Oleh: NAZLI IBRAHIM
KLANG, 4 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip RM143 juta atau 91 peratus cukai taksiran bagi penggal pertama dan kedua 2015 berbanding nilai keseluruhan sebanyak RM157.2 juta setakat 31 Disember 2015.
Yang DiPertua (YDP) MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata MPK juga berjaya mengutip cukai taksiran tertunggak bernilai RM26.5 juta atau 60 peratus berbanding RM44 juta jumlah keseluruhan.
“MPK juga ingin mengingatkan bahawa pemilik harta adalah bertanggungjawab terhadap pembayaran bil cukai mereka.
“Sekiranya bil tersebut tidak diterima, pemilik boleh berhubung dengan MPK di talian 03-3375 5555 atau datang sendiri ke kaunter bayaran MPK dan pejabat cawangan untuk mendapat salinan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK di sini, hari ini.
Katanya, MPK turut membuka kaunter tambahan bagi Kempen Perkhidmatan dan Pembayaran Cukai Taksiran pada Febuari ini di empat lokasi terpilih di Klang selain Kaunter Utama Bangunan Sultan Alam Shah, MPK.
Empat lokasi itu, AEON Jusco Bukit Tinggi pada 6,7,13 dan 14 Febuari, jam 10.30 pagi hingga 10.00 malam; AEON Jusco, Bukit Rajah pada 20, 21, 27 dan 28 Febuari dari jam 10.30 pagi hingga 10.00 malam.
Manakala bagi Pasaraya Giant Bukit Tinggi pula dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang, Sabtu dan Ahad dari jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam dan Kaunter Pembayaran Pasar Besar, Jalan Meru Klang pada Isnin hingga Jumaat dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang dan pada hari Sabtu dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang.
Katanya lagi, selain boleh dibayar di kaunter MPK, pemilih harta juga boleh membuat pembayaran di semua kaunter bayaran pihak berkuasa tempatan Selangor dan juga di pejabat-pejabat POS.
-nR-