Categories
SELANGOR

TSKU: Tingkat usaha kikis stigma terhadap perkhidmatan awam

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 3 OKT : Penjawat awam diseru menerapkan elemen kreativiti dan inovasi dalam budaya kerja sebagai persediaan mendepani cabaran persekitaran dan ekspektasi rakyat menuntut perkhidmatan awam yang lebih responsif.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata hasrat tersebut sewajarnya dimulakan diperingkat pucuk kepimpinan atasan agar ia dapat dihayati dan menjadi budaya kerja organisasi.

_MG_7402Katanya, mentaliti dan integriti setiap penjawat awam juga perlu dipertingkatkan supaya stigma lapuk masyarakat terhadap perkhidmatan awam yang sinonim dengan lambat dan birokrasi dapat dihapuskan.

“Semua penjawat awam diseru untuk berganding bahu dalam memantapkan lagi mutu perkhidmatan dengan sentiasa berfikir, bergerak dan bekerja dengan lebih cepat, tepat, dan di luar kotak berlandaskan kepada produktiviti, kreativiti dan inovasi,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor ke-27 di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abd Aziz Shah, semalam.

Berucap dihadapan kira-kira 300 penjawat awam dari serata agensi dan jabatan, Roslan mengingatkan pembudayaan inovasi dan kreativiti yang dibangunkan mesra pelanggan selain memberi penjimatan kos yang ketara.

Konvensyen KIK yang berlansung 2 hingga 3 Oktober ini disertai 16 kumpulan iaitu 8 bagi kategori pengurusan dan 8 bagi kategori teknikal.

Bagi kedua-dua ketegori, Johan akan menerima hadiah wang tunai RM15,000, Naib Johan RM10,000 dan Tempat Ketiga akan menerima RM7,000.

Bagi Ketegori Persembahan Terbaik, pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500.

HM

Categories
SELANGOR

Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar

kenali kampungku

SHAH ALAM, 11 SEPT : Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek di kalangan masyarakat desa supaya wilayah luar bandar bergerak seiring dengan arus kemajuan Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata strategi Program Pembangunan Desa sedia ada akan diubah menjadi konsep menyeluruh bagi memastikan pembangunan di kampung-kampung dimajukan secara bersepadu dan mampan.

Namun resipi utama konsep ini nanti adalah pembangunan yang bakal dijalankan bersendikan kepada maklum-balas masyarakat desa di kawasan-kawasan terlibat.

“Pembangunan Desa merupakan perkara yang menjadi fokus utama dalam tempoh lima tahun penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat menerajui Selangor.

“Dalam masa tiga empat tahun ini, Kerajaan Negeri akan memastikan pendapatan penduduk desa di seluruh Selangor dapat ditingkatkan atau ditambah pada kadar yang dapat dibanggakan oleh penduduk kampung,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap di majlis penutup ‘Bengkel Kenali Kampungku’ di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Sekurang-kurangnya 131 Ketua kampung dan anggota Jawatakuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor menghadiri bengkel tersebut.

Bengkel Kenali Kampungku ini merupakan langkah pertama dalam Projek Pembangunan Desa. Tujuan bengkel ini diadakan adalah bagi memastikan Ketua-Ketua Kampung dan JKKK duduk bersama berbincang serta memberi pendapat dan maklumat bagi meningkatkan sumber ekonomi penduduk kampung.

Pada majlis penutupan bengkel tersebut, dua wakil dari setiap daerah menyerahkan dokumen perbincangan dan idea mereka kepada Abdul Khalid.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Sallehen Muhyi dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Sejajar dengan objektif penganjuran bengkel ini, Abdul Khalid turut berharap Ketua-Ketua Kampung dan JKKK dapat menzahirkan idea-idea bernas berhubung sumber ekonomi, kemahiran penduduk dan potensi kampung yang boleh dijadikan sebagai aset menjana pendapatan tradisi dan baharu.

Abdul Khalid menambah, sistem sokongan yang kukuh dari jaringan keselamatan, penggunaan tanah dan khidmat sokongan jabatan-jabatan berkaitan diperingkat negeri dan Persekutuan sangat diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita mahu agar penduduk kampung atau desa yang turut berjasa kepada negeri ini, dapat menikmati kehidupan yang bahagia suasana keselesaan daripada segi pemerolehan pendapatan perkapita di negeri yang bertaraf maju ini sebagaimana dinikmati kebanyakan penduduk di bandar atau bandar raya di negeri ini,”ujarnya.

MPSJ Lancar ‘Gerbang Perkhidmatan’ Mudahkan Pelanggan

MPSJ Lancar gemilang perkhidmatan

SUBANG JAYA 15 JAN: Bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatannya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melancarkan Gerbang Perkhidmatan MPSJ yang menyediakan perkhidmatan baru seperti Call Centre, Kaunter One Stop Centre (OSC), Kaunter InC2 serta pelbagai lagi perkhidmatan lain pada tahun ini.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, perkhidmatan yang diwujudkan di MPSJ merupakan yang pertama di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

“Matlamat utamanya adalah bagi memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang disampaikan serta memudahkan pelanggan menyalurkan sebarang aduan dan permasalahan serta mengemukakan cadangan atau sebarang urusan berkaitan pembayaran bil-bil MPSJ,” katanya di Majlis Perasmian Gerbang Perkhidmatan MPSJ di Dewan Kenangan, MPSJ di sini.

Majlis dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Dalam pada itu, perkhidmatan Call Centre ini menyediakan perkhidmatan pengurusan aduan dan pertanyaan dan akan menjadi pusat pengumpulan dan pengedaran aduan serta penyaluran semua informasi berkaitan MPSJ tanpa perlu disambungkan ke jabatan-jabatan lain.

Manakala perkhidmatan kaunter OSC pula disediakan untuk keperluan perkhidmatan teknikal seperti urusan permohonan kebenaran merancang dan pemajuan tanah, kelulusan pelan bangunan serta kelulusan tambahan bagi pengubahsuaian kediaman.

Dengan adanya perkhidmatan ini, pelanggan tidak perlu bergerak dari satu jabatan ke satu jabatan teknikal untuk sesuatu permohonan kerana semuanya boleh diselesaikan di bawah satu kaunter OSC.

Selain itu, Kaunter InC2 pula merupakan kaunter perkhidmatan utama MPSJ yang dipertingkatkan lagi seperti dengan hanya satu nombor giliran, segala urusan dan transaksi boleh diselesaikan di bawah satu kaunter pada satu-satu masa tanpa perlu bergerak ke kaunter atau ke jabatan lain.

Asmawi berkata, semua urusan berkaitan cukai taksiran, perlesenan, bayaran kompaun, permohonan lesen anjing serta bayaran bil dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah.

Mohd Roslan Kekal Datuk Bandar MBPJ

PETALING JAYA 2 OKT : Datuk Mohamad Roslan Sakiman masih kekal sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) kerana jawatan berkenaan adalah statutori yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Kenyataan ini dikeluarkan Sekretariat Media Unit Perhubungan Awam MBPJ hari ini.

Tulis kenyataan itu lagi, oleh kerana arahan tersebut adalah tidak sah, maka Mohamad Roslan masih lagi merupakan Datuk Bandar MBPJ dan masih boleh berkhidmat di MBPJ.

Ini kerana, Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976, jelas memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk melantik Datuk Bandar, di mana Datuk Bandar dilantik mengikut prosedur di bawah undang-undang.

Surat itu juga memaklumkan MBPJ tidak bersetuju dengan surat arahan penempatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) kepada Mohamad Roslan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

Surat yang bertarikh 27 September 2012 tersebut diterima oleh Majlis pada 28 September 2012 dan arahan penempatan Mohamad Roslan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2012.

“Dengan ini Majlis dengan tegas membantah arahan tersebut yang ternyata bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas menyatakan memberi kuasa mutlak kepada Kerajaan Negeri untuk melantik Datuk Bandar Pihak Berkuasa Tempatan.

“Arahan pertukaran tersebut adalah tidak sah kerana Mohamad Roslan dilantik sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya oleh Kerajaan Negeri dan perlantikan itu masih berkuatkuasa, ” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu juga memaklumkan pada masa ini MBPJ dalam proses menyediakan bajet 2013 yang mana bertemakan PJ Prihatin.

Bajet ini dikemukakan kepada penduduk PJ yang mana kini dalam proses akhir pembentangan bajet yang dijadualkan pada hari Rabu, 3 Oktober ini.

“Arahan Jabatan Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan secara serta merta dan tergesa-gesa ini akan menjejaskan proses penyediaan bajet 2013 ini yang melibatkan kepentingan orang awam khususnya rakyat Petaling Jaya juga boleh menjejaskan sistem pentadbiran dan pengurusan MBPJ,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan tegasnya menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam memandang serius perkara ini. Kemungkinan perkara ini terpaksa dibawa ke mahkamah untuk satu deklarasi yang menyatakan tindakan arahan penempatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik kepada Mohamad Roslan adalah tidak sah dan ultra vires.

19 Pesara MBPJ Yang Berkhidmat Lebih Tiga Dekad Terima Penghargaan

PETALING JAYA, 14 JUL : Mereka di antara 117 warga kerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ malam tadi.

Seorang pesara, Ramathas Alagan, 60, berkata, beliau mula berkhidmat pada Januari 1978 sebagai Pembantu Tadbir di Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ.

“Saya mendapat pelbagai pengalaman dan kenangan manis semasa berkhidmat di sini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada warga kerja MBPJ untuk terus maju di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan di majlis itu.

Pesara dari Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan, Hassan Tambah, 58, mengucapkan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan MBPJ kepadanya.

“Walaupun saya ini orang lama, ternyata MBPJ tidak melupakan sumbangan kakitangannya yang telah lama berkhidmat disini,” ujarnya yang memulakan perkhidmatan bersama MBPJ sejak 1977 lagi.

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 dan Penghargaan Pesara 2012 itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan dihadiri Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Mohamed Khusrin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pesara yang diraikan di atas bakti yang diberikan bermula dari awal dilantik sehingga ke akhir perkhidmatan.

“Sesungguhnya, jasa yang ditaburkan para pesara ini amat besar maknanya dan akan terus dikenang di MBPJ,” katanya.

Dalam majlis yang sama, 117 warga kerja MBPJ daripada pelbagai jabatan turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 berupa sijil penghargaan dan wang tunai.

Categories
SELANGOR

MBPJ Berjaya Atasi Masalah Tasik Berbau

PETALING JAYA, 5 APR : Tasik Taman Jaya dan Tasik Taman Bandaran yang mengeluarkan bau busuk serta menerima rungutan dan aduan daripada orang ramai kini menampakkan perubahan apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil tindakan merawat tasik tersebut.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman mengumumkan perkara tersebut ketika sidang media sempena lawatan tapak rawatan tasik di Dataran Tasik Taman Jaya hari ini.

Beliau juga memaklumkan Jawatankuasa Kecil Sistem Rawatan Tasik ditubuhkan pada Januari 2012 bagi membincangkan kaedah terbaik dalam memelihara dan memulihara tasik-tasik di bawah pentadbiran Majlis dimana beberapa Jabatan Teknikal Majlis menganggotai jawatankuasa ini.

“Jawatankuasa kecil ini ditubuhkan kerana MBPJ memandang serius rungutan dan aduan yang dibuat oleh orang ramai kerana tasik ini mengeluarkan bau yang busuk akibat sisa buangan daripada beberapa premis-premis berhampiran,” jelas Mohamad Roslan.

Sehubungan itu, MBPJ telah memulakan proses ini yang melibatkan kos bernilai RM173,800 setahun bagi Tasik Taman Jaya dan RM194,800 bagi Tasik Taman Bandaran.

Sementara itu, kaedah rawatan yang digunakan adalah secara biologikal dan mesra alam kerana tiada bahan kimia digunakan serta dapat mengurangkan bau yang kurang menyenangkan.

Selain itu, kaedah ini dapat meningkatkan tahap kejernihan air seterusnya meningkatkan kualiti air serta berupaya merencatkan pertumbuhan bakteria yang tidak berfaedah.

Mohamad Roslan berkata, sejak Jawatankuasa kecil ini ditubuhkan, tiada lagi aduan dan rungutan bau busuk daripada orang ramai dan menyatakan MBPJ akan melaksanakan proses berterusan bagi menjaga tasik ini.

Malah, beliau turut menyeru semua pihak termasuk premis-premis, rumah dan kilang-kilang untuk sentiasa menjaga alam sekitar kerana memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

Tasik Taman Jaya dan Tasik Taman Bandaran merupakan tasik tadahan yang menerima kemasukan air daripada kawasan perumahan, kawasan komersial serta air larian permukaan daripada kawasan sekitar.