Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

273 premis makanan di Selangor dapat sijil bersih, selamat dan sihat

SHAH ALAM, 24 NOV: Sebanyak 273 premis makanan di Selangor memperoleh sijil pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata jumlah itu merangkumi restoran, kafeteria, medan selera, kantin sekolah, kantin hospital dan kendera saji.

“Tahniah kepada kesemua premis kerana komited menjaga kualiti kebersihan dan keselamatan makanan dengan mempamerkan tag kalori makanan serta berjaya memperoleh markah lebih 86 peratus.

“Semoga usaha ini terus dikekalkan di samping menjadi ikutan kepada pengusaha premis makanan lain di negeri ini supaya dapat mempertingkatkan tahap kebersihan masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, dengan pengiktirafan BeSS itu juga ia diyakini mampu mengurangkan risiko pencemaran makanan dan memberi maklumat terperinci kepada pelanggan berhubung pemakanan sihat.

Dr Sha’ari turut berkongsi kriteria permohonan sijil BeSS iaitu pengusaha perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau agensi berkaitan, berdaftar dengan KKM melalui Pendaftaran Premis Makanan dan premis perlu mendapat lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

Antara premis makanan tidak layak memohon pengiktirafan itu adalah yang menjual satu pilihan makanan sahaja dan tinggi kalori, gula, garam atau lemak; beroperasi bermusim seperti bazar Ramadan serta hanya menjual minuman alkohol.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil ICU hospital bukan rawat Covid-19 turun kepada 77 peratus

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit wabak di hospital yang bukan merawat kes Covid-19 dan hibrid di Selangor menurun kepada 77 peratus sehingga kini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan situasi berkenaan berbeza dengan sebelum ini apabila semua hospital itu mencatatkan 130 peratus penggunaan katil ICU.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman bagaimanapun berkata kadar penggunaan katil ICU di empat hospital khusus merawat Covid-19 iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Selayang dan Hospital Serdang masih tinggi sekitar 94 hingga 100 peratus.

“Keadaan pesakit sangat kritikal dan komorbiditi pesakit yang kompleks menyebabkan mereka memerlukan rawatan serta pemerhatian lebih lama di ICU.

“Selain itu, kadar penggunaan katil di wad untuk hospital khusus merawat pesakit wabak dan hibrid Covid-19 menurun kepada 55 peratus berbanding 150 peratus sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 4,723 pesakit Covid-19 daripada pelbagai kategori sedang dirawat di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) setakat hari ini.

Menurutnya, jumlah itu menurun berbanding 6,613 pesakit pada Ogos dan 7,080 pada Julai.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pesakit wabak kurang, penggunaan katil hospital turun 20 peratus

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di Selangor menurun berdasarkan penggunaan katil yang berkurangan 20 peratus dalam tempoh 1 hingga 17 Ogos.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata penggunaan semasa 7,780 katil disediakan bagi berdepan penularan wabak itu menunjukkan 81 peratus diguna berbanding 101 peratus pada 1 Ogos.

Jelasnya, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) juga berkurangan kepada 90 hingga 100 peratus berbanding melebihi kapasiti sebelum ini.

“Malah ketika kes memuncak pesakit kritikal terpaksa dirawat menggunakan ventilator di luar ICU.

“Dua minggu ini kita lihat keadaannya semakin baik, golongan berusia 60 tahun ke atas semakin berkurangan di ICU selepas kumpulan itu menerima vaksin,” katanya di sini semalam.

Dr Sha’ari turut menasihatkan individu menghidap penyakit kronik berhati-hati dan sentiasa patuh tatacara operasi piawai walaupun sudah menerima vaksin.

“Dapatkan rawatan secukupnya dan pastikan diri dalam keadaan sihat.

“Kalau dijangkiti mungkin gejalanya teruk tetapi dapat dikurangkan dengan vaksin,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hospital Serdang sediakan cukup kemudahan tambahan untuk pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 24 JULAI: Setiap hospital di Selangor telah mengoptimumkan penggunaan kemudahan seperti dewan bedah, klinik dan wad bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19.

Pengarah kesihatan negeri berkata penggunaan khemah-khemah tambahan sebagai wad sementara turut dilaksana dikebanyakan jabatan kecemasan hospital di negeri ini.

Justeru maklum Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, gambar tular mengenai Jabatan Kecemasan Hospital Serdang merupakan keadaan sementara menunggu beberapa peralatan tiba di hospital tersebut,

“Namun kerja-kerja menyiapkan khemah menempatkan pesakit Covid-19 yang dilengkapi kemudahan udara, kipas, air bersih, tandas dan elektrik telah siap pada 21 Julai, termasuk tambahan 81 katil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berada dalam keadaan siap siaga menghadapi lonjakan kapasiti pesakit Covid-19 terutama bagi kategori tiga dan ke atas susulan peningkatan kes di negeri ini.

“Selain itu pelaksanaan pemindahan sebahagian perkhidmatan klinikal kepada hospital swasta sedang giat dijalankan bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

JKNS ambil langkah drastik elak pesakit bersesak di CAC Malawati

SHAH ALAM, 14 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengambil beberapa langkah drastik bagi memastikan tidak berlaku limpahan pesakit di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Malawati, semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pusat tersebut hanya mampu merawat sehingga 1,500 pesakit sehari namun semalam 4,483 individu telah hadir bagi mendapat rawatan.

“Bagi memastikan perkara ini dapat diatasi segera kita menempatkan tambahan kakitangan seramai 85 orang yang dimobilisasikan dari negeri lain di samping petugas diambil dari klinik kesihatan di Selangor.

“Kita juga mewujudkan beberapa laluan di CAC Malawati iaitu laluan pemotongan gelang serta laluan khas untuk warga emas, OKU (orang kelainan upaya) dan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley, semalam.

Beliau turut memaklumkan CAC lain akan dibuka setiap hari bagi mengelak kesesakan di Stadium Malawati selain menggalakkan pihak swasta mewujudkan pusat penilaian terbabit.

Sementara itu, bagi situasi di CAC Andalas, Dr Sha’ari berkata seramai 1,900 orang telah hadir semalam namun ia hanya mampu merawat 1,000 pesakit sehari.

Katanya, situasi itu menimbulkan kegusaran penduduk dan langkah segera diambil dengan mengasingkan kawasan pesakit dengan perumahan penduduk serta meletakkan petugas untuk mengawal trafik.

“Kita juga akan melakukan penilaian semula jika CAC Andalas tidak dapat beroperasi dengan baik dan memindahkan ke tempat lain yang akan dikenal pasti dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesakit Covid-19 disaran ke CAC daerah, elak sesak di Stadium Malawati

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pesakit Covid-19 dinasihatkan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di kawasan berhampiran di negeri ini untuk tindakan dan rawatan susulan.

Pengarah kesihatan Selangor berkata sebanyak 34 pusat tersebut telah disediakan di seluruh daerah bertujuan untuk menilai golongan berkenaan.

“Jika anda dikesan positif, saya menyeru supaya hadir ke pusat penilaian berhampiran. Hal ini bagi mengelak berlakunya kesesakan terutama yang berlaku semalam di Stadium Malawati, Shah Alam.

“Saya faham ramai orang memilih CAC ini (Stadium Malawati) kerana kawasan parkir yang luas, mudah dan besar. Namun, saya amat berharap mereka dijangkiti pergi ke daerah masing-masing,” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata demikian ketika program Urus Situasi Kritikal PKPD di Selangor menerusi siaran langsung Agenda Awani malam ini.

CAC ditubuhkan pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Perintah Kawapan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuat kuasa membabitkan 34 mukim di lapan daerah di Selangor selama 14 hari bermula Sabtu lalu hingga 16 Julai.

Categories
AGENSI SELANGOR

Program vaksin warga emas, OKU dijangka selesai minggu depan

SHAH ALAM, 24 JUN: Program ‘outreach’ vaksinasi Covid-19 dos pertama di rumah jagaan warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU) negeri ini dijangka selesai minggu hadapan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata pihaknya akan menumpukan suntikan imunisasi kepada golongan terlantar selepas ini.

“Kita akan kenal pasti (individu terlantar) dan akan usahakan untuk beri vaksin. Untuk program ini, sebanyak 17 pasukan akan digerakkan,” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis serahan bakul makanan Majlis Bandaraya Shah Alam kepada 40 petugas pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19.

Program ‘outreach’ berkenaan berjalan sejak 8 Jun lalu dan ditawarkan kepada pusat jagaan kerajaan atau Jabatan Kesihatan Malaysia, pusat jagaan berlesen Akta 506 dan Akta 586 serta pusat swasta tidak berlesen.

Mengikut jadual dikongsikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook, program berperingkat itu melibatkan 1,893 individu termasuk kakitangan dari 68 pusat jagaan yang bersetuju divaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Serdang terima lebih 100,000 pesakit Covid-19

PUTRAJAYA, 6 JUN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang menerima kemasukan lebih 100,000 pesakit sejak dibuka pada 9 Disember tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata angka itu bukan satu kebanggaan pihaknya kerana ia memerlukan pengorbanan besar petugas barisan hadapan dalam memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Hari ini kita mencatatkan 105,797 kes yang mendapat rawatan di PKRC ini dan memperoleh kerjasama yang baik daripada agensi lain.

“Pengorbanan dan komitmen mereka (petugas barisan hadapan) begitu tinggi tidak kira siang atau malam termasuk ketika cuti umum bagi memastikan pengurusan pesakit di PKRC MAEPS ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Sha’ari berkata di awal operasi, PKRC hanya menerima pesakit dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori bergejala ringan, namun kemudian turut menerima pesakit kategori tiga iaitu kes radang paru-paru serta kategori empat yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan yang bertungkus lumus bersama 16 agensi lain bagi memastikan pesakit menerima rawatan sebaik mungkin.

“Walaupun terdapat rungutan namun sikap profesionalisme kakitangan di sini dapat mengatasinya dan berharap pesakit yang menerima rawatan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Dr Sha’ari berkata kakitangan di pusat kuarantin itu juga berpengalaman dan mampu mengendalikan kes Covid-19 dalam jumlah yang besar.

“Sekiranya berlaku peningkatan jumlah pesakit ke PKRC ini, komitmen dan pengalaman dalam kalangan kakitangan begitu tinggi yang mampu merawat pesakit walaupun dalam jumlah yang ramai.

“Kita juga telah melengkapkan beberapa fasiliti di sini seperti mesin x-ray bergerak, mesin ultrabunyi dan menambah bilangan pakar perubatan di samping 1,800 kakitangan lain untuk memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

1,200 produk tradisional China didakwa boleh rawat Covid-19 dirampas

SHAH ALAM, 26 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas 1,200 kotak produk tradisional China tidak berdaftar bernilai RM120,000 pada Jumaat lalu.

Pengarahnya berkata rampasan dibuat bahagian penguatkuasaan farmasi terhadap produk Lianhua Qingwen Jiaonang dari sebuah kereta penumpang semasa sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berhampiran Plaza Tol Plus Bukit Raja, Klang.

“Siasatan awal mendapati produk tersebut dipercayai dibawa masuk secara haram dari China dikhuatiri akan mengelirukan orang ramai kerana didakwa berkesan merawat jangkitan Covid-19,” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati sewaktu membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik dijual secara dalam talian selain memastikannya memenuhi undang-undang.

“Orang ramai termasuk media digalak membuat aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk meragukan dalam membantu Kementerian Kesihatan membanteras penjualan bahan tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan serta kesejahteraan awam,” katanya.

Aduan boleh disalur kepada program perkhidmatan farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy. gov.my atau portal sistem pengurusan aduan agensi awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my dan menghubungi talian 03-78413200.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat 553 kes demam denggi pada minggu epid ke-39

SHAH ALAM, 1 OKT: Sebanyak 553 kes demam denggi dilaporkan di Selangor bagi minggu epid ke-39 iaitu dari 20 hingga 26 September lalu berbanding 524 pada minggu sebelumnya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata jumlah itu meningkat 5.5 peratus namun keseluruhan 38,865 kes dicatat setakat ini menurun 30.3 peratus iaitu 16,908 berbanding 55,773 pada minggu sama tahun lalu.

“Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi ialah Petaling dengan 13,608 kes; Hulu Langat (8,091); Klang (6,440); Gombak (5,603) dan Sepang (2,198),” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata, jumlah lokaliti wabak denggi aktif sebanyak 192 dengan 20 lokaliti ‘hotspot’, 14 wabak tidak terkawal, 148 wabak terkawal dan 10 wabak baharu.

“Sebanyak 36 kematian dilaporkan dalam tempoh ini iaitu penurunan 25 peratus (12 kes) berbanding 48 pada minggu sama tahun lalu,” katanya.

Dr Sha’ari menyeru komuniti di kawasan kediaman dan tempat kerja supaya melaksanakan gotong-royong secara berkala dengan mengamalkan pendekatan norma baharu.

Katanya, semua takungan air tidak digunakan di persekitaran perlu dimusnahkan manakala bagi takungan kekal harus sentiasa ditutup atau diletak ubat pembunuh jentik-jentik dan diperiksa seminggu sekali.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pasar awam di Selangor akan diletak penarafan untuk keselamatan makanan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengguna pakai kaedah rating ke atas 313 pasar awam di negeri ini sebagai usaha memastikan premis berkenaan sentiasa bersih dan mencapai tahap piawaian ditetapkan berkaitan keselamatan makanan.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata menerusi kaedah rating itu juga, pengguna akan mempunyai lebih kuasa untuk membuat pilihan sebelum berkunjung ke mana-mana pasar awam bagi mendapatkan sumber makanan mentah.

“Pengurusan pasar akan diberikan kriteria bagaimana untuk menjadikan premis mereka boleh meraih rating lima bintang supaya orang ramai boleh tahu, pasar mana yang bersih dan dijadikan contoh.

“Dengan cara ini, pasti pengguna akan berkunjung ke pasar yang mempunyai rating tinggi dan ia juga dapat memupuk semangat kepada pengurusan pasar lain supaya memastikan premis mereka juga bersih hingga mencapai rating tertinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 peringkat negeri di Pasar Moden Seksyen 16 di sini.

Bagi mencapai hasrat tersebut, Dr Sha’ari berkata JKNS akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di semua daerah di Selangor bermula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan usaha berkenaan dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Mengulas lanjut katanya, rating yang diraih oleh mana-mana pasar awam akan dipaparkan di media sosial rasmi JKNS untuk memberi makluman kepada pengguna.

“Selepas pasar awam, kita akan mula rating premis-premis makanan pula memandangkan mereka juga terlibat secara langsung untuk memastikan tahap piawaian keselamatan makanan sentiasa dipatuhi,” katanya.

Ini kerana katanya, menerusi aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan terhadap premis makanan di Selangor sejak Januari hingga Julai lepas, sebanyak 165 premis diarah tutup atas pelbagai kesalahan dengan 78 dikenakan Notis 32B Akta Makanan 1983.

Justeru, beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan bermula dengan memastikan sumber makanan mentah adalah selamat, semua pihak juga harus memainkan peranan masing-masing supaya tahap keselamatan makanan sentiasa diutamakan.

Dr Sha’ari berkata orang ramai amatlah disaran supaya mengamalkan lima panduan makanan selamat ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu penjagaan kebersihan, mengasingkan makanan mentah dengan yang dimasak, masak makanan dengan betul, simpan makanan pada suhu selamat dan gunakan air serta bahan mentah yang selamat.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Jabatan Kesihatan Selangor pantau SOP sekolah

SHAH ALAM, 24 JUN: Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memantau tatacara operasi piawaian (SOP) sekolah yang kembali dibuka hari ini, kata pengarahnya.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pihaknya meneliti pengendalian pengambilan suhu badan serta penjarakan sosial pelajar.

“Kami jugak memantau aspek pembungkusan makanan yang dijual kantin sama ada ia mengikut ketetapan atau sebaliknya dan ia bukan hanya dilakukan di sekolah tetapi sektor pengilangan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sesi persekolahan kembali dibuka selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa 18 Mac lalu.

Bagaimanapun ia hanya membabitkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa pada tahun ini.