadir ke sekolah tanpa penggiliran tertakluk kajian, analisis

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kehadiran pelajar ke sekolah tanpa penggiliran bagi kumpulan pelajar lain akan dilaksana tertakluk kepada kajian dan analisis Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata pada masa ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan sekolah yang telah mencapai kadar 90 peratus vaksinasi lengkap atau lebih bagi pelajar kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran bermula 8 November ini.

“Dalam konteks ini, kita tidak buat keputusan secara semberono nak bawa masuk mana-mana kumpulan (ke sekolah) sehinggalah kita duduk berbincang dengan KKM, MKN dengan mengambil kira keadaan semasa. Sekiranya keadaan mengizinkan maka akan ada lagi kumpulan lain mungkin akan dimasukkan tanpa penggiliran.

“Namun ia tertakluk kepada kajian dan analisis sedang dilaksanakan pihak kementerian. Sebaiknya memanglah kita di pihak kementerian tak nak ada penggiliran, namun keadaan pada waktu ini memerlukan untuk diadakan penggiliran sehinggalah sampai satu ketika kita bincang dengan KKM rasa lebih selamat, insya-Allah kita buat tanpa penggiliran bila sampai masanya,” katanya.

Radzi berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Yayasan Didik Negara oleh Farm Fresh Milk Sdn Bhd di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan pembukaan sekolah, beliau berkata secara keseluruhan ia berjalan lancar dan kehadiran pelajar ke sekolah menunjukkan peningkatan dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Jika kita lihat secara keseluruhannya, ia satu perancangan yang cukup teliti. Kita buka (sekolah) sedikit demi sedikit bagi memastikan kita dapat memantau keadaan supaya garis panduan yang telah ditetapkan itu dapat dipatuhi dengan baik.

“Alhamdulillah jika kita lihat sehingga hari ini dengan kemasukan terbaharu lebih 1.3 juta murid segalanya berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya.

Menurutnya setakat ini tidak ada perkara berbangkit berkaitan pembukaan sekolah dan melihat kepada jumlah kehadiran yang baik di sekolah serta pengoperasian pada waktu ini, beliau yakin ia akan memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Permudah murid ke sekolah, tidak wajib pakaian seragam

MUAR, 2 NOV: Pihak sekolah sekali lagi diingatkan agar memberi kelonggaran kepada pelajar yang hadir ke sekolah untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah, sebaliknya memadai memakai pakaian kemas dan sopan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata perkara itu telahpun dinyatakan sebelum ini, namun masih terdapat rungutan daripada ibu bapa mengenai segelintir guru yang menetapkan syarat untuk pelajar mengenakan pakaian seragam lengkap.

“Apabila sekolah mula dibuka mengikut ketetapan fasa di beberapa buah negeri seperti di Klang, Melaka, kita menerima aduan daripada ibu bapa yang menyatakan ada sekolah meminta supaya anak-anak memakai uniform sekolah walaupun ada uniform ketat, kasut dah ketat.

“Jadi saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa pihak kementerian sebelum ini telah nyatakan bahawa untuk tempoh sehingga akhir persekolahan tahun ini, kita benarkan murid-murid memakai pakaian yang bersesuaian serta sopan dan kemas, itu paling penting,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan persiapan pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Semaseh, Panchor di sini hari ini.

Beliau berkata pihak sekolah seharusnya memudahkan urusan kehadiran pelajar berikutan kekangan yang dihadapi ibu bapa susulan pembukaan sekolah di waktu pandemik Covid-19 terutamanya kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua sekolah di negeri yang akan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara harus memberi perhatian khusus terhadap aspek pengudaraan termasuk di dalam bilik guru.

“Pengudaraan itu perlu diberi perhatian khusus. Awal dulu ramai agak keliru tetapi akhir ini hampir semua pihak dapat memahami bahawa kepentingan untuk kita pastikan pengudaraan di sekolah berlaku pada tahap paling optimum.

“Bilik darjah nampak dah selesai cuma di bilik guru, kadang-kadang bilik guru yang menggunakan penghawa dingin sebagai contoh sebaiknya diusahakan supaya ada pengudaraan… dibuka tingkap bagi membolehkan keadaan yang lebih selamat bagi guru-guru,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan pengambilan guru secara ‘one-off’ bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru, Radzi berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai melengkapkan pemilihan guru bagi fasa 1.

Radzi berkata, kriteria pemilihan awal itu adalah berlandaskan calon yang bakal mengajar subjek-subjek penting di sekolah serta mereka yang mempunyai latar belakang dalam pengajian pendidikan.

“Fasa 1 telah dipilih dan kita tidak ikut berapa ramai, kita berpandukan pada susunan subjek. Subjek mana pergi dulu serta keutamaan kepada graduan pendidikan.

“Setelah keutamaan ini tercapai, baru kita lihat graduan yang tidak ada latar belakang pendidik, kerana itu kita buat secara berperingkat. Ada fasa yang hanya memerlukan ratusan tenaga pengajar namun ada fasa perlukan beribu, justeru kita perlu lihat keperluan subjek dalam fasa tersebut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: 2,753 guru enggan divaksin, beri konsultasi berterusan

SHAH ALAM, 21 OKT: Seramai 2,753 guru menolak untuk menerima vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut menteri pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata daripada jumlah itu seramai 1,993 guru memberi alasan tidak percaya pelalian itu, isu menyentuh agama, pasangan tidak membenarkan pengambilan vaksin serta masih belum bersedia.

Katanya jumlah selebihnya iaitu 760 guru lagi menolak kerana mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kronik, mengalami alahan, mengandung atau menyusukan anak, merancang kehamilan dan bekas pesakit Covid-19.

“Bagi meningkatkan kadar vaksinasi guru yang enggan divaksin disebabkan selain masalah kesihatan atau alasan tidak munasabah, kementerian melalui pentadbir sekolah secara berterusan mengadakan konsultasi untuk memastikan mereka mengambil vaksin.

“Guru yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang sudah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan kepada ketua jabatan masing-masing,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol di Dewan Negara hari ini.

Tambah beliau setakat semalam seramai 399,972 orang atau 96.83 peratus guru sudah lengkap divaksin.

“Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh kementerian, guru yang lengkap divaksin sahaja dibenar melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.

“Bagi guru yang belum lengkap atau tidak divaksin, mereka dikehendaki melaksanakan PdPR dan tugasan lain yang diarahkan oleh pihak sekolah.

“Mereka juga diwajibkan memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka semasa berada di kawasan sekolah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sekolah dibuka mulai 1 Mac secara berperingkat

SHAH ALAM, 19 FEB: Sesi persekolahan dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini dengan kumpulan pertama membabitkan pelajar prasekolah, tahun satu dan dua.

Menteri kanan (pendidikan) berkata pelajar tahun tiga hingga enam pula akan mula hadir ke sekolah pada 8 Mac.

“Pelajar prasekolah, tahun satu dan dua lebih awal hadir bagi membiasakan mereka dengan SOP (tatacara operasi piawai) memandangkan tahun lalu kehadiran agak terhad.

“Jadi kementerian memutuskan mereka lebih awal selain memberi ruang kepada guru untuk bersedia dengan SOP serta mencari kaedah terbaik,” kata Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media hari ini.

Menurutnya pelajar sekolah menengah di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan hadir ke sekolah mulai 4 April manakala negeri lain pada esoknya.

Katanya, pelajar Sijil Vokasional Malaysia Tahun Satu dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu ditetapkan ke sekolah mulai 1 Mac.

“Pelajar tingkatan satu hingga lima akan ke sekolah selepas cuti pertengahan penggal yang bermula hujung Mac selain selepas peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia selesai.

“Jadual pembukaan sekolah swasta juga sama mengikut kategori. Semua terpakai untuk sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan institusi berdaftar dengan kementerian,” katanya.