Categories
NASIONAL

Rafizi: Najib ‘Bapa Pengumuman’

SHAH ALAM, 30 MAC: ‘Bapa Pengumuman’- Mungkin inilah gelaran yang secocok buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menggambarkan sikap obses beliau dalam membuat pelbagai pengumuman.

Ungkapan gelaran tersebut dinyatakan oleh Pengarah Startegi PKR, Mohd Rafizi Ramli ketika cuba menggambarkan beberapa pengumuman Najib yang dianggap tidak disertakan langkah realistik bagi membendung jenayah rasuah di dalam Wacana Sinar Harian semalam.

Menurut Rafizi, meskipun Najib mengumumkan agenda memerangi rasuah termasuk dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), ianya masih tidak memadai kerana tidak disusuli tindakan yang realistik.

“Kalaulah tugas kerajaan cukup sekadar mengumumkan beberapa perkara, mudahlah jadi PM.

“sebab itulah ada orang berjenaka, PM Najib Razak ini suatu hari nanti akan dikenali sebagai bapa pengumuman sebab dia banyak mengumumkan ganjaran,” ujar beliau dan disambut dengan ketawa oleh para hadirin.

“Tetapi tidak cukup dengan itu, yang kita nak tengok kalau pun kita ada NKRA dan GTP (Program Transformasi Kerajaan) untuk membenteras rasuah, kesannya mesti dirasai oleh orang di bawah.

“Setakat ini selepas dua tahun, keadaannya bertentangan. Perancangan satu perkara, tetapi kuasa yang diberikan dan keseriusan kerajaan untuk tidak campur tangan,” ujar beliau.

Selain Rafizi, ahli panel lain yang turut diundang dalam Wacana Sinar Harian siri ke 12 ini adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul danĀ  Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Manakala ahli panel lain yang turut diundang ialah Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar bagi mengupas isu bertajuk Rasuah Politik: Realiti atau Persepsi.

Pada bulan April 2009, Perdana Menteri telah mengumumkan 6 NKRA dalam GTP, dan salah satu daripadanya merupakan NKRA memerangi rasuah.

Bagaimanapun, disebalik pengumuman mewujudkan NKRA dan meningkatkan peruntukan perangi rasuah,Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia berterusan merudum di sepanjang pentadbiran beliau dari tangga ke 43 pada 2007 ke tangga 60 pada 2011, terburuk dalam sejarah.

Manakala markah CPI pada tahun 2007 mencatatkan 5.1 pada 2007 dan jatuh kepada 4.3 pada tahun 2011.

Categories
NASIONAL

Fail Siasatan Rasuah Sangkut di Pejabat Peguam Negara

SHAH ALAM, 29 MAC: Peguam Negara harus ditukar kerana dilihat menyekat pendakawaan rasuah politik di negara ini, kata seorang ahli panel di Wacana Sinar Harian petang tadi.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, Peguam Negara yang ada pada hari ini wajar ditukar kerana banyak keputusan yang dibuat sebelumnya amat mencurigakan.

Walhal Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan menjalankan tugasnya dengan menyiasat dakwaan rasuah tetapi apabila kes-kes ini dibawa ke pejabat Peguam Negara, ia tidak dibawa ke mahkamah pengadilan.

“SPRM siang malam buat kerja, bila sampai laporan kepada Peguam Negara, mati di situ. Mencurigakan betul. Sebab itulah isu rasuah ini jangan kita lihat pada SPRM sahaja,” ujar Rafizi di dalam wacana yang bertajuk ‘Rasuah Politik: Realiti AtauĀ  Persepsi’.

“Kerajaan tidak mahu bersungguh-sungguh membenteras rasuah.

?Kalaulah saya jadi Perdana Menteri tanpa ubah perlembagaan pun kita boleh tolong pegawai-pegawai SPRM macam Datuk Shukri (Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul) ini dengan satu tindakan sahaja, iaitu apa dia, kita tukarkan peguam negara.?

Dalam pada itu, Mohd Shukri, yang juga ahli panel, menyangkal persepsi masyarakat bahawa SPRM hari ini hanya berani menangkap ikan bilis dan bukan jerung besar.

Mohd Shukri berkata SPRM hanya diberi kuasa menyiasat manakala pendakwaan mahkamah pada tangan Peguam Negara.

“Dalam kes-kes yang kita cadangkan kepada peguam negara pada pandangan kita ada kes tetapi pada dia tak cukup bukti.

“Nak dakwa macamana, kita tak ada kuasa untuk dakwa. Kita cuma siasat sahaja, kuasa pemutus untuk mendakwa tertuduh terletak pada Peguam Negara.

“Kalau nak ikutkan, memanglah saya dan pegawai-pegawai nak dakwa mereka ini,” ujar beliau.