Categories
AGENDA NASIONAL

Perhebat promosi TMM2020 tarik pelancong tempatan

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Pemain industri pelancongan diminta memperhebat promosi bagi menggalakkan lebih ramai pelancong tempatan bercuti di dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata ini kerana pelancong tempatan memainkan peranan penting bagi menjayakan TMM2020 khususnya selepas dunia dilanda penularan Covid-19.

“Sejak penularan Covid-19 yang kini memberi kesan secara global, kita menjangkakan pengurangan pelancong luar yang datang bercuti ke negara ini dan sebab itu pentingnya promosi yang pelbagai dilakukan bagi menarik pelancong tempatan.

“Pemain industri juga boleh mengambil kesempatan daripada pembatalan tempahan pelancong luar dengan menawarkan promosi yang lebih menarik kepada pelancong tempatan,” katanya selepas melancarkan buku kecil ‘Pakej MYexperience Sempena VM2020’ (MYexperience) hari ini.

Mengulas mengenai MYexperience, Mohamaddin berkata inisiatif itu antara yang patut menjadi contoh kepada pemain industri pelancongan untuk terus mempromosi TMM2020 dalam mendepani cabaran pelancong yang berkurangan ekoran Covid-19.

Tegasnya, ini kerana buku MYexperience terbitan MOTAC itu menawarkan 500 pakej merangkumi percutian dan aktiviti pada harga berpatutan, melibatkan kira-kira 109 pengusaha produk pelancongan di seluruh negara.

“Pelancaran buku kecil MYexperience ini tepat pada masanya dan sangat sesuai bagi menggalakkan percutian domestik dalam kalangan penduduk Malaysia. Pakej yang ditawarkan juga selari dengan inisiatif jangka pendek dalam menangani industri pelancongan negara yang terkesan susulan Covid-19 yang ketara di peringkat global,” katanya.

Buku setebal 213 muka surat itu mengandungi direktori lokasi pelancongan dan aktiviti serta pakej harga yang ditawarkan merangkumi 23 segmen termasuk pelancongan sukan, ekologi, perubatan, pendidikan, gastronomi dan gaya hidup.

Buku itu boleh didapati secara percuma di pejabat pelancongan tempatan, selain boleh diperoleh melalui laman sesawang www.malaysia.travel dan vm2020.malaysia.travel.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Silat terima pengiktirafan UNESCO

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Seni mempertahankan diri silat berjaya disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu diberikan pada persidangan mesyuarat sesi ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Bogota, Colombia dari 9 hingga 14 Disember.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, perkara itu diputuskan oleh badan dunia itu yang dianggotai oleh 24 Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat, terdiri daripada negara-negara anggota yang dipilih untuk mengisi kerusi jawatankuasa itu untuk tempoh enam tahun.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi- Foto BERNAMA

“Penyenaraian di peringkat UNESCO merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas satu daripada khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara.

“Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pencalonan silat di bawah senarai itu dan dokumen berkaitan telah dihantar kepada UNESCO di Paris pada 30 Mac tahun lalu dan ia mendapat kerjasama dan bantuan yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Mohamaddin berkata, pengiktirafan kali ini amat bermakna selepas Malaysia telah mendapat pencalonan dunia kali pertama iaitu ‘Mak Yong’ dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005) semasa persidangan sesi ke-3 jawatankuasa itu di Istanbul, Turki pada 2008.

Ia diikuti kejayaan kali kedua apabila Malaysia mendapat pengiktirafan ‘Dondang Sayang’ dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity semasa persidangan sesi ke-13 di Port Louis, Mauritius pada 2018.

Jelasnya, pengiktirafan itu sekali gus akan mengukuhkan hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota yang secara langsung akan membantu memudahkan Malaysia mengangkat lebih banyak pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara pada masa akan datang.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mesran Mohd Yusop dan turut disertai antaranya Timbalan Perwakilan Tetap Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO Zuraini Abidin selain turut dihadiri Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sasaran 28 juta pelancong antarabangsa boleh dicapai

LAHAD DATU, 20 SEPT: Sasaran 28 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia pada tahun ini boleh dicapai, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, berbaki tempoh sehingga hujung tahun ini, kerajaan optimis untuk menerima kemasukan 14 hingga 16 juta pelancong antarabangsa lagi bercuti ke negara ini.

“Ketika ini negara menjana pendapatan kira-kira RM50 bilion daripada sektor pelancongan,” katanya ketika berucap merasmikan pawagam komuniti Max Cinemas di sini, hari ini.

Mohamaddin berkata, bagaimana pun sasaran itu hanya diketahui pada akhir tahun ini.

Dalam pada itu, sektor pelancongan negara tidak terjejas ekoran fenomena jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia, yang keadaan jerebu ketika ini sudah mulai pulih.

Sementara itu, berkaitan perasmian pawagam berkenaan, Mohamaddin, yang juga Anggota Parlimen Lahad Datu, berkata kewujudannya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Saya difahamkan bahawa kira-kira 30 pekerja dari kalangan anak tempatan Lahad Datu diberi peluang pekerjaan di pawagam Max Cinemas ini dan jumlah ini dijangka bertambah dengan sambutan ekosistem yang amat baik yang wujud di persekitaran ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan menggalakkan pelaburan lain masuk di daerah ini.

“Kemasukkan pelabur luar membawa impak positif kepada Lahad Datu dengan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan,” katanya lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Insiden Nora Anne tidak jejas kunjungan pelancong

ALOR SETAR, 24 OGOS: Insiden yang menimpa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin pada 13 Ogos lalu diyakini tidak menjejaskan jumlah kunjungan pelancong ke negara ini menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya sedih dan bersimpati dengan kejadian itu, namun pihak lain tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan bahawa Malaysia tidak selamat untuk dikunjungi pelancong.

“Kalau ada yang kata Malaysia tidak selamat, kita mahu tahu apa sebabnya. Contohnya, baru-baru ini ada pelancong dari Yemen yang maut selepas jatuh dari jet ski ketika cuba berswafoto, tapi perkara itu berlaku atas kecuaian diri sendiri.

“Insiden-insiden seperti itu boleh berlaku di mana-mana negara jadi ia tidak menjadi isu yang terlalu besar yang boleh membimbangkan pelancong untuk datang ke Malaysia,” katanya ketika diminta mengulas sama ada kemasukan pelancong sempena TMM2020 akan terjejas ekoran tragedi yang menimpa Nora Anne.

Kematian remaja berusia 15 tahun itu disahkan polis, pada 15 Ogos adalah akibat kebocoran usus kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan, selepas dia dilaporkan hilang selama 10 hari sejak 4 Ogos lalu.

Terdahulu, Mohamaddin yang hadir merasmikan pembukaan semula Kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad (KRKMM) di Lorong Kilang Ais, di sini berkata kementeriannya akan cuba membantu kerajaan negeri Kedah untuk menjadikan KRKMM sebagai satu destinasi daya tarikan pelancongan warisan.

“Rumah ini mempunyai sejarah tersendiri kerana di sini lahirnya seorang pemimpin negara Tun Dr Mahathir Mohamad. Kewujudan KRKMM ini membolehkan pengunjung mengenal dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang kehidupan seorang pemimpin yang bernama Dr Mahathir.

“Kementerian sentiasa memastikan khazanah warisan negara dipulihara dan dipelihara sebab itu KRKMM ini telah dibaik pulih sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1992, 2000 dan naik taraf ketiga mengambil masa selama setahun bermula Ogos 2017 hingga Okt 2018 dengan kos berjumlah RM1.8 juta,” katanya.

Mohamaddin berkata, dari 2013 hingga 2017, seramai 396,2013 pengunjung dari dalam dan luar negara telah melawat KRKMM dan berharap jumlah itu akan meningkat selepas pembukaan semula kompleks itu dan bersempena TMM2020.

“Banyak bahan pameran yang terdiri daripada artifak dan gambar mengenai Dr Mahathir boleh dilihat. Selain KRKMM, beberapa bangunan tambahan yang melambangkan rumah tradisional Melayu yang dikenali sebagai ‘Rumah Bujang’, ‘Rumah Bumbung Lima’ dan ‘Rumah Bumbung Panjang’ turut dibina di kawasan kompleks ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan negeri Mohd Asmirul Anuar Aris yang mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Dakwaan logo TMM 2O2O diciplak tidak berasas

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Dakwaan logo Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 diciplak dan mempunyai kesilapan pada slogannya tidak berasas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak seharusnya timbul dan pihaknya akan mengekalkan logo tersebut dalam kempen promosi TMM 2020.

“Orang yang mendalami dalam bahasa Inggeris akan tahu apa maksud yang ditulis…mengenai logo diciplak, pereka grafik dapat ijazah kelas pertama dan dapat anugerah, tidak ada ‘copy right’ (hak cipta) dalam isu ini.

“Saya hormati semua pandangan. Tidak ada sebab untuk kita tidak kekalkan logo ini, kita kekalkan sebab kritikan tidak berasas dan bukan kritikan yang bijak, kalau kritikan yang bijak kita lihat dengan baik,” katanya selepas merasmikan Pameran Reproduksi ‘Leonardo Opera Omnia’ di Balai Seni Negara di sini, hari ini.

Isu logo TMM 2020 yang dilancarkan semalam didakwa diciplak dan mempunyai kesilapan susunan perkataan pada slogannya mula tular di media sosial hari ini.

Mengulas mengenai pameran yang mendapat kerjasama daripada negara Itali itu, Mohamaddin berkata, ia dapat mengeratkan hubungan dua negara melalui budaya dan lukisan.

“Saya berharap pada masa depan Malaysia dan Itali boleh mengadakan lebih banya projek kebudayaan, mencetuskan lebih banyak aktiviti pelancongan budaya (dan) juga pertukaran diplomasi untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Kaunselor di Kedutaan Itali di Kuala Lumpur Silvia Marrara berkata projek itu adalah satu daripada kegiatan diplomasi budaya mereka bagi merapatkan jarak dan memudahkan pemahaman dan pengetahuan mengenai seni lukis dan sains Itali dengan membawanya ke Malaysia.

“Bagi mereka yang tidak mampu untuk berjalan ke seluruh dunia untuk melihat karya-karya asli yang terdapat di pelbagai muzium dan gereja, Itali telah memikirkan bagaimana untuk memberi semua orang peluang untuk mengalaminya di sini,” kata beliau dalam ucapannya.

Pameran berkenaan merupakan sebuah pameran reproduksi berteknologi tinggi yang mampu menaikkan kembali perincian karya-karya 500 tahun Leonardo da Vinci yang semakin pudar.

Melalui pameran tersebut pengunjung berpeluang melihat kesemua 17 karya Leonardo da Vinci yang mula dipamerkan bermula 15 Julai sehingga 15 Ogos di Balai Seni Negara.

Antara karya yang dipamerkan ialah La Gioconda o Mona Lisa, The Last Supper, Madona Benois dan Cecilia Gallerani. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kaji semula harga tiket muzium – Mohamaddin

KOTA KINABALU, 15 JUL: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, harga tiket masuk muzium di negara ini perlu dikaji semula susulan harganya yang masih rendah berbanding negara luar.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan muzium di negara luar, bayaran masuk ke muzium di negara ini terlalu rendah iaitu sekitar RM5 berbanding bayaran masuk sehingga 15 dolar (lebih RM50 ke RM60) di negara luar.

“Oleh itu saya berasakan bayaran masuk perlu dinaikkan sedikit contohnya RM10 dan anggap saja ia sebagai sumbangan untuk memajukan lagi muzium di negara ini pada masa hadapan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan kali ke-23 di Kompleks Muzium Sabah, di sini hari ini.

Mengenai sambutan berkenaan, Mohamaddin berkata, ia adalah wadah bagi meneruskan kerjasama antara muzium-muzium dalam usaha menyebarkan ilmu pengetahuan mengenai khazanah budaya negara.

“Sambutan ini juga merupakan satu pengiktirafan ke atas peranan muzium dalam pembentukan masyarakat dan negara, selain memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan warga muzium di seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, pencapaian dan usaha institusi permuziuman pada era digital kini perlu dipertingkatkan bagi mengubah persepsi masyarakat kepada warisan dan budaya.

Katanya, muzium perlu menjadi hab kebudayaan yang mampu mengadunkan warisan dan teknologi melalui mekanisme tertentu yang padu dalam memartabat dan melestarikan budaya dan warisan negara bagi kelangsungan tradisi.

“Sebagai hab kebudayaan, aktiviti permuziuman tidak boleh hanya bergantung pada koleksi, sebaliknya masyarakat perlu dijadikan intipati ke arah keunggulan institusi permuziuman. Muzium perlu secara kreatif menghubungjalinkan idea bersama dengan masyarakat dalam merangka program mengikut cita rasa semasa.

“Muzium juga harus bijak mengetengahkan isu-isu semasa melalui penganjuran pelbagai program bukan sahaja dalam bentuk pameran, tetapi juga sesi dialog, forum dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, muzium bukan sahaja berperanan sebagai institusi yang memelihara khazanah warisan dalam bentuk paparan artifak dan pendokumentasian, tetapi ia juga diperluaskan peranannya sebagai satu ejen yang mampu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya muzium sebagai hab dalam memahami budaya dan tradisi sesebuah masyarakat.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

JIDTP platform tarik syarikat penerbangan asing ke Malaysia

SEPANG, 3 JUL: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini dalam proses perbincangan dengan sekurang-kurangnya lapan syarikat penerbangan bagi menarik mereka menggunakan laluan Malaysia menerusi tawaran insentif Program Pembangunan Pelancongan Bersama Antarabangsa (JIDTP).

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata Tourism Malaysia yang juga agensi di bawah kementerian itu, telah bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menyalurkan kira-kira RM20 juta ke dalam dana di bawah JIDTP itu bagi melonjakkan pelancongan tempatan serta kehadiran pelancong antarabangsa.

Beliau berkata, kadar penyertaan pengendali syarikat penerbangan tempatan dan asing bagi dana itu adalah 32 peratus sejak insentif itu diumumkan pada tahun ini.

Syarikat penerbangan yang menyertainya termasuk AirAsia, Malindo Air, Air Busan (Korea Selatan), Condor Airlines (Jerman), China Airlines dan Royal Brunei Airlines, katanya.

“Dalam senarai kita, ada sebanyak lapan syarikat penerbangan (yang masih dalam peringkat perbincangan) namun (identiti syarikat) masih rahsia. Kita berharap akan ada syarikat penerbangan baharu dari Timur Tengah ke sini pada September depan,” katanya selepas menyambut penerbangan sulung AirArabia ke Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin berkata menerusi JIDTP, syarikat berkenaan berharap untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan asing bukan saja ke Kuala Lumpur, tetapi ke lapangan terbang kecil di sekitar negara ini.

“MAHB akan terus menawarkan program sokongan lain untuk mendorong pertumbuhan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain seperti badan-badan pelancongan dan pihak berkaitan menerusi misi serta program pemasaran bersama,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Pelancongan kebudayaan jana RM551 juta setiap tahun

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Sektor pelancongan kebudayaan menjanakan hasil pendapatan negara berjumlah RM551 juta setiap tahun sejak tiga tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata pada tahun lepas, lebih 17 juta pengunjung menyertai program pelancongan kebudayaan itu dan jumlah pengunjung pada tahun ini dijangka terus meningkat.

“Amalan dan cara hidup, seni persembahan dan hasil kraftangan mempunyai tarikan tersendiri, yang boleh dipromosi serta mampu menjana pendapatan kepada negara dan peningkatan pengunjung yang dilihat saban tahun menjadi bukti pencapaian yang membanggakan.

“Selain itu, usaha yang dibuat Jabatan Muzium Malaysia dengan mengadakan kolaborasi penganjuran pameran dengan negara luar termasuklah kerjasama dengan Kazakhstan adalah usaha positif untuk muzium terus berkembang dan memantapkan lagi jaringan antarabangsa serta mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Alharamain: ‘Perjalanan Ribuan Tahun’ dan Majlis Ramah Mesra bersama Penggiat Industri Pelancongan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata Muzium Negara telah dipilih menjadi tuan rumah kepada Persidangan Asian National Museums Association (ANMA) buat pertama kalinya mulai 29-31 Oktober ini dalam usaha memartabatkan peranan dan fungsi muzium dalam kalangan masyarakat.

“Persidangan yang bakal disertai dari pelbagai negara Asia seperti Thailand, Singapura dan Kazakhstan itu akan membincangkan tema dan menonjolkan fungsi muzium-muzium nasional. Mereka akan bermesyuarat dan membuat resolusi mengenai perkembangan muzium. Saya yakin dengan perancangan rapi dan promosi yang berterusan ini dapat meningkatkan lagi ‘visibility’ muzium,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata persidangan ANMA yang dianjurkan buat kali ketujuh itu turut membincangkan perubahan baharu dan perkembangan muzium yang tertumpu kepada sistem pendidikan dan penyelidikan serta membina hubungan baik dalam kalangan negara Asia.

“Persidangan ANMA ini masih lagi baharu dan setakat ini 19 negara daripada 23 negara anggota bersetuju untuk menyertai persidangan ini, dan yang kita harapkan tiga negara paling besar dalam bidang permuziuman iaitu Jepun, China dan Korea akan turut menyertai ANMA ini,” jelasnya.

Pameran Antarabangsa Alharamain yang berlangsung sehingga 21 Julai ini adalah pameran yang menampilkan koleksi seni Islamik dari 1,400 tahun lepas di mana sebahagian koleksi yang dipamerkan terdiri daripada hasil kerja logam, seramik dan kayu serta manuskrip yang diperoleh dari abad ketujuh hingga abad kesembilan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kaum, etnik perlu bantu kerajaan majukan pelancongan negara

LAHAD DATU, 23 JUN: Setiap kaum atau etnik di negara ini perlu membantu kerajaan merealisasikan matlamat memajukan sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata setiap etnik boleh mempromosi pelancongan negara dengan menonjolkan keunikan kesenian serta kebudayaan masing-masing.

“Misalnya, kita di pihak kementerian sangat mengalu-alukan penganjuran majlis atau aktiviti kebudayaan yang dapat memperkenalkan keunikan budaya etnik masing-masing.

“Semua kaum juga boleh bekerjasama dengan duduk berunding, saling bertukar pandangan dan mencari keunikan kaum untuk ditonjolkan sebagai produk pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Koluk Sengegkun Idahan dan Raya anjuran Persatuan Etnik Idahan Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamaddin yang juga Anggota Parlimen Silam menggalakkan pengusaha pelancongan memanfaatkan Dana Infrastruktur Pelancongan sebanyak RM1 bilion yang dilancarkan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), bagi memajukan perusahaan yang sekali gus akan memperbanyakkan peluang pekerjaan.

Selain itu, beliau turut menyarankan penduduk di negeri ini mempergiat pembuatan kraftangan yang mampu menjana pendapatan tinggi.

“Industri pembuatan kraftangan adalah satu hasil yang baik yang mana Sarawak sebagai contoh telah menjana RM13.6 juta pada bulan Januari sehingga Mac tahun ini melalui hasil kraftangan,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Suara isu tiket penerbangan ke Sabah mahal

TAWAU, 24 MEI: Isu harga tiket penerbangan ke Sabah yang mahal, khususnya daripada Kuala Lumpur ke Tawau, akan disuarakan kepada menteri yang bertanggungjawab, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Mohamaddin yang juga Anggota Parlimen Silam itu berkata, perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya, namun akan membawanya ke pengetahuan jemaah menteri, selain Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, untuk tindakan lanjut.

“Perkara ini saya kira selesai sebelum ini, apabila beberapa bulan lalu, menteri (Anthony) sudah memberitahu bahawa harga tiket penerbangan tidak akan naik, malahan kapasiti penerbangan akan ditambah.

“Jadi saya harap (kepada) Kementerian Pengangkutan, harga (tiket penerbangan) tidak akan naik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis iftar dan pemberian sumbangan kepada 150 asnaf di sini, semalam.

Baru-baru ini, harga tiket penerbangan domestik dan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau yang mahal sehingga mencecah ribuan ringgit, menjadi bualan hangat di media sosial.

Rata-rata penduduk Sabah melahirkan rasa tidak puas hati, terhadap harga penerbangan yang ditawarkan hampir setiap hari itu kepada pengguna, dan mengibaratkan harga berkenaan seperti perjalanan mahu ke luar negara.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Mohamaddin berkata, sebanyak RM300,000 peruntukan daripada Parlimen Silam akan disalurkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri Kunak, bagi pelaksanaan projek-projek kecil.

Katanya, projek-projek kecil itu termasuk membaik pulih jalan, serta jambatan kampung.

“RM300,000 akan disalurkan, terpulang kepada wakil rakyat Kunak serta pemimpin mas yarakat untuk menggunakan peruntukan ini sebaik mungkin, dengan melaksanakan projek-projek kecil yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata dia akan sentiasa mencari masa, ruang dan peluang untuk menyantuni penduduk di seluruh kawasan Parlimen Silam, dan Sabah amnya. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sektor pelancongan negara kekal prestasi membanggakan

PUTRAJAYA, 23 APR: Sektor pelancongan negara terus mengekalkan momentum pencapaian mampan dan membanggakan di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, sektor pelancongan negara berada di landasan terbaik apabila Malaysia berjaya mengekalkan rekod sebagai antara 10 negara yang mempunyai destinasi perlancongan terbaik dunia bagi 2018.

Katanya, Kuala Lumpur serta Singapura, Macau, dan Shenzen berada dalam kalangan 10 teratas peringkat global.

“Rekod ini merupakan petunjuk bahawa Malaysia berada di landasan yang betul. Kita sedang berusaha keras mengukuhkan lagi industri pelancongan negara bagi mencapai sasaran kedatangan pelancong seramai 30 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion pada 2020.

“Usaha itu selaras dengan hasrat kementerian untuk melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya pada sidang media khas sempena setahun PAKATAN mentadbir negara.

Pada 9 Mei ini, genap setahun PAKATAN membentuk kerajaan selepas menamatkan pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mohamaddin berkata, antara pencapaian lain kementerian itu termasuklah kejayaan seni dan warisan yang sinonim dengan negeri Melaka, Dondang Sayang yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

katanya, Pewartaan UNESCO ini sangat penting kerana ia bertujuan melindungi warisan kategori kebudayaan tidak ketara di seluruh dunia, sekali gus mengetengahkan identiti sesebuah negara.

Selain itu, kementerian menerusi Jabatan Warisan turut berjaya mengisytihar 255 butiran membabitkan pelbagai kategori sebagai Warisan Kebangsaan.

Katanya, 149 daripada jumlah butiran itu adalah hasil karya Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee termasuklah gubahan lagu serta dua trofi yang dimenanginya di Festival Filem Asia Pasifik (APFF) iaitu Anugerah Filem Komedi Terbaik untuk filem ‘Madu Tiga’ pada 1964 dan Anugerah Seniman Serba Boleh pada 1965.

“Pewartaan warisan itu mampu memberi impak positif yang melangkau pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat, selain dapat menjana ekonomi negara melalui produk pelancongan warisan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berpuas hati dengan pencapaian sektor itu dalam keadaan kerajaan sedang berjimat dan mengurangkan perbelanjaan negara.

“Kita kecilkan sedikit bajet dan skop (perbelanjaan) kita menjadi kecil sikit. Antara bajet yang dikecilkan adalah pengiklanan dan prasarana.

“Bagaimanapun, ia tak jejaskan promosi tahun melawat Malaysia. Saya berpuas hati dengan bajet ini, sebab sekarang pelancong banyak masuk (melancong ke Malaysia),” katanya.

Tambahnya kementerian juga sedang dalam proses mewartakan warisan geologi dan semulajadi Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) sebagai Tapak Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang melibatkan sebanyak 210 lot tanah.

Selain itu, kementerian juga telah menghantar dokumen PKGS dalam Senarai Tentatif kepada UNESCO bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia, katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kuala Kubu Bharu dalam penilaian sebagai tapak warisan

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor kini sedang dalam penilaian untuk diangkat sebagai warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebelum dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penilaian itu sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Warisan Negara, Kerajaan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi berkaitan.

“Jabatan Warisan Negara telah mengambil usaha untuk mengangkat tapak warisan yang memenuhi kriteria bagi pengiktirafan antarabangsa terutama sekali di peringkat UNESCO.

“Setakat ini, empat tapak telah mendapat pengiktirafan UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Taman Kinabalu, Sabah; Bandar Warisan Dunia Melaka dan George Town, selain Tapak Arkeologi Lembah Lenggong, Perak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan June Leow Hsiad Hui (PAKATAN-Hulu Selangor) yang ingin tahu perkembangan terkini dalam rancangan menjadikan Kuala Kubu Bharu sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, bagi mempromosikan tapak-tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia, kementerian telah melaksanakan beberapa usaha untuk menggalakkan kedatangan pelancong antaranya program ‘Mega Familiarization’ dengan mempelawa wakil-wakil media dan para pengusaha pelancongan antarabangsa menyertai acara-acara pelancongan di tapak warisan UNESCO untuk dipromosi di luar negara.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: TOURISM SELANGOR