Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: 89 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

KUCHING, 14 DIS: Sejumlah 89 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu melibatkan 18,141 pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan mereka.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung serta tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya.

Pengundian awal hari ini dilaksanakan di 85 pusat mengundi dengan 111 saluran disediakan. Ia berlangsung dari 7.30 pagi hingga 5 petang.

SPR menetapkan pengundian PRN12 pada Sabtu ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: 11,557 pemilih mengundi awal esok

MELAKA, 15 NOV: Seramai 11,557 orang pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di 24 pusat mengundi yang dibuka pada 8 pagi esok bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata jumlah pengundi awal itu terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ikmalrudin berkata proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding dan SPR akan menyiarkan proses pengundian itu secara live streaming menerusi Facebook SPR.

Beliau berkata kesemua peti undi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis dan kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 20 November bermula 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November (esok) berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

– BERNAMA