Categories
NASIONAL

Gabungan NGO Gesa Kerajaan Dengar Pendapat Rakyat Sebelum Laksana TPPA

Laksana TPPA 01

KUALA LUMPUR, 19 JULAI : Badan Bertindak Bantah TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik), hari ini menuntut agar kerajaan mengadakan forum sebelum membuat keputusan menandatangani TPPA pada 1 Ogos nanti.

Tuntutan tersebut dibuat melalui memorandum yang diserahkan oleh enam wakil badan bertindak itu di pintu masuk Wisma Hasil Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat petang tadi.

Memorandum tersebut diterima wakil Timbalan Ketua Setiausaha Industri, Kementerian Perdagangan Industri Antarabangsa, Datuk Nik Rahmat Nik Taib.

Menurut beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai badan bertindak tersebut, forum tersebut perlu diadakan bagi membolehkan kerajaan mendengar pendapat rakyat terbanyak melalui 45 NGO dan enam badan gabungannya.

Laksana TPPA 02

Antara NGO tersebut, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Malaysia AIDS Council (MAC), Tamil Foundation Malaysia (TF), The KL & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCH), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan lain-lain.

Sebelum ini menurut Presiden MTUC, Khalid Atan, kerajaan sebelum ini bukan sahaja menyembunyikan butiran rundingan dari pengetahuan rakyat, malah turut menolak bagi mengadakan rundingan bersama MTUC dan NGO lain.

“Mereka kata ada menjemput MTUC hadir forum sebelum ini sebenarnya tipu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bertindak sendiri, tak pernah adakan forum seperti yang mereka katakan,” ujar Khalid.

Sementara itu, Naib Presiden, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Said Ibrahim Said Noh, TPPA mampu menyebabkan negara yang menandatanganinya kehilangan hak menjalankan polisi yang menjaga kepentingan rakyat masing-masing.

Menurut beliau, antara negara yang pernah mengalaminya termasuklah Kerajaan Ecuador yang terpaksa membayar saman kepada pelabur sebanyak USD 2.4 bilion dan Kanada yang terpaksa menarik pengharaman sejenis ubat yang memberik kesan negatif kepada rakyatnya.

“Kerajaan Kanada sebelum itu mengambil langkah ‘banned’ ubat tersebut kerana merbahaya untuk rakyat Kanada, tetapi terpaksa menarik semula selepas disaman pelabur Amerika melalui kerana mereka menandatangani perjanjian itu,” kata beliau.

Selain itu, Badan Bertindak Bantah TPPA Malaysia turut menggariskan TPPA bakal menghadkan akses kepada ilmu pengetahuan, mengamalkan polisi pro-industri yang tidak mesra alam sekitar, menafikan hak pekerja dan menjejaskan industri kecil dan sederhana.

Sebelum itu, dalam perhimpunan aman membantah TPPA hari ini, hampir 100 perserta demontrasi memulakan perarakkan dari Masjid Wilayah Persekutuan menuju ke Wisma Hasil Kuala Lumpur.

Perarakan yang berakhir kira-kira jam 3.40 petang itu berakhir tanpa kekecohan.

Laksana TPPA 03