Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak mustahil capai kemalangan sifar di tempat kerja

PUTRAJAYA, 18 NOV: Tidak mustahil sifar kemalangan dapat dicapai berdasarkan trend penurunan kadar kemalangan di tempat kerja serta langkah-langkah proaktif yang diambil syarikat dan majikan dalam menjayakan kemalangan sifar di tempat kerja, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, banyak majikan dan pekerja kini menunjukkan komitmen tinggi melaksanakan inisiatif tersendiri dengan berpandukan kempen kepentingan menjaga keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diterajui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta beberapa pihak berkepentingan.

“Sifar kemalangan tidak mustahil dicapai jika komitmen yang ditunjukkan semua pihak ketika ini ditingkatkan. Malah sudah ada syarikat atau pemaju berjaya berbuat demikian ketika kempen sifar kemalangan diadakan pada Julai lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mahfuz yang sebelum itu menyampaikan hadiah pertandingan mencipta video pendek KKP Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) peringkat kebangsaan berkata kadar kemalangan maut di tempat kerja pada tahun lepas (2018) menurun 14 peratus iaitu 4.14/100,000 pekerja berbanding 4.90/100,000 pada 2017.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan berkata, kadar kemalangan di tempat kerja juga menurun 18 peratus pada 2018 iaitu 2.40/1,000 pekerja berbanding 2.93/1,000 pekerja pada 2017.

Tanpa menyatakan bila sasaran visi sifar kemalangan boleh dicapai secara total, Mahfuz bagaimanapun menyifatkan pengurangan kes sedemikian sebagai satu perkembangan yang baik untuk negara dan mahu statistik itu terus menurun setiap tahun.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian itu kerana banyak lagi kerja yang perlu dilakukan agar usaha kerajaan ke arah visi sifar kemalangan dapat direalisasikan dan ia bukan mustahil dicapai jika semua pihak menggandakan usaha untuk menjayakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, 21,775 notis dikeluarkan oleh JKKP untuk tahun ini sehingga Oktober lepas di mana 1,217 kesalahan dikenakan kompaun dan 356 kes pendakwaan difailkan di mahkamah berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja melibatkan jumlah penalti RM4.4 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan strategi dikenal pasti hadapi status negara tua 2030

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kerajaan mengenal pasti sembilan bidang fokus strategik untuk menyediakan negara menghadapi status negara tua menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, sebanyak 19 inisiatif digariskan untuk mencapai matlamat berkenaan berdasarkan hasil dapatan kajian Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) pada 2018.

“Antara fokus strategik yang dikenal pasti adalah mengalakkan minat dan kemampuan bekerja, meningkatkan kebolehpasaran serta menggalakkan nilai kesukarelawan warga emas.

“Ketika ini, kerajaan dalam usaha merangka perlaksanaan dapatan kajian dengan kerjasama kementerian-kementerian lain,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai usaha kerajaan dalam menghadapi cabaran status negara tua, pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada undang-undang sekat majikan ambil wanita hamil bekerja

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Tiada sebarang undang-undang memperuntukkan majikan untuk tidak mengambil wanita hamil bekerja, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun berkata aduan boleh dibuat kepada kementeriannya jika berlaku diskriminasi jantina dalam permohonan pekerjaan.

“Kami akan bertindak menghubungi pihak majikan dan membuat perundingan dan memberi nasihat supaya perkara sebegini tidak berlaku,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai langkah memastikan tiada wanita didiskriminasi di sebalik cadangan kerajaan melaksanakan cuti bersalin 90 hari bagi wanita bermula 2021.

Kepada soalan asal Nurul Izzah mengenai usaha melindungi pemohon kerja daripada segala bentuk diskriminasi, Mahfuz menjelaskan kementerian komited untuk melaksanakan garis panduan agar ini tidak berlaku di tempat kerja.

Kementerian, katanya, dalam tindakan menyemak peruntukan undang-undang pekerjaan iaitu khusus berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan dimasukkan dalam cadangan pindaan Akta 265 (Akta Kerja 1955).

Jelasnya, ia merangkumi diskriminasi berasaskan jantina, agama, bangsa, ketidakupayaan, status perkahwinan, bahasa, dan kehamilan.

“Selain itu, diskriminasi melibatkan terma dan syarat pekerjaan dalam kontrak perkhidmatan turut dilarang,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahfuz: Kaedah khas bantu OKU dapat sijil, tingkat peluang kerja

SUNGAI PETANI, 22 SEPT: Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan kaedah khusus untuk pensijilan orang kurang upaya (OKU), bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran golongan itu dalam sektor pekerjaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pensijilan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) itu, akan memudahkan golongan OKU mendapat sebarang sijil dalam apa-apa bidang atau kemahiran.

“Kalau dilihat, ramai golongan OKU mampu dan boleh bekerja tetapi mereka tidak ada sijil. Kesukaran untuk mendapatkan pensijilan itu adalah kerana golongan OKU juga perlu menjalani ujian sama seperti calon normal yang lain.

“Kaedah khas yang mula dirangka sejak Januari lalu itu kini (sedang dibangunkan) dalam peringkat akhir dan selepas ini diharap golongan OKU akan mudah dapat kerja dalam sektor awam atau swasta,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya Kemahiran Keusahawanan (4K) dan Kompetensi Insan Istimewa (OKU) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk pelaksanaan kaedah itu, dua ‘Industry Lead Body’ (ILB) iaitu Malaysian Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Kita mula dengan bidang automotif dahulu dan ujian pensijilan pertama bagi kaedah khas itu dijangka akan diadakan pada Oktober depan yang membabitkan 11 calon dari seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata, penganjuran Karnival 4K bertujuan memberi pendedahan kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) mengenai bidang kerjaya selepas tamat belajar dan sekali gus dapat membina keyakinan mereka untuk bekerja dalam industri sebenar.

“Golongan OKU ini tidak seharusnya dipinggirkan sebaliknya perlu dibimbing kerana mereka juga mampu membangunkan negara. Karnival ini boleh menjadi penanda aras untuk membantu golongan ini mendapat peluang pekerjaan dan pendedahan tentang kerjaya.

“Jadi, kita akan terus adakan semua aktiviti dan strategi di peringkat kementerian untuk pastikan jumlah kebolehpasaran golongan OKU ini dapat dipertingkatkan lagi setiap tahun,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kenaikan elaun latihan amali tidak jejas pengambilan

ALOR SETAR, 18 OGOS: Kenaikan kadar elaun pelatih dari RM300 kepada RM900 tidak akan menjejaskan jumlah pengambilan pelajar untuk menjalani latihan amali di kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenaikan elaun tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap generasi muda yang baharu hendak memasuki dunia pekerjaan yang sebenar.

“Mereka (pelajar) ini perlu diberi peluang untuk membina pengalaman baharu selepas tamat pengajian dan kerajaan prihatin dengan keperluan hidup mereka. Sebab itu elaun dinaikkan, kalau kekal RM300, apa yang mereka boleh belanja terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

“Sekurang-kurangnya RM900 ini boleh tampung keperluan mereka dan saya tidak fikir kenaikan ini akan menjejaskan apa-apa terutamanya dalam sektor kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada jumlah pengambilan pelajar akan berkurangan akibat kenaikan elaun tersebut yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Khamis lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi laman Twitternya memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan elaun pelatih yang menjalani latihan amali di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan daripada RM1.60 sejam ke RM5 sejam berkuatkuasa 1 September.

Sementara itu, Mahfuz juga berharap syarikat-syarikat swasta dapat berkongsi pendapatan dan keuntungan yang diperolehi dengan memberi peluang kepada para pelajar universiti untuk menjalankan latihan amali di syarikat mereka.

“Buat masa ini pelaksanaan kenaikan elaun ini hanya di peringkat kerajaan, jadi pembayaran elaun di syarikat swasta adalah terpulang kepada mereka. Tapi kita harap pihak swasta juga dapat beri peluang kepada pelajar-pelajar ini.

“Pelajar juga jangan memilih. Siapa tahu bila mereka tunjuk kemahiran dan kepakaran masa latihan amali, pihak syarikat minat untuk serap bekerja dan akan diberi kedudukan dan gaji yang sesuai selepas itu dan apa yang penting masuk dahulu dalam pasaran kerja,” katanya.

Terdahulu, Mahfuz yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena menyampaikan sumbangan untuk membaiki rumah kepada 45 penerima di sini yang terjejas akibat ribut pada 9 Ogos lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri lindungi pemandu – Mahfuz

ALOR SETAR, 28 JUL: Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang diwajibkan ke atas pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas persendirian bukan bertujuan untuk menekan golongan itu, sebaliknya bagi melindungi mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, skim itu yang disediakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan insentif bagi menjaga kebajikan pemandu dan keluarga mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini semasa bekerja.

“Undang-undang ini tidak boleh dilihat sebagai menekan mereka tetapi ia adalah untuk melindungi mereka sekeluarga tetapi mungkin masih ada yang kurang jelas.

“Sebab itu, PERKESO pergiatkan lagi usaha dengan turun ke semua negeri untuk beri taklimat dan penjelasan mengenai skim berkenaan.

“Sehingga 24 Julai hanya 26,653 pemandu di seluruh negara direkodkan sudah mendaftar skim tersebut dan angka itu dilihat sangat sedikit berbanding jumlah keseluruhan pemandu teksi, e-hailing dan bas persendirian yang ada di negara kita iaitu 318,283 orang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program dan sesi dialog mengenai skim itu bersama Persatuan Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah negeri Kedah.

Sementara itu, Mahfuz berkata, walaupun terdapat beberapa rungutan daripada pemandu semasa sesi dialog hari ini, ada juga antara mereka yang bersedia mencarum skim tersebut bagi menerima manfaatnya.

Menurutnya, antara rungutan itu ialah kesukaran untuk pemandu hadir ke pejabat Perkeso setiap kali mahu membuat caruman bulanan.

“Jadi selepas perbincangan, PERKESO dan persatuan pemandu bersetuju untuk turun padang sekali sebulan sebagai usaha untuk memudahkan pemandu bayar caruman.

“Tetapi, saya cadangkan kalau tidak boleh bayar setahun, paling tidak buat bayaran tiga bulan terus kerana kalau setiap sebulan pegawai PERKESO hendak turun ke kawasan mereka susah sebab tidak cukup kakitangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KSM hasrat wujud bandar integrasi TVET di Tanjung Malim

MELAKA, 19 JUL: Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhasrat mewujudkan sebuah bandar integrasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang menghimpunkan universiti, industri dan pusat penjanaan inovasi bagi memartabatkan bidang TVET pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, bandar tersebut akan dicadang dibangunkan di Tanjung Malim, Perak atas tanah milik kementerian itu melibatkan keluasan kira-kira 24.28 hektar namun pembangunan bandar itu bergantung pada kejayaan program atau inisiatif yang dilaksanakan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Cadangan ini termasuk pembinaan universiti TVET baharu dilontarkan kepada Menteri Sumber Manusia dan beliau memberi respons positif kerana melihat ia adalah satu inisiatif positif selain kementerian mempunyai tanah kosong di Tanjung Malim.

“Saya fikir lokasi tersebut sangat sesuai sebab di situ ada Proton, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan sebagainya dan ia boleh menjadi satu bandar hebat dari aspek akademik, kemahiran dan industri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kerjasama Staretgik Artikulasi Program Diploma Kemahiran dan Vokasional ke Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Jerayawara Program Sarjana Muda Teknologi di MTUN di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Suimi Abdul Majid dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Dr Raha Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata bandar integrasi TVET itu merupakan satu daripada usaha kementerian untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka melanjutkan pengajian dalam bidang TVET selain memberi jaminan masa depan yang lebih baik untuk lepasan graduan bidang itu.

Beliau berkata pembangunan bandar itu juga selaras dengan harapan untuk meningkatkan pemikiran rakyat khususnya generasi muda ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar pada masa hadapan dan bukannya menjadi negara pengguna.

“Kita baru hendak merangkak ke arah Revolusi Industri (IR) 4.0 sedang negara lain telah melepasinya dan ada yang telah mencapai IR 5.0,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 10 program Sarjana Muda Teknologi yang akan ditawarkan di rangkaian MTUN selama tiga tahun bermula September depan akan memberi nafas baharu kepada pemegang Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) di bawah Kementerian Pendidikan.

“Program ini julung kali diperkenalkan dan ia dibentuk berasaskan ‘asas pekerjaan’ yang mirip kepada asas pembentukan DKM, DLKM dan DVM dan pemegang diploma tersebut mempunyai potensi tinggi diterima menyambung pelajaran di rangkaian MTUN iaitu di UTeM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis,” katanya

Katanya 10 program Sarjana Muda Teknologi itu ialah Pembinaan Bangunan; Penyejukan dan Penyaman Udara Industri; Hospitaliti; Pemesinan Industri; Kimpalan; Automotif; Penyelenggaraan Sistem Elektrik; Automasi Elektronik Industri; Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas; serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.

Sementara itu, Raha berkata UTeM akan menawarkan dua program Sarjana muda Teknologi dalam bidang Kimpalan dan Permesinan bermula September depan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pelan Pembangunan 2025 perkasa Tahfiz TVET

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 1 JUL: Kementerian Sumber Manusia sudah menyiapkan Rangka Pelan Pembangunan (blueprint) 2025 untuk menggerakkan projek Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) secara lebih meluas.

Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelan tindakan di bawah Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan itu membabitkan enam kementerian bagi memperluas latihan kemahiran kepada pelajar Tahfiz sekali gus mampu memenuhi keperluan industri semasa.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk merancakkan TVET secara lebih baik melalui elemen Tahfiz yang dibawa.

“Kita akan masukkan pelan ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 supaya menjadi persediaan untuk kita lebih bersungguh-sungguh menyediakan dana terutama dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Dengan adanya TVET Tahfiz ini, perhubungan dua latar belakang berbeza dapat dipertemukan dan tenaga pengajar tahfiz akan dapat manfaat dengan mempelajari ilmu kemahiran Industri Automasi dan Robotik, manakala guru TVET dapat memahami pendidikan Tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian TVET Tahfiz dan Sambutan Aidilfitri Encounter Corridor Training Centre (ECTC), di Galleri Klang Sentral, di sini hari ini.

Turur hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Enter Coridor Sdn Bhd, Ahmad Radzi Yusof; Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran Wa As Sunnah (MTAQWA’S), Ahmad Zaki Abdul Latif; Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Dr Mohd Rashid Buyong Hamzah.

Dalam majlis sama, ECTC dan MTAQWA’S turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan hubungan dalam memastikan kualiti pelaksanaan modul hafazan di pusat terbabit sentiasa di tahap terbaik.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, pihaknya menyokong pendekatan ‘MenTVETkan tahfiz dan MenTahfizkan TVET’ sebagai salah satu agenda dibawa kerajaan untuk memperkasa pendidikan Tahfiz.

Katanya, pendekatan itu bakal membuka peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz untuk menceburi bidang kemahiran yang diiktiraf JPK tanpa mengabaikan hafazan mereka.

“Saya mengharapkan jabatan zakat untuk tampil membantu anak tahfiz dalam program TVET ini yang sudah tentu akan memberikan satu pemikiran baharu di luar kotak kerana mereka tidak semestinya menjadi imam dan bilal apabila keluar bekerja.

“Kita akan terus menyokong usaha ini melalui JPK dan Jabatan Tenaga Manusia kepada Enter Coridor Training Centre serta pusat bertauliah yang lain dalam merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lepasan TVET digalak sambung pengajian

KOTA BHARU, 17 JUN: Lepasan diploma program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) digalakkan menyambung pengajian kemahiran ke peringkat Sarjana Muda yang ditawarkan universiti tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelbagai universiti tempatan kini menawarkan pengajian ijazah yang bersesuaian melalui kerjasama dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dalam usaha memperkasa TVET.

“Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi universiti kelima yang menerima lepasan pelajar Diploma Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).

“Sebelum ini, tawaran pengajian Ijazah ini dijalankan di bawah rangkaian Universiti Teknologi Malaysia dengan gabungan empat universiti iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UMK dan JTM di UMK Kampus Bachok di sini hari ini.

Mahfuz menyaksikan pemeteraian MoU itu yang ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

MoU selama tiga tahun itu bermatlamat untuk membolehkan graduan diploma melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, penawaran itu antara lain memberi peluang kepada pelajar kemahiran mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang lebih tinggi.

“Kerjasama sebegini membentuk semula keyakinan ibu bapa terhadap bidang TVET, kalau dulu tidak berapa yakin dengan pendidikan bidang kemahiran, kini pelajar boleh sambung pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Cuma kita mahu graduan TVET ini mencipta peluang pekerjaan baru atau mencipta produk,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama bagi tempoh tiga tahun itu juga merangkumi kerjasama kedua-dua pihak dalam perkongsian teoritikal, teknikal dan praktikal dalam bidang teknik dan vokasional.

“Antara bidang pengajian yang jadi tumpuan kita pula di bidang pemasaran internet, sebab mahu memenuhi keperluan industri dalam menghadapi arus Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

“TVET bukan hanya kemahiran teknikal tapi kita juga seiringkan kemahiran lain seperti sektor pertanian yang kita pertingkatkan menggunakan teknologi semasa sebab itu kita juga mahu kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk bawa pelaburan yang boleh mengguna pakai kemahiran yang dimilik pelajar TVET,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemandu teksi, Grab diingat carum Perkeso

ALOR SETAR, 16 JUN: Pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing, Grab diingatkan supaya segera mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sehingga kini dianggarkan hanya sekitar 13,000 pemandu teksi dan Grab telah berbuat demikian dan jumlah tersebut masih rendah.

“Jumlah itu masih rendah walaupun mereka menyedari manfaat yang banyak akan diperolehi daripada caruman di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri.

Antara faedah yang diperolehi ialah perubatan, hilang upaya kekal atau sementara, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pemulihan, pinjaman pendidikan dan pengurusan jenazah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Program Seranta dan Penyampaian Faedah Perkeso di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Perkeso akan mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan teksi di negeri ini bagi menjelaskan dan menggalakkan pemandu teksi mendaftar dengan skim itu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, walaupun beberapa pertemuan telah diadakan sebelum ini untuk menjelaskan perkara itu kepada pemandu teksi di sini, ia perlu dilakukan lagi agar mereka benar-benar memahami kepentingan skim tersebut dan mendaftar.

“Tahun lepas beberapa kali pertemuan diadakan tetapi alasan yang diberi ialah mereka tidak mampu, saya fikir itu bukan alasannya kerana caruman dikenakan adalah murah selain telah melonggarkan pembayaran secara bulanan dan bukan lagi tahunan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat empat kadar caruman yang disediakan mengikut anggaran pendapatan bulanan dan kadar yang paling rendah sebanyak RM157.20 setahun.

“Dulunya orang yang ada majikan sahaja dibolehkan untuk mencarum dengan Perkeso, tetapi kerajaan amat prihatin dan mengiktiraf golongan yang bekerja sendiri untuk diberi perlindungan dan berharap (mereka) memanfaatkan peluang ini bukan untuk diri sahaja tetapi untuk tanggungan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

270,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 8 bulan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Sebanyak 270,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan dalam tempoh hanya lapan bulan selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) memerintah, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, jumlah berkenaan melebihi sasaran awal kerajaan yang menganggarkan hanya dapat mewujudkan sekitar 240,000 peluang pekerjaan dalam tempoh setahun.

“Ini berdasarkan kepada data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sasaran itu dicapai bagi tempoh Julai 2018 sehingga Februari 2019,” katanya pada sesi soal jawab lisan, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Sabani Mat yang mahu tahu tindakan diambil kerajaan bagi merealisasikan manifesto PAKATAN dalam mewujudkan satu juta peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata cabaran kerajaan hari ini bukan hanya daripada segi mencapai kuantiti yang disasarkan tetapi mewujudkan pekerjaan berkualiti dan berkemahiran yang boleh menawarkan gaji lebih tinggi.

“Ini yang harus kita lihat, kalau tidak nanti peluang pekerjaan itu akan diisi oleh rakyat asing. Sebab itu kerajaan sentiasa membuat galakan ke arah penghasilan ‘high value job’ ataupun ‘knowledge workers’ yang bertepatan dengan kelayakan kemahiran,” katanya.

Mahfuz berkata kerajaan juga yakin sasaran satu juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan dicapai melihat kepada prestasi semasa.

Beliau berkata kerajaan turut mengalakkan majikan menyerap perkerja latihan industri di organisasi masing-masing.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Majikan gagal lindung kebajikan pekerja berdepan penalti tinggi

LANGKAWI, 17 APRIL: Pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 mengenakan penalti lebih tinggi ke atas majikan yang gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika ini proses pindaan terhadap akta terbabit masih dalam pelaksanaan dan diharap dapat dibawa pada persidangan Parlimen akan datang.

“Antara pindaan akta berkenaan ialah menaikkan kadar penalti ke atas majikan yang gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja.

“Buat masa ini, kadar maksimum penalti dikenakan ialah RM50,000 yang mudah untuk pemaju projek besar membayarnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar OSH for Langkawi, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Omar Mat Piah.

Sementara itu, Mahfuz berkata, kementerian menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyiasat 3,773 kes kemalangan pekerjaan tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 297 kes adalah kemalangan maut dengan sektor pembinaan merupakan penyumbang utama, iaitu 113 kes.

“Sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 27,014 pemeriksaan dan penguatkuasaan oleh JKKP dijalankan di seluruh negara dan daripada jumlah terbabit, sebanyak 27,024 notis dikeluarkan.

“Sebanyak 945 kesalahan direkodkan dan dikenakan kompaun berjumlah RM1.449 juta dan 318 kes didakwa di mahkamah membabitkan jumlah penalti RM3.714 juta,” katanya. -BERNAMA